ZingTruyen.Xyz

PERGI

Bab 9

karyaseni2u

"ASTAGHFIRULLAHALAZIM. Kenapa kamu tidur sini, Aki?" soal Mak Cik Soraya sebaik sahaja dia membuka pintu dapur. Kebetulan pula suaminya hendak ke surau.

Syakri terpisat-pisat. Baru dua jam dia melelapkan mata. Kepalanya terasa berdenyut pula.

"Dah pukul berapa, mak?" soal Syakri. Matanya masih lagi terkatup rapat.

"Dah nak subuh. Kenapa tak telefon emak? Bila kamu sampai?" Mak Cik Soraya duduk di sebelah Syakri yang sedang berbaring di kerusi panjang yang terletak di beranda rumah.

"Entah pukul berapa, mak. Bateri habis pula. Aki kejutkan mak, tapi mak tak dengar. Tu yang tidur dekat sini aja."

"Aik? Ingatkan awak berbual dengan siapalah tadi. Bila sampai, Aki?" soal Pak Cik Hashim. Dia membetulkan lengan jubahnya.

"Dia sendiri tak perasan pukul berapa, bang..." Mak Cik Soraya bangun. Dia mengekori suaminya yang hendak ke masjid.

"Suruhlah dia masuk. Jangan lupa solat subuh dulu. Abang pergi dulu." Pak Cik Hashim menyorong motosikalnya keluar dari beranda rumah besar itu.

"Baik, bang. Hati-hati, ya..." pesannya.

Mak Cik Soraya mendekati Syakri. Dia mengusap lembut kepala anak bujangnya itu. Itulah satu-satunya anak bujang yang dia ada.

"Aki... pergilah tidur dekat dalam. Solat dulu baru tidur, ya." Mak Cik Soraya mengejut Syakri. Syakri masih sedap melayan lenanya.

"Aki..." panggilnya lagi.

"Hmmm..." jawab Syakri perlahan. Mata tetap terpejam.

"Jangan nak hmmm... hmmm sangat. Cepat masuk. Azan dah berkumandang tu," gesa Mak Cik Soraya.

Dengan berat mata, berat kepala, Syakri bangkit juga. Sebelum dia berlalu masuk ke dalam rumah, sempat dikerlingnya rumah sewa di sebelah rumahnya itu. Ada sesuatu yang menarik hatinya.

"MAK cik... Maaflah kalau hantaran ni tak cantik mana. Ini saja yang mampu kami buat," kata Karmah.

Rabiatul Adawiyah dan Karmah mengusung hantaran yang mereka buat.

"Nak letak mana hantaran ni, mak cik?" soal Karmah lagi.

"Cantiklah ni... Letak dekat dalam terus. Senang. Esok dah boleh bawa. Tinggal buah-buahan aja, kan? Nanti mak cik ambil buah-buahan. Rasanya dah boleh letak dalam dulang. Takut esok tak sempat pula."

Rabiatul Adawiyah dan Karmah akur dengan arahan Mak Cik Soraya. Mereka membawa dulang-dulang yang telah diisi dengan gubahan sempoi mereka. Lantaklah, ni saja yang mampu kami buat. Cantik ataupun tidak, asal kembali pada niat hendak memberi hadiah kepada si bakal menantu Mak Cik Soraya.

"Letak saja dekat atas almari ni," kata Mak Cik Soraya. Tangannya menepuk-nepuk almari yang penuh dengan buku itu.

"Terima kasihlah, Rabitah... Karmah... Kalau tak ada kau orang berdua, susahlah mak cik. Marilah kita ke dapur," pelawa Mak Cik Soraya.

"Mak cik pergi dulu, nanti kami datang. Kami nak betulkan barang hantaran ni," jawab Karmah. Rabiatul Adawiyah mengangguk, tanda setuju dengan kata-kata rakannya itu.

"Ha, yalah. Nanti jangan terus balik pula," pesan Mak Cik Soraya sebelum berlalu pergi.

"Awi... kau rasa okey ke tak ni? Aku macam seram aja. Macam tak lawa aja," bisik Karmah sambil tertawa kecil.

"Kata mak cik tadi okey, okeylah tu. Aku mana tau pasal benda-benda ni. Aku tengok elok aja. Dahlah, tak payah fikir-fikir," bisik Rabiatul Adawiyah pula.

"Ehem..." Satu suara kedengaran dari arah belakang mereka. Rabiatul Adawiyah sudah mula tidak senang hati. Dia tahu siapa yang empunya suara.

"Siapa yang gubah ni? Hmmm... Boleh tahan cantiknya," puji Syakri.

Lelaki itu menghampiri mereka. Rabiatul Adawiyah cukup tidak senang dengan situasi itu. Apatah lagi dia sangat terkejut apabila melihat penampilan lelaki itu. Berseluar separas lutut serta bersinglet biru tua.

Allah... Mamat ni... Agak-agaklah nak tayang bodi sekalipun. Tak boleh ke berdiri jauh-jauh sikit? Buat aku senak perut aja. Haiya... Rabiatul Adawiyah gelisah.

"Encik Syakri suka ke? Kalau suka alhamdulillah," soal Karmah.

"Okeylah. Saya pun bukan tahu sangat pasal gubahan yang tercantik ni. Asalkan semuanya berjalan lancar dan hati kedua-dua ibu bapa saya gembira, dah cukuplah bagi saya," jawab Syakri.

Rabiatul Adawiyah angkat muka. Dia pandang wajah Karmah. Masing-masing mengerutkan kening.

"Lain macam aja bunyinya, Encik Syakri? Ni... kahwin paksa ke?" soal Karmah, peramah.

Syakri tertawa kecil.

"Kahwin paksa, eh? Hmmm... Rasanya bukan paksa, tapi kahwin atur. Kahwin paksa ni lain maknanya. Kalau kahwin atur, serupalah macam orang tua kita dulu-dulu, jodoh dipilih oleh orang tua sendiri. Pada saya, saya tak kesah. Bercinta pun belum tentu bahagia lagi, kan?" komen Syakri. Karmah mengangguk. Rabiatul Adawiyah hanya diam membisu.

Syakri sejak tadi asyik menjeling ke arah gadis berniqab tu. Gadis itu langsung tidak bersuara. Kalau hendak kata bisu, takkanlah sebab gadis itu jadi cikgu. Ada emas ke dalam mulut dia ni?

"Errr... Kawan awak ni bisu ke?" Syakri sengaja memprovokasi gadis berniqab itu.

Karmah memandang wajah Syakri sambil mengerutkan keningnya.

"Siapa?" soal Karmah.

"La... Siapa lagi?" Mata Syakri memandang ke arah Rabiatul Adawiyah.

Masa itu juga Rabiatul Adawiyah mencuit lengan Karmah. Mereka perlu segera berlalu dari situ. Tidak boleh dilayan mamat ini.

"Kami pergi dulu, Encik Syakri." Karmah minta diri.

"Siapa yang mengaji pagi tadi?" soal Syakri tiba-tiba.

Langkah mereka terhenti. Mereka berpandangan kemudian Rabiatul Adawiyah menggeleng.

"Mengaji? Bila masa encik dengar ada orang mengaji pula?" Karmah sengaja buat-buat tanya.

"Ada... Errr..." Syakri terhenti.

Takkan aku nak cakap, aku curi-curi dengar pula? Habislah nanti mereka tuduh aku mengintai mereka pula, bisik hati Syakri.

"Tak ada, eh? Okey, lupakanlah... Mungkin saya salah dengar," dalih Syakri.

Karmah sudah tersenyum. Bukan dia tak dengar ada orang terlanggar pasu bunga pagi tadi. Kemudian mereka terus ke dapur meninggalkan Syakri yang tersengih memandang mereka.

"MARI duduk, Karmah... Rabitah..." pelawa Mak Cik Soraya.

"Terima kasih..." kata mereka serentak.

"Mak cik nak masak apa untuk esok?" soal Karmah.Dia mengambil cawan yang dihulurkan oleh Mak Cik Soraya.

"Mak cik nak masak mi goreng aja. Lagipun kita bertolak pagi. Dalam pukul sepuluh dah boleh pergi. Kamu berdua ikut sama, ya," kata Mak Cik Soraya.

"Insya-Allah, mak cik. Kak Su balik bila, mak cik?" soal Karmah.

Dari jauh, Syakri mencuri pandang ke arah Rabiatul Adawiyah. Dia melihat bagaimana Rabiatul Adawiyah menyuap makanan. Entah mengapa, matanya enggan memandang ke arah lain. Panorama yang jarang dapat dilihat itu terus menjadi jamuan matanya.

"Kak Su kamu balik hari ni. Sekejap lagi sampailah tu. Katanya malam tadi dia dah bertolak dari sana. Letihlah mak cik kalau dia tak ada. Badan mak cik ni bukan kuat lagi."

"Kalau mak cik perlukan pertolongan kami, mak cik cakap aja. Nanti kami buat. Mak cik tak payah susah-susah." Karmah menawarkan diri.

"Yalah... Memang mak cik nak minta tolong pun. Kamu berdualah yang mak cik nak harapkan. Nanti tolong lapkan pinggan-pinggan yang mak cik dah keluarkan tu, ya," pinta Mak Cik Soraya. Mereka menoleh ke arah pinggan yang telah dilonggok di sudut dapur.

"Nanti kami buat, mak cik. Mak cik jangan susah-susah hati sangat. Mak cik berehatlah," kata Rabiatul Adawiyah perlahan namun mampu didengar oleh wanita itu.

"Terima kasih banyak-banyak. Beruntung rasanya mak cik dapat penyewa macam kamu berdua ni." Pujian penuh ikhlas diberikan kepada dua gadis tersebut.

"Sama-sama, mak cik," jawab Karmah.

Rabiatul Adawiyah membetulkan niqabnya. Tatkala itu juga matanya terpandang seseorang yang sedang merenung ke arahnya. Kebetulan pula, kerusinya bertentangan ke arah ruang tamu. Tempat Syakri sedang duduk santai sambil terus merenung ke arahnya. Rabiatul Adawiyah menundukkan kepala. Cuba melarikan wajahnya daripada terus menjadi jamahan mata lelaki itu.

"Kar... Aku lap pinggan dulu, eh." Rabiatul Adawiyah berbisik ke telinga Karmah. Karmah mengangguk. Dia belum habis makan lagi manakala Rabiatul Adawiyah sudah bangkit lalu terus ke singki untuk membasuh pinggannya. Dengan cara itu saja Rabiatul Adawiyah dapat melarikan diri dari lelaki itu.

Lelaki itu sudah mengukir senyuman penuh makna. Dia sengaja hendak memandang gadis berniqab itu. Dia juga sengaja merenung gadis tersebut. Walaupun tiada pemandangan yang mampu menggugat keimanannya, namun dia suka buat gadis itu serba salah. Akhirnya pasti gadis itu mengalah juga. Dia perasan anak mata gadis yang bernama Rabitah itu memandang ke arahnya. Dia juga tahu, gadis itu malu diperlakukan begitu. Sifat nakalnya sebagai seorang lelaki tetap ada. Dia sekadar mahu mengusik, tiada niat lain pun.

"LADA kering ni nak potong semuanya ke mak cik?"

"Potonglah, Karmah. Kalau ada lebih nanti, mak cik boleh simpan," jawab Mak Cik Soraya.

Mereka mula sibuk di dapur. Memotong sayur dan mengupas bawang. Esok pagi tinggal goreng sahaja. Tidak perlu susah-susah lagi.

Rabiatul Adawiyah mengupas bawang. Habis matanya berair. Seolah-olah dia dalam kesedihan pula.

"Awak menangis ke?" soal Syakri.

Dia mendekatkan mukanya ke wajah Rabiatul Adawiyah. Gadis itu terkejut. Tidak menyangka keberanian lelaki itu sampai ke tahap itu.

"Kata orang, kalau anak dara kupas bawang air matanya meleleh, bermakna dia memang jarang masak," usik Syakri. Dia mengulum senyuman. Wajah Rabiatul Adawiyah mula merah.

Syakri membaling bawang ke arah Rabiatul Adawiyah. Dia suka sangat sakat gadis berniqab itu. Jual mahal sangat. Suara pun payah nak dengar.

"Aki... cuba jangan kacau Rabitah tu. Pergilah ke depan sana. Jangan nak menyibuk dekat dapur ni," tegur Mak Cik Soraya.

Syakri hanya ketawa.

"Bosanlah duduk depan sana, mak. Mak bagilah kerja, biar Aki buat." Mata Syakri asyik memandang Rabiatul Adawiyah.

Amboi... Baiknya anak emak ni. Nak sangat kerja, kan? Kejap lagi aku bagi kat kau pula. Kata aku tak tahan, kan? Rabiatul Adawiyah memberi separuh bawangnya kepada Syakri. Tanpa sepatah perkataan keluar dari mulutnya, bawang-bawang itu dilonggokan di hadapan Syakri.

"Awak nak suruh saya kupas bawang ni ke?" soal Syakri.

Ceh! Buat-buat tanya pula. Dah longgok depan kau tu, kau kena buatlah. Jangan banyak songeh. Aku nak tengok mata kau berair ke tak. Rabiatul Adawiyah gelak dalam hati. Bibirnya pula mengukir senyuman. Bukan lelaki itu nampak pun dia sedang tersenyum.

"Pisau?" Dalam terpaksa, Syakri akur juga. Rabiatul Adawiyah menghulurkan pisau kepada lelaki itu.

"Alah... Setakat bawang banyak ni, saya pejam mata aja dah siap," kata Syakri lagi.

Rabiatul Adawiyah menjeling saja. Dia malas hendak melayan mamat yang duduk di hadapannya itu. Dia bingkas, segera mendapatkan Karmah yang sedang membuang ekor tauge. Dapat juga dia lari dari mamat kerek itu.

Syakri hanya memandang Rabiatul Adawiyah yang berlalu pergi. Dia sengaja kacau gadis itu sehingga gadis itu bersuara. Sampai sekarang dia masih tidak dapat dengar suara gadis itu. Tangan Syakri masih lincah mengupas bawang walaupun sibuk memikirkan gadis itu. Pada mulanya, dia tidak berasa pedih namun lama-kelamaan, air matanya tidak mampu ditahan sehingga meleleh laju.

"Mak... Tolong mak... Mata Aki pedih ni!" Tiba-tiba Syakri menjerit. Terkejut mereka yang ada di situ.

Mak Cik Soraya bergegas mendapatkan anak lelakinya itu.

"Kan mak dah cakap tadi, pergi aja duduk dekat luar sana. Yang sibuk-sibuk nak kacau sini buat apa? Hah! Cakap lagi orang tak pernah masuk dapur, tak pandai masaklah... Yang awak tu masak air pun tak pernah. Tunjuk lagak aja, kan?" bebel Mak Cik Soraya.

Rabiatul Adawiyah dan Karmah menahan gelak. Tergeleng-geleng kepala mereka apabila melihat aksi lagak ngeri Syakri itu. Macam tercekik tulang ya juga.

Syakri berlari menuju ke singki. Mukanya dibasuh beberapa kali sehinggalah rasa pedihnya hilang. Dia memandang ke arah Rabiatul Adawiyah. Dia tahu gadis itu sedang mentertawakan dirinya. Dia rasa bengang.

"Hah! Gelaklah... Tak baik tau," katanya seakan-akan merajuk bunyinya. Dia terus berlalu meninggalkan ruang dapur. Mak Cik Soraya turut mentertawakan anaknya itu.

"Berlagak sangat..." Sempat lagi Mak Cik Soraya mengusik anaknya.

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz