ZingTruyen.Xyz

PERGI

Bab 8

karyaseni2u

RUTIN harian mereka semakin terisi dengan kerja-kerja yang lebih mencabar daripada dahulu. Mereka berusaha untuk buat yang terbaik. Tadika yang baru diusahakan itu perlu menepati matlamat Kak Sulwani. Mereka juga perlu banyak bersabar dengan kerenah-kerenah anak-anak kecil. Bersikap garang bukanlah satu sikap yang baik untuk anak-anak yang baru mengenali alam persekolahan.

"Cikgu! Amin terkencing dalam seluar!" jerit Fatimah, seorang murid perempuan yang agak becok mulutnya.

Rabiatul Adawiyah yang baru hendak mengajar, terkejut. Amin pula sudah menangis.

"Eee, tak malunya," ejek rakan-rakannya yang lain.

"Sayang-sayang semua... Tak baik gelakkan orang. Allah tak suka kita ejek orang. Kasihan tak dengan Amin?" Rabiatul Adawiyah cuba menenangkan kelas yang semakin gamat.

Masing-masing terdiam.

"Allah tak suka ke, cikgu?" soal Fatin.

"Ya. Allah tak suka kita bersikap suka mengejek-ejek. Sepatutnya kita tolong Amin. Amin bukan sengaja, kan Amin?" Lembut sahaja dia cuba menarik perhatian semua.

"Amin pergi bilik air, ya? Nanti tukar seluar sekali, ya? Dah, jangan menangis lagi. Amin budak baik dan budak bijak." Melambung Rabiatul Adawiyah memuji.

Itu baru sedikit. Belum lagi yang bergaduh, mengambil barang kawan... Kalau tidak mampu nak hadapi, lebih baik jangan jadi cikgu tadika. Itulah yang dia tanam sejak mula memegang jawatan itu. Sekurang-kurangnya, dia mampu meredakan rindunya kepada anak kandungnya sendiri. Di manakah dia? Siapakah namanya? Bagaimanakah raut wajahnya? Sihatkah dia? Soalan itu kerap benar berlegar di ruang mindanya.

"Cikgu... terima kasih," ucap Amin.

Rabiatul Adawiyah asyik mengelamun.

"Cikgu!" Amin mencuit bahu Rabiatul Adawiyah.

"Ada apa, Amin?" soalnya lembut.

"Terima kasih!" ucap Amin lagi. Rabiatul Adawiyah tersenyum.

"Sama-sama... Amin duduk dulu, ya? Amin ikut huruf yang cikgu tulis pada buku Amin, ya," arahnya.

Amin akur. Dia menuju ke tempat duduknya. Tempat duduk yang basah sudah dilap oleh Rabiatul Adawiyah.

SEBELAH malam pula, mereka bertungkus lumus membuat hantaran pula walhal bukan banyak mana pun. Kalau asyik tidak jadi saja, macam mana hendak siap?

"Weh! Nak buat gubahan apa ni? Asyik tak jadi aja," soal Karmah.

Rabiatul Adawiyah sudah tergelak. Sejak awal lagi dia sudah mengatakan yang dia tidak pandai buat gubahan. Tangannya bukan berseni.

"Kau hentam ajalah, Kar," jawab Rabiatul Adawiyah perlahan.

"Kau ni asyik gelak aja. Dahlah aku pening nak fikir ni. Tolonglah aku..."

"Aku dah cakap aku tak pandai. Kau nak suruh aku buat apa? Susah-susah sangat, lipat-lipat lepas tu masuk aja bekas. Habis cerita," usulnya. Usul yang langsung tak boleh pakai.

"Kau jangan... Tarikhnya dah nak dekat ni. Kau tolong cari mana-mana tutorial dekat dalam Internet tu. Manalah tau ada."

"Lecehlah kau ni..."

"Malaslah tu... Nak suruh tekan pun, bukan aku suruh kau buka komputer tu," bebel Karmah.

"Yalah, mak nenek kebayan. Aku cuba carilah ni." Rabiatul Adawiyah melayari laman sesawang yang mungkin boleh menjadi sumber inspirasi buat rakannya itu.

"Nanti kau tolong gubahkan coklat tu. Kasi cantik-cantik sikit."

"Kalau gubah masuk terus dalam mulut aci ke tak?"

"Tu tak amanah namanya..."

"Alah, gurau pun tak boleh sekarang ni," usik Rabiatul Adawiyah.

"Gurau-gurau juga. Ni hah! Aku susah hati selagi tak siap."

Rabiatul Adawiyah memandang wajah Karmah yang mula rasa panik. Memang patut pun rakannya itu jadi begitu, sudah beberapa kali mencuba asyik gagal saja. Apa tak paniknya?

"Kar... Buat macam ni cantik juga." Rabiatul Adawiyah menyakat rakannya itu. Gambar yang ditunjukkan adalah gambar selipar jepun yang dijadikan hantaran dan juga petai yang menghiasi bakul hantaran.

Karmah ketawa apabila melihat gambar-gambar itu.

"Gilalah kalau dapat hantaran macam ni. Kau bayangkan satu kampung gelak nanti. Adoi," kata Karmah.

"Okey, aku dah jumpa. Kau buat macam ni. Nampak simple dan menarik. Letak bunga sedikit aja. Biar buat simple tapi nampak kemas."

Setelah mencari barulah dia dapat Blog yang mempamerkan hantaran yang cukup ringkas tapi cantik. Buatnya pun mudah. Telekung berbentuk ombak kemudian digubah bahagian sulamnya bentuk bunga.

"Okey, cantik! Kau tolong buat gubahan coklat tu, ya. Jangan nak mengelat."

"Baru aku nak mengelat, kau dah perasan. Yalah, aku buatlah ni..."

"Awi, agaknya cantik perempuan yang jadi pilihan Syakri tu, kan?" Tiba-tiba sahaja Karmah membayangkan wajah bakal isteri mamat kurang vitamin itu.

"Mungkin juga," jawab Rabiatul Adawiyah.

"Untung dia dapat bakal mentua pun baik hati. Agaknya kita ni..."

"Dahlah, Kar. Semuanya kerja Allah. Tak perlu kita masuk campur urusan Dia."

Karmah mengangguk. Dari riak wajah Rabiatul Adawiyah, nampak jelas kesedihan.

Ya Allah... Kasihanilah rakanku ini. Kau berikanlah dia kebahagiaan di dunia dan akhirat. Moga Kau pertemukan dia dengan lelaki yang baik-baik, doa Karmah dalam hati.

"Kar... Minggu depan aku ingat nak cari anak aku."

"Kau nak cari dekat mana? Kau dah dapat maklumat ke?"

Rabiatul Adawiyah menggeleng.

"Dah tu?"

"Aku pun tak tau."

"Kalau kau dah tak tau nak tuju ke mana, buat apa nak susah-susahkan diri. Lainlah kalau kau dah tau dekat mana dia berada," bantah Karmah.

Rabiatul Adawiyah tunduk, cuba mengawal perasaan. Namun air matanya tetap mengalir perlahan.

"Aku rindukan dia, Kar... Bertahun-tahun aku mencari, tapi tak jumpa juga."

"Aku faham, Awi. Bersabarlah, berdoa kepada Allah agar Dia tunjukkan jalan yang mudah," pujuk Karmah. Dia mendekati Rabiatul Adawiyah. Belakang sahabatnya itu digosok perlahan.

"Perasaan aku makin kuat apabila aku tengok wajah anak-anak murid kita. Aku sedih, Kar. Aku tak dapat tengok muka dia. Aku tak tau nama dia... Aku langsung tak dapat pegang dia."

Rabiatul Adawiyah menggigit bibirnya sehingga terasa kesakitannya. Air mata makin laju. Sungguh! Jiwanya mula tertekan kini.

"Ya Allah, Awi. Jangan macam ni..." Karmah memeluk erat tubuh Rabiatul Adawiyah.

"Aku nak sangat jumpa nenek aku. Aku rindu sangat. Aku juga nak minta ampun dekat emak, abah dan semua yang menanggung malu sebab perbuatan aku. Aku tak tau macam mana, Kar. Aku..." rintihnya sedih.

"Allahuakbar... Syyy... Sabarlah, Awi. Mengucap..." pujuk Karmah. Dia juga tak tertahan air mata. Dia juga tersendu-sendu menahan hiba.

"Mungkin aku tak cukup buat baik lagi, Kar. Sebab tu Allah masih duga perasaan aku. Kadang-kadang aku rasa tak tahan dengan semua ni. Aku juga manusia biasa."

"Jangan bersangka buruk dengan Allah..."

Rabiatul Adawiyah menggeleng. Dia mengesat air hidung yang kian laju lelehannya.

MALAM yang kian kelam. Rabiatul Adawiyah tidak mampu melelapkan matanya. Tubuhnya dikalih ke kiri dan kanan, namun masih juga enggan lena.

Dia bingkas lalu duduk di birai katil. Entah mengapa, tiba-tiba dia terkenangkan Darwish. Lelaki yang pernah mengecewakannya. Mengapa tiba-tiba lelaki itu yang dia ingat sedangkan sudah lima tahun dia tidak pernah bertemu? Dan tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk memikirkan lelaki itu.

"Wahai Allah... Mengapa dia yang Kau gambarkan dalam ingatanku?" soalnya perlahan.

Apabila terkenangkan Darwish, pasti ingatannya juga menerjah detik pertemuan perkenalan mereka. Ia berlaku secara tidak sengaja. Bermula dengan dia menerima lelaki itu sebagai rakan Facebook. Pada awalnya sekadar bertanya khabar, tetapi lama-kelamaan dia suka pula berbual-bual dengan lelaki itu di alam maya.

Darwish, lelaki yang pandai bermain kata-kata. Kebetulan pula, dia bakal menduduki peperiksaan STPM. Darwishlah antara rakan yang sering memberi kata-kata perangsang. Kala itu, dia rasakan dirinya sangat bertuah kerana ada seseorang yang mengambil berat tentang pelajarannya selain daripada dorongan ibu bapanya sendiri.

Perasaan suka dan sayang tidak dapat dielakkan. Dia telah jatuh cinta. Darwish bagaikan tahu isi hatinya. Lelaki itu mula meluahkan rasa cintanya dan salam sayang lelaki itu bersambut. Dia tidak bertepuk sebelah tangan. Kasihnya kepada Darwish tidak dapat dinafikan lagi. Saban hari dia akan menghabiskan masanya di hadapan komputer semata-mata hendak berbual-bual dengan lelaki itu.

Sehabis sahaja STPM, Darwish mula hendak bertemu. Biarpun mahu mengelak, namun atas desakan rasa cinta, dia akhirnya mengatur pertemuan dengan lelaki itu. Kebetulan pula lelaki itu hendak bercuti di Johor. Ketika itu tanpa berfikir panjang, dia bersetuju hendak bertemu di kawasan rekreaksi berhampiran dengan air terjun. Darwish dan teman-temannya yang lain hendak berkhemah di situ.

Dia telah membohongi kedua-dua ibu bapanya. Dia sanggup berbuat begitu semata-mata hendak bertemu dengan lelaki yang disayanginya. Biarpun usia perkenalan mereka terlalu singkat, dia tidak peduli.

"Dee tunggu Awiyah di bandar Kota Tinggi, ya?"

Rabiatul Adawiyah terasa sesak nafas. Dia memeluk erat lututnya. Andai masa boleh diputar kembali, pasti dia takkan mengkhianati dirinya sendiri. Kebodohannya membuatkan dirinya hancur begitu. Masa depannya kelam. Akhirnya dia terdampar kesepian.

"Dee... Tolong pergi dari hidup saya... Kenapa saya perlu ingatkan awak lagi?" rayu Rabiatul Adawiyah seolah-olah lelaki itu berada di hadapannya kala itu.

Dia terkenangkan pujuk rayu lelaki itu setelah peristiwa hitam itu berlaku. Sungguhlah dia bodoh saat itu.

"Allahuakbar! Kenapa mesti aku kenangkan lagi peristiwa itu?" Dia meraup wajahnya beberapa kali. Sejak akhir-akhir ini, makin kerap pula perkara itu menghuni di setiap genap fikirannya seolah-olah tiada ruang lagi untuk dia berfikir perkara lain.

Syakri... Nama lelaki itu pula terlintas dalam fikirannya.

Alamak! Apa masalahnya aku ni? Dah gila ke fikirkan bakal tunang orang lain? soal Rabiatul Adawiyah dalam hati.

Tapi perangai gila lelaki itu membuatkan dia tersenyum. Kerana mahu mendengar suaranya, Syakri sanggup tunaikan kata-katanya. Dia menulis tulisan khat di ruangan agama. Cantik! Dia tidak dapat menafikan tulisan khat lelaki itu memang mengagumkan. Setelah melihat tulisan cantik itu, dia hanya sekadar menulis ucapan terima kasih di atas sehelai kertas lalu diselitkan pada buku yang selalu dibawa oleh lelaki itu. Buku itu pula berada di kelasnya.

Syakri datang dengan alasan dia ingin mengambil buku yang tertinggal di situ padahal Rabiatul Adawiyah tahu itu semua alasan saja. Lelaki itu mahu berbual dengannya.

Syakri membuka kertas berwarna kuning yang terselit di bukunya. Bibirnya tersenyum. Rabiatul Adawiyah hanya melihat dari ekor matanya saja.

Terima kasih... Tulisan awak ternyata sangat cantik.

Syakri tersenyum. Rabiatul Adawiyah pula buat tidak sedar dengan kehadiran lelaki itu.

"Entah bilalah saya boleh dengar suara merdu awak tu?" sakatnya.

Rabiatul Adawiyah keraskan hati. Dia cukup berhati-hati agar niqabnya tidak terbuka apabila ditiup oleh angin kipas. Tangan kirinya sentiasa memegang kain niqabnya.

"Awak tahu... tulisan awak pun cantik. Saya simpan, ya. Sengaja nak buat kenang-kenangan. Boleh, kan?"

"Aki!" panggil Kak Sulwani.

Fuh! Ketika itu dia rasa sangat berterima kasih kepada Kak Sulwani kerana menyelamatkan dirinya daripada terus berbual dengan lelaki itu.

Dia rasa lega. Lelaki itu pun akan mengakhiri zaman bujangnya tidak lama lagi. Betullah kata Karmah, bakal isteri Syakri sangat beruntung kerana bakal mendapat keluarga yang baik-baik. Moga jodoh mereka berpanjangan.

Hesy... Kenapalah aku boleh fikir orang yang tiada kaitan dengan aku lagi? Lebih baik aku solat daripada terus digoda dalam dunia khayalan.

"ASSALAMUALAIKUM, mak!" Sayup-sayup terdengar suara orang memberi salam. Rabiatul Adawiyah memasang telinga.

"Mak! Ooo mak!" panggil suara itu lagi.

Senyap seketika.

Rabiatul Adawiyah rasa seram sejuk pula. Dipandang jam yang terletak di atas meja dapur. Biarpun kelam-kelam cahaya yang terpancar dari luar rumah, dia dapat lihat waktu itu jam sudah menunjukkan angka dua pagi.

"Hesy, nak call bateri pula dah kong. Mak, ooo mak oiii... Bangunlah..." bebel suara itu lagi.

Rabiatul Adawiyah serba salah. Hendak menolong, dia tidak tahu bagaimana. Tidak ditolong kasihan pula.

"Wahai bulan yang mengambang... Cantik juga kau ni, kan? Terpaksalah aku tidur bertemankan kau yang ayu jelita." Omelan lelaki itu mampu membuatkan bibir Rabiatul Adawiyah tersenyum. Sawan mamat ni...

Rabiatul Adawiyah berlalu ke bilik, mencari nombor telefon Mak Cik Soraya. Ternyata dia tidak menyimpannya. Kemudian dia mengambil pula telefon bimbit milik Karmah. Dia mencari nombor Mak Cik Soraya namun ternyata Karmah juga tidak menyimpan nombor telefon tersebut.

Takkan aku nak telefon Kak Sulwani pula? Apa pula yang dia cakap nanti? Oh tidak! Jangan malukan diri sendiri, Awiyah, bisik hatinya.

Akhirnya, Rabiatul Adawiyah terpaksa membiarkan saja lelaki itu di luar. Lagipun, Syakri kan lelaki. Takkan takut kut. Rabiatul Adawiyah tersenyum. Dia segera mengambil wuduk, mengerjakan solat sunat dan mengaji al-Quran.

Sementara itu, Syakri terperasankan sesuatu. Cahaya lampu suram rumah sewa di sebelah rumahnya itu telah terpasang. Entah apa yang menghasut kakinya, dia bangkit lalu melangkah perlahan-lahan. Lagaknya seperti pencuri. Dia memandang ke kiri dan ke kanan. Kalau kena tangkap, habislah dia. Malu besar, beb!

Setelah dia pastikan tiada manusia di situ, dia menuju ke arah bilik yang berlampu malap itu. Telinga ditekap perlahan ke dinding. Sayup-sayup kedengaran suara orang sedang mengaji. Amat perlahan, namun deria telinganya mampu menangkap dengan baik suara tersebut dalam suasana yang hening.

Sedapnya suara dia... Siapa yang mengaji ni? Yang pakai purdah atau yang lagi satu? soalnya dalam hati. Dia terpaku di situ sehinggalah bacaan itu ditamatkan. Dia masih lagi berdiri.

"Ya Allah... Kalau perempuan dalam rumah ni tau, jatuhlah saham aku." Segera Syakri meninggalkan tempat itu sebaik sahaja dia menyedari kesilapan diri.

Dalam tergesa-gesa itu, dia terlanggar pasu bunga ibunya.

"Aduh!" Syakri mengaduh kesakitan.

Rabiatul Adawiyah berdebar sebaik sahaja mendengar suara Syakri. Suara itu begitu hampir dengan biliknya.

"Mamat ni mengintai aku ke?" soal Rabiatul Adawiyah.

Dia jadi kecut perut. Pantas dia menutup lampu dan menutup mukanya dengan kain selimut. Ya Allah... lindungilah kami, ucapnya dalam hati.

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz