ZingTruyen.Xyz

PERGI

Bab 10

karyaseni2u

"KAR, kalau aku tak pergi boleh tak?" Rabiatul Adawiyah duduk di birai katil sambil melihat Karmah bersiap-siap.

Entah kenapa dia rasa berat hati hendak mengikut rombongan pertunangan itu. Hatinya tidak keruan. Tiba-tiba jadi gemuruh. Runsing pun ada juga.

"Kau biar betul, Awi? Nanti apa kata Mak Cik Soraya tu?" Karmah kurang senang.

"Alah, kau kan ada. Jadi, aku tak payah pergi pun tak apa, kan?" Tudung yang sudah digosok diletak di atas ribanya.

"Kalau kau tak pergi, aku pun tak nak pergilah. Malulah aku. Dahlah yang lain semua geng mak cik tu. Kalau ada pun Kak Su sorang aja."

Karmah mula rasa tawar hati hendak pergi walhal sejak tadi dia bersemangat hendak mengikut rombongan itu. Dia rindukan suasana itu. Sangat-sangat rindukan saat melihat orang bertukar-tukar hantaran dan sebagainya. Wajahnya agak muram.

"Janganlah macam tu. Apa kata kau pergi aja," pujuk Rabiatul Adawiyah. Karmah menggeleng.

"Kau ibarat sebelah tubuh aku. Kalau kau tak ada, aku akan rasa serba tak kena. Diri juga rasa tak sempurna.Tak mengapalah, kalau betul kau tak nak pergi, aku pun tak pergi sama," tutur Karmah perlahan.

Serba salah Rabiatul Adawiyah. Dia pandang wajah Karmah. Dia mengeluh.

"Okeylah... Aku pergi." Akhirnya Rabiatul Adawiyah terpaksa juga akur.

"Terima kasih, Awi." Karmah tersenyum lebar. Dipeluk tubuh sahabatnya itu.

"Sama-sama. Sukalah tu."

"Mestilah," jawab Karmah.

"Aku pakai tudung sekejap." Rabiatul Adawiyah bangkit lalu menghadap cermin kecil di dalam bilik mereka.

"Okey. Aku tunggu dekat luar, eh." Karmah meninggalkan Rabiatul Adawiyah seorang diri di dalam bilik itu.

Ketika Rabiatul Adawiyah menghadap cermin, dia memegang dadanya. Dia dapat rasakan degupan jantungnya tidak seperti selalu. Hatinya juga sungguh berat. Dia seakan-akan lelah kerana tanggungan perasaan yang dia sendiri tidak tahu puncanya.

"Ya Allah... Andai ada keburukan dalam perjalanan kami nanti, Kau permudahkanlah. Jauhi kami dari kesulitan," doanya.

Dia mengenakan niqab terlebih dahulu kemudian barulah dia mengenakan tudung labuhnya. Dia membelek wajahnya di cermin. Wajah yang sukar dilihat oleh orang lain. Dia memakai cermin mata yang cerminnya agak gelap sedikit. Maka terlindunglah matanya daripada dilihat terus oleh orang lain.

"Bismillahi tawakaltu Alallah... La haula walla quwata illa billah...." Sebelum pergi dia membaca ayat itu. Moga dirinya dilindungi oleh Allah.

"Jom Kar," ajak Rabiatul Adawiyah.

Karmah yang sedang menonton televisyen segera mematikan televisyen.

"Cantik kau hari ni," puji Karmah.

"Eh, kau ni biar betul? Bukan ke aku selalu pakai macam ni? Macam mana pula aku boleh jadi cantik pula hari ni?" Berkerut kening Rabiatul Adawiyah apabila mendengar pujian sahabatnya itu. Karmah tergelak.

"Hanya aku saja yang mampu nampak kau tu jelita ke tak."

"Yalah tu. Entah apa-apa aja. Dah, jom." Mereka melangkah keluar.

"SEMUA dah ada ni. Kita baca doa dulu sebelum bertolak. Moga-moga perjalanan kita dilindungi oleh Allah," kata Pak Cik Hashim.

Pak imam yang dipanggil untuk mengetuai rombongan itu membaca doa. Semua orang sudah bersedia sebaik sahaja doa dibaca.

Syakri yang tidak mengikut rombongan itu dengan perlahan mendekati Rabiatul Adawiyah tanpa disedari oleh gadis itu. Dia berlakon kononnya mahu melihat rombongan pergi.

"Jaga diri baik-baik," pesannya perlahan.

Rabiatul Adawiyah terkejut namun dia enggan memusingkan tubuhnya seolah-olah dia tidak mendengar teguran lelaki itu.

Ya Allah... Mamat ni biar betul? Dah nak bertunang pun mahu jual minyak. Ada kena siku aku ni karang, bisik hati Rabiatul Adawiyah. Dia benar-benar rasa tidak selesa.

"Rabitah bawa tepak sirih ni, ya?" pinta Mak Cik Soraya.

Rabiatul Adawiyah mahu menjawab, tapi dia baru teringat lelaki di belakangnya itu. Dia sekadar mengangguk bagi menjawab permintaan Mak Cik Soraya. Dia mengambil tepak sirih itu.

"Kamu berdua naik kereta Kak Su kamu tu. Selesa sikit," arah Mak Cik Soraya lagi. Mereka akur.

Syakri hanya mampu melihat. Dia tidak berjaya mendengar suara gadis berniqab itu. Mahal sangat. Dengar suara aja pun.

"Acik... Acik... Acik naik kereta kita eh?" soal Amsyar, anak Kak Sulwani.

Rabiatul Adawiyah tersenyum. Dia mengangguk. Biarpun senyumannya tidak dapat dilihat oleh Amsyar, tapi dia tahu Amsyar melihat dengan mata hatinya.

"Yeay! Amsyar ada kawan." Terlompat-lompat Amsyar.

"Ah, tak kira. Abi Aki pun nak ikut!" Syakri mendekati Amsyar.

"Tak boleh. Umi cakap Abi Aki tak boleh ikut," jawab Amsyar.

"Eh, kenapa pula Abi Aki tak boleh ikut?" usik Syakri.

"Tak boleh!" Amsyar kuatkan suaranya. Rabiatul Adawiyah tersenyum melihat keletah dua beranak itu.

"Boleh..."

"Tak bolehlah. Abi Aki ni tak dengar ke?!" marah Amsyar.

"Alah... Amsyar boleh pergi, kenapa Abi Aki tak boleh pergi?"

"Eee... Dia ni kalau tak usik Amsyar tu tak boleh ke?" Kak Sulwani datang sambil memiat telinga Syakri.

"Sakit, kak," rayu Syakri.

"Padan muka Abi Aki. Degil sangat. Nak masuk api neraka agaknya degil tak dengar kata orang," bebel Amsyar.

Tercetus juga gelak Rabiatul Adawiyah. Biarpun sedikit tapi bisa mengundang pandangan tajam dari Syakri. Menyedari mata galak Syakri itu, Rabiatul Adawiyah mengetap bibirnya.

"Amsyar masuk dulu," arah Kak Sulwani.

Amsyar akur. Dia menarik tangan Rabiatul Adawiyah diikuti oleh Karmah pula. Mereka meloloskan diri ke dalam kereta milik Kak Sulwani.

Rombongan itu meninggalkan pekarangan rumah besar itu dengan iringan doa daripada Syakri. Semoga perjalanan mereka selamat, ucapnya perlahan.

ROMBONGAN itu selamat sampai ke kampung Parit Baru. Alhamdulillah, perjalanan mereka sangat lancar dan tidak menghadapi sebarang masalah. Rabiatul Adawiyah memanjat kesyukuran.

Dari jauh sudah nampak beberapa buah kanopi terpasang di hadapan rumah batu setingkat itu. Sekelompok manusia menanti rombongan peminangan daripada pihak lelaki.

Rindu! Itulah yang Rabiatul Adawiyah rasa sekarang ini setelah sekian lama menjadi anak terbuang. Biarpun bukan daripada golongan kaum kerabatnya, tapi dia dapat rasakan kemeriahan majlis itu.

Namun ada sesuatu yang buat dia rasa berat hati sehingga membuatkan kakinya menggigil. Dia mengurut dadanya agar debaran itu reda.

"Tepak sirih jalan dulu, lepas tu sirih junjung, ya." Kak Sulwani memberi arahan.

"Kak... Bagi orang lain yang bawa," bisik Rabiatul Adawiyah ke telinga Kak Sulwani. Wanita itu hanya tersenyum.

"Biarlah anak dara yang bawa. Kata orang-orang tua sebagai penyeri rombongan kami," kata Kak Sulwani. Rabiatul Adawiyah tidak mampu berbuat apa-apa.

"Kar, aku rasa tak sedap hatilah. Dari tadi tau. Aku tak tau kenapa." Akhirnya dia luahkan juga apa yang dia rasa ke telinga Karmah. Karmah memandang wajah Rabiatul Adawiyah.

"Kenapa pula, ya?"

"Aku tak tau. Sebab tu tadi aku tak nak ikut."

"Tak apalah. Kau baca aja selawat banyak-banyak, moga tak ada apa-apa yang tak baik berlaku," nasihat Karmah.

Ya. Sejak tadi dia tidak putus-putus berdoa dan berzikir. Dia betul-betul risau!

"Dah siap sedia semua?" soal pak imam.

"Alhamdulillah," jawab Kak Sulwani.

"Bismillahirahmanirahim..." Pak imam memulakan langkah. Wakil pihak tuan rumah pula sudah datang menyambut kedatangan mereka.

"Assalamualaikum!" Pak imam memberi salam kepada wakil itu.

"Waalaikumussalam... Jemput masuk. Alhamdulillah. Selamat sampai semuanya. Silalah," pelawa wakil itu.

"Terima kasih. Alhamdulillah, bawa hajat yang baik insya-Allah diberkati oleh Allah." Mereka bertepuk-tepuk bahu.

Semakin hampir ke rumah batu itu, semakin kencang pula degupan jantung Rabiatul Adawiyah. Dia seakan-akan mahu rebah di situ.

"Kau okey tak?" soal Karmah. Dia turut berasa risau melihat kegelisahan sahabatnya itu.

Rabiatul Adawiyah mengangguk.

"Insya-Allah... Moga Allah kuatkan hati aku ni," jawab Rabiatul Adawiyah.

Kemudian mereka melangkah masuk ke rumah pihak perempuan. Masing-masing mencari tempat duduk setelah menyusun barang hantaran di tempat yang dikhaskan.

Rabiatul Adawiyah duduk berhampiran dengan pintu. Di sebelahnya Kak Sulwani dan Karmah. Majlis dimulakan dengan pantun. Wakil pihak perempuan memulakan dahulu.

"Hati-hati membawa guni,

Guni penuh dengan jerami.

Apa hajat datang ke sini?

Silalah khabarkan kepada kami."

"Ewah! Sila jawab pihak lelaki..." ucap satu suara.

Rabiatul Adawiyah tersenyum, ada tukang karut juga rupa-rupanya.

"Aduh, berpantun pula. Saya ni bukannya mahir.Tapi tak mengapa, orang menjual kita perlulah memberi, ya tak?" kata pak imam.

"Sila dengar jawapan saya, ya?

Petang-petang membaca surat,

Diiringi dengan sebuah senyuman.

Kami datang membawa hajat,

Ingin menyunting bunga di taman."

Semua bersorak apabila pak imam membalas pantun. Pak imam pula ketawa.

"Belah kelapa menggunakan tangan,

Tadah airnya menggunakan cawan.

Adat Melayu dilupa jangan,

Kerana indah lagi menawan.

Puteri kayangan mengurai rambut,

Rambut membenang mengilau murni.

Rombongan tuan kami sambut,

Semoga senang berada di sini."

Makin rancak pula mereka berpantun. Tersenyum-senyum wakil daripada pihak lelaki. Bersorak pula wakil daripada pihak perempuan.

"Ke Teluk Penyengat berperahu laju,

Sarat muatan si buah berangan.

Telah disepakat sudah disetuju,

Hajat kami merasmikan pertunangan."

Pak imam masih berbalas pantun lalu dijawab pula oleh pihak perempuan.

"Ke Teluk Penyengat berperahu laju,

Ikat muatan ketat-ketat,

Pihak kami telah bersetuju,

Rasmilah sibunga mengikut adat."

Pak imam menyerahkan sebentuk cincin kepada wakil pihak perempuan. Tinggal wakil pihak lelaki sahaja yang akan menyarung cincin itu ke jari manis si bakal pengantin perempuan.

Kak Sulwani bangkit. Dia mencuit lengan Rabiatul Adawiyah, mahu mereka mengikutnya ke bilik. Rabiatul Adawiyah enggan, namun terpaksa juga sebaik sahaja Kak Sulwani terus mendesak. Turut menyertainya ialah Karmah dan seorang rakan Mak Cik Soraya.

Kak Sulwani memberi salam. Disambut oleh beberapa orang gadis di situ. Tatkala mata Rabiatul Adawiyah menjamah wajah gadis yang bertudung hijau pucuk pisang serta memakai baju bersulam yang sedang menanti jari disarung cincin, dia seakan-akan mahu rebah. Matanya tidak berkelip. Mujurlah cermin matanya berwarna gelap sedikit. Jadi memang orang tidak perasan keadaan matanya yang seakan-akan mahu terjojol keluar. Spontan itu juga dia menggenggam erat tangan Karmah seolah-olah mahu kekuatan daripada sahabatnya itu. Dia sedaya upaya mahu bersahaja walaupun hati hanya Allah sahaja yang tahu keadaannya.

"Kenapa?" soal Karmah. Pantas Rabiatul Adawiyah menggeleng.

Setelah selesai cincin disarung, tibalah giliran Rabiatul Adawiyah bersalaman dengan bakal isteri Syakri itu. Dia tunduk perlahan. Wajah di hadapannya dikerling sedikit. Gadis itu tersenyum lebar ke arahnya.

"Terima kasih, kak," kata gadis itu.

Rabiatul Adawiyah hanya mampu mengangguk. Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah... Dia cuba kuatkan semangat. Mampukah dia berada lebih lama di situ?

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz