Bab 7
SETELAH bertungkus lumus menyiapkan segala kelengkapan, akhirnya tadika Minda Irfan dibuka secara rasminya. Sambutan luar biasa daripada penduduk membuatkan Kak Sulwani berasa lega. Dia tersenyum lebar. Sungguh! Dia tidak menjangka akan mendapat sambutan sebegitu sekali. Dia amat berterima kasih kepada Karmah dan Rabiatul Adawiyah kerana kesungguhan mereka berdua. Dia juga sudah berjaya mendapatkan dua orang lagi guru bagi sesi pembelajaran untuk murid-murid berusia lima tahun.
"Alhamdulillah... Akak tak sangka macam ni sambutannya. Terima kasih, Rabitah... Karmah..." ucap Kak Sulwani. Perasaannya kini bercampur baur. Rasa sedih dalam gembira.
"Sama-sama, Kak Su. Kami tolong apa yang patut aja. Insya-Allah, kami akan merealisasikan impian Kak Su agar menjadi kenyataan," balas Karmah.
"Terima kasih sekali lagi." Tidak putus-putus bibir Sulwani mengucap kesyukuran.
Rabiatul Adawiyah dan juga Karmah mengajar murid berumur enam tahun. Biarpun mereka masih tidak punya pengalaman, namun mereka akan berusaha untuk menjadikan anak-anak murid mereka pandai membaca dan juga pandai mengira setelah keluar dari tadika itu.
Apatah lagi mereka telah mendapat tunjuk ajar daripada seorang guru yang berpengalaman luas. Kak Sulwani tidak pernah lokek ilmu. Dia sentiasa bersedia mencurahkan pengalamannya.
RABIATUL Adawiyah berasa lega apabila Syakri tiada di rumah besar itu. Dia juga tidak tahu berapa lama lelaki itu pergi. Dengar khabarnya, lelaki itu pergi ke Sabah. Kerja offshore. Dia tidak kesah apa pekerjaan lelaki itu. Apa yang penting lelaki itu tiada di situ.
Setakat ini, dia masih mampu lagi tidak bersuara di hadapan lelaki yang pada fikirannya hanya suka menyakat sahaja. Lebih baik dia belajar menjadi bisu buat sementara waktu tatkala berada di hadapan lelaki itu.
"Macam mana pengalaman untuk hari pertama di tadika hari ini? Seronok? Ataupun sakit kepala dengan kerenah budak-budak?" soal Kak Sulwani serta-merta mengejutkan Rabiatul Adawiyah yang secara tiba-tiba memikirkan lelaki yang bernama Syakri itu.
Astaghfirullahalazim... Kenapalah tiba-tiba teringatkan lelaki itu?
"Rabitah..." Kak Sulwani menyentuh bahu Rabiatul Adawiyah.
Gadis itu memandang wajah Kak Sulwani sambil tersenyum. Niqab yang dipakainya dibuka. Dia tidak memakai niqab ketika mengajar. Khuatir anak-anak muridnya akan takut pula. Habis sahaja kelas, dia akan memakai kembali. Sewaktu pembelajaran sedang dijalankan, pintu pagar hadapan akan sentiasa dikunci bagi keselamatan anak murid dan juga keselamatan harta benda. Jadi, dia tidaklah risau kehadiran tetamu yang tidak dikenali berkunjung secara mengejut di tadika mereka.
"Seronok rasanya bila dapat ajar budak-budak ni. Tak rasa terbeban pun dengan macam-macam ragam perangai mereka. Ada yang menangis... Ada yang manja... Ada yang kuat mengusik..." Rabiatul Adawiyah tertawa kecil apabila teringatkan keletah anak-anak muridnya tadi.
"Sebab tu akak tak salah pilih Rabitah. Akak yakin, Rabitah boleh mengajar dengan baik. Akak rasa senang hati nak tinggalkan tadika ni kepada Rabitah dan Karmah. Biarpun baru hari pertama, akak boleh nampak masa depan tadika ni. Akak berharap sangat kepada Rabitah dan Karmah," luah Kak Sulwani. Tangan Rabiatul Adawiyah dicapainya.
"Insya-Allah, Kak Su. Kami akan cuba sedaya upaya kami. Kalau Kak Su percaya kepada kami, kami berbesar hati sangat," ulas Rabiatul Adawiyah.
"Alhamdulillah... Senang hati akak."
"Kak Su jangan risau, ya?"
"Kak Su bukan apa, Kak Su dah rindu sangat dekat anak Kak Su. Kesian dia kena tinggal lama dekat sana. Kalau boleh hari ni juga Kak Su nak balik."
Wajah Kak Sulwani ditatapnya lama. Dia sedikit tersentuh dengan kata-kata itu. Ya! Ibu mana tak rindukan anaknya? Sangat beruntunglah anak yang dirindu boleh didakap dan diungkap kata-kata rindu di telinga. Tapi dirinya pula? Entah di manalah anaknya berada kini?
"Kalau Kak Su nak balik, Kak Su baliklah. Nanti kalau ada masalah, saya telefon Kak Su. Kak Su jangan bimbang sangat, ya?" Rabiatul Adawiyah memberi semangat kepada Kak Sulwani.
"Tak adillah pula akak rasa. Baru sehari tadika ni beroperasi, akak dah tinggalkan macam tu aja. Rasa macam tak bertanggungjawab pula," balas Kak Sulwani.
Rabiatul Adawiyah menggeleng.
"Kak Su... percayalah. Kami juga seperti Kak Su ketika membuka tadika di sana. Kak Su langsung tak ada pengalaman. Saya masih ingat cerita Kak Su lagi. Insya-Allah, saya yakin boleh hadapinya," pujuk Rabiatul Adawiyah.
Lama Kak Sulwani berfikir kemudian dia mengukir senyuman.
"Baiklah. Kalau macam tu kata Rabitah, rasa lega hati akak ni. Esok lusa, bolehlah akak balik sana," ujarnya perlahan. Rabiatul Adawiyah angguk laju.
PULANG dari tadika, Rabiatul Adawiyah agak terkejut apabila melihat rumah itu telah dilengkapi televisyen dan peralatan elektrik yang lain. Karmah yang berada di belakangnya, menolak tubuh sahabatnya itu.
"Yang kau berdiri dekat sini buat apa? Nanti tak jadi orang nak masuk meminang," ujar Karmah.
"Hesy... Bidaah betul," tegur Rabiatul Adawiyah.
Karmah melangkah masuk dengan perasaan yang sama seperti Rabiatul Adawiyah. Dia memusingkan kepalanya lalu kening diangkat.
"Siapa punya ni?" soal Karmah.
"Tau tak apa. Aku baru nak tanya kau."
Rabiatul Adawiyah melangkah masuk kemudian terus menutup pintu.
"Mak cik Soraya bagi kut?" tebak Karmah.
"Entahlah. Takkanlah dia nak bagi dekat kita? Dahlah kita bayar sewa murah, ni nak bagi percuma pula."
"Eh, manalah tau... Kita tanya dia dulu."
Rabiatul Adawiyah berat hati hendak ke rumah besar itu. Takut kalau-kalau ada mamat kurang vitamin itu di situ.
"Tak payahlah... Esok-esok kalau kita terserempak, kita tanyalah," dalihnya.
"Hmmm... Okeylah. Habis, TV ni boleh buka ke tak?" Karmah jadi ragu-ragu.
"Awi... penghuni baru punya ke? Takkan Mak Cik Soraya tak bagi notis dekat kita?"
Mereka masih berteka-teki lagi. Jantung Rabiatul Adawiyah berdebar. Kalau betul, apa salah mereka sampaikan mereka tidak dibenarkan duduk di situ? Kedua-duanya berpandangan.
Sedang perasaan mereka berkecamuk, terdengar orang memberi salam.
"Assalamualaikum..."
Karmah bingkas sambil menyambut salam orang di luar. Wajah Kak Sulwani yang dilihat sebaik sahaja pintu dibuka.
"Masuklah, kak," pelawa Karmah.
"Terima kasih." Kak Sulwani melangkah masuk.
Rabiatul Adawiyah menyambut kedatangan Kak Sulwani. Mereka bersalaman.
"Duduklah, kak."
"Nah, ni untuk kau orang berdua." Kak Sulwani menghulur satu bungkusan besar kepada Rabiatul Adawiyah. Mereka berdua berpandangan.
"Komputer? Nak buat apa, kak?" soal Karmah.
Kak Sulwani ketawa.
"Nak buat apa? Habis, macam mana akak nak bagi jadual dan segala kertas kerja tadika tu? Kena juga guna e-mel," jawab Kak Sulwani. Dia faham pasti mereka serba salah.
"Lagi satu, TV ni semua siapa punya, kak?" Karmah tidak tunggu lama. Dia perlu mencari jawapan.
"Akak belikan untuk kau orang berdua. Tak apa, kan? Boleh juga tengok berita terkini," akui Kak Sulwani.
Mereka berdua rasa lega. Bermakna, mereka tidak perlu mencari rumah sewa yang lain.
"Buat susah-susah aje akak ni. Lagipun kami dah biasa tak tengok TV. Tapi kalau dah ada, bolehlah kami tahu hal di Malaysia ni," ujar Rabiatul Adawiyah sambil tersipu malu.
"Tak susah mana. Akak bergantung harap dengan kau orang berdua. Yalah, akak jauh di pantai timur sana. Adik-adik akak pula tak ada di sini. Kalau ada apa-apa hal yang berlaku dekat kedua-dua ibu bapa kami, kau orang berdualah yang paling hampir. Sekurang-kurangnya akak boleh rasa lega sebab akak tahu ada orang yang boleh akak harapkan," kata Kak Sulwani. Sebagai anak sulung, dia wajar susah hati kerana meninggalkan orang tuanya. Adik-adiknya pula, Sarnia di Sarawak, Syakri di Sabah.
Rabiatul Adawiyah dan Karmah tidak terkata apa. Masing-masing agak terkejut dan terharu atas harapan itu. Tidak sangka Kak Sulwani sangat mempercayai mereka walaupun baru sahaja mengenali mereka berdua.
"Terima kasih atas kepercayaan yang akak berikan kepada kami. Tak tau macam mana nak balas jasa baik akak. Akak dah bagi kami kerja, barang-barang rumah, komputer lagi. Banyak sangat rasanya," kata Karmah sambil memegang tangan Kak Sulwani.
"Komputer tu akak dah install semuanya. Nak guna Internet, dalam tu ada. Akak akan salurkan maklumat terus guna e-mel dan laman sesawang tadika kita. Kalau ada apa-apa hal, kau orang boleh e-mel dan kemas kini laporan yang akak nak setiap bulan dalam sesawang tu. Nanti akak bagi kata laluannya."
Mereka berdua mengangguk. Dalam hal ini, Rabiatul Adawiyah yang pakar komputer. Ketika di pusat perlindungan dahulu, dia lebih banyak menolong kerja-kerja pejabat. Dia menaip memo dan mencari kata-kata hikmah untuk dijadikan poster sebagai perangsang kepada sahabat yang lain.
"Insya-Allah, kak. Kami akan cuba belajar mana yang termampu oleh kami."
Kak Sulwani menghidupkan komputer riba itu. Dia menunjukkan sesawang tadikanya yang baru sahaja dikemas kini. Komputer riba itu juga mengandungi fail-fail yang perlu dihantar setiap bulan kepadanya. Rabiatul Adawiyah mendengar dengan tekun.
"Lagi satu, akak nak minta tolong ni dengan kau orang berdua, boleh?"
"Tolong apa, kak?" soal Karmah.
"Akak nak minta tolong kau orang buatkan gubahan untuk hantaran."
"Hantaran?" soal Karmah.
Kak Sulwani mengangguk.
"Boleh saya tahu untuk siapa, kak?" soal Rabiatul Adawiyah pula.
"Untuk siapa lagi kalau bukan bujang teruna kami dekat rumah tu. Untuk adik akaklah, Syakri. Dalam masa dua minggu lagi, kami nak hantar rombongan meminang. Akak tak sempat nak buat. Sibuk uruskan tadika sampai urusan adik akak boleh lupa nak siapkan. Nanti sebelum balik, akak serahkan barang-barang dekat kau orang. Tak kesahlah. Buat simple-simple pun tak apa. Janji ada," pinta Kak Sulwani.
Mereka berdua serba salah. Mereka bukan mahir dalam bab gubahan. Takut nanti lain pula jadinya.
"Kami tak pandai, kak," jelas Karmah. Rabiatul Adawiyah mengangguk setuju.
"Apa lagi, carilah dalam Internet. Belasah ajelah.Asalkan jadi!" jawab Kak Sulwani.
"Yalah. Nanti kami cuba, ya kak. Harap-harap menjadi." Janji Rabiatul Adawiyah sambil tertawa kecil. Kelakar pun ada juga. Bayangkan mereka tidak pernah sekalipun menggunakan kedua-dua belah tangan mereka untuk membuat gubahan. Hesy, apa jadi nanti? soalnya dalam hati.
"Banyak ke barang hantarannya, kak?" tanya Karmah.
"Pihak kami dalam tujuh dulang. Kami bagi telekung, senaskhah al-Quran, baju dengan tudung, buah, makanan dan lagi satu telefon bimbit. Itu aje. Mudah sajakan nak digubah?"
"Hmmm... Boleh tahanlah. Mudah-mudah pun kalau orang tak pandai macam kami ni, kayu juga, kak," seloroh Karmah. Disokong oleh sahabatnya itu.
Kak Sulwani ketawa.
"Tak ada yang mustahil, adik-adik oi. Kena berusaha juga. Manalah tahu memang ada bakat dalam bidang tu. Boleh juga ambil tempahan."
Kata-kata Kak Sulwani itu disambut dengan tawa oleh mereka berdua.
"Pandailah akak. Tak apalah... Nanti takut orang yang jadi perunding perkahwinan tutup kedai pula," celah Rabiatul Adawiyah.
"Okeylah. Akak balik dulu, nak kemas-kemas. Esok dah nak balik. Kita jumpa dua minggu lagi. Insya-Allah."
Kak Sulwani bangkit. Diikuti oleh Rabiatul Adawiyah dan Karmah. Mereka bersalaman. Kak Sulwani pula mendakap mereka erat seolah-olah menukar tanggungjawabnya ke bahu mereka berdua.
"Terima kasih untuk semuanya, kak," ucap Rabiatul Adawiyah sebaik sahaja dakapan mereka terlerai.
"Sama-sama. Kalau dah siap hantaran ni, bagi dekat mak akak. Terima kasih untuk bantuan kau orang berdua. Moga Allah saja membalas jasa baik kau orang." Sempat lagi Kak Sulwani titipkan pesanan.
"Insya-Allah... Kami akan cuba sebaik mungkin."
Mereka menutup pintu sebaik sahaja kelibat Kak Sulwani hilang dari pandangan mata mereka.
"TAK sangka dia dah nak kahwin, kan?" ujar Karmah. Ketika itu mereka sedang menonton berita jam lapan.
Rabiatul Adawiyah mengerutkan keningnya. Dia memandang wajah Karmah dengan perasaan pelik.
"Biarlah dia nak kahwin. Bukan salah pun."
"Memang tak salah, tapi rasa tak sangka aja."
"Kenapa kau tak sangka pula? Dah jodoh dia sampai, siapa kita nak sangka-sangka jodoh orang?"
"Bukan itu maksud aku. Yalah... Nampak macam dia tengah cari pasangan aja."
"Kau dah kenapa? Kau kecewa ke?" soal Rabiatul Adawiyah. Hilang tumpuannya pada kaca televisyen.
"Apa pula aku yang kecewa? Bukan kau ke yang kecewa?"
"Kau ni kenapa? Tak pasal-pasal libatkan aku pula. Buat apa aku nak kecewa? Tak ada maknanya." Rabiatul Adawiyah bengang apabila dirinya dikaitkan dengan mamat itu.
"Taklah... Aku tengok dia macam suka dekat kau. Macam nak tarik perhatian kau. Kau aja yang buat tak tau," ujar Karmah pula.
"Tu dia saja nak menyakatlah... Tak ada makna dia nak kat aku."
"Ya ke? Eleh, Takkan kau tak ada rasa suka dekat dia? Dia okey apa?" sakat Karmah.
"Kau janganlah... Nanti Mak Cik Soraya dengar dikatanya aku gatal pula. Demi Allah, tak ada secebis perasaan aku dekat dia. Lagipun aku baru kenal. Tak kuasalah aku nak fikirkan benda-benda ni."
"Eceh... Tengok muka dah merah tu."
"Kau ni, kan..." Rabiatul Adawiyah menampar perlahan bahu sahabatnya itu.
Karmah ketawa.
"Aku sakat kau ajalah. Aku tau..."
"Kita kena sedar diri, Kar... Bukan mudah orang nak terima kita. Sejahat-jahat lelaki, dia nak isterinya orang baik-baik juga. Orang yang tak pernah melakukan perbuatan keji macam aku ni. Orang yang suci. Sebab itulah aku tak mahu ada apa-apa hubungan dengan mana-mana lelaki. Biarlah... Biar aku habiskan sisa-sisa hidup aku dengan mencari anak aku."
Hiba rasa hati apabila mengingati apa yang pernah terjadi dalam hidupnya. Sungguh! Andai dapat diputarkan masa, pasti dia akan menjadi anak yang solehah.
"Maafkan aku, Awi. Aku tak bermaksud nak sakitkan hati kau atau nak buat kau sedih." Bahu Rabiatul Adawiyah didakapnya.
Bergenang juga mata Rabiatul Adawiyah. Mahu lari dari semua itu, dia tak mampu.
"Tapi sebagai manusia biasa, kita tak boleh lari daripada diuji. Diuji perasaan sayang kepada sesama manusia, Awi. Kala itu, kita tak mampu nak menolak kerana perasaan itu bukan dipaksa-paksa. Semuanya akan lahir secara semula jadi," kata Karmah.
Rabiatul Adawiyah mengeluh. Sukar untuk dikatakan kerana dia belum menempuhnya lagi. Apa yang dia mampu lakukan buat masa ini, dia tutup pintu hatinya untuk mana-mana lelaki. Biarpun dia akui kebenaran kata-kata Karmah itu.
"Aku cuma nak lihat kau bahagia, Awi... Kebahagiaan kau, kebahagiaan aku juga. Cukup-cukuplah kau menderita selama ini."
"Terima kasih, Kar. Aku tahu kau nak aku bahagia.Aku pun macam tu juga. Aku nak lihat kau pun bahagia sama. Biarlah bahagia kita diredai oleh Allah. Aku pun doakan untuk kau juga. Moga kau dipertemukan jodoh yang mampu beriringan sehingga ke jannah," ujar Rabiatul Adawiyah dengan sebak. Mereka berpelukan sambil melayan emosi yang kian tercarik.
Ya Allah... dengarlah isi hati kami ini... Kami mahu bahagia sehingga ke jannah-Mu...
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz