Bab 6
HARI itu mereka sibuk menyusun atur meja dan segala perabot yang baru sahaja sampai.
"Kak Su nak tempatkan berapa orang murid dalam satu kelas?" soal Rabiatul Adawiyah. Apabila tahu jumlah murid, mudahlah mereka membahagi-bahagikan kerusi dan meja yang baru sampai itu.
"Dalam lapan belas atau dua puluh orang. Buat masa sekarang, kita buka empat kelas. Dua kelas untuk budak enam tahun, dua kelas lagi untuk lima tahun. Kita tengoklah dulu sambutan daripada ibu bapa," terang Kak Sulwani.
Karmah dan Rabiatul Adawiyah sudah faham. Mudahlah mereka hendak susun atur meja dan kerusi tersebut.
Ketika mereka sedang sibuk dengan kerja masing-masing, muncul Syakri membawa makanan untuk mereka. Rabiatul Adawiyah tidak peduli sangat kehadiran Syakri. Dia asyik dengan kerjanya.
"Kak Su, makan dulu," tegur Syakri. Kak Sulwani berhenti, dia mendapatkan adiknya.
"Baru nak datang ke? Dari tadi entah mana hilangkan diri. Nak minta tolong pun susah," bebel Kak Sulwani.
"Sorrylah, kak. Tadi Aki ada hal," pujuk Syakri. Dia memeluk bahu kakaknya itu.
"Sorry, morry... Makanan ni Aki belanja, kan?"
Syakri mengangguk.
"Fuh! Selamat duit akak," ucap Kak Salwani.
Syakri ketawa. Kak Sulwani membuat aksi urut dada tanda lega.
"Rabitah... Karmah, mari makan dulu," panggil Kak Sulwani.
Rabiatul Adawiyah serba salah. Dia agak kurang senang apabila ada lelaki asing di sisi Kak Sulwani. Dia cuma mengangguk.
Karmah mendekati Kak Sulwani. Kebetulan pula, perutnya sudah kelaparan.
"Bawa sekali untuk Rabitah. Bukan akak tak tau, selagi ada 'spesies' lain dekat sini, mana dia nak datang," arah Kak Sulwani. Karmah tersenyum. Dia angguk tanda setuju.
Syakri pula tersentak. Dia memandang wajah kakaknya. Mukanya masam.
"Alah... Spesies yang ini budak baik," pujuk Kak Sulwani. Tidak sedikitpun mencuit perasaan Syakri. Dia diam sahaja.
"Merajuk ke? Meh akak suapkan, nak?"
Cepat sahaja Syakri tersengih lalu mengangguk. Suka hati bukan kepalang apabila dapat makan bersuap dengan kakak kesayangannya itu. Agak lama juga mereka berpisah dek hambatan kerja. Apatah lagi Syakri berada di Timur Tengah.
Syakri mula mengangakan mulut. Sesekali hendak bermanja dengan kakak sendiri. Dia tidak pernah rasa malu apabila hendak bermanja dengan kaum keluarga sendiri.
"Mak ai... Dah tua bangka pun makan bersuap lagi?"
Baru sahaja Karmah ingin menyuap nasi ke mulut, tidak jadi pula tatkala melihat drama sebabak itu. Rabiatul Adawiyah mengangkat muka. Kemudian dia menaikkan keningnya. Karmah hanya menuding ke arah Kak Sulwani dan Syakri dengan menggunakan muncungnya.
Perlahan kepala Rabiatul Adawiyah menoleh, namun hanya memandang sepintas lalu sahaja. Ketika itu juga, mata Syakri memandang ke arahnya. Fuh! Mujurlah pandangan mata mereka tidak bersatu. Kalau tidak, nasi yang mahu disuap ke mulut, terus ke telinga jawabnya.
Rabiatul Adawiyah terus menunduk kemudian laju sahaja nasi disuap ke mulut yang diselindung di sebalik niqab. Gabra punya pasal.
"Yang kau laju sangat menyuap tu kenapa? Tak pasal-pasal tersedak pula nanti. Relakslah. Cepat sangat gabra," tegur Karmah.
Rabiatul Adawiyah hanya menjegilkan matanya saja.
"Psst... Boleh tahan juga muka adik Kak Su tu, kan?" Karmah sengaja mahu mengusik sahabatnya itu. Tahu benar reaksi Rabiatul Adawiyah nanti.
"Ingat, Kar. Kita terhumban ke sini kerana lelaki. Jaga mata dan jagalah hati agar tak terjerumus lagi ke lembah yang hina..."
Karmah tertawa kecil. Kata orang, pengalaman pahit itu akan lebih dikenang sampai bila-bila. Itulah yang mereka rasa waktu itu. Seboleh mungkin mereka ingin menghabiskan masa mereka dengan lebih berkualiti.
"KAK... Yang pakai macam ninja tu memang tak peramah ke orangnya?" Syakri menyoal Kak Sulwani.
Kak Sulwani menjegilkan matanya. Sajalah tu nak menyakat.
"Macamlah tak pernah nampak orang pakai macam tu. Bukan ke kat sana ramai yang pakai gitu?" tegur Kak Sulwani. Dia agak kurang senang apabila adiknya bergurau begitu sekali.
Syakri tersengih.
"Alah... Sensitifnya dia. Sejak bila jadi sensitif ni?" Syakri menongkat dagu di hadapan Kak Sulwani. Matanya dikebil-kebilkan.
"Sudahlah... Poyo betul mamat ni. Tolong akak lagi baiklah. Cepat siapnya." Kak Sulwani menolak wajah Syakri.
Syakri ketawa kuat.
"Kan semalam Aki dah tolong? Hari ni biarlah Aki jadi mandur pula. Sesekali takkan tak boleh?" Syakri memang suka menyakat kakaknya itu.
"Boleh tu memang boleh. Boleh blah!"
Kak Sulwani meninggalkan Syakri yang masih lagi ketawa. Lebih baik selesaikan kerja-kerja yang belum lagi selesai daripada melayan adiknya.
Syakri bingkas, dia melihat Rabiatul Adawiyah tekun menampal gambar-gambar di dinding. Sesekali gambar itu tertanggal. Dengan sabarnya gadis itu melakukan lagi kerja tampalannya. Syakri tersenyum. Terhibur apabila melihat gelagat gadis misteri itu.
Dia berjalan perlahan mendekati gadis itu dalam senyap. Memang Rabiatul Adawiyah tidak perasan kehadirannya. Sekali lagi bibir Syakri terukir senyuman.
"Kalau sudut agama ni ditulis dengan tulisan jawi mesti cantik," ucap Syakri di belakang Rabiatul Adawiyah.
"Allahuakbar," ucap Rabiatul Adawiyah perlahan. Dia mengurut dadanya. Dia tidak perlu menoleh ke belakang kerana tahu siapa yang empunya suara.
"Terkejut, ya? Maafkan saya..."
Rabiatul Adawiyah hanya mengangguk.
"Awak tak nak tulis apa-apa ke dekat sini?" Semampu mungkin Syakri mahukan gadis itu bersuara.
Rabiatul Adawiyah hanya menggeleng.
Syakri tidak berputus asa. Dia berdiri menghadap dinding seolah-olah sedang berfikir. Perbuatan Syakri menyukarkan kerja Rabiatul Adawiyah yang hendak menggantung abjad jawi di bahagian sudut agama.
Sudahnya, Rabiatul Adawiyah menghadap ke arah lain, membelakangkan Syakri.
"Saya ingat nak buat tulisan khat di sini. Mesti cantik sudut ni. Eh, awak tahu buat tulisan khat?" pancing Syakri lagi.
Sekali lagi gadis itu menggeleng.
"Dulu saya pernah belajar tulisan khat. Masa tu saya tertarik apabila lihat ayah kawan baik saya melakar khat dengan cukup cantik dan berseni. Khat ni ada macam-macam jenis. Contohnya khat Kufi Fatimi. Kufi ini juga mempunyai pelbagai bentuk antaranya Kufi Muwarraq (berdaun), Kufi Muzahar (berbunga) dan Kufi Mudhaffar (bersimpul). Kufi Fatimi ni antara jenis Kufi yang masih digunakan hingga ke hari ini. Ia tidak dibaris dan boleh dihias di ruang kosong antara huruf dengan ragam hias yang berciri pokok dan batang pokok kacang sebagai latar belakang ayat."
Biarpun tiada tindak balas daripada gadis itu, Syakri tidak kesah. Dia terus bercerita.
"Lain-lain jenis khat ada khat Diwani Jali, khat Ijazah... Khat ni digabungkan dengan dua jenis khat iaitu khat Nasakh dan khat Thuluth. Khat ini yang paling saya suka. Ia nampak cantik." Syakri terdiam. Dia menjeling belakang gadis bertudung hitam itu.
"Seronok sebenarnya apabila kita tahu jenis-jenis tulisan khat ni. Rugi juga kita tak pelajarinya. Macam khat jenis huruf Taj, khat Nasakh, khat Riq'ah dan khat Farisi. Awak tahu tak, sekarang ni dah ramai orang bukan Islam belajar tulisan khat. Mereka kata, tulisan tu unik. Apatah lagi ditulis oleh orang-orang Islam di China. Mereka gabungkan sedikit dengan jenis tulisan mereka. Nampak lebih kreatif." Dengan penuh semangatnya Syakri menerangkan lagi tentang seni khat biarpun gadis itu terus membisu.
Subhanallah... Dia cukup pengetahuan tentang dunia seni khat. Yang aku tau, main tulis aja. Aku bukan tahu jenis-jenisnya. Itupun aku belajar di sekolah agama ketika di bangku sekolah dulu. Malunya... Rabiatul Adawiyah berkata dalam hati. Sungguh! Dia kagum dengan kelebihan yang ada pada diri lelaki itu.
"Awak nak belajar? Saya boleh ajar awak. Biarpun saya tak ada sijil dalam seni khat, tapi bolehlah..."
Terdengar tawa Syakri. Tampak macam ikhlas, tapi Rabiatul Adawiyah tidak tertarik.
"Aki!" tegur Kak Sulwani sekaligus menyelamatkan Rabiatul Adawiyah daripada terus mendengar penerangan lelaki itu.
Syakri menoleh ke arah kakaknya lantas tersenyum.
"Jangan kacau pekerja kakak boleh tak?" bebel Kak Sulwani. Syakri tergelak. Dia mendekati kakaknya yang sudah bercekak pinggang.
"Bukan kacau... Saja Aki nak tolong," katanya selamba.
"Tolonglah sangat, kan? Tolong tengok, kan?" Bahu adiknya dipukul.
"Tolong juga tu, kak."
"Tak payah. Lebih baik tolong akak bersihkan bahagian belakang tu. Akak ingat nak buat dapur dekat situ. Tak jadilah buat stor."
Ikut pelan asal, Sulwani ingin buat stor sahaja di bahagian bilik kecil di belakang tadika itu. Tapi apabila difikirkan semula, sesekali ingin juga cikgu-cikgu tadika itu melepaskan lelah. Apa salahnya jika dia buat dapur kecil bagi membolehkan mereka membancuh air atau apa saja. Lagipun dia ingin juga menyumbang makanan kepada pelajar-pelajarnya. Sekadar kuih atau makanan ringan. Selain mereka digalakkan membawa bekal sendiri demi menjaga tahap kesihatan anak-anak kecil itu daripada jangkitan kuman.
"Kalau esok-esok aja buat, boleh tak?" Syakri sengaja mahu mengundang marah kakaknya itu.
"Besok?" soal Kak Sulwani kuat.
Rabiatul Adawiyah memandang ke arah mereka. Syakri pula tersengih-sengih.
"Kenapa tak cakap tahun depan aja?" soal Kak Sulwani. Makin galak tawa Syakri.
"Ini permintaan akak ke apa? Kalau macam tu, tahun depan sajalah kita buat."
Tanpa menunggu lama, lengan adiknya terus diketam.
"Adoi, akak ni... Sakit tahu tak? Tak habis-habis mengetam. Yalah... Yalah... Aki buatlah..." Syakri masih menggosok-gosok lengannya.
"Padan muka. Cepat siapkan!"
"Baik, bos!" sakatnya.
Kak Sulwani tersenyum lebar.
Kemudian Syakri sibuk mengeluarkan barang-barang yang dilonggok di dalam bilik kecil itu. Dia tergelak apabila melihat banyak barang yang tidak diperlukan disimpan oleh kakaknya. Kalau ikutkan dia, mahu saja dia buang semua itu.
Sesekali dia teringatkan gadis misteri itu. Belum ada sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut itu tanda dia berminat untuk dijadikan teman berbual. Siapakah dia? Dari mana asalnya?
"Dia malu... tapi aku mahu!" kata Syakri perlahan. Dia bersiul-siul kecil.
Ketika itu juga muncul Rabiatul Adawiyah. Gadis itu terkejut. Begitu juga dengan Syakri. Masing-masing terpaku. Kemudian Rabiatul Adawiyah mengalihkan anak matanya, cuba mencari sesuatu.
Hmmm... Baru disebut-sebut, sampai juga gadis itu di depan mata. Macam tahu-tahu pula, ucap Syakri dalam hati.
"Awak cari apa?" soal Syakri setelah dia melihat gadis di hadapannya itu seolah-olah mencari sesuatu.
Rabiatul Adawiyah ingin bersuara, namun dibatalkan niatnya. Dia hanya menggunakan bahasa isyarat.
"Kayu golf ke?" soal Syakri apabila melihat gaya yang dilakukan oleh Rabiatul Adawiyah.
Lekas sahaja Rabiatul Adawiyah menggeleng.
"Kalau bukan kayu golf, mesti awak cari sabit, kan?" sakat Syakri.
Rabiatul Adawiyah tersenyum. Pandai pula mamat ni menyakat aku. Nak suruh aku bersuaralah tu. Jangan harap, ya, bisik Rabiatul Adawiyah.
Malas mahu berlama-lama di situ, Rabiatul Adawiyah melangkah keluar. Dia tercari-cari penyapu.
"Hai... Mana pula pergi penyapu ni?" bebelnya perlahan. Cukup telinganya sahaja yang mendengar.
"Awak cari ni ke?" tegur satu suara. Siapa lagi kalau bukan Syakri. Itulah satu-satunya lelaki yang berani hendak dekat dengannya.
Syakri memegang penyapu yang dicari oleh Rabiatul Adawiyah. Gadis itu cuba mengambil namun Syakri ada niat lain. Dia mahu menyakat gadis berniqab itu lagi. Dia menarik kembali penyapu lalu diletak di sisinya.
Rabiatul Adawiyah mengeluh. Rasanya, dia perlu pergi sahaja. Tiada guna bermain tarik-tarik penyapu dengan lelaki itu. Laju kakinya melangkah. Syakri pula tercengang.
"Eh... Takkan merajuk kut?" usik Syakri. Dia tersenyum.
Baru sahaja Syakri ingin melangkah untuk menyambung kerja, kakinya terpaku apabila terdengar namanya dipanggil.
"Aki!" panggil Kak Sulwani.
Wajah Kak Sulwani garang semacam. Tetapi Syakri tahu, bukan payah mana pun hendak redakan kemarahan kakaknya itu.
"Kenapa muka manis akak jadi kelat macam putik jambu ni?" usik Syakri.
"Budak ni nakal sangat tau." Telinga Syakri dipulas lembut.
"Adoi! Akak, sakitnya. Apa salah Aki, kak?"
Bahu Syakri ditepuk kuat oleh Kak Sulawani sebaik sahaja cuping telinga adiknya dilepaskan.
"Apa akak ni? Asyik nak mendera aja kerjanya. Baliklah macam ni."
"Hah! Yalah... Baliklah... Ingat boleh lepas ke? Dekat rumah nanti emak pula yang kerjakan kamu nanti," bebel Kak Sulwani.
"Apa salah Aki, kak?" soalnya buat-buat tidak tahu.
"Yang Aki sakat anak dara orang tu buat apa?"
"Bila masa Aki sakat anak dara orang? Aki buat kerjalah, kak..."
"Habis tu, Aki nak cakap Rabitah bohonglah, ya?"
"Dia mengadu apa, kak?"
"Mengadu apa lagi, pasal kamu usik dialah. Aki ni memang sengaja nak kenakan dia, kan?"
"Mana ada, kak. Aki tak buat pun. Aki cuma usik sikit-sikit aja. Susah betul nak dengar suara dia, kak."
Syakri menyandar tubuhnya ke dinding. Memandang terus ke wajah kakaknya itu.
"Aki jangan macam ni... Aki tahukan dia macam mana? Aki jangan sesekali susahkan hati kakak. Bukan senang akak pujuk dia untuk mengajar di tadika ni. Akak takut nanti dia terus tarik diri." Serius sahaja wajah Kak Sulwani. Syakri tersenyum senang.
"Akak ni... serius betul. Aki main-main aja. Lagipun, Aki tak bermaksud apa-apapun. Jangan risaulah... Dia takkan berhenti."
"Yalah tu..."
"Ya. Aki jamin seratus peratus."
"Dahlah, bagi akak penyapu tu. Suka sangat menyakat orang. Ingat sikit diri awak tu nak bertunang dah."
Syakri menghulur penyapu. Penyapu bertukar tangan.
"Ya. Yang tu Aki tak pernah lupa."
"Baguslah kalau tak lupa status diri tu," balas Kak Sulwani. Dia memusingkan tubuhnya. Mahu meninggalkan Syakri yang masih tersenyum mekar.
Syakri menghantar langkah Kak Sulwani dengan pandangan matanya.
Ya... Tak lama lagi aku akan jadi tunangan orang. Dia memegang dadanya. Sarat... Berat... Itulah yang dia rasa kini.
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz