ZingTruyen.Xyz

PERGI

Bab 5

karyaseni2u

KEESOKAN harinya, Rabiatul Adawiyah mengikut Karmah ke tempat kerja Karmah. Dia perlu menyelesaikan masalah Karmah. Tidak sepatutnya tauke kedai itu sewenang-wenangnya mengugut pekerja begitu.

"Takkan kau nak tunggu tauke kedai ni datang, Awi? Dia selalu datang lewat," kata Karmah setelah tauke kedai itu tiada di situ.

"Tak apa, kau masuklah dulu. Nanti kalau dia dah datang, kau panggil aku. Aku tunggu dekat luar ni," putus Rabiatul Adawiyah.

Andai Karmah dapat balik cepat, bolehlah dia pergi kursus untuk tadika. Kak Sulwani telah memberi alamat tempat kursus tersebut. Jadi, mereka perlu segera mendaftarkan diri dan juga menjalani kursus di situ sebelum mula mengajar di tadika Kak Sulwani.

"Okeylah kalau macam tu." Karmah masuk ke dalam kedai yang menjual peralatan pertukangan itu.

Rabiatul Alawiyah berlegar-legar di hadapan kedai. Penat berdiri, dia duduk di bangku kedai makan yang tidak jauh dari kedai tempat Karmah bekerja. Dia memesan teh O untuk menghilangkan rasa dahaga.

Sewaktu dia menikmati teh O panas, dia didatangi seorang gadis yang kelihatan naif. Dia melihat gadis itu tidak tentu hala tuju. Gadis itu duduk di hadapan Rabiatul Adawiyah. Dia melemparkan senyuman kepada gadis itu.

"Adik ni nak ke mana? Nampak gelisah aja dari tadi," soal Rabiatul Adawiyah. Dia sengaja mahu pancing reaksi gadis itu.

Gadis itu buat tidak dengar lantas memandang ke arah lain. Rabiatul Adawiyah mengagak umur gadis itu antara lapan belas hingga ke sembilan belas tahun.

"Adik dah sarapan pagi? Kalau belum, pesanlah sarapan, saya belanja." Kata-kata Rabiatul Adawiyah menarik perhatian Gadis itu. Gadis itu memandang ke arah Rabiatul Adawiyah.

"Saya belum sarapan, kak." Perlahan dia menjawab.

"Kalau macam tu, mintalah apa-apa yang adik nak makan," arah Rabiatul Adawiyah seraya dia menyisip straw di bawah niqabnya. Dia menyedut minuman dengan penuh nikmat.

Gadis itu nampak malu-malu. Rabiatul Adawiyah mengangguk, mengarahkan gadis itu mengambil makanan. Perlahan gadis itu bangkit. Beberapa minit kemudian, gadis itu duduk kembali di hadapan Rabiatul Adawiyah.

Gadis itu menyuap nasi lemak dengan perlahan. Gadis itu nampak kurang berselera. Mata beningnya menggambarkan sesuatu.

"Kenapa? Tak sedap ke?" soal Rabiatul Adawiyah, cuba mencungkil rahsia yang tersimpan kemas dalam hati gadis itu.

Gadis itu mengangkat muka, memandang mata Rabiatul Adawiyah. Kemudian dia menunduk kembali.

"Siapa nama adik?" soal Rabiatul Adawiyah.

"Anis..." jawab gadis itu perlahan.

"Anis..." ulang Rabiatul Adawiyah pula.

Gadis itu mengangguk.

"Anis ada masalah ke?"

Serba salah gadis itu. Sesekali dia membetulkan tudungnya. Rabiatul Adawiyah hanya memerhati gerak laku Anis.

"Kalau tak keberatan, kongsilah dengan akak. Akak sedia mendengarnya," pancing Rabiatul Adawiyah.

"Kak... Nasi ni sedap sangat tapi setiap kali saya kunyah nasi ni, saya teringatkan mak dengan adik-adik di rumah. Mereka tak merasa makan makanan sedap ni," luah Anis. Rabiatul Adawiyah berminat hendak mendengar kisah gadis itu.

"Hidup kami susah lepas ayah tinggalkan kami. Sewa rumah pun dah beberapa bulan tak berbayar. Ibu tak kasi kami meminta-minta. Ibu cakap, biar kita miskin tapi jangan jadi miskin hina. Yang selalu dihina dek orang." Sesekali Anis menyeka air matanya.

"Ayah Anis dah meninggal?" soal Rabiatul Adawiyah.

"Tak. Ayah hilang macam tu aja. Tak ada pesan langsung," jawabnya perlahan. Nasi di hadapannya dikuis-kuis.

"Makanlah nasi tu. Kalau Anis rasa nak dapatkan sebutir nasi tu payah, janganlah bazirkan. Insya-Allah, ada rezeki ibu dan adik-adik Anis nanti," pujuk Rabiatul Adawiyah.

Tersedar dengan teguran Rabiatul Adawiyah, Anis menyuap laju nasinya. Bibir Rabiatul Adawiyah tersenyum apabila melihat telatah Anis.

"Anis merayap-rayap ni sebab nak cari kerja ke?" teka Rabiatul Adawiyah. Pantas saja Anis mengangguk.

"Tapi semua tak nak ambil pekerja, kak. Susah saya macam ni," jelasnya.

Kasihan pula Rabiatul Adawiyah melihat keadaan Anis. Berat mana pun masalah yang ditanggung selama ini, rupa-rupanya berat lagi masalah gadis di hadapannya itu. Tiba-tiba dia teringatkan Karmah.

"Betul Anis nak kerja?" soal Rabiatul Adawiyah lagi. Anis mengangguk.

"Kalau kerja dekat kedai hardware tu, Anis nak tak?" soal Rabiatul Adawiyah.

Anis memandang ke arah kedai yang dimaksudkan. Kemudian dia memandang wajah Rabiatul Adawiyah. Wajahnya tampak mendung.

"Saya dah tanya tadi, kak." Suara Anis agak perlahan. Mungkin menahan rasa kecewanya.

"Kawan akak kerja situ. Dia dah nak berhenti, jadi Anis bolehlah ganti dia. Nanti akak sendiri akan cakap dengan tauke kedai tu," jelas Rabiatul Adawiyah.

Rabiatul Adawiyah nampak perubahan pada wajah Anis. Serta-merta wajah itu bertukar ceria.

"Saya nak, kak. Terima kasih. Terharu saya dan bersyukur dapat jumpa akak dekat sini." Anis menggapai tangan Rabiatul Adawiyah lalu digenggam erat.

"Sama-sama... Insya-Allah, kalau niat kita baik, Allah akan tolong."

"Ya, kak..."

"Lagi satu, tak lama lagi, ada tadika akan dibuka dekat dengan jalan besar sana. Anis suruhlah ibu Anis datang, minta kerja di situ. Nanti akak tolong cakapkan dekat tuan punya tadika tu," pesan Rabiatul Adawiyah.

Makin gembira Anis mendengar kata-kata Rabiatul Adawiyah. Bermakna, dapatlah juga ibunya mencari wang saku. Kalau campurkan duit gajinya nanti dengan duit upah ibu, bolehlah menampung perbelanjaan mereka sekeluarga. Anis terus menadah tangan, bersyukur kerana dipertemukan dengan seorang yang sangat baik.

"HAAA... Lega rasanya. Terima kasih, Awi. Mujur Anis ada.Kalau tak, jangan harap aku dapat berhenti kerja dengan jayanya," ucap Karmah sebaik sahaja dia keluar dari tempat kerjanya itu. Dia betul-betul rasa lega.

"Dah rezeki Anis dapat kerja. Kasihan juga dengan hidup dia. Moga-moga bila dia dapat kerja ni, berubahlah taraf hidupnya nanti."

"Amin... Moga Allah pelihara dia," sahut Karmah pula.

Mereka berdua meneruskan rancangan mereka menuju ke Seri Kembangan untuk mendaftarkan diri dalam kursus pengurusan tadika. Setelah itu mereka pulang semula ke rumah. Mereka telah menanam semangat baru untuk terus maju dalam bidang yang bakal merubah rutin mereka seharian.

Ketika mereka melewati halaman rumah Mak Cik Soraya, kelihatan Mak Cik Soraya sekeluarga sedang bergelak tawa di beranda rumah itu. Ada juga seorang anak muda yang sedang membelakangkan mereka. Apabila melihat ada lelaki asing dalam kalangan mereka, Rabiatul Adawiyah menundukkan kepala. Karmah juga begitu.

"Karmah... Rabitah... Baru balik, ya?" tegur Mak Cik Soraya, lembut.

Mereka berdua menoleh serentak sambil mengangguk.

"Ya, mak cik," jawab Karmah bagi pihak Rabiatul Adawiyah sekali.

"Marilah bersembang dengan kami," pelawa Mak Cik Soraya.

"Tak apalah, mak cik. Lain kali, ya," tolak Karmah dengan lembut.

"Kami masuk dulu, mak cik."

"Yalah," jawab Mak Cik Soraya.

Karmah dan Rabiatul Adawiyah melajukan langkah mereka. Kebetulan pula, anak muda yang membelakangkan mereka menoleh ke belakang.

"Penyewa baru ke, mak?" soal anak lelaki Mak Cik Soraya.

"Ya. Baik budak-budak tu," jawab Mak Cik Soraya.

"Jangan pula nak usik budak-budak tu. Ingat sikit awak tu nak bertunang dah..." Kak Sulwani memberi amaran.

Syakri ketawa kuat. Tahu benar perangai kakaknya itu. Suka berleter.

"Takkanlah nak tackle, kak. Tengok tu berselubung satu badan. Hesy, tak berselera tengok." Sinis sahaja Syakri melontarkan pandangannya. Kak Sulwani membulatkan matanya.

"Tak sayang mulut betul dia ni," tegur Kak Sulwani.

"Relakslah, kak. Aki kan anak yang baik, ikut cakap mak dan ayah. Aki takkan terpikat punya. Gurau pun marah."

"Ingat, Aki... Penat-penat mak cari jodoh Aki dengan orang yang baik-baik. Jangan sia-siakan harapan kami," nasihat Mak Cik Soraya pula.

"Aki tahu, mak. Jangan bimbang, ya," janjinya.

"AWI, kau perasan tak ada pemuda kat situ tadi?" soal Karmah sebaik sahaja mereka sudah mengunci pintu rumah mereka.

"Aku perasan juga..." jawab Rabiatul Adawiyah sambil lewa. Dia bukan kesah sangat siapa lelaki itu.

"Agaknya, itulah anak lelaki dia yang baru balik dari Timur Tengah tu," cerita Karmah lagi.

"Mana kau tahu?" soal Rabiatul Adawiyah.

"Hari tu dia ada cakap, tak lama lagi dia nak buat kenduri. Anak dia itulah agaknya yang nak bertunang. Sebab dia kata tunggu anak dia balik dulu," cerita Karmah lagi.

Rabiatul Adawiyah mengangguk.

"Baguslah. Benda baik, tak boleh dilengah-lengahkan. Okeylah, aku nak mandi dulu." Rabiatul Adawiyah bangkit kemudian terus berlalu pergi.

Karmah berbaring di ruang tamu untuk melepaskan lelah seketika. Akhirnya dia terlelap. Rabiatul Adawiyah membiarkan sahaja sahabatnya itu lena di situ.

Usai mandi, Rabiatul Adawiyah mengerjakan solat asar. Setelah mengaji, dia segera ke dapur. Niatnya hendak memasak tapi hasratnya itu terbantut sebaik sahaja pintu rumahnya diketuk. Dia segera mengambil jubah, tudung dan niqab. Sebelum membuka pintu, dia kejutkan Karmah terlebih dahulu.

Setelah Karmah beredar, Rabiatul Adawiyah membuka pintu. Kak Sulwani tersenyum sebaik sahaja terpandang wajah Rabiatul Adawiyah.

"Assalamualaikum..."

"Waalaikumussalam, kak." Rabiatul Adawiyah menyambut huluran tangan Kak Sulwani.

"Masuklah, kak," lawa Rabiatul Adawiyah.

Kak Sulwani melangkah masuk ke dalam rumah sewa itu. Biarpun rumah itu milik orang tuanya, namun dia jarang masuk. Dia memandang ke seluruh pelosok ruang tamu yang kecil itu. Biarpun tiada perabot, tetapi ia tetap menyenangkan mata memandangnya.

"Duduklah, kak. Atas tikar aja ni." Kak Sulwani tertawa kecil.

"Tak apa, duduk bawah ni lagi selesa." Kak Sulwani duduk bersila sambil menyandarkan tubuhnya ke dinding.

"Akak duduklah dulu, ya. Saya buatkan air sekejap."

"Biar aku aja yang buat, Awi. Kau berbuallah dulu," ucap Karmah yang tiba-tiba muncul.

Rabiatul Adawiyah akur lalu duduk di hadapan tetamunya itu. Karmah bersalaman dengan Kak Sulwani sebelum berlalu pergi ke dapur.

"Kenapa Karmah panggil Rabitah dengan nama Awi pula?" soal Kak Sulwani. Telinganya jelas menangkap apa yang dikatakan oleh Karmah tadi.

"Oh... Kar memang panggil saya Awi. Dah biasa dengan nama tu," jawab Rabiatul Adawiyah. Wajahnya mula membahang. Dia tahu dia bersalah kerana berbohong, tetapi dia terpaksa.

"Kiranya nama timanganlah tu, ya?" usik Kak Sulwani. Terangguk-angguk Rabiatul Adawiyah. Terpaksalah dia mengiakan kata-kata Kak Sulwani.

"Lebih kuranglah, kak."

"Yalah... Nama dah sama dengan penyanyi rock tu hah. Awie. Hesy, jarang akak dengar nama perempuan Awi."

"Saja, kak. Konon saya nak panggil lain daripada yang lain. BFFlah katakan," celah Karmah pula. Dia bagaikan seorang penyelamat saat jiwa Rabiatul Adawiyah mula goyah. Karmah menatang dulang yang berisi air kordial kurma yang baru mereka beli.

Mereka tertawa kecil.

"Oh ya, berbalik pada tujuan akak datang ni, akak nak minta tolong. Esok boleh tak kamu berdua datang ke tadika? Banyak kerja nak dibuat esok." Kak Sulwani menyuarakan tujuan kedatangannya ke situ.

"Boleh sangat, kak. Karmah pun dah berhenti kerja. Bolehlah kami datang tolong apa yang patut. Akak beritahu aja. Insya-Allah, kami cuba bereskan kerja-kerja tu," ujar Karmah.

Kak Sulwani tersenyum gembira.

"Kalau macam tu, senanglah hati akak ni. Esok perabot-perabot akan sampai. Hari ni mereka siapkan cat dinding tu. Tinggal sikit lagi. Haih... Lega hati akak ni. Akhirnya dapat juga akak buka tadika di kawasan sini."

"Insya-Allah, kak. Kalau niat akak baik, pasti Allah akan berkati. Kami akan cuba bantu akak majukan tadika tu." Itu janji mereka.

Kemudian mereka berbual-bual mengenai pengurusan tadika. Sekurang-kurangnya, Rabiatul Adawiyah dan Karmah mula faham tugas-tugas mereka.

"ALHAMDULILLAH... esok kita dah mula kerja di tempat baru. Moga Allah murahkan rezeki kita lepas ni. Aku berharap sangat dapat menimba pengalaman. Manalah tahu suatu hari nanti aku pula yang buka tadika," ucap Karmah sebaik sahaja Kak Sulwani meninggalkan rumah itu.

"Insya-Allah, Kar. Moga kau dimurahkan rezeki nanti," doa Rabiatul Adawiyah sebaik sahaja menutup pintu. Dia membuka niqabnya. Begitu juga dengan tudung labuhnya.

"Tapi aku masih lagi mahu mencari. Aku tak mahu terikat. Selagi aku tak jumpa, selagi itulah aku akan terus mencari." Suara Rabiatul Adawiyah dilontar perlahan. Dia menunduk.

"Sabarlah, Awi. Insya-Allah, kau akan jumpa juga dengan dia." Karmah amat simpati. Tapi apakan daya, hanya doa yang mampu dititip buat sahabatnya itu.

Rabiatul Adawiyah mengangguk.

"Ya, sabar. Kalau aku tak sabar, aku dah iklankan dalam akhbar. Tapi apabila fikir maruah diri, aku tak mampu nak lakukannya."

"Awi..." tegur Karamah.

"Andai dia ada bersama dengan aku masa ni, mesti dia dah belajar dekat tadika, kan Kar? Malah aku boleh bawa dia ke tadika baru nanti. Tapi..."

"Sudahlah tu... Cuba kau jangan sedih-sedih macam ni. Kau nampak macam orang dah putus asa, tau tak?" pujuk Karmah.

"Kadang-kadang aku rasa putus asa, Kar. Kecewa dengan apa yang aku lalui sepanjang dibuang keluarga ni. Aku seakan-akan tak mampu nak hadapinya lagi."

"Ya Allah... Kau cakap macam tak ada pegangan agama. Macam tak beriman dan bertakwa pula. Jangan macam ni," tegah Karmah. Dia kurang senang dengan sikap Rabiatul Adawiyah sejak kebelakangan ini.

Perlahan air mata jernih menitis di pipinya. Entah kenapa, sememangnya dia seakan-akan pasrah dengan suratan takdir. Biarpun dia cuba sangkal sifat negatifnya itu, namun dia juga tidak mampu menghalang kala kunjungnya.

"Allah Maha Mengetahui segalanya, Awi," kata Karmah sebelum berlalu masuk ke dalam bilik.

Rabiatul Adawiyah masih lagi termenung.

"Kenapa aku jadi macam ni? Dada aku rasa sakit setiap kali aku teringat dosa-dosaku. Sampai bila?" Rabiatul Adawiyah merintih lagi.

"Awi, mengadulah kepada Dia," pesan Karmah.

Perlahan Rabiatul Adawiyah bangkit. Ya. Dia perlu mengadu kepada Yang Esa.

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz