ZingTruyen.Xyz

PERGI

Bab 4

karyaseni2u

"LAMBATNYA kau balik, Awi? Kau dah solat ke belum?" soal Karmah sebaik sahaja Rabiatul Adawiyah memasuki rumah mereka. Dia tersenyum apabila terpandang wajah sahabatnya itu.

"Biasalah... Hari ni kan hari terakhir aku bekerja, baik pula bos aku nak belanja aku makan kat Port Klang sana. Nah, ni nasi untuk kau. Kau tak masak, kan?" soal Rabiatul Adawiyah kemudian dia masuk ke dalam bilik, menanggalkan tudung serta meletak begnya.

"Belum lagi. Ingat nak tunggu kaulah, baru aku masak. Alhamdulillah... Rezeki..." Karmah membuka bungkusan yang dibawa oleh sahabatnya.

"Itu bos aku belanja. Hari ni hari bertuah buat kita berdua," seloroh Rabiatul Adawiyah.

"Oh! Syukurlah... Macam sedap aja ni." Karmah menadah tangan lalu membaca doa makan. Kemudian dia menyuap nasi goreng kampung itu ke dalam mulutnya.

"Sedap ke tak?" soal Rabiatul Adawiyah.

Karmah mengangguk.

"Kau tak nak rasa ke? Sedap ni..."

Rabiatul Adawiyah menggeleng.

"Aku dah kenyang tadi. Banyak sangat akak tu pesan," kata Rabiatul Adawiyah seraya menuang air untuk sahabatnya itu.

"Terima kasih. Eh, Awi... Baik betul isteri tauke kau tu nak belanja kau makan? Selalunya bukan ke dia suka marah-marah kau?" soal Karmah, pelik.

Rabiatul Adawiyah tersenyum. Dia akui selama ini dia tersilap menilai wanita itu. Rupa-rupanya ada cerita di sebalik watak garang wanita itu yang tersembunyi kemas dalam lipatan kehidupannya. Dia berdoa moga keadaan akan berubah dan suami isteri itu dapat menjalani kehidupan seperti sebelum ini. Saling menyayangi.

"Hesy... Aku tanya boleh dia termenung pula." Karmah mencuit lengan Rabiatul Adawiyah.

"Selama ini aku salah sangka dengan dia, Kar. Rupa-rupanya dia ada masalah. Kesian dekat dia," jawab Rabiatul Adawiyah perlahan.

"Ada masalah?"

Rabiatul Adawiyah mengangguk.

"Masalah besar. Masa makan tadi dia ceritakan semuanya. Barulah aku tau selama ini jiwa dia tertekan. Patutlah dia cemburu dengan suami dia tu. Biasalah, kalau seorang isteri dah pernah tangkap suami berlaku curang, sampai bila-bila dia akan rasa ragu-ragu. Sentiasa berfikiran negatif. Mungkin kalau kita berada di tempat dia sekalipun kita akan buat macam dia juga."

Rabiatul Adawiyah menceritakan apa yang telah berlaku. Ternganga Karmah mendengarnya. Dia juga rasa bersalah apabila menuduh wanita itu seorang yang kuku besi.

"Kesiannya dia... Patut pun dia jadi macam tu, kan? Habis, kau dah nasihatkan dia?" tanya Karmah sambil tangannya mencapai gelas lalu meneguk air di dalam gelas tersebut.

Rabiatul Adawiyah mengangguk.

"Aku suruh dia muhasabah diri. Berbincang dengan suaminya dan selalu pergi ke majlis ilmu. Hanya itu saja yang boleh menenangkan jiwa dia. Nampak macam dia setuju, tapi aku tak tahulah. Kita sama-sama berdoa moga dia menerima dengan hati terbuka dan moga terbuka hati dia untuk mendekatkan diri kepada Allah," kata Rabiatul Adawiyah.

Laju sahaja Karmah mengangguk.

"Ya... Harap-harap macam itulah. Kadang-kadang Allah nak dekatkan kita kepada orang-orang punya masalah macam ni. Kita selalu pandang mereka macam orang sakit, tak kena atau kadang-kadang buat kita benci. Tapi rupa-rupanya apabila kita selami jiwa mereka, mereka tidaklah teruk mana. Hanya kerana sesuatu peristiwa, mereka berubah laku. Inilah dugaan buat kita untuk memujuk atau tunjuk jalan yang benar. Kita pula selalu cakap mereka sedang diduga oleh Allah tapi sebenarnya kitalah yang sedang diduga," kata Karmah pula.

Rabiatul Adawiyah amat setuju dengan pandangan sahabatnya itu. Ya... Mereka sedang diduga...

"Awi... Aku ada masalah ni. Tauke tempat aku kerja tak kasi berhentilah. Pening kepala aku ni. Boleh pula dia ugut aku, kalau nak berhenti bayar semula gaji sebanyak tiga bulan. Apa kes nak bayar pula? Walhal semua tak ada. EPF, SOCSO dan segala elaun pun tak pernah bagi," adu Karmah selepas selesai menikmati makanan. Wajahnya monyok sahaja.

"Eh, mana boleh dia ugut kau macam tu. Kau kerja sebagai pembantu kedai aja. Tak ada surat tawaran bagai dan kita tak tandatangan apa-apa surat pun. Teruk betul tauke kau."

"Tau tak apa. Pening kepala aku nak fikir ni. Aku nak buat macam mana ni?" soal Karmah, bimbang.

"Kalau macam tu, apa kata kau cari budak yang nak kerja. Kau bagilah kerja kau dekat dia. Mesti tauke kau setuju punya. Yalah, dah ada pengganti. Dia malaslah tu nak ajar orang baru," usul Rabiatul Adawiyah.

"Tapi kat mana pula aku nak cari budak baru tu? Hesy... Lebih baik budak-budak tu kerja dekat 7E daripada kerja dekat tempat aku tu. Dahlah tak glamor, waktu kerja pula lama," keluh Karmah.

"Ya tak ya juga, kan. Siapa yang nak kerja dekat tempat macam tu?"

Mereka sama-sama pening kepala memikirkan masalah itu.

"Kalau tak pun esok aku ikut kau, pergi jumpa tauke tu. Kita bincang elok-elok. Manalah tahu dia nak dengar cakap aku. Dahlah, jangan fikir-fikirkan sangat. Jom kita tidur." Rabiatul Adawiyah cuba menenangkan perasaan Karmah yang semakin serabut itu. Akhirnya Karmah akur.

RABIATUL Adawiyah terketar-ketar. Baru beberapa jam dia melelapkan matanya, mimpi itu datang lagi. Terkebil-kebil matanya apabila dia teringat mimpi ngeri yang saban malam menemaninya.

Beberapa kali wajahnya diraup. Tegang sangat perasaannya saat itu. Terbayang-bayang wajah neneknya yang sayu memandang ke arahnya. Terketar-ketar bibir tua itu mahu membicarakan sesuatu.

Dia rindu! Itulah hakikat yang dia rasakan kini. Memang dia rindukan keluarganya terutama sekali kepada nenek. Nenek adalah segala-galanya. Tapi, bertahun-tahun sudah dia tidak menemui nenek. Entah hidup ataupun meninggal dunia, dia tidak tahu.

Bukan dia tidak pernah cuba menjejaki keluarganya. Dengan memakai niqab, tidak ada seorang pun orang kampung mengenali dirinya. Dia pulang, namun rumah itu telah lama ditinggalkan. Menurut apa yang dia dengar daripada orang kampung, keluarganya telah berpindah. Mereka juga tidak dapat mengesan di mana keluarganya berada.

Bukan tidak ada yang curiga ketika dia merisik hal keluarganya, namun tidak ada seorang pun yang berani bertanya siapakah dirinya. Ada juga yang cerita hal mereka sehinggalah membuatkan jantungnya mahu terhenti berdegup. Menurut kata mereka, keluarganya kecewa apabila dirinya telah berbadan dua. Mereka malu katanya. Orang-orang kampung juga sudah mula memulaukan abah. Mereka tidak mahu lagi abah menjadi imam di situ. Dan akhirnya, mereka membawa diri.

Kesal? Siapa tidak kesal? Atas kesalahannya, seluruh keluarganya terpaksa menanggung malu sehingga kehidupan mereka berubah sama sekali. Dialah puncanya. Di manakah mereka berada sekarang ini? Perlahan air mata mengalir deras di pipinya. Inilah dosa yang selalu menghantui dirinya. Biarpun saban hari dia melakukan solat taubat, namun selagi dia tidak mendengar keampunan daripada mulut kedua-dua ibu bapanya, selagi itu dia rasa berdosa.

"Ya Allah... Tolonglah hamba-Mu ini. Temukanlah aku dengan kedua-dua ibu bapaku sekiranya mereka masih ada lagi. Dan bawalah aku ke kubur mereka sekiranya mereka telah tiada lagi." Perlahan dia menyuarakan doanya.

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz