ZingTruyen.Xyz

PERGI

Bab 3

karyaseni2u

RABIATUL Adawiyah memberi notis berhenti seminggu. Setakat kerja penolong tukang masak, takkanlah dia hendak beri notis selama sebulan pula? Sudahlah EPF tidak ada, gaji pula kalau datang kerja ada gaji, kalau tidak jangan harap hendak cium bau duit.

"Awak dah dapat kerja lain ke?" soal tauke lelaki tersebut.

"Eh, awak ni... Biarlah dia nak kerja tempat lain. Yang awak sibuk tanya dia tu kenapa?" celah Siti Hawa, isteri tauke tersebut.

Dia buat pandang tidak pandang sahaja Rabiatul Adawiyah. Macamlah jijik sangat. Rabiatul Adawiyah menyabarkan hatinya.

"Saya dah dapat kerja baru. Alhamdulillah, majikan baru saya tu menyediakan pengangkutan dan gajinya pun okey, encik," balasnya lembut tanpa menghiraukan wajah cemberut isteri taukenya.

"Sebenarnya, saya berat hati juga nak lepaskan awak. Kerja-kerja awak cukup bagus. Kalau tak ada awak, susahlah tukang masak saya nanti. Nak cari pengganti sekarang ini bukannya mudah," kata tauke itu. Nampak jelas wajahnya agak kurang senang dengan keputusan yang dia buat.

"Eh, awak jangan nak memandai, ya. Ramai lagi yang boleh buat kerja macam dia. Awak jangan lebih-lebih!" marah Siti Hawa dengan wajah yang garang. Tangannya diletak di pinggang.

Rabiatul Adawiyah hanya menggeleng. Wanita itu tidak takut betul dengan balasan Allah. Bercakap dengan suami pun main tengking-tengking. Buatnya tengah marah-marah macam itu terus kejung, tidak ke sia-sia hidup?

Mereka mula bertekak, Rabiatul Adawiyah pula cepat-cepat lari dari situ. Tidak sanggup melihat suami isteri itu bergaduh.

"Kenapa tu?" soal Kak Piah sebaik sahaja dia tiba di dapur.

Rabiatul Adawiyah hanya menggeleng. Cuba mengunci mulut, tidak mahu masuk campur urusan orang. Apatah lagi urusan rumah tangga.

"La... Kan ke Rabitah dari sana tadi? Takkan tak tau cerita?" korek Kak Piah lagi. Rabiatul Adawiyah hanya mengeluh.

"Entahlah, kak. Saya pun tak tahu apa masalah mereka." Seboleh mungkin dia cuba mengakhiri dan menamatkan pertanyaan-pertanyaan Kak Piah itu.

Kak Piah mendengus.

"Tanya sikitpun tak boleh," bebel Kak Piah apabila dia tidak dapat jawapan yang dicarinya.

Rabiatul Adawiyah hanya mendiamkan diri. Lebih baik diam daripada berkata yang bukan-bukan. Sekurang-kurangnya dia bersyukur kerana tidak perlu lagi menghadap kerenah Kak Piah yang banyak mulut itu.

"Kak Piah, minggu ni minggu terakhir saya kerja di sini. Mungkin tauke akan cari orang baru." Rabiatul Adawiyah berterus terang saja. Lebih baik dia beritahu dahulu. Khuatir nanti berbakul-bakul wanita itu memarahinya. Bukan dia tidak kenal wanita di hadapannya itu.

"Hah?! Rabitah dapat kerja dekat mana?"

"Dekat-dekat sini aje, akak..." Rabiatul Adawiyah enggan beritahu perkara sebenar.

"Kerja apa aje yang ada dekat kawasan sini? Paling tak kerja kat kedai runcit Haji Lamin tu. Nak ke Haji Lamin terima Rabitah kerja dengan pakaian macam ni?"

"Bukan dekat kedai pak haji tu." Rabiatul Adawiyah pandang muka wanita di hadapannya itu.

"Habis tu?"

"Saya..."

"Kau orang berdua nak kerja ke nak berbual?!" marah Siti Hawa. Matanya dijegilkan.

Mereka berdua terus kelam-kabut membuat kerja masing-masing. Tidak seorang pun yang berani menjawab.

"Kalau kau nak berhenti, berhenti ajalah. Tak payah nak ganggu pekerja aku yang lain!" marah Siti Hawa lagi.

"Kalau boleh aku nak kau berhenti hari ini juga. Menyampah aku tengok kau!"

Rabiatul Adawiyah hanya menunduk. Dia tidak mahu mencari musuh apatah lagi dia hidup di rantauan tanpa sanak saudara. Mana mungkin dia hendak buat sesuatu yang membuatkan orang benci kepadanya.

"Nah, ni duit gaji kau. Kau boleh berambus dari sini! Aku tak nak tengok muka kau ada dekat sini lagi." Siti Hawa membaling sampul surat yang berisi duit kepadanya. Habis bertaburan duit di atas lantai dapur itu. Rabiatul Adawiyah hanya menahan rasa.

Rabiatul Adawiyah melutut di atas lantai lalu dikutip duit itu satu per satu. Dia perlu bersabar. Bukankah sabar itu separuh daripada iman?

"Apa yang awak buat ni?!" marah tauke restoran itu sebaik sahaja dia ternampak isterinya sedang bercekak pinggang. Matanya membulat apabila melihat Rabiatul Adawiyah mengutip duit di atas lantai.

"Awak jangan nak sebelahkan budak ni, ya? Jangan tunjuk simpati pula dekat dia. Memang dasar munafik. Pakai aje purdah tapi sengaja nak goda suami orang!" herdik Siti Hawa lagi.

"Astaghfirullahalazim... Awak ni dah gila ke?!" herdik tauke itu.

Suasana di belakang restoran itu agak kecoh sedikit. Memang patutlah restoran itu kurang pelanggan.Rupa-rupanya begini keadaan mereka suami isteri, bertekak tidak kira tempat.

Rabiatul Adawiyah bingkas. Dia memandang ke arah pasangan suami isteri itu kemudian dia menggeleng.

"Maafkan saya kalau saya ada buat salah. Sebelum saya pergi, saya nak beritahu encik dan juga mak encik, ubah-ubahlah perangai. Jangan bergaduh tak kira tempat. Mana nak murah rezeki kalau hari-hari macam ni? Tengok saja pelanggan kat luar tu, mereka nak makan pun tak senang hati. Bawalah bersabar kerana sabar itu separuh daripada iman..." Rabiatul Adawiyah berlalu setelah memberi pesanan terakhir. Dia tidak sanggup hendak melihat kedua-duanya bertekak sepanjang masa.

Kak Piah pula mengulum senyum. Tidak sangka gadis yang berniqab itu mampu mengeluarkan kata-kata begitu. Memang benar apa yang dikatakan oleh gadis itu. Sudahlah pelanggan kurang, semakin hari semakin jarang orang hendak datang ke restoran mereka. Kalau ada pun cuma tempahan daripada pelanggan yang jauh dari perkampungan. Itulah rezeki tauke mereka. Mereka pandai berniaga melalui Internet.

Pasangan suami isteri itu bersurai membawa haluan masing-masing. Seorang ke kaunter depan dan yang seorang lagi keluar entah ke mana. Kak Piah nampak isteri tauke masuk ke dalam kereta.

"Hmmm... Boleh tahan juga kau, Rabitah. Berbisa juga mulut kau. Padan dengan muka mereka berdua," omel Kak Piah.

RABIATUL Adawiyah menyusur jalan menuju ke rumahnya. Dia berasa lega setelah keluar dari restoran itu. Saban hari dia tidak tenteram. Dia melangkah dengan perlahan sebelum langkahnya terhenti kerana dihalang oleh seorang jejaka Pakistan yang turut menjadi penghuni kampung itu.

"Assalamualaikum..." sapa lelaki Pakistan yang berjubah serta berkopiah itu. Di belakang motornya terdapat timbunan karpet yang mahu dijual.

Rabiatul Adawiyah menjawab salam dalam hati.

"Saya bukan mahu buat apa, saya mahu berkawan saja dengan awak. Kalau serasi, jadi isteri saya pun boleh..." kata lelaki itu.

Rabiatul Adawiyah tetap mengunci mulutnya. Dia berkira-kira mahu beredar dari situ tetapi lelaki itu cuba menghalangnya. Rabiatul Adawiyah jadi kurang senang. Seboleh mungkin dia cuba mengelak daripada terus mengeluarkan kata-kata.

Tin! Tin!

Hon kereta dibunyikan dengan kuat. Kelam-kabut lelaki Pakistan itu. Dia mengambil motosikalnya lalu memecut laju! Mahu tergelak Rabiatul Adawiyah melihat aksi ngeri lelaki Pakistan itu. Agaknya takut pecah kepala sebab mengganggu anak dara tempatan.

Rabiatul Adawiyah tidak menoleh ke arah kereta yang membunyikan hon tersebut. Dia sangka kereta itu telah berlalu pergi setelah melihat lelaki Pakistan itu memecut motosikalnya. Namun sangkaannya meleset. Kereta itu kini berhenti betul-betul di sebelahnya. Cermin kereta tersebut diturunkan. Apabila melihat kereta itu, dia tahu siapa yang empunya kereta.

"Rabitah... Errr... Naik sekejap," kata Siti Hawa.

"Tak apalah, kak. Rumah saya pun dah dekat tu," dalihnya.

"Masuklah. Saya ada sesuatu nak bincang dengan awak," pelawa Siti Hawa lagi. Berkerut kening Rabiatul Adawiyah. Baik pula butir bicara isteri taukenya ini. Kalau tidak... omel hatinya.

Setelah berfikir sejenak, dia ikut juga. Tidak mahu menghampakan harapan Siti Hawa. Mungkin betul ada perkara penting yang dia mahu bincangkan. Bismillahitawakaltualallah... Dia membuka pintu kereta di bahagian depan lalu meloloskan diri ke dalam perut kereta.

"Kita nak ke mana, kak?" soal Rabiatul Adawiyah perlahan.

Buat kali pertama juga Rabiatul Adawiyah melihat bibir wanita di sebelahnya itu mengukir senyuman. Rambutnya yang keperangan itu disanggul tinggi. Cermin mata hitam besar dikenakan pada wajahnya. Siti Hawa menekan pedal minyak lalu kereta terus memecut menuju ke jalan besar.

SAMPAI di Pelabuhan Klang, Siti Hawa membawa Rabiatul Adawiyah ke sebuah restoran makanan laut. Restoran itu agak jauh juga. Dekorasinya yang ala-ala kampung itu menarik minat sesiapa sahaja yang lalu di kawasan itu. Lagipun restoran itu nampak bersih. Waktu itu tidak ramai lagi pelanggan. Mungkin pelanggan ramai pada sebelah malam.

Siti Hawa membuat pesanan. Ikan siakap stim, kailan ikan masin, sotong Kentucky, udang butter dan entah apa-apa lagi. Pening kepala Rabiatul Adawiyah mendengarnya.

"Kak... Siapa nak makan tu?" Rabiatul Adawiyah memandang Siti Hawa dengan perasaan pelik.

Siti Hawa tersenyum.

"Kitalah yang makan," jawabnya selamba.

"Banyak tu?"

"Ya. Kenapa? Ada masalah ke?"

"Mahunya tak, kak. Saya makan bukan banyak manapun."

"Saya jamin, lepas awak rasa, mesti awak suka dan awak makan banyak..."

Rabiatul Adawiyah hanya menggeleng.

"Taklah... Kalau tak habis bawa balik. Rabitah kata ada seorang lagi kawan, kan?"

Rabiatul Adawiyah hanya mengangguk. Lega hatinya. Takut juga kena paksa makan banyak-banyak. Biar sedap macam mana sekalipun, dia tidaklah buruk lantak. Paling banyak dia makan pun sekadar satu pinggan.

"Awak tahu, sebenarnya saya dengan suami saya memang ada masalah. Dah bertahun-tahun masalah ini saya pendam. Sebab itulah kami seolah-olah tak serasi. Mahu bertekak aja saban hari." Siti Hawa memulakan bicara setelah makanan terhidang di hadapan mata.

Rabiatul Adawiyah memandang wajah Siti Hawa. Tergambar seribu satu macam cerita pada wajah itu. Seolah-olah satu kesakitan dan keperitan yang ditanggung sekian lama. Simpati pula yang timbul dalam hatinya.

"Dulu, restoran kami agak ramai juga pelanggan. Masa itu, akak rasa berada di puncak sangat. Masa itu duit banyak. Daripada rumah kecil, kami beli rumah besar. Daripada kereta kecil, kami beli kereta besar. Semuanya untuk keselesaan kami. Bukan itu aja, anak kami pun mula bertambah daripada dua ke tiga. Lepas tu lahir pula yang keempat." Siti Hawa terdiam. Nasi disuap perlahan. Mungkin Siti Hawa memang suka berbual sambil makan. Patutlah dia buat pesanan banyak. Kalau bercakap sambil makan, tidaklah terasa sangat. Makan... Makan... Makan... Tengok-tengok sudah licin, teka Rabiatul Adawiyah.

"Lepas tu satu per satu dugaan akak terima. Anak sulung akak sakit, tiba-tiba tak boleh jalan. Rupa-rupanya dia kena sakit saraf. Lama juga dia bertahan. Akak berubat ke sana sini. Pantang dengar ada yang pandai, akak akan pergi. Duit jangan cakaplah, habis macam tu aja. Akhirnya anak sulung akak meninggal dalam usianya lapan tahun. Akak memang sedih masa tu. Satu kerja pun akak tak boleh buat. Akhirnya suami akak ambil beberapa orang pekerja untuk settlekan hal restoran."

Wajah Siti Hawa nampak sayu, tapi makanan tetap disuap. Terbeliak juga biji mata Rabiatul Adawiyah apabila melihat ikan siakap yang boleh tahan besarnya, sudah separuh habis. Nasi pun macam tu juga. Hanya tinggal sedikit saja. Dia hanya menggeleng.

"Anak akak tu, insya-Allah akan jadi ahli syurga. Dia masih belum baligh," kata Rabiatul Adawiyah memberi sinar baru dalam mata itu.

"Ya Allah... Kalau betullah, alhamdulillah. Syukur sangat-sangat. Lega hati akak mendengarnya," kata Siti Hawa. Bergenang air matanya.

"Cerita akak tak habis lagi..." Siti Hawa masih lagi makan dan terus makan. Mulutnya juga masih belum berhenti berceloteh manakala Rabiatul Adawiyah pula sudah berhenti makan. Rasa kenyang sangat walaupun hanya makan separuh pinggan. Meratah lauk sahaja sudah buat perutnya penuh.

"Suatu hari, Allah nak duga akak lagi. Abang buat hal dengan pekerja kami. Dia ada affair sampaikan nak kahwin dekat seberang. Masa tu akak naik hantu. Semua akak amuk. Pekerja tu akak hantar balik tapi mereka tetap berhubung. Bila akak dapat tahu, perang pun meletus. Sejak itulah akak tak boleh tengok dia berbual dengan perempuan lain. Akak akan mengamuk dan nak bergaduh aja. Tak kira tempat. Yang peliknya, kami tetap bersama tanpa rasa nak berpisah," ceritanya lagi.

Kini barulah Rabiatul Adawiyah tahu punca sebenar kenapa mereka jadi begitu. Rabiatul Adawiyah mengangguk-angguk. Faham dengan masalah yang agak rumit itu.

"Kak... Akak kena cari puncanya kenapa Allah duga akak macam ni sekali. Mesti ada sesuatu yang akak dan suami lakukan. Misalnya tak solat... puasa... atau tak bersedekah ke? Maaflah kalau kata-kata saya ni menyinggung perasaan akak. Tapi saya kena juga bercakap benda yang betul." Rabiatul Adawiyah berterus-terang.

Siti Hawa menunduk. Wajahnya tampak sedih sangat. Rambutnya jatuh ke dahi. Mungkin dia cuba muhasabah diri, mencari kepincangan yang selama ini tidak pernah mereka sedari. 

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz