ZingTruyen.Xyz

PERGI

Bab 2

karyaseni2u

RUMAH yang mereka duduk merupakan rumah sewa satu bilik. Bersebelah sahaja dengan tuan rumah. Rumah itu bersambung dengan rumah banglo tuan rumah. Mereka terpaksa melalui halaman tuan rumah itu apabila mahu keluar masuk ke rumah mereka.

Buat masa ini, Rabiatul Adawiyah hanya mampu menjadi pembantu tukang masak di salah sebuah restoran yang berdekatan dengan rumah sewa mereka. Oleh sebab dia memakai niqab, dia tidak dibenarkan keluar dari dapur. Mungkin tauke restoran itu bimbang pelanggan-pelanggannya akan lari apabila melihat dirinya yang bertutup begitu. Silap hari bulan ada pula yang gelarkan dia hantu kum-kum nanti.

Dia tidak kesah asalkan cukup bulan dia dapat membayar sewa rumah dan buat belanja sedikit untuk diri sendiri. Hendak bermewah-mewah, dia tidak punya nafsu ke arah itu. Cukup apa yang dia ada. Tidak perlu mengejar harta dunia. Dia takut lupa diri pula. Lagipun berapa ramai yang mahu mengambil pekerja yang memakai niqab? Dia perlu bersyukur kerana tauke itu ada belas ihsan terhadap dirinya lalu memberikannya pekerjaan.

Petang itu Rabiatul Adawiyah pulang kerja seperti biasa. Dia lihat ada sebuah kereta berwarna biru terparkir di hadapan rumahnya. Mungkin anak kepada tuan rumah itu agaknya, detik hatinya sendiri.

"Rabitah baru balik?" sapa Mak Cik Soraya.

"Ya, mak cik," jawabnya sambil tersenyum. Opss... Senyumannya tidak nampak oleh Mak Cik Soraya sebab mulutnya terlindung. Namun dia yakin Mak Cik Soraya tahu yang dia sedang tersenyum kepadanya.

"Marilah sini. Kita minum-minum sambil bersembang," pelawa Mak Cik Soraya.

"Tak apalah, mak cik. Saya nak mandi dulu," helahnya penuh hormat. Dia bimbang tolakan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam hati Mak Cik Soraya. Sudah berkali-kali wanita itu mengajaknya menjamu selera di rumah itu tapi ditolaknya. Lagipun dia baru beberapa bulan duduk di situ. Masih lagi ada perasaan segan.

"Alah, mandi tu kemudian pun boleh. Marilah, mak cik nak kenalkan dengan anak mak cik ni," gamitnya lagi.

Dia mengerling jam tangannya. Baru pukul enam petang. Masih ada sedikit masa lagi sebelum masuknya waktu maghrib. Perlahan diatur langkah menuju ke beranda rumah Mak Cik Soraya. Itulah kali pertama dia duduk melepak di situ. Dihulurkan tangan kepada Mak Cik Soraya. Tidak lupa kepada tetamu yang merupakan anak mak cik itu.

"Sulwani, kenalkan ini Rabitah." Mak Cik Soraya perkenalkan Rabiatul Adawiyah kepada anaknya.

Rabiatul Adawiyah menundukkan kepala. Niqabnya masih lagi tersarung. Dia malas mahu menanggalkan niqabnya. Tentu Pak Cik Hashim ada di rumah. Belum pernah lagi Pak Cik Hashim melihat wajahnya yang sebenar. Biarlah wajahnya terlindung di sebalik niqab itu.

"Inilah dia, ya mak?" soal Kak Sulwani.

"Ya... Inilah dia penyewa baru rumah tu. Ada lagi seorang kawan dia. Kawan dia tu balik lewat sikit," ujar Mak Cik Soraya.

Rabiatul Adawiyah hanya mendiamkan diri. Dua beranak itu pula rancak berbual. Dia tidak tahu hendak mencelah perbualan mereka. Perlahan dia menghirup air teh di bawah niqab. Sesekali Kak Sulwani mengerling ke arahnya. Mungkin dia mahu melihat bagaimana caranya orang yang memakai niqab makan ataupun minum. Berbaik sangka sahajalah, Rabiatul Adawiyah...

Sejak dia keluar dari rumah keluarganya, dia mula menukar nama. Dia lebih senang orang memanggilnya dengan nama Rabitah. Biarlah... Bukan dia tidak sudi lagi mahu menggunakan nama Rabiatul Adawiyah. Tetapi dia sudah nekad, selagi keluarganya tidak dapat menerima dirinya, selagi itulah dia takkan gunakan nama itu. Dia telah memalukan mereka. Nama itu sangat indah berbanding dengan akhlaknya. Ya Allah... Layakkah aku mencium syurga-Mu? Hatinya bersuara.

Mahu sahaja dia menangis tetapi mujur dia sedar ketika itu dia berada di mana. Baru dia perasan pandangan Kak Sulwani ke arahnya sebaik sahaja dia mengangkat wajah. Mata wanita itu cukup menggambarkan pelbagai persoalan yang berlegar di dalam kepalanya. Dia cuba melarikan anak matanya daripada terus bertatapan dengan mata wanita itu.

"Rabitah bekerja di mana?" soalnya. Tentu Mak Cik Soraya tidak menceritakan di mana tempat kerjanya.

"Saya kerja di restoran jalan besar sana, kak."

"Bekerja sebagai apa?"

"Sebagai pembantu dapur saja. Yalah... Saya pakai macam ini, tak dibenarkan duduk di depan. Takut orang lari nanti. Maklumlah pandangan masyarakat ni lain sikit dengan orang yang pakai niqab," ujarnya ramah.

Kelihatannya Kak Sulwani terangguk-angguk. Mungkin setuju dengan pendapatnya.

"Memang betul apa yang Rabitah cakapkan tu. Mungkin sebab masyarakat kita tidak biasa dengan wanita-wanita berpurdah. Lagipun ia tak diwajibkan tetapi pada sesetengah tempat, ia menjadi wajib atas sebab-sebab tertentu. Contohnya negara-negara luarlah. Pada akak pula, ia sangat bagus. Dapat mengelakkan diri daripada fitnah dan ia juga boleh menjadikan seseorang itu lebih berakhlak dan sentiasa menjaga maruah dirinya. Ia juga bergantung pada niat kita. Kalau boleh semuanya kerana Allah." Itu pendapat Kak Sulwani.

Rabiatul Adawiyah sangat bersetuju dengan pendapat itu. Tujuan dia berniqab juga untuk menghindarkan diri daripada fitnah-fitnah dan mengehadkan batas pergaulan. Cukuplah sekali dia melakukan kesalahan yang amat dia kesali seumur hidup. Takkan dia ulangi lagi. Biarlah tiada lelaki yang sudi menjadikan dia suri hidup mereka. Dia sedar, dirinya tidak sempurna. Namun apa yang merunsingkan sekarang ialah lelaki Pakistan yang menyewa di kampung itu pernah menghulurkan surat cinta kepadanya beberapa minggu yang lalu.

Di dalam surat itu, lelaki itu menyatakan yang dia menyukai wanita yang berniqab kerana seperti wanita di negaranya sendiri. Wanita-wanita di sana menutup seluruh wajah mereka. Mungkin lelaki itu ikhlas, tetapi hati Rabiatul Adawiyah sedikitpun tidak terusik. Masakan dia mahu bersuamikan orang asing? Tetapi andai itu yang ditentukan oleh Allah, dia tidak boleh buat apa-apa. Selagi boleh mengelak, dia akan elak.

Rabiatul Adawiyah rasakan hatinya sudah lama ditutup untuk sebarang cinta. Dia tidak sudi lagi menerima mana-mana cinta lelaki. Cukuplah sekali. Kerana cinta, dia lupa segala-galanya termasuklah Tuhan Yang Maha Esa. Cukuplah sekali dia melakukan perbuatan terkutuk itu. Cukuplah... Cukuplah... Itu tekadnya sejak dia keluar dari rumah keluarganya.

"Rabitah ada masalah ke? Sejak tadi akak tengok Rabitah banyak termenung. Kalau ada masalah, ceritalah kepada kami. Kami sudi mendengarnya," tegur Kak Sulwani.

Dia segera menggeleng. Seboleh mungkin dia tidak mahu sesiapapun tahu kisah silamnya. Biarlah, dia takkan begitu mudah menceceh dan menjaja maruah dirinya sendiri.

"Macam ini... Mak akak ada beritahu akak yang dia berkenan dengan Rabitah."

"Hah?" Belum habis Kak Sulwani bercakap, dia sudah memotongnya.

Dia kurang senang dengan perkataan berkenan itu. Adakah Mak Cik Soraya mahukan dia menjadi madunya? Hesy... Tidak mungkin! Kalau jadi menantu pun tidak mungkin juga. Mak Cik Soraya itu ada anak lelaki ke? Tetapi kalau ada pun adakah dia sudi? Cepat sahaja kepalanya menggeleng.

"Kamu ni bercakap macam nak meminang dia pula. Cuba cakap terus terang aja. Tengok Rabitah dah terkejut tu," celah Mak Cik Soraya.

Lega rasa hati Rabiatul Adawiyah mendengarnya. Gila dia hendak jadi madu Mak Cik Soraya? Umur Pak Cik Hashim sudah mencecah ke angka enam puluh lima tahun. Dia tidak sanggup melukakan hati wanita di hadapannya itu.

"Sebenarnya Rabitah, Kak Su kamu ni nak buka cawangan tadikanya di kampung ini. Yalah, di kampung ini kurang tadika Islam. Sebab tu mak cik cadangkan buka saja tadika di kampung ini, tapi dia kata tak ada orang nak jaga pula. Itu yang mak cik cadangkan cuba tanya kamu dulu," terang Mak Cik Soraya.

Barulah Rabiatul Adawiyah faham. Otaknya asyik fikir yang bukan-bukan sahaja. Sudah tidak ada kerja lain lagi agaknya. Hesy!

"Oh... Sebelum ni tadika Kak Su dekat mana?" Teruja juga dia hendak tahu.

"Tadika akak dekat Terengganu. Betullah kata mak tadi, kalau Rabitah sudi tolong akak, akak berbesar hati sangat. Memang niat akak sejak dulu lagi nak buka dekat kampung ni. Yalah... Nak juga berbakti kepada orang-orang kampung. Mendidik anak-anak bangsa sendiri, kan?" ujar Kak Sulwani pula.

Rabiatul Adawiyah kaget. Tidak fasal-fasal pula dia kena memikul tanggungjawab sebesar itu. Itu belum lagi kerenah budak-budak. Paling tidak sanggup kerenah ibu bapa yang berlebihan daripada budak-budak.

"Tapi saya ni..."

"Janganlah menolak, Rabitah. Kalau kamu kerja dekat restoran tu, berapa sen sangat gajinya? Walaupun pada kamu cukup, tapi sekurang-kurangnya kamu boleh hantar duit dekat keluarga kamu, kan? Tawaran daripada Kak Su kamu ni berbaloi juga. Kerja pun tidaklah sampai ke petang. Pukul empat dah habis waktu kerja. Lagipun kalau Rabitah bersetuju, Kak Su kamu ni nak belikan skuter untuk kamu. Senang nak pergi ke tadika tu. Ajak sekali kawan kamu tu kerja sebagai guru."

Rabiatul Adawiyah mula mencongak-congak. Kalau ikutkan tawaran itu, memang menarik. Dia tidak payah bersusah payah menghadapi kerenah tukang masak di restoran itu lagi. Dan paling bagusnya dapat mengelak diri daripada bebelan isteri tuan punya restoran. Seorang wanita yang sangat cemburu, apatah lagi apabila suaminya pergi ke bahagian dapur. Mahu terbang semua pinggan mangkuk. Hesy... Masalah... Masalah...

"Bolehlah, Rabitah. Tolonglah akak, ya?" Kak Sulwani merayu. Rabiatul Adawiyah mula serba salah.

"Tapi saya ni tak ada pengalaman, kak. Takkan saya nak mengajar sembarangan aja. Yalah. Kita berniat nak mendidik ni kalau boleh biar budak tu betul-betul faham dengan apa yang kita ajar." Dia mula berdalih walaupun separuh hatinya mahu menyambut tawaran itu.

Kak Sulwani tersenyum lebar. Mungkin pada Kak Sulwani masalah itu hanya celah gigi sahaja. Sedangkan dia mula berdebar dan gelisah mengenai perkara itu.

"Itu Rabitah jangan bimbang, akak akan ajar macam mana nak mengajar kanak-kanak ni. Kalau ada mana-mana kursus untuk tadika, akak akan hantar Rabitah. Akak akan pantau selama sebulan, lepas tu akak akan lepaskan pada tangan Rabitah pula. Insya-Allah akak yakin benar dengan kebolehan Rabitah." Begitu tinggi harapan wanita itu terhadapnya. Baik sungguh mereka ini.

Rabiatul Adawiyah mula resah. Hendak beri alasan apa lagi? Apabila melihat kebaikan keluarga itu, rasa tidak sampai hati pula mahu menghampakan harapan mereka. Apabila fikirkan masalah-masalah yang hadir di tempat kerja sekarang, dia tidak mahu bertangguh-tangguh lagi. Dia mahu sahaja menyuarakan persetujuannya. Tetapi dia harus sedar, perkara ini melibatkan Karmah juga. Takkan dia pandai-pandai buat keputusan sendiri.

"Kalau macam itu, nanti saya bincang dulu dengan kawan saya tu, kak. Manalah tahu dia tak setuju ke... Nak juga tahu pendapat dia. Nanti saya akan beritahu keputusannya kepada mak cik." Itu jaminannya.

Kak Sulwani dan Mak Cik Soraya tersenyum. Mungkin juga mereka begitu yakin yang dia akan terima tawaran mereka itu. Dia bangun, mohon berundur diri. Waktu maghrib sudah hampir tiba.

"OKEYLAH tu, Awi... Aku suka sangat. Aku dah penat kerja kat situ. Hari-hari kena leter. Kena maki dengan pelanggan lagi. Kerja kedai jual cat, biasalah mana ada masa nak duduk-duduk santai. Berapa ramai kontraktor yang datang, nak itu nak ini. Tu belum lagi ada yang angin satu badan. Salah sikit nak marah-marah. Dah naik bosan aku," luah Karmah.

Kasihan pula Rabiatul Adawiyah melihat wajah Karmah yang berkerut-kerut begitu. Menggambarkan kepenatan yang tidak terhingga. Sebab itulah dia tidak kesah menyediakan makanan setiap hari untuk makan malam mereka. Dia tahu Karmah bukannya kerja goyang kaki. Begitulah kalau bekerja sebagai kuli. Ikut sahaja apa yang dimahukan oleh majikan. Mujur jugalah majikan Karmah membenarkan sahabatnya itu bersolat. Kalau tidak memang nahaslah tauke itu dia ceramah nanti.

"Kau tak bimbang ke nak mengajar budak-budak ni?" Berkerut kening Karmah memandang ke arahnya.

"Terus terang saja, aku memang bimbang. Yang pertamanya aku bimbang aku tak dapat mengawal emosi aku. Manalah tahu aku jadi kurang sabar pula nanti. Kadangkala kita boleh bersabar dengan orang-orang dewasa walaupun ada yang mencabar hati kita. Tapi dengan budak pula, kita tunjukkan ego kita. Marah tidak bertempat, bertempik, terjerit-jerit seperti budak-budak itu faham apa yang kita mahukan. Padahal pemikiran mereka tidak terjangkau melebihi usia mereka."

"Insya-Allah... Apa guna kita baca al-quran setiap hari dan tiada guna juga kalau kita solat sebanyak mana pun setiap hari andai selepas itu kita tak mampu nak membendung perasaan marah kita tu."

Di dalam al-Quran Allah SWT memuji orang-orang yang menahan kemarahan dan memaafkan orang lain, sepertimana firmannya: Dan bersegeralah kamu mendapat keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertaqwa. (Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya) pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan. (Surah Al-Imran 133-134)

Dia berfikir lagi. Satu perkara yang membimbangkannya, selepas ini pasti dia tidak punya banyak masa. Bagaimana dengan pencariannya nanti? Kalau bekerja di restoran itu, boleh juga dia minta cuti. Bekerja di tadika pula, takkan dia hendak cuti selalu? Susahlah nanti anak-anak itu tertinggal pembelajarannya.

"Kar... aku bimbang tak dapat cari anak aku. Kau kan tahu, kalau nak pergi ke sana sini perlukan banyak masa," adunya.

Barulah Karmah faham. Dia merenung wajah sahabatnya itu kemudian bahu sahabatnya ditepuk perlahan.

"Insya-Allah, Awi... Kalau dah disuratkan kau bertemu dengan dia, pasti kau akan jumpa juga suatu hari nanti. Seandai sebaliknya pula terjadi, kau perlu reda. Aku akan sentiasa mendoakan kebahagiaan kau. Dan aku percaya, Allah akan makbulkan doa kau tu. Cuma... kau perlu bersabar..." Itulah kata-kata nasihatnya. Rabiatul Adawiyah hanya mengeluh. Ya... Kesabaran itu perlu ada.

"Jadi kau setujulah, ya?"

Karmah mengangguk.

"Esok aku beritahu Mak Cik Soraya. Mesti dia suka sangat. Tak sangka, Kar... Akhirnya kita bakal jadi cikgu juga," ujarnya penuh kesyukuran. Hanya kepada Allah dia panjatkan rasa gembira itu.

"Kau memang layak, Awi. Keputusan STPM kau memang terbaik. Dah dikira diploma tu. Tak macam aku ni, setakat SPM aja. Itu pun keputusannya banyak C dan D," sahut Karmah pula.

"Okeylah tu daripada tak ada markah terus..." tokok Rabiatul Adawiyah pula. Karmah ketawa.

"Jomlah masuk tidur. Kita mimpikan yang best-best malam ni." Karmah bangun. Dia pula masih lagi duduk sambil termangu.

Mimpi? Dia jadi seram hendak tidur. Dia khuatir mimpi itu akan datang kembali... Bilakah mimpi itu akan pergi?

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz