ZingTruyen.Xyz

PERGI

Bab 14

karyaseni2u

DUA bulan berlalu. Peristiwa itu sangat memberi kesan kepada Rabiatul Adawiyah. Saban hari dia menanggung rindu. Mahu sahaja dia pergi kepada mereka, namun dia tahu, mana mungkin dia mampu melakukan itu semua. Dia masih lagi belum kuat!

Hari itu, hari minggu. Sejak Syakri bertunang dengan Zulaikha, perangai lelaki itu sudah sedikit berubah. Tidak lagi suka mengusik apabila lelaki itu ternampak kelibatnya. Hmmm... Baik sungguh bakal adik iparnya itu. Tentu Zulaikha sedang bahagia ketika ini, tekanya dalam hati.

"Eh, kenapa tiba-tiba aku teringat dia pula? Hesy..." Rabiatul Adawiyah menggeleng.

Kemudian dia menuju ke dapur. Hajat dalam hati mahu membasuh baju yang sudah direndam semalam. Setelah membaca doa masuk tandas, dia melangkah dengan kaki kiri. Begitulah hidup orang bujang, kenalah basuh menggunakan tangan. Rumah sewa mereka tidak punya mesin basuh.

Seandainya ada mesin basuh sekalipun, Rabiatul Adawiyah lebih suka guna tangan saja. Lagipun bajunya bukan banyak sangat.

Setelah memberus baju, dia membuka kepala paip. Ketika memusing kepala paip, tanpa sengaja ia terpatah. Sudahnya air mencurah-curah keluar.

"Alamak!" jeritnya.

Dia cuba menahannya dengan menggunakan tangan tetapi air terus memancut keluar. Basah sudah bajunya.

"Macam mana nak buat ni? Baju aku pun dah basah ni. Sejak bila pula kepala paip ni rosak?" Rabiatul Adawiyah bercekak pinggang.

Hendak betulkan sendiri, sah-sah dia memang tidak pandai. Dengan pakaian yang sudah basah kuyup, dia ke bilik menukar pakaian. Dia perlu mencari pertolongan.

Sejak tadi dia asyik keluar masuk saja. Sekejap dipandangnya rumah besar itu. Sekejap lagi dia masuk. Serba salah!

Karmah pula tiada kerana menghadiri kursus motivasi di Shah Alam. Rabiatul Adawiyah memang betul-betul memerlukan bantuan. Apa yang harus dia lakukan?

"Nak pergi ke tak nak ni?" Dia mengaru kepalanya yang tidak gatal.

Pergilah, Awiyah. Takkan kau nak biarkan paip tu bocor? bisik suara hatinya.

Jangan, Awiyah. Separuh hatinya lagi berkata.

Dia mundar-mandir lagi. Dia tahu, Pak Cik Hashim tiada di rumah. Begitu juga dengan Mak Cik Soraya. Jadi? Aduh... Pening kepalanya memikirkan.

"Kalau dibiarkan, melambung tinggi bil air nanti. Lagipun bukan ke itu satu pembaziran?" Rabiatul Adawiyah berkata sendirian.

Dia cuba beranikan diri. Baru beberapa langkah, dia berpusing kembali. Aduh... Jantungnya berdegup kencang. Masakan tidak, dia tidak pernah berbual dengan lelaki itu.

"Sampai bila? Waktu ini sangat kecemasan!" marahnya kepada diri sendiri walaupun suaranya masih dikawal.

"Nekad ajalah..."

Dia berdiri di beranda rumah besar itu. Masih lagi teragak-agak. Dia terjenguk-jenguk ke arah pintu yang terbuka.

"Ass..."

Baru sahaja Rabiatul Adawiyah mahu memberi salam, Syakri terjengul di depan pintu. Kelihatan Syakri sudah bersiap-siap mahu keluar.

"Eh, Rabitah. Buat apa berdiri dekat situ?" sapa Syakri. Dia agak tergamam apabila melihat gadis itu tegak berdiri bagaikan tiang bendera di hadapan rumahnya.

Rabiatul Adawiyah tertunduk malu. Namun dia perlukan pertolongan. Ya! Itu tujuan sebenar dia berdiri bagaikan tiang tanpa bendera begitu.

"Assalamualaikum..." Rabiatul Adawiyah beranikan diri. Salam pembuka bicara.

"Waalaikumussalam..." Syakri terpaku. Dia tidak pernah dengar suara halus itu menyapanya selama ini. Dia memandang wajah gadis itu tanpa berkelip.

Makin gelabah Rabiatul Adawiyah. Relaks, Awiyah. Dia tu bakal adik ipar kau. Suatu hari nanti, dia akan tahu juga siapa diri kau yang sebenarnya, pujuk hatinya.

"Encik Syakri, boleh tolong saya?" soalnya perlahan biarpun teragak-agak.

Syakri tersenyum meleret. Hari itu dia bagaikan mendapat cabutan bertuah kerana dapat bercakap dengan gadis itu. Dia selalu mengusik gadis itu semata-mata ingin mendengarnya, namun tidak berjaya. Tetapi hari itu... Oh! Dia seperti mahu lompat sampai ke bintang pula.

"Boleh tolong saya?" Rabiatul Adawiyah mengulangi soalannya tadi.

"Nak minta tolong apa?" soal Syakri, cuba kontrol macho.

"Tolong betulkan paip dekat bilik air. Kepalanya patah," ucap Rabiatul Adawiyah perlahan.

"Sekejap lagi saya datang."

"Errr..."

"Tak mengapa, awak boleh duduk di luar ni," cadang Syakri seakan-akan mengerti.

"Terima kasih..."

"Sama-sama kasih..." Syakri tersenyum lebar.

Syakri masuk ke dalam rumah. Seketika kemudian dia keluar membawa sebuah kotak besi yang mengandungi peralatan pertukangan. Syakri bersiul-siul kecil menuju ke rumah sewa di sebelahnya manakala Rabiatul Adawiyah pula duduk di bangku yang ada di beranda rumah itu. Dia berharap agar Syakri mampu menanganinya seorang diri.

"BUAT apa duduk di luar ni, Rabitah?" tegur Mak Cik Soraya sebaik sahaja nampak gadis itu menahan kantuk. Tersengguk-sengguk di kerusi luar.

"Mak cik..." Rabiatul Adawiyah segera mendapatkan tuan rumahnya itu.

"Rabitah tunggu mak cik ke?" soal Mak Cik Soraya lagi. Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi.

"Mana Syakri?" soalnya lagi.

"Saya minta tolong dia betulkan paip yang patah dekat bilik air tu. Nak buat sendiri tak pandai," jawab Rabiatul Adawiyah, jujur.

"Oh, ya ke? Kalau macam tu, kamu tunggu sekejap ya. Mak cik nak masuk dalam dulu."

Rabiatul Adawiyah hanya mengangguk.

Mak Cik Soraya memanggil suaminya supaya menolong Syakri di rumah sewa Rabiatul Adawiyah. Setelah suaminya keluar menuju ke rumah Rabiatul Adawiyah, Mak Cik Soraya keluar semula.

"Duduklah dulu ya, Rabitah. Mak cik simpan barang-barang ni sekejap."

"Biar saya tolong, mak cik." Rabiatul Adawiyah mengambil beberapa beg plastik yang terletak berdekatan dengannya. Dia mengekori langkah tuan rumahnya itu.

Rabiatul Adawiyah menarik kerusi yang ada di dapur setelah meletakkan barang-barang yang dibeli oleh Mak Cik Soraya.

"Tadi mak cik pergi rumah bakal besan mak cik tu..." Tanpa dipinta, Mak Cik Soraya bercerita.

Jantung Rabiatul Adawiyah berdegup kencang. Matanya seratus peratus memberi tumpuan ke wajah Mak Cik Soraya yang sedang membancuh air.

"Kami berbincang, mungkin majlis perkahwinan Syakri dengan Zulaikha akan dipercepatkan. Dalam masa enam bulan lagi, menikahlah mereka," cerita Mak Cik Soraya lagi.

Bagaikan tersedak air liur sendiri, berkali-kali Rabiatul Adawiyah berdehem. Membetulkan salur pernafasan yang dirasakan makin sempit.

Zulaikha dah nak kahwin? Sayunya hati. Sungguh! Perasaan sedihnya bertandang lagi.

"Nanti mak cik nak minta tolong kamu lagi ya, Rabitah?" Suara Mak Cik Soraya menyapa telinganya. Wanita itu duduk di sebelahnya.

"Errr... Insya-Allah, mak cik. Saya akan tolong apa yang termampu." Hanya itu yang mampu dia ucapkan. Dia sendiri tidak tahu apa yang bakal terjadi enam bulan lagi. Khuatir segala rahsianya akan terbongkar. Atau... dia akan dipinggirkan sampai bila-bila.

"Marilah kita keluar. Ambil angin luar. Mungkin dia orang dah siap betulkan paip tu," kata Mak Cik Soraya sebaik sahaja dia terdengar suara suaminya di luar rumah.

"Biar saya yang bawa air ni, ya." Rabiatul Adawiyah menawarkan diri. Mak Cik Soraya mengangguk saja.

"Dah siap ke, Aki?" soal Mak Cik Soraya sebaik nampak kelibat anaknya.

"Dah, mak," jawabnya ringkas. Dia tersenyum meleret sebaik sahaja melihat Rabiatul Adawiyah.

Ceh, mamat ni... Kau tau tak kau tu bakal kahwin dengan adik aku? Simpanlah senyum tu. Janganlah jual murah sangat, ejek Rabiatul Adawiyah dalam hati.

"Mak cik, saya nak minta diri dululah." Rabiatul Adawiyah rasa tidak selesa hendak menyertai anak-beranak itu. Rasa janggal pula.

"Hesy... Duduklah dulu. Kita minum-minum sambil berbual-bual. Cepat sangat nak balik," halang Mak Cik Soraya. Rabiatul Adawiyah jadi serba salah pula. Untuk mengambil hati, dia duduk di sebelah tuan rumahnya itu.

"Tadi mak bincang apa?" soal Syakri. Kali ini dia nampak lebih serius. Yalah, pasal masa depan dia. Pasal rumah tangga yang bakal dibina kenalah lebih serius.

"Kami dah setuju enam bulan lagi kita buat majlis tu. Tuan Jalal kamu tak nak lambat-lambat sangat. Kalau ikutkan dia, bulan depan dia suruh kamu menikah. Tapi mak yang minta enam bulan lagi. Emak takut tak sempat nak uruskan apa-apa," kata Mak Cik Soraya sambil mengunyah kuih karipap yang baru dibelinya tadi.

"Kita tak payah buat besar-besaranlah, mak. Membazir aja. Cukuplah akad nikah. Yang lain-lain, Aki tak nak buatlah." Syakri memberi pandangannya. Mak Cik Soraya menggeleng.

"Anak-anak mak yang lain buat, takkan kamu tak buat pula. Tak nak sanding pun tak apa asalkan kita jemput saudara-mara dengan orang-orang kampung ni," bantah Mak Cik Soraya.

Gadis itu hanya pasang telinga seolah-olah dia menjadi wakil kedua-dua ibu bapanya pula.

"Betul kata mak kamu tu," sahut Pak Cik Hashim pula.

"Suka hatilah. Asalkan jangan suruh Aki sanding. Boring aja jadi patung cendana atas pelamin tu." Syakri tergelak.

Rabiatul Adawiyah mahu tergelak sama, namun dia cuba mengawalnya.

"Mak, Tuan Jalal tu tak nak cari anak sulung dia ke? Takkanlah majlis macam ni penting, dia tak nak semua anak-anak dia ada?" Soalan Syakri itu mengejutkan Rabiatul Adawiyah. Sedaya upaya dia mengawal perasaannya.

"Entahlah. Ada juga mak tanya, tapi dia diam aja."

"Mungkin anak sulung dia tu dah kahwin." Kali ini Pak Cik Hashim pula yang bercakap.

Rabiatul Adawiyah rasa mahu pitam di situ. Mak cik... pak cik... dan wahai bakal adik ipar, tolonglah jangan cerita pasal aku. Anak sulung dia berada di hadapan kalian ini! Mahu sahaja dia menjawabnya. Tetapi dia masih boleh bersabar. Mungkin ada petunjuk ataupun sesuatu yang boleh dia dapat daripada keluarga itu.

"Budak-budak zaman sekarang ni degil sangat. Ikut kata hati. Sudahnya jiwa yang mati," bebel Pak Cik Hashim.

Rabiatul Adawiyah terkedu. Bagaikan tertelan lidah sendiri. Dia memang tidak mampu hendak bernafas dengan selesa. Dia rasa tercekik!

"Biarlah, bang... Kita pun satu, kadang-kadang bertegas sangat pun tak boleh juga dalam mendidik anak. Kena juga ada lembutnya. Bukan bermakna kena ikut kehendak anak tu, cuma dengar pandangan mereka. Lagipun, kita tak tahu cerita yang sebenarnya. Nak cakap lebih-lebih pun tak boleh juga," tegur Mak Cik Soraya.

"Bagi Aki..." Lelaki itu terdiam. Rabiatul Adawiyah ternanti apa yang bakal dikatakan oleh lelaki itu.

Syakri meneguk air kemudian memandang wajah ibunya.

"Kalau boleh, biarlah semua ada. Barulah meriah. Tak apalah... Kisah lalu tu buanglah jauh-jauh. Apa yang penting perhubungan kekeluargaan tu tak ada kepincangannya," luah Syakri perlahan.

Rabiatul Adawiyah sedikit terharu. Dia sungguh tidak sangka bakal adik iparnya itu berhati mulia. Dia yakin, Zulaikha akan menjadi isteri yang baik kerana mendapat lelaki sebaik Syakri.

"Itu kata kita, Aki. Kita tak boleh juga paksa orang. Sama-samalah kita berdoa moga bakal kakak ipar Aki tu pulang ke pangkuan keluarga. Tak sanggup mak tengok nenek dia yang semakin uzur tu. Sampaikan emak pun dia kata cucu dia. Kesian..."

Kata-kata itu bisa melumatkan hati Rabiatul Adawiyah. Nenek... Ya Allah, tolonglah pulihkan nenekku. Bantulah dia, Ya Allah. Aku rindukan dia, doa Rabiatul dalam hati. Dia cuba mengawal perasaan. Seminit... Dua minit... Sendunya makin memberat. Tinggal lelehkan air mata sahaja.

"Aki jangan nak sia-siakan Zulaikha. Biarpun ini pilihan mak dan abah, bukan bermakna Aki boleh buat sesuka hati. Ini yang terbaik buat Aki," pesan Mak Cik Soraya.

Syakri hanya mendiamkan diri, namun dalam waktu yang sama dia menjeling ke arah gadis yang duduk di sebelah emaknya. Rabiatul Adawiyah perasan mata itu, namun dia pura-pura tidak melihatnya.

"Bukan ke Aki boleh pasang lagi tiga?" Syakri mula menyakat emaknya.

"Jangan nak mengada-ada, Aki. Susah kalau kahwin banyak ni. Kalau tak jalankan tanggungjawab dengan adil, dekat akhirat takut jalan senget sebelah pula," bidas Mak Cik Soraya.

"Alah... Abang Ilham boleh, mak." Syakri buat muka manjanya.

"Jangan nak samakan dengan Abang Ilham kamu. Dia tu lain, ilmu agama tinggi. Dia adil dengan isteri-isteri dia. Lagipun Kak Su kamu tu dengan madu dia macam kawan baik. Bagus dia didik isteri-isterinya itu..."

Rabiatul Adawiyah sangat terkejut. Rupa-rupanya selama ini majikannya itu hidup bermadu. Memang benar, Kak Sulwani nampak sangat bahagia. Sekiranya suaminya menelefon ketika dia berada di situ, nampak seperti mereka sedang bercinta. Sangat manja apabila berbual dengan suaminya itu. Lagipun dia sudah nampak sendiri suami majikannya itu memang sangat prihatin.

"Belum cuba kita manalah tahu. Kena cuba dulu... Kan Rabitah?"

Terkejut Rabiatul Adawiyah apabila diaju pertanyaan begitu. Jawapannya? Tak mahu komen.

"Ewah dia... Belum kahwin lagi dah berangan nak kahwin banyak. Mak kenal anak mak. Bukan boleh percaya sangat pun. Susah kalau nak jadi adil ni, Aki. Bukan semudah kita lafazkan..."

"Abah pula macam mana?"

"Hesy... Kalau tanya abah..." Belum sempat Pak Cik Hashim menjawab, Mak Cik Soraya sudah mencelah dulu.

"Dah... Dah... Jangan nak tanya abah kamu."

Pak Cik Hashim tertawa. Begitu juga dengan Syakri. Mak Cik Soraya sudah masam mencuka. Rabiatul Adawiyah tersenyum saja.

Keluarga mereka sangat bahagia. Moga Allah kekalkan kebahagiaan mereka. Dan semoga kehadiran adikku nanti semakin menambah kebahagiaan buat mereka.

"Mak cik saya minta diri dululah, ya. Karmah pun dah balik tu." Rabiatul Adawiyah bangkit lalu menghulurkan tangannya. Akhirnya dia dapat memberi alasan untuk pulang ke rumah. Karmah pula sudah balik dari Shah Alam.

"Buat apa nak minta diri awak tu kat mak saya? Mak saya tak ambil pun diri awak." Sempat lagi Syakri mengusik. Rabiatul Adawiyah hanya mengangguk. Malas hendak melayan kerenah nakal lelaki itu.

"Jangan marah ya, Rabitah. Aki ni memang suka mengusik," kata Mak Cik Soraya.

Kemudian Rabiatul Adawiyah mendapatkan Karmah yang baru keluar dari perut kereta.

"Wah! Bukan main mesra lagi kau dengan bakal mak mentua," usik Karmah pula.

"Kau jangan nak mengada-ada. Itukan bakal mak mentua adik aku sendiri. Jangan buat-buat lupa pula." Rabiatul Adawiyah menjeling Karmah.

"Alah, baru bakal... belum..." Mulut Karmah ditutup.

"Jangan doakan yang bukan-bukan. Aku berharap sangat perkahwinan adik aku berjalan dengan lancar. Hanya itu sahaja yang mampu mengembalikan keceriaan kedua-dua orang tua aku," luah Rabiatul Adawiyah. Dia tertunduk sayu.

"Maafkan aku, ya?"

"Dahlah... Jom masuk." Mereka beriringan masuk ke dalam rumah.

Rabiatul Adawiyah terus ke dapur. Dia meninjau bilik air. Paip yang patah itu telah diganti yang baru. Dia tersenyum. Syakri siap mop bekas-bekas air. Dia sangat berpuas hati tetapi matanya bagaikan mahu keluar tatkala baju-baju yang ada di dalam baldi itu sudah siap diperah.

Waaa! Rabiatul Adawiyah mahu menangis. Serius dia malu.

"Allah... Malunya..." Terkeluar juga perkataan itu dari mulutnya.

"Kenapa, Awi?" soal Karmah sambil terkocoh-kocoh mendekati rakannya itu.

Karmah memandang wajah Rabiatul Adawiyah yang sudah tidak berniqab itu. Wajah itu tampak merah. Mesti ada apa-apa ni, teka hati Karmah.

"Adoi... Macam mana aku nak cakap dengan kau ni? Aku dah malu besar." Rabiatul Adawiyah menepuk-nepuk pipinya.

"Dah... Dah... Kalau kau tampar pipi kau kuat-kuat pun bukan aku boleh faham. Jom kita ke depan, kau cerita dengan aku apa yang dah berlaku." Karmah menarik tangan Rabiatul Adawiyah.

"Tadi... paip dekat bilik air tu patah. Aku tengah basuh kain. Tak sangka pula boleh patah kepala paip tu. Jadi aku minta tolonglah dengan Syakri," cerita Rabiatul Adawiyah sebaik sahaja mereka duduk di ruang tamu.

"Ganasnya kau sampai kepala paip tu boleh patah. Habis tu apa masalahnya?"

Rabiatul Adawiyah menjegilkan matanya. Karmah tersengih lebar.

"Masalahnya... mamat tu terlebih rajin pula sampai semua dia tolong siapkan. Ingatkan tadi rumah ni banjir sebab air tak henti-henti mengalir. Bukan ada meter air nak ditutup."

"Baguslah. Taklah penat kita nak mop rumah."

"Yang tu okeylah... Suka sangat sebab dia dah siapkan. Yang lagi satu tu..."

"Yang lagi satu? Weh, cakaplah betul-betul. Aku ni baru balik dari kursus. Otak aku ni masih lagi tepu," gesa Karmah.

"Yang dalam baldi itulah... Tadi aku lupa nak keluarkan baju yang aku basuh tu. Lagipun aku belum bilas lagi. Tup-tup... Adoiii..." Sekali lagi wajahnya terasa panas. Memang dia malu.

"Hah?! Baju kau?" Bulat mata Karmah. Dia turut dapat rasakan perasaan Rabiatul Adawiyah.

"Ya. Semuanya sekali," jawab Rabiatul Adawiyah dengan perasaan malu.

"Laaa... Terlebih rajinlah pula," kata Karmah sambil menekan perut menahan tawa. Muka rakannya itu jangan ceritalah. Akhirnya tersembur juga segala tawa yang disimpannya tadi.

"Dahlah kau..." Rabiatul Adawiyah bangkit. Dia masuk ke dalam bilik. Karmah pula masih lagi tertawa.

"Bakal suami tolong bilas baju. Sangat manis..."

"Oi... Dia bakal adik ipar aku, eh. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar, eh..." Rabiatul Adawiyah keluar semula. Dia bercekak pinggang.

"Alah, gurau pun marah ke?" sakat Karmah. Rabiatul Adawiyah hanya diam saja.

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz