Bab 13
SEBAIK sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, Rabiatul Adawiyah rasa dunianya semakin kelam. Kakinya semakin memberat. Perlahan dia menjatuhkan tubuhnya di atas tikar. Di situ, dia melepaskan tangisannya.
"Awi... Sabarlah..." pujuk Karmah. Dia mengusap lembut belakang rakannya itu.
"Kar... Bayangkan lima tahun aku tak nampak wajah mereka. Lima tahun aku tak dengar suara mereka. Hari ni... aku..." Suara Rabiatul Adawiyah tersekat-sekat.
"Syukurlah, Awi. Sekurang-kurangnya Allah aturkan pertemuan biarpun tak diduga. Selama ini kau berharap sangat nak bertemu mereka. Akhirnya dapat juga jumpa. Sebagai sahabat, aku juga turut rasa gembira." Air mata Karmah turut melurut jatuh ke pipi.
"Aku bersyukur, Kar. Cuma aku rasa sedih apabila tengok keadaan nenek aku. Dia semakin uzur. Dah nyanyuk... Semuanya disebabkan aku. Perbuatan aku ni memang tak boleh dimaafkan. Aku ni kejam, Kar!"
Karmah memeluk tubuh Rabiatul Adawiyah yang terbaring di lantai. Mereka sama-sama melepaskan perasaan.
"Jangan cakap macam tu, Awi. Semuanya dah ditentukan oleh Allah. Jangan salahkan diri sendiri," pujuk Karmah.
"Kenapa aku tak fikir dulu, Kar? Kenapa aku ikutkan nafsu? Kenapa aku bodoh sangat? Aku derita sorang diri sedangkan dia berbahagia dengan kehidupan dia. Dia bebas bersama-sama keluarga dia. Aku? Aku jadi anak terbuang. Aku jadi anak derhaka. Aku jadi anak tak berguna, Kar..."
"Sabarlah, Awi... Allah tu Maha mengetahui."
"Aku akan terhukum macam ni buat selama-lamanya. Abah aku dah tak nak terima aku lagi. Memang dia sengaja pindah ke sini semata-mata dia tak nak aku cari dia. Kejamnya aku sebab sanggup menghuru-harakan keluarga sendiri."
"Kau tak salah, Awi! Cukup-cukuplah kau nak salahkan diri kau. Kau tak salah..."
"Kalau aku tak salah, habis apa? Aku benci dengan apa yang aku rasa, Kar. Aku nak jadi macam orang lain. Aku nak hidup bahagia. Aku nak keliling aku ada keluarga aku. Aku tak nak hidup macam ni lagi!"
"Kau cuma tersilap. Silap langkah. Itu aja."
Bahu Rabiatul Adawiyah terinjut-injut. Tangisannya semakin tidak dapat dikawal. Dia cuba menahan sejak tadi.
"Awi..."
"Kar, aku telah musnahkan semuanya. Abah kata lepas STPM, dia nak aku masuk sekolah tahfiz. Biarpun aku tak masuk universiti dulu, dia tak kesah asalkan aku belajar menghafal tiga puluh juzuk. Lepas tu, barulah nak ke universiti ataupun bekerja terus. Aku hampakan hasrat murni dia. Aku tau dia sangat kecewa dengan aku. Aku anak tak berguna, Kar. Aku tak berguna... Kau tau tak?"
"Kenapa dengan kau ni? dulu sebelum kau jumpa dia orang, kau seorang yang kuat. Kau sangat tabah tapi sekarang apa dah jadi?" tegur Karmah.
"Tolonglah, Awi... jangan jadi lemah macam ni. Kau kena fikir, macam mana nak kembali ke pangkuan mereka daripada kau terus meratap hiba macam ni," tambah Karmah lagi lantas memeluk tubuh Rabiatul Adawiyah.
"BANG... Makin teruk keadaan emak tu. Saya rasa kasihan tengok dia macam tu." Puan Saadiah menyuarakan apa yang dirasakan kepada suaminya.
Encik Jalal yang sedang membaca buku, menurunkan cermin matanya. Wajah isterinya ditatap. "Apa maksud awak?"
"Agaknya emak tu rindu sangat dekat Awiyah, bang. Sebab itulah penyakitnya makin teruk." Dalam gentar, Puan Saadiah katakan juga apa yang tersirat dalam hatinya.
"Awak jangan nak sebut lagi pasal budak tu. Tak ada kena-mengena dengan emak. Esok abang bawa dia jumpa doktor," bidas Encik Jalal.
Puan Saadiah mengeluh. Itulah suaminya, ikutkan sangat rasa marah yang disimpan bertahun-tahun lamanya. Entah sampai bilalah suaminya itu dapat memaafkan anaknya.
"Dah bertahun, bang. Takkan tak ada sikitpun perasaan rindu abang dekat dia? Islam tak mengajar kita memusuhi anak sendiri. Biarpun berapa besar kesalahan dia, bukan ini caranya untuk buat dia kembali kepada Allah. Bukan ke itu yang abang ajar kami?" Puan Saadiah sengaja menyindir suaminya itu.
"Abang tak suka bincang pasal benda ni," balas Encik Jalal lantas membuka bukunya kembali.
"Suka ataupun tak, kita kena bincang juga, bang. Kita kena cari jalan penyelesaian. Bukan kita biarkan bertahun-tahun macam ni," pujuk Puan Saadiah. Suaranya dilembutkan. Moga hati suaminya turut lembut sama.
"Kalau betul dia nak kembali kepada kita, kenapa dia tak balik-balik lima tahun dulu? Dahlah, awak jangan nak mulakan. Abang muak nak dengar!" tegas Encik Jalal.
Puan Saadiah mengeluh. Memang suaminya itu keras hati!
"Abang yang tak nak jumpa dia. Abang yang buang dia. Lagipun, macam mana dia nak balik sedangkan kita dah tinggalkan kampung lama? Mana dia nak cari kita?" bidas Puan Saadiah.
Dia terlalu rindukan anak sulungnya. Bohonglah kalau dia katakan dia benci. Apa yang ada dalam hatinya adalah perasaan rindu. Kadang-kadang, dia termimpi-mimpi anak sulungnya. Hanya dalam mimpi saja dia dapat melihat wajah anaknya. Hatinya kian sebak. Tiada siapa yang faham apa yang dia tanggung selama ini!
"Besar kesalahan yang dia buat, Saadiah. Bukan sikit-sikit. Dia sanggup conteng arang dekat muka kita. Abang memang tak boleh terima." Perlahan Encik Jalal bersuara. Semakin mengundang rasa hiba dalam hati Puan Saadiah.
"Besar manapun, abang... Siapa kita nak hukum dia macam ni sekali? Kita tak ada hak, bang. Sedangkan kita hanya meminjam dia daripada Allah. Biarlah Allah yang menentukan bentuk hukumannya. Kita terima dia kembali, bukan bermakna kita boleh terima apa yang dia dah buat. Kita terima dia kerana Allah. Amanah Allah masih lagi kita tanggung. Selagi dia tak berumah tangga, selagi itu dia masih di bawah jagaan kita."
Encik Jalal terdiam. Ada betulnya kata-kata isterinya itu. Tetapi hatinya tetap belum mampu menerima semula anaknya itu. Dia cukup terluka. Imbauan tiga tahun lalu menggamit semula.
"Imam... Rasanya kami dah tak boleh terima imam mengetuai solat kami." Encik Jalal ditahan ketika hendak mengimamkan solat maghrib. Wajahnya berkerut lama.
"Kenapa pula, Ahmad? Apa salah saya?" soalnya.
"Saya dengar anak imam ada yang buat maksiat. Dah ada anak luar nikah pun. Rasanya orang yang kononnya banyak ilmu agama, yang bagi tazkirah kepada orang lain, tapi dengan keluarga sendiri tak dididik, langsung tak layak nak jadi imam kami," ejek Ahmad lagi. Salah seorang penduduk yang suka mencari salah dirinya.
Encik Jalal terdiam. Dia tidak tahu bagaimana perkara itu boleh diketahui oleh orang lain. Semua yang ada di dalam masjid itu tercengang. Antara mahu percaya ataupun tidak. Namun Ahmad terus meyakinkan semua jemaah. Dengan sebulat suara mereka terus menolak Encik Jalal.
Bermula dari malam itu, kehidupan mereka semakin tertekan dek suara-suara sumbang. Akhirnya, Encik Jalal nekad meninggalkan kampung halamannya. Kampung yang banyak meninggalkan kenangan. Di situlah arwah ayahnya berusaha mendirikan sebuah rumah daripada hasil titik peluh sendiri. Namun, dia terpaksa.
"Abang..." panggil Puan Saadiah.
Bayangan kenangan lalu terus mati. Dia memandang wajah isterinya.
"Berhentilah mengenang masa silam," pesan Puan Saadiah. Dia tahu apa yang ada di dalam kepala suaminya.
"Kerana masa silam itu yang membuatkan kita jadi insan yang lebih berhati-hati." Sinis Encik Jalal menjawab.
Puan Saadiah menjongket bahunya. Susah hendak berbincang dengan suaminya itu.
KARMAH memandang Rabiatul Adawiyah. Sejak maghrib tadi rakannya tidak henti-henti membaca al-Quran. Bila waktu isyak masuk, dia akan solat kemudian dia sambung kembali bacaannya.
Air mata jangan cakaplah, asyik keluar tidak henti-henti. Karmah memandang jam. Waktu telah menginjak ke angka dua belas setengah malam. Rabiatul Adawiyah tetap begitu. Baca dan terus membaca.
Kasihan dia... Andai aku dapat menggantikan tempat dia, biarlah aku yang tanggung kesedihan itu. Dia cukup derita, bicara Karmah dalam hatinya.
"Awi... Jom masuk tidur. Esok kita nak mengajar. Nanti mata kau bengkak pula. Mesti budak-budak tanya," pujuk Karmah.
Rabiatul Adawiyah angkat muka. Dia hanya mengangguk.
"Awi..."
"Kau tidurlah dulu, nanti aku tidur," jawab Rabiatul Adawiyah perlahan. Sangat lemah suaranya.
"Yalah... Aku tidur dulu, eh. Nanti jangan tidur lambat sangat. Esok kita kerja," pesan Karmah sebelum berbaring.
Rabiatul Adawiyah menyambung bacaannya. Semakin dia tinggal keseorangan pada malam yang sunyi begitu, semakin hatinya hiba.
Aku pendosa... Aku pendosa, Ya Allah... Kau ampunilah aku, doanya berkali-kali.
Dia mengimbau kisah lama lagi. Terbayang di ruangan mata ketika dia berbual santai bersama abahnya. Akhirnya dia hanyut bersama kenangan bersama abahnya.
Encik Jalal sedang duduk tersandar setelah habis mengaji. Dipandang wajah isterinya yang sedang lena. Wajah itu menggambarkan riak sedih biarpun terlena. Dia tahu betapa isterinya itu menanggung rindu.
Namun dia masih lagi tidak dapat melupakan segalanya. Anak yang diharap selama ini, sanggup menconteng arang ke mukanya. Dia sangat kecewa. Kopiah yang tersarung di atas kepala diambil lalu dilipat dengan kemas.
"Abah berharap sangat Awiyah dapat bersekolah di sekolah tahfiz nanti." Dia teringatkan perbualannya dengan anak sulungnya itu.
"Boleh tak Awiyah sekolah lepas habis STPM? Rasa sayang pula tak ambil peperiksaan STPM." Rabiatul Adawiyah tersenyum. Ketika itu dia baru sahaja mendapat keputusan SPM.
"STPM tu boleh ambil lepas Awiyah habis buat tahfiz. Lambat pun tak apa. Biasanya apabila al-Quran tiga puluh juzuk mampu dihafal, mudahlah nak menerima apa sahaja pelajaran nanti," pujuk Encik Jalal. Rabiatul Adawiyah terdiam.
"Awiyah tau tak istimewanya orang menghafal al-Quran tu?" pancing Encik Jalal.
Rabiatul Adawiyah memandang wajah abahnya. Dia melebarkan bibirnya lantas kepala diangguk.
"Dalam dunia saja dah dapat kelebihan. Antaranya penghafaz al-Quran merupakan VVIP Allah SWT. Seperti dalam riwayat Ibnu Majah, sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya dalam kalangan manusia. Lalu mereka bertanya: Siapakah mereka, ya Rasulullah SAW? Jawab baginda: Mereka ialah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang-orang pilihannya. Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin."
Rabiatul Adawiyah sungguh kagum kepada orang-orang yang mampu menghafaz al-Quran. Kadang-kadang dia terasa dirinya penuh kezaliman kerana dia dilahirkan sebagai seorang Islam, tetapi sedikit cuma dia menghafal ayat-ayat al-Quran.
"Kalau di akhirat pula ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan. Sepertimana sebuah hadis menyatakan, sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari sungguh pun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini. Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud. Awiyah tak nak hadiahkan mahkota untuk abah dengan mak?" soal Encik Jalal.
Rabiatul Adawiyah serba salah. Dia mahu teruskan cita-citanya dahulu. Kemudian barulah dia tunaikan hasrat abahnya itu.
"Abah... Kalau mampu, Awiyah nak serahkan nyawa Awiyah untuk abah dan emak. Nak buat apa saja, tapi kali ni aja, abah. Awiyah nak ambil STPM dulu. Kalau dah habis senang sikit Awiyah nak tumpukan pada hafazan. Tak lama, dua tahun aja, abah," pujuk Rabiatul Adawiyah.
Encik Jalal mengeluh. Payah benar dia hendak pujuk anak sulungnya itu. Salah dia juga. Kenapalah dia tidak terus sekolahkan anaknya di sekolah tahfiz sahaja dahulu?
"Dua tahun tu, Awiyah dah boleh hafal banyak surah. Malah kalau hati Awiyah terang, sikit aja lagi sudah tamat."
"Awiyah tahu... tapi..." Rabiatul Adawiyah terdiam.
"Baiklah. Kalau abah setuju dengan cadangan tu, Awiyah jangan mungkir janji pula." Akhirnya Encik Jalal memberi kata putus. Tiada daya lagi dia hendak memujuk. Khuatir juga andai dia paksa juga, tiada keikhlasan dalam hati anaknya. Lebar senyuman anak gadisnya itu.
"Terima kasih, abah. Sayang abah banyak-banyak." Rabiatul Adawiyah memeluk lengan abahnya. Dia rasa amat bahagia sekali.
Encik Jalal tersedar daripada kenangan lamanya.
"Akhirnya, dia mungkir janji juga." Terlontar ayat kecewanya. Encik Jalal memejam mata. Cuba mencari ketenangan.
Di rumah Rabiatul Adawiyah...
"Maafkan Awiyah, abah... Awiyah dah terima hukumannya kerana berbohong kepada abah. Maafkan Awiyah, abah. Dunia dan akhirat, Awiyah akan tetap sayang abah sampai bila-bila." Hiba hati Rabiatul Adawiyah saat dia terkenangkan dia telah mungkir pada janjinya.
Perlahan Rabiatul Adawiyah merebahkan tubuhnya. Di atas sejadah yang kian lusuh itu, dia memejamkan mata.
"Abah... kalau abah dengar, tolonglah buka hati abah. Jangan bencikan diri ini. Cukuplah Awiyah sebagai seorang pelarian. Awiyah dah tak mampu lagi nak hidup macam ni. Tolonglah, abah..." katanya perlahan. Cukup didengari telinganya sahaja. Akhirnya, dia terlena juga.
Encik Jalal terkejut apabila dia seolah-olah mendengar bisikan. Matanya terbuka luas. Dia memandang wajah isterinya, isterinya tetap seperti tadi. Dia tercari-cari kelibat anaknya.
Dia memegang dadanya. Jantungnya berdegup laju.
"Apa yang aku dengar tadi? Mustahil!"
Suara anaknya berbisik rapat di telinganya. Sangat jelas.
"Astaghfirullahalazim..." Dia beristighfar beberapa kali. Mana mungkin anak dia ada di situ. Dia bangkit dari kerusi kemudian segera ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dia segera mengerjakan solat sunat.
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz