Bab 15
SEDAYA upaya dia mengelak untuk tidak terserempak dengan Syakri. Memang dia malu besar. Ada ke patut lelaki itu membilas kesemua pakaiannya termasuklah... Oh my Allah... Kalaulah masa mampu diundur kembali, dia takkan biarkan pakaian dia di dalam bilik air itu. Dia tidak izinkan lelaki lain memerah pakaiannya kecualilah andai telah sah menjadi suaminya.
Syakri pula asal nampak kelibat dia, memang sengaja tayang muka. Siap senyum-senyum lagi. Tahulah senyum lelaki itu senyum ada makna. Cis! Rasa hendak tukarkan wajah Syakri itu dengan wajah Doraemon. Biar boleh gelak secara berjemaah apabila tengok dia.
Rabiatul Adawiyah tidak jadi keluar. Dia nampak kelibat Syakri duduk di beranda rumah besar itu. Dia serba salah untuk panaskan enjin kereta. Sudahnya dia berdiri sahaja di balik pintu.
"Kau tak panaskan enjin kereta ke?" soal Karmah.
Kebiasaannya, enjin kereta dipanaskan sementara mereka bersarapan pagi. Kali ini dia tidak sanggup pula keluar.
"Kita makan ajalah. Nanti dah nak pergi baru panaskan. Tak apa kut," cadang Rabiatul Adawiyah. Berkerut dahi Karmah dibuatnya.
"Hai... Bukan kau juga ke yang kata kena panaskan enjin dulu sebelum bergerak? Ni apa dah jadi?" Karmah menyingsing lengan bajunya. Dia menuang air ke dalam cawan.
"Sesekali tak apa," selamba Rabiatul Adawiyah menjawab. Rasanya itulah jawapan yang paling selamat.
Karmah ketawa.
"Apa pasal kau gelak?"
"Tak pernah-pernah... Selalunya kaulah orang yang paling rajin nak panaskan enjin. Kalau aku, lain cerita. Aku dah nak pergi baru aku panaskan."
"Maknanya, penyakit kau dah berjangkit dekat akulah ni. Tak payah pelik sangatlah. Baik kita habiskan makanan ni. Takut nanti budak-budak dah tunggu depan pagar."
"Yalah." Karmah malas hendak bersoal jawab lagi.
Mereka menikmati sarapan pagi dengan penuh berselera biarpun dalam fikiran Rabiatul Adawiyah berdoa agar lelaki itu sudah masuk ke dalam rumah.
"Dah, jom." Karmah mengambil pinggan dan cawan lalu dibasuhnya. Sebelum ke tempat kerja, mereka akan pastikan semuanya bersih.
Rabiatul Adawiyah mengambil beg. Karmah pula membawa beberapa gulung kertas yang ditampal pelbagai gambar.
"Dah nak pergi ke?" sapa Syakri.
Karmah agak terkejut. Dia menoleh ke arah lelaki yang sedang menyiram bunga itu.
Hai, Tak pernah-pernah mamat ni siram bunga. Apa kes? soal Karmah dalam hati.
"Ya. Nak pergi dah," jawab Karmah sambil tersenyum.
Rabiatul Adawiyah yang mendengar suara lelaki itu terus terhenti melangkah. Rasa kebas wajahnya. Dia memegang pipinya yang terasa membahang.
"Yang kau ni terkejung dekat sini, kenapa pula? Hai... Pagi-pagi lagi dah macam-macam benda pelik aku tengok. Sorang yang tak pernah-pernah siram pokok, siram pokok. Yang sorang selalu panaskan enjin kereta dulu, sekarang dah macam orang terkena elektrik. Peninglah," bebel Karmah. Dia mengambil begnya lalu ingin menutup pintu.
"Weh! Tepilah, aku nak tutup pintu. Pukul berapa kita nak pergi?" Karmah menyenggol Rabiatul Adawiyah.
Rabiatul Adawiyah nekad lantas melangkah laju ke arah kereta. Sepantas kilat juga dia menutup pintu kereta sebaik sahaja dapat meloloskan diri ke dalam perut kereta.
"Argh! Lega..." Berjaya juga dia lari daripada pandangan lelaki itu.
Syakri pula hanya memandang tingkah laku Rabiatul Adawiyah yang serba tidak kena itu. Dia tahu, gadis itu malu. Mesti pasal perkara yang dia buat beberapa hari yang lalu.
Rabiatul Adawiyah menghidupkan enjin kereta. Tanpa menunggu lama, dia terus mengundur lalu menekan minyak. Sedangkan dia terlupa sesuatu.
Dalam perjalanan, Rabiatul Adawiyah menoleh ke sisinya. "Ya Allah! Karmah?!" Dia terlupa rakannya belum naik lagi.
Syakri sudah tertawa terkekeh-kekeh. Kalut sungguh perempuan itu. Sampai tertinggal rakan sendiri. Karmah pula tercengang apabila kena tinggal begitu saja oleh rakannya.
Tidak lama kemudian, kereta Viva yang dipandu oleh Rabiatul Adawiyah muncul semula. Muka Rabiatul Adawiyah merah padam. Apatah lagi apabila melihat senyuman Syakri yang pura-pura membetulkan pasu bunga milik orang tuanya.
Kurang asam. Pasal kaulah aku gelabah macam ni. Eee... Malu betullah, bebel Rabiatul Adawiyah dalam hati.
Karmah yang melihat kelibat kereta Viva kembali lega. Dia segera mendapatkan kereta itu.
"Kau dah kenapa, minah oi? Tiba-tiba main pecut aja," bebel Karmah. Dipandangnya wajah rakannya itu.
"Maaflah, Kar. Aku gelabah tadi sampai tak ingat kau dah naik ke belum," jawab Rabiatul Adawiyah perlahan.
Karmah ketawa terkekeh-kekeh.
"Yang kau nak gelabah semacam ni kenapa? Relakslah..." Karmah faham kenapa rakannya jadi begitu.
"Mahu tak gelabah... Dia tu dah pegang aku punya..."
"Dahlah. Cuba kau lupakan, boleh tak?"
"Aku malu..."
"Kut ya pun malu, takkan sampai macam tu sekali? Nampak sangat kau nak lari dari dia."
"Ya ke?"
Karmah geleng kepala. Tawanya masih lagi bersisa. Belum pernah dia lihat sahabatnya itu gelabah sebegitu sekali.
RABIATUL Adawiyah tersenyum apabila teringat apa yang terjadi pagi itu. Tidak sangka pula dia boleh gelabah begitu. Hailah... Mujur juga dia belum jauh lagi. Kalau tidak, entahlah... Mungkin Karmah terpaksa naik motosikal agaknya.
"Cikgu... Kenapa cikgu senyum?" soal Amin.
"Oh, cikgu tersenyum sebab seronok tengok anak murid cikgu semua bijak pandai. Cantik Amin lukis," dalih Rabiatul Adawiyah.
Apalah aku ni... Bukan ke aku tengah mengajar ni? Ingatlah, Awiyah oi. Setiap masa yang kita bazirkan, akan ada kesannya pada pendapatan kita. Esok-esok di akhirat akan ditanya. Astaghfirullahalazim... keluhnya sendiri.
"Cikgu... Cikgu..."
"Ya, Fatin..."
"Cikgu, ayah saya tanya, muka cikgu cantik tak?"
"Fatin jawab apa?"
"Saya jawab cantiklah," jawab Fatin jujur.
"Kenapa cikgu nak pakai tutup mulut tu?" soal Fatin lagi.
"Tujuan cikgu menutup aurat dan memakai purdah adalah untuk melindungi diri cikgu daripada pandangan orang yang tak sepatutnya lihat kita," jawabnya sambil mencuit pipi Fatin.
"Tak faham, cikgu!" kata Fatin separuh menjerit. Rabiatul Adawiyah meletakkan jari telunjuk di bibir Fatin.
"Perlahankan suara tu," tegur Rabiatul Adawiyah.
"Maaf, cikgu." Mata Fatin terkebil-kebil.
"Maksudnya, cikgu takut mengundang fitnah. Cikgu takut orang mengata cikgu. Okey. Dah faham?"
Fatin mengangguk.
"Takut orang mengumpat cikgu, eh?" soal Fatin lagi. Rabiatul Adawiyah mengangguk.
"Pandai pun... Dah, siapkan kerja tu. Warna tu cantikkan lagi. Jangan comot, ya."
Pantas Fatin menyudahkan kerjanya.
Begitulah anak-anak yang masih lagi tidak punya dosa. Mereka sering ingin tahu apa yang orang dewasa lakukan. Kenapa dan mengapa, itulah soalan mereka. Mereka masih dalam proses pembelajaran. Putih yang diajar, maka putihlah yang disimpan dalam memorinya. Begitulah sebaliknya. Jika hitam yang dicalit, makan hitamlah yang diingatnya.
SEMASA waktu rehat, Karmah masih lagi mentertawakan dirinya. Naik rimas Rabiatul Adawiyah dibuatnya.
"Sudah-sudahlah gelakkan orang tu. Dari tadi lagi tau," tegur Rabiatul Adawiyah.
"Alah... Aku tak boleh nak lupalah. Dari tadi aku gelak aja. Muka dahlah selamba gila. Adoiii," sakat Karmah.
"Tapi kenapa dia pun buat tabiat eh? Tak pernah-pernah siram bunga. Beberapa hari ni aku tengok dia rajin siram bunga. Atau memang dia dah tukar aktiviti harian?" Karmah menjeling Rabiatul Adawiyah.
"Entah. Dia nak belajar kut. Nanti bila dia dah kahwin dengan adik aku, mudah dia nak buat kerja-kerja tu. Maklumlah, adik aku tu suka bunga. Kalau dia tanam bunga, mesti menjadi," ujar Rabiatul Adawiyah. Nampak macam logik aja alasan itu.
"Oh... Adik kau suka bunga, ya? Patutlah dekat rumah orang tua kau banyak bunga. Hmmm... Baru aku faham. Mungkin juga. Boleh diterima alasan kau tu." Karmah terangguk-angguk.
"Sejak kecil emak suka ajak dia tanam bunga. Aku tak suka sebab aku rasa kerja tu rumit. Tapi kalau Ikha, dia sayang bunga-bunga dia. Kalau kita petik bunga yang dia tanam, boleh buat dia menangis. Kenangan betul." Rabiatul Adawiyah tersenyum apabila terkenangkan sewaktu mereka kecil-kecil dahulu.
"Awi..."
"Hmmm?"
"Kau tak teringin nak balik dekat mereka? Lagipun adik kau dah nak kahwin, takkan kau nak tengok dari jauh dan biarkan saat manis tu begitu aja?" soal Karmah.
Rabiatul Adawiyah agak terkejut mendengar soalan itu. Dia diam seketika.
"Awi... Peluang dah ada... Jangan sia-siakan," pujuk Karmah.
"Siapa yang tak nak balik, Kar? Kalau boleh, saat ini pun aku nak bersama dengan mereka. Tapi..." Wajah Rabiatul Adawiyah agak sugul. Apabila terkenangkan keluarganya membuatkan jiwanya makin meronta.
"Kau cubalah dulu. Sekurang-kurangnya, percubaan pertama kau tu mampu merubah segalanya. Andai mereka tak mahu terima, kembalilah pada kehidupan asal kau. Hidup tanpa keluarga. Tapi kalau diterima, alhamdulillah. Aku tetap doakan untuk kau," ucap Karmah.
"Terima kasih, Kar. Insya-Allah, kalau Allah izinkan aku bersatu semula dengan keluarga, aku bersyukur sangat. Tapi kalau Allah tak izinkan, aku reda." Perlahan Rabiatul Adawiyah bersuara.
Dalam hati, saban hari dia berdoa moga masih ada peluang dia kecapi kehidupan sebuah keluarga yang bahagia. Dialah yang menjadi punca meragut kebahagiaan kedua-dua ibu bapanya serta adik-adiknya. Kejamnya dia!
PULANG dari kerja, mereka bercadang hendak keluar berbelanja barang dapur. Tetapi mereka berehat dahulu sementara menanti waktu maghrib. Awal-awal lagi Rabiatul Adawiyah telah bersiap. Lega rasanya apabila dapat mandi.
"Ini duit sewa rumah dengan duit dapur. Aku nak mandi dululah, ya. Kau senaraikan barang yang kita nak beli nanti," pesan Karmah sebelum dia angkat kaki menuju ke bilik air.
Rabiatul Adawiyah mencari beg duitnya. Dia ingin menyimpan duit yang telah diberikan oleh Karmah tadi. Habis semua isi begnya dikeluarkan apabila barang yang dicari tidak ketemu.
"Eh, mana pula beg duit aku ni?"
Rabiatul Adawiyah mundar-mandir.
"Takkan cicir pula?"
Dia cuba mengingat di mana kali terakhir dia membuka beg tangannya.
"Ya Allah... Tertinggal dekat dalam kelas. Macam mana ni?" Rabiatul Adawiyah berkata seorang diri.
Dipandangnya jam di dinding. Belum lagi pukul enam setengah. Masih lagi ada masa sebelum solat maghrib. Rabiatul Adawiyah mendapatkan Karmah yang berada di dalam bilik air.
"Kar, aku pergi tadika sekejap, eh," ucap Rabiatul Adawiyah sambil mengetuk pintu bilik air.
"Kau nak buat apa?"
"Aku nak ambil beg duit aku. Tertinggal," jawabnya jujur.
"Okey!" jawab Karmah dari dalam bilik air.
Tanpa berlengah lagi, Rabiatul Adawiyah pergi ke tadika. Dia berdoa semoga tiada sesiapa yang menjumpai beg duitnya.
Sampai sahaja di tadika, dia terus meluru ke kelasnya. Mulutnya terkumat-kamit membaca zikir. Dia menuju ke kelasnya. Pelik juga pintu yang sebelum ini ditutup rapat, terbuka sedikit.
Hmmm... Mungkin kena tiup angin. Aku ni cepat sangat pelupa, bisik Rabiatul Adawiyah.
Kemudian dia melangkah perlahan menuju ke mejanya. Lega! Dia terpandang beg duitnya terletak kemas di atas meja itu.
"Alhamdulillah..." ucapnya perlahan. Dia tersenyum lebar.
Kemudian Rabiatul Adawiyah memusingkan tubuhnya, mahu keluar dari kelas itu. Namun langkahnya terhenti tatkala dia mendengar bunyi derap telapak kaki. Hatinya menjadi berdebar. Siapa?
"Astaghfirullahalazim... Moga Allah lindungi aku," bisiknya perlahan.
Dia melangkah mahu meninggalkan kawasan itu seberapa segera sebelum masuknya waktu maghrib. Tatkala kakinya sudah memijak kaki lima dan sebelah lagi masih lagi di ambang pintu, dia terdengar satu suara.
"Rabiatul Adawiyah... Anak kepada Tuan Jalal..." ucap satu suara.
Rabiatul Adawiyah menoleh. Syakri! Bibirnya terketar biarpun Syakri tidak mampu melihatnya.
Ya Allah... Lindungilah aku...
"Awak tengok dompet saya?" soal Rabiatul Adawiyah perlahan, namun dapat didengar oleh Syakri yang berdiri tidak berapa jauh darinya.
"Rabiatul Adawiyah... Gadis misteri yang penuh dengan rahsia. Kisah hidup yang..."
"Siapa awak yang sebenarnya?"
"Saya yang patut tanya awak begitu. Siapa awak yang sebenarnya? Kenapa guna nama Rabitah?!" Tinggi suara Syakri. Lelaki itu tidak pernah begitu.
Bergerak-gerak bibir Rabiatul Adawiyah ingin menjawab, namun dia cuba menahan diri daripada terus berkata-kata.
"Kenapa diam? Takut rahsia lama terbongkar?" sinis lelaki itu menyoal.
Mata gadis itu mula panas. Seketika lagi pasti 'hujan' turun dari pipinya. Rahsia yang selama ini kemas disimpan akhirnya terbongkar juga.
"Mana awak tahu kisah saya?" Biarpun berat, namun Rabiatul Adawiyah tetap bertanya juga.
Mungkin juga Zulaikha yang ceritakan perkara yang sebenarnya. Lelaki itu bakal suaminya. Pasti dia!
"Perlu ke nak menyamar?" soal Syakri tanpa menjawab pertanyaan daripada Rabiatul Adawiyah.
"Saya tak pernah menyamar!" tegas Rabiatul Adawiyah. Syakri tertawa.
"Bangkai mana boleh ditutup dengan daun. Lambat laun baunya akan tetap ada," sindir Syakri lagi.
Mata yang panas kini sudah tidak tertahan lagi. Air matanya tertumpah juga.
"Terima kasih sebab ingatkan saya. Saya takkan pernah lupa itu." Rabiatul Adawiyah melajukan langkahnya. Dia meninggalkan Syakri. Hatinya benar-benar hiba!
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz