ZingTruyen.Xyz

PERGI

Bab 11

karyaseni2u

"KAR, aku nak keluar dah." Tanpa menunggu Karmah, Rabiatul Adawiyah melangkah keluar dari bilik itu biarpun Kak Sulwani mengajak dia bergambar bersama.

Sungguh! Kakinya bagaikan tidak berdaya lagi untuk berdiri lebih lama. Apatah lagi melihat wajah manis Zulaikha, adiknya sendiri. Patutlah hatinya tidak tenang sejak pagi lagi. Rupa-rupanya ini yang bakal dia hadapi. Mujurlah Zulaikha tidak mengenali dirinya.

Tangannya masih dingin dan menggigil. Dia tidak menyangka selama lima tahun dia dibuang dan dipinggir, hari ini... hari ini merupakan hari bersejarah buat dirinya. Adakah ini hari bertuahnya? Atau hari yang bakal mengundang malapetaka buatnya? Astaghfirullahalazim... Rabiatul Adawiyah beristighfar dalam hati sebanyak mungkin. Dia tidak mahu orang lain perasan. Dia perlu kuat!

Di tempat yang sama, dia labuhkan punggungnya di situ. Menahan diri daripada pelbagai perasaan yang melanda.

"Allahu... Allahu... Allahu..." Rabiatul Adawiyah berzikir. Dia masih lagi rasa degupan jantungnya. Dia tunduk. Cuba bertenang, namun hatinya tetap mahu melawan dirinya. Hati enggan setenang tadi.

Dia kalihkan penglihatannya ke arah luar rumah... Zupp! Jantungnya bagaikan terhenti, nafasnya bagaikan sesak. Allahuakbar! Wajah yang sangat dirinduinya dapat dilihatnya juga. Abah! Satu perkataan yang mampu membuatkan seluruh tubuhnya menggeletar. Tiba-tiba tubuhnya rasa sakit. Sakit dek kesan balunan rotan masih terasa lagi.

Jauh di sudut hatinya, dia tidak punya dendam dengan lelaki itu. Wajah tua yang menyimpan seribu luka. Luka dek perbuatan anaknya ini!

"Ampunkan Awiyah, abah!" Perlahan bibirnya mengatur bicara.

Air matanya tiba-tiba jadi murah. Tadi dia cuba mahu menahan. Ya, dia berjaya biarpun seketika cuma. Kini ia tidak lagi dapat ditahan. Laju sahaja air mata menuruni alur pipinya. Namun dia cepat-cepat menyekanya. Dia pura-pura menghadap dinding sedangkan jiwanya kian parah!

Mahu sahaja dia berlari dan terus memeluk abah. Mahu sahaja dia merungkaikan segala rindu yang terpendam di dalam dada. Abah! Awiyah rindu, abah...

"Rugi kau tak nak gambar tadi. Cantik bakal isteri Syakri ni. Comel aja orangnya..."

Entah bila Karmah duduk di sebelahnya, alih-alih dia terasa ada orang cuit bahunya. Dia yang mendengar hanya mampu mengangguk.

"Kau kenapa? Macam pelik sangat perangai kau," bisik Karmah lagi. Dia mengeluh perlahan.

"Aku..." Belum sempat Rabiatul Adawiyah meneruskan kata-kata, wakil tuan rumah telah mempelawa mereka untuk menjamu selera di bawah kanopi. Dia terdiam seketika. Berat kakinya hendak melangkah. Sekiranya dia ke sana, bermakna dia akan berhadapan dengan abah. Biarpun abah tidak akan perasan wajahnya kerana dia telah berniqab tetapi dia tetap gementar.

"Jomlah. Dia orang ajak makan tu," ajak Karmah.

"Kar... sebenarnya..." Kata-katanya masih lagi tersangkut dek gangguan.

"Marilah kita makan, Karmah... Rabitah..." Kali ini Kak Sulwani pula yang mengajak. Bermakna, dia tidak mampu hendak menolak. Dia bangkit mengikut ayunan langkah Kak Sulwani dan Karmah.

Karmah yang seakan-akan mengerti gelodak rasa sahabatnya itu terus memaut erat lengan Rabiatul Adawiyah. Dia rasakan tangan sahabatnya itu sejuk seakan-akan terkena ais. Kenapa? soalnya sendiri dalam hati.

"AWIYAH! Awiyah!" Panggilan itu mampu mematikan langkahnya. Karmah juga terkejut sama.

"Awiyah cucu nenek..." Ada seorang tua memaut lengan Rabiatul Adawiyah secara tiba-tiba. Semakin terkunci langkahnya. Kala itu dia rasakan mahu pitam.

"Siapa dia?" soal Karmah. Bibirnya dekat sangat di telinga Rabiatul Adawiyah.

"Nenek... Ni bukan kakak. Ni orang lain. Nenek jangan macam ni, buat malu aja tau," bebel Arbaiyah sambil menarik tangan neneknya.

Rabiatul Adawiyah rasakan dunianya kian gelap.

Nenek! Ini Awiyah. Awiyah cucu nenek... Andai butir bicara itu mampu dia zahirkan, alangkah indahnya. Tapi... dia tidak punya kuasa itu.

"Maaflah, kak. Nenek saya ni dah pelupa. Semua orang dia sangkakan kakak saya," cerita Arbaiyah.

Rabiatul Adawiyah hanya mengangguk sedangkan hatinya kian tersayat luka. Nenek! Nenek bukan pelupa, tetapi nenek sedang rindukan Awiyah. Maafkan Awiyah, nenek. Begini jadinya diri nenek. Ya Allah, mengapa aku menjadi penyebab semua ini berlaku? bisik Rabiatul Adawiyah dalam hati.

"Adik, siapa Awiyah tu?" soal Karmah bagaikan tidak mahu ditahan-tahan lagi. Rabiatul Adawiyah dapat rasakan Karmah sudah mula mengerti.

"Awiyah tu... Errr... Dia... Dia..." Arbaiyah agak sukar mahu menyatakan kerana dia tidak mahu nama itu bakal mencalar segala kebahagiaan apatah lagi kakaknya Zulaikha mahu berumah tangga.

"Awiyah cucu nenek..." Wanita tua itu enggan melepaskan tangan Rabiatul Adawiyah.

"Eee... Nenek ni... Nanti abah marahlah. Jangan buat hal boleh tak? Orang penat tau!" marah Arbaiyah. Dia geram kerana terpaksa menjaga neneknya sedangkan adik-beradik yang lain berseronok pada hari bahagia kakak keduanya itu.

Rabiatul Adawiyah mahu sahaja menyepak mulut adiknya itu. Dia sedar, hanya dia sahaja yang paling rapat dengan nenek. Hanya dia... Bukan adik-beradiknya yang lain.

"Awi... jangan cakap dia orang ni semua..." Karmah memandang wajah Rabiatul Adawiyah di sebelahnya.

Rabiatul Adawiyah mengangguk, menyatakan jawapan segala persoalan Karmah. Matanya kian sakit. Dia cuba menahan air mata. Hidungnya juga sudah mula berair. Perlahan tangannya menyentuh lembut tangan neneknya.

Nek, Awiyah rindu nenek. Mahu sahaja dia berbisik di telinga neneknya itu.

Tatkala tangannya disentuh, nenek Rabiatul Adawiyah semakin erat memeluk lengannya. Biarpun di mata orang lain neneknya itu bermasalah, namun jauh di sudut hati, mereka cuba menyalurkan perasaan. Mereka cuba memadamkan rindu mereka.

"Nenek sayang Awiyah. Jangan pergi, sayang." Semakin kuat lengan dipaut.

"Nenek ni... degilnya. Nanti orang bagi tau emak." Arbaiyah berjalan sambil hentak kaki.

Perasaan Rabiatul Adawiyah saat itu tidak dapat digambarkan. Dia sendiri tidak mampu hendak berhadapan dengan wanita yang bertanggungjawab melahirkan dirinya ke dunia ini. Emak! Sudah sekian lama dia tidak melihat mata emak, mulut emak, hidung emak, telinga emak. Rambut emak yang kian memutih. Ya Allah... Dia benar-benar rindu!

Sekejap sahaja, seorang wanita mengekori langkah Arbaiyah. Emak! Matanya terpaku pada seraut wajah yang terlalu dirinduinya. Kakinya hampir sahaja bergerak. Dia mahu mendakap erat tubuh emak. Dia mahu cium seluruh wajah emak.

"Maaflah... Ganggu anak-anak nak makan. Nenek ni tak sihat." Butir bicara itu dihayati dengan penuh perasaan. Ia bagaikan satu azimat yang mengalir terus menyelusup di setiap sendi dan saluran romanya. Ya Allah... Apa hikmah di sebalik semua ini?

"Tak mengapa. Lagipun dia bukan kacau kami. Kami belum makan lagi. Mungkin dia rindu sangat pada nama yang dia sebut-sebutkan tadi," jawab Karmah. Dia masih lagi sama-samar tetapi dia seakan-akan pasti, cucu yang dimaksudkan ialah Rabiatul Adawiyah.

"Mak... Jom kita masuk. Panas ni," pujuk emaknya. Nenek menggeleng.

"Nak Awiyah... Nak Awiyah..." kata wanita yang kian dimamah usia itu.

"Mak... ni tetamu kita, tak baik kita ganggu mereka makan. Marilah mak," pujuk emaknya lagi. Rabiatul Adawiyah memandang sayu. Dua wanita yang amat bermakna dalam hidupnya. Dua insan yang sangat bermakna suatu ketika dahulu, juga pada ketika ini.

"Tak mengapalah, mak cik. Dia tak ganggu saya pun. Saya ajak dia makan, ya." Akhirnya Rabiatul Adawiyah bersuara juga. Tetapi kali ini dia buat suaranya lain sedikit. Tetapi mampu juga mengundang rasa curiga dalam pandangan emaknya. Mereka bertatapan seketika, namun akhirnya dia kalah, dia menundukkan wajahnya. Dia tahu, jika dia teruskan juga, tidak mustahil naluri seorang ibu itu mampu membaca setiap pergerakannya.

Apa yang penting, dia kena berlakon lagi.

"Kita makan, ya?" pujuk Rabiatul Adawiyah. Wanita tua itu segera mengangguk.

Emaknya terkejut, seakan-akan tidak percaya. Matanya terus menatap wajah Rabiatul Adawiyah. Mulutnya seakan-akan mahu berbicara tetapi suaranya tersekat di kerongkong. Dia hanya mampu memandang. Benarkah itu Awiyah? bisiknya sendirian.

Rabiatul Adawiyah perasan perubahan wajah emaknya, namun dia terpaksa berlakon. Naluri seorang ibu, mana mungkin emaknya tidak mampu menghidu kewujudan anak yang dikandung selama sembilan bulan sepuluh hari itu? Mustahil emaknya tidak rasakan apa-apa. Kerana itulah dia terpaksa berlakon seolah dia baru sahaja kenal keluarga itu.

Jauh di sudut hati, hanya Allah sahaja yang mengetahui. Dia mahu meraung, dia mahu terguling-guling di situ juga. Mahu minta ampun, mahu sujud di kaki emaknya. Sesungguh jiwanya sudah rebah ke bumi. Hanya jasad sahaja yang masih lagi kuat. Getaran suaranya juga makin ditelan dek rasa sedih yang kian memuncak.

Karmah mengambil sedikit nasi dan lauk lalu diletakkan di atas pinggan Rabiatul Adawiyah. Dia tahu, Rabiatul Adawiyah tidak akan mampu menelan makanan itu. Bukan sehari dua dia mengenali sahabatnya itu. Jika dia dalam keadaan sedih, sesuap nasi pun kadang-kadang tidak mampu ditelannya.

"Makan ya..." Rabiatul Adawiyah menyuap nasi ke mulut neneknya.

Pada awalnya mulut itu enggan terbuka, namun gadis itu cuba memujuk dengan cara usapan. Diusapnya lengan neneknya. Lembut... Hampir sahaja air matanya jatuh. Dia rindukan tangan itu. Tangan yang banyak berbakti kepadanya. Tangan yang selalu mengusap kepalanya. Ya Allah... Aku benar-benar panasaran. Akhirnya, mulut itu terbuka juga. Dia menyuap dengan penuh berhati-hati.

Dari jauh dia melihat kelibat abahnya yang sedang berbual dengan emak. Dari ekor mata itu juga dia mencuri pandang ke arah adik-adiknya, Arbaiyah dan Umar. Begitu juga dengan Zulaikha yang kelihatan anggun dengan busana yang sangat indah. Zulaikha sedang melayan tetamu.

Cantiknya adikku! puji Rabiatul Adawiyah dalam hati. Ya. Baginya Zulaikha seorang anak yang mendengar kata. Tidak seperti dirinya. Kerana itulah emak dan abah amat menyayangi Zulaikha berbanding dengan dirinya. Atau itu sekadar sangkaannya sahaja.

Selamat bertunang, adikku, bicaranya dalam hati. Dulu, Zulaikha seorang adik yang sangat rapat dengannya. Adiknya itu sering mahu meniru dirinya. Dalam apa juga minat, pakaian dan sebagainya. Seolah-olah dia menjadi idola buat Zulaikha. Tetapi, sejak peristiwa hitam itu terjadi, Zulaikha tidak mahu lagi mendekati dirinya malah Zulaikha sangat marah. Dia sering meluahkan rasa kecewanya dengan cara memberontak. Itulah cara Zulaikha memprotes. Bukan sedikit rasa kecewanya.

Pandangannya terhenti tatkala mendengar suara garau abahnya.

"Mak... jangan kacau tetamu kita. Mari ikut saya, nanti Saadiah boleh suapkan emak, ya?" pujuk abah.

Getaran tangannya semakin kuat. Bagaikan terkena penyakit Parkinson pula. Karmah yang sangat mengerti, perlahan menggenggam erat tangannya. Cuba menyalurkan semangat. Karmah sudah mula faham. Situasi itu memang tidak diduga. Pertemuan yang tidak diduga terjadi dek aturan Allah yang sangat bijaksana.

"Aku nak makan dengan Awiyah." Perlahan nenek menjawab. Tangan Rabiatul Adawiyah dipautnya erat.

"Maafkan pak cik, ya anak-anak. Mak pak cik ni ganggu anak-anak pula." Kali ini abahnya memohon maaf kepada dirinya serta Karmah. Bibir Rabiatul Adawiyah bergetar.

Abah... Awiyah yang perlu memohon maaf kepada abah. Kalau bukan kerana Awiyah, segalanya mungkin takkan terjadi.

"Mak," pujuk abah lagi.

"Tak nak. Aku nak dengan Awiyah. Ini... Awiyah dah balik."

"Dia bukan Awiyah. Awiyah tak mungkin akan balik lagi. Lagipun dia tak tahu kita dah duduk sini. Tolong dengar cakap saya ya, mak..."

Sungguh! Kata-kata abahnya membuatkan dia cukup terluka. Nampak sangat abah tidak langsung memerlukannya lagi. Abah sudah tidak mahu menemuinya lagi. Abah... Tolonglah abah... Tolong jangan buat Awiyah macam ni, rintih hatinya lagi.

"Kau yang halau cucu aku. Kau yang menyebabkan aku tak dapat jumpa cucu aku lagi." Bergetar bibir neneknya ketika berbicara.

Rabiatul Adawiyah memegang erat tangan neneknya yang sedang memaut lengannya. Dia cuba memujuk. Dia cuba menyabarkan neneknya itu.

"Ya Allah, mak..." Abah seolah-olah hilang kata-kata. Mungkin juga abah malu. Malu kerana sudah banyak mata yang memandang ke arahnya.

"Anak, tolonglah pak cik... Tolong pujuk dia," pinta abahnya.

Luluh hati Rabiatul Adawiyah tatkala mendengar permintaan abahnya itu. Dia mengangguk.

"Nenek..." panggilnya perlahan di telinga neneknya. Neneknya menoleh.

Nenek masuk dulu, ya? Nanti Awiyah datang. Awiyah akan peluk nenek. Awiyah rindu nak tidur dengan nenek. Awiyah nak baca al-Quran dengan nenek macam dulu. Awiyah nak gentel telinga nenek...

Andai dia punya daya, dia ingin berbicara begitu, namun semuanya hanya dalam hati cuma. Dia tidak mampu meluahkannya. Dia mati kata-kata. Ya Allah... Bantulah aku.

"Nenek masuk dulu, ya? Awiyah nak makan dulu..." Hanya ayat itu sahaja yang mampu dituturkan.

"Tak nak. Nanti Awiyah tinggalkan nenek." Neneknya enggan.

"Awiyah tak tinggalkan nenek lagi," pujuk Rabiatul Adawiyah.

Akhirnya neneknya terpaksa akur. Tangan kasar abah memaut lengan neneknya, memimpin tangan tua itu menuju ke rumah. Sesekali neneknya memandang ke arahnya. Dia pula? Dia mahu meraung!

Allahuakbar!

"TERIMA kasih semua..." ucap abah kepada rombongan pihak lelaki.

Kesempatan itu, Rabiatul Adawiyah sempat menyalam dan mencium tangan emaknya. Setelah lebih lima tahun dia terpisah, itulah kali pertama dia mencium tangan emaknya. Maafkan Awiyah, emak... Emak seorang wanita yang tabah. Awiyah sayang emak.

"Maafkan mak cik, ya. Tak pasal-pasal patah selera anak sebab diganggu oleh nenek tadi," tutur emaknya. Awiyah pandang mata itu. Kepalanya diangguk. Air mata mula bertakung.

"Mak mak cik tu ada penyakit pelupa. Hari ni dia jumpa orang, esok-esok dia lupa dah orang tu. Doktor cakap tak ada masalah penyakit lain. Cuma mungkin dia dah mula nyanyuk."

Penjelasan emaknya itu menyebabkan tangkai jantung Rabiatul Adawiyah hampir putus! Allahuakbar! Kasihan nenek. Sampai begitu sekali?

"Oh, ya. Siapa nama anak ni?" soal emaknya. Mata emaknya terus menatap ke wajahnya seolah-olah sedang meneliti seluruh wajah itu.

"Nama dia Rabitah, Mak Cik Saadiah," celah Kak Sulwani.

"Oh... Rabitah..." Ada nada kecewa di situ. Adakah emaknya mengharapkan kepulangannya?

"Kami gerak dululah, mak cik." Akhirnya Kak Sulwani menjadi penyelamat. Kalau ikutkan, banyak lagi soalan yang mungkin diajukan kepadanya.

"Hah, yalah. Moga selamat sampai, ya," ucap emaknya.

Biarpun berat kaki Rabiatul Adawiyah hendak melangkah, namun lakonannya kena mantap. Biarpun hatinya enggan membohongi keluarga itu, namun jiwanya tidak mampu menghadapi segala kemungkinan.

"Tabahkan hati, Awi," bisik Karmah.

Rabiatul Adawiyah mengangguk. Memang dia kena tabah, dia kena kuat. Seperti lima tahun yang lalu, dia terpaksa belajar menjadi tabah. Biarpun dia seakan-akan tidak mampu.

Wahai Allah... Jangan Kau tarik semula nikmat yang baru aku perolehi ini. Biarpun diriku tidak diundang, biarpun diriku tidak lagi berada dalam hati mereka, sesungguhnya aku hanya mampu pasrah tetapi bukan menyerah. Aku akan berusaha agar diriku punya tempat kembali dalam keluarga ini. Hanya Kau yang mengetahui segalanya.

Rumah itu ditinggalkan dengan seribu satu perasaan. Jiwa laranya dilanda sedih. Kesedihan yang dia sendiri tidak tahu penghujungnya. 

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz