ZingTruyen.Xyz

CHECKMATE

Bab 4

karyaseni2u

BUNYI ketukan pada pintu dibiarkan saja. Malas nak menyahut biarpun pintu tak dikunci. Kalau nak masuk, masuklah. Tak nak masuk, tak payah masuk. Dia masih setia di atas kerusi rehatnya. Sebaik saja panggilan Nel berakhir, Han hanya merenung wajah Nash yang dia simpan sejak dulu. Wanita itu cantik sejak dulu malah sekarang, bertambah anggun.

Entah apa yang dia fikirkan. Namun, sesekali bila angin menyapa, dia terasa mahu menangis. Dia berlalu demi menyelamatkan sisa-sisa harga dirinya. Ikut hati, dia mahu melutut malah dia sanggup korbankan apa saja demi Nash namun Nash nampak tekad.

Biarpun Nash sorokkan kenyataan hingga kembali ke tanah air, dia dah tahu. Harith dah buktikan segalanya. Dengan begitu bangga. Masa itu, dia masih yakin yang cinta Nash setia padanya. Harith yang tersorong-sorong sendiri.

Pelik... Kenapa setelah apa yang terjadi, dia masih berharap Nash kembali padanya seperti sediakala? Setelah lumat hatinya wanita itu kerjakan tanpa belas. Jika lelaki lain, dia mungkin boleh terima. Tapi kenapa lelaki yang ada di depannya ini?

"Aku tak nak minta maaf dengan kau, Han..." tegur Harith yang sejak tadi berdiri agak dekat dengan Han. Dia nampak Han menatap gambar Nash di skrin telefon.

Suara yang menyapa membuatkan Han menoleh. Dia masukkan telefon bimbit ke dalam poket seluar. Harith sedang bersandar pada bingkai pintu gelangsar yang ternganga lebar. Han larikan pandangan ke dada langit yang kelam. Nak hujan gamaknya. Angin pula terasa kian galak berhembus.

"Tak payah minta maaf kalau kau tak nak..." sela Han acuh tak acuh. Dia tak pernah minta atau paksa sesiapa minta maaf daripadanya sejak dulu.

"Ya, aku memang tak nak. Tapi, aku tak nak kau salah faham dekat aku. Kau dah tahu aku memang pergi belajar dan aku tak tahu yang aku akan jumpa Nash dekat sana. Dia yang cakap dekat aku dia selesa dengan aku berbanding dengan kau. Walaupun dia tahu kau adalah adik aku..."

Tak semena-mena Han ketawa. Mereka sebaya. Dan hubungannya dengan Harith hanyalah sebagai seorang sepupu.

Suara Harith mati. Dahinya berkerut. Tak faham.

"Sejak bila kau anggap aku adik kau, Yep? Cuba bagi tahu aku?" Soalan Han kedengaran tajam dan sinis. Dia kerling Harith seketika sebelum melarikan anak mata.

Tak sanggup nak pandang lama-lama. Bimbang buku lima pula yang berbicara dan saat itu, kesudahannya adalah hati mommy dan abah yang luka. Sedangkan dia begitu menjaga dua keping hati itu biar apa pun terjadi.

"Pertama kali kau tahu aku separuh mati sayangkan Nash, kau cakap yang aku tak layak untuk perempuan macam Nash. Kau selalu cakap, aku tak pernah ukur baju dekat badan sendiri. Cuba dapatkan apa yang tak sepatutnya untuk aku. Kau selalu cakap, kau akan rampas segalanya daripada aku. Atau kau dah lupa sebenarnya?" Suara Han menekan. Mengungkit kembali setiap kata-kata Harith yang masih terasa pedihnya.

Harith ketap bibir.

"Aku ingat tapi tu kan semua masa kita budak-budak lagi? Takkan itu pun kau nak simpan dalam hati? Lagipun, tentang Nash tu aku sendiri tak tahu. Antara aku dan Nash tak akan jadi kalau aku sorang aje yang sukakan dia. Mana ada orang bertepuk sebelah tangan dan berbunyi? It takes two to tango, bro." Harith juga tak nak kalah mempertahankan diri.

Memang dia sukakan Nash sejak dulu. Nash adalah gadis paling cantik di sekolah mereka dulu malah masih lagi jelita. Masa tu dia memang pelik, kenapa mesti Nash pilih Han? Dia cuba dekati Nash, tapi Nash memang setia separuh mati pada Han.

Cumanya, masa mengubah semua perkara. Takdir juga telah memihak padanya bila dia bertemu dengan Nash di sana.

"Aku datang jumpa kau ni sebab aku tak nak kau salahkan aku rampas Nash daripada kau dan jangan salahkan Nash juga."

Rampas?

Han geleng kepala beberapa kali. Perkataan rampas itu kedengaran kasar betul. Terasa dia kalah teruk.

"Tak, Yep..." Han menafi.

Dia bangkit. Susuk yang lebar itu nampak tegap malah andai dulu, dia lebih kecil berbanding Harith, hari ini sudah berbeza. Bertahun-tahun Harith di perantauan, segalanya telah berubah. Dia sudah benar-benar sasa. Urat pada lengannya timbul jelas bukti kerja keras yang dia lakukan. Malah, bahunya dah lebar dan dadanya juga lebih bidang.

Yang sama hanyalah kedinginan antara mereka.

"Aku tak akan salahkan sesiapa. Nash adalah perempuan yang aku sayang sejak dulu dan selamanya. Kalau dah dia bahagia dengan kau, tak mungkin aku sekat pilihan dia..." Bahu Harith dicengkam seketika.

Ada rasa malu menyelinap dalam diri. Dia yang cakap dekat mommy dan abah yang dia mahu pinang Nash untuk dijadikan suri hati tapi dia lupa, dia bukan sesiapa untuk menyunting bunga indah itu. Seperti yang telah Harith selalu katakan.

Dah sampai masa dia perlu ukur baju di badan sendiri biarpun sejak dulu dia tahu kedudukannya dalam keluarga ini. Harta yang dirasakan satu-satunya akan menjadi milik mutlaknya, bukan juga tercipta untuk dia.

Dia... Paksa dirinya akur.

"Kau dah buktikan... Banyak benda yang tak layak untuk aku..." tambah Han dan dia masuk ke bilik. Langsung tidak menoleh bila Harith berlalu keluar. 

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz