Bab 3
DIA tiba di rumah waktu Porsche Cayenne merah hati milik Harith memang dah tersadai di porch. Dia tahu Harith dah beberapa hari balik dari London. Hanya dia saja sibuk dan tak sempat balik ke rumah lagi.
Perlahan-lahan, Han menapak masuk. Pintu yang tak berkunci, ditolak. Dari situ pun dah dengar suara ceria orang tuanya. Dan, dia tahu penyebabnya.
"Eh, Han..." Suara abah bergema.
"Sini. Tengok siapa dah balik ni hah..."
Dia toleh dan mengoyak senyum. Ikut hati, tak nak dia dekati lelaki itu tapi kerana rasa hormat pada abah dan mommy begitu tinggi, dia cuba padamkan amarah dalam hati. Senyum dilebarkan. Nampak kepenatan. Ya, memang dia penat. Penat setia, penat menanti, penat menggantung harapan, penat menggalas janji. Penat dalam segalanya.
"Banyak kerja sangat ke hari ni?" soal mommy prihatin.
Han angguk. Dia duduk di sisi mommy. Mata memandang Harith yang sedang merenungnya dengan pandangan yang sukar dia telah maksudnya. Andai dia mampu tafsir, dia hanya nampak lelaki itu sedang meraikan kemenangan.
"Apa khabar kau, Yep?" soalnya mendatar.
"Hurm... Baik aje. Kau macam mana? Masih dengan kerja lama kau ke?"
Han angguk. Tangan yang Harith hulur, disambut dan dijabat lemah.
"Aku suka aje kerja aku..." jawab Han, perlahan.
Harith ketawa kecil. Memandang pada abah.
"Abah ni, kut ya pun naikkanlah pangkat. Abah asyik jadikan dia budak suruhan abah aje sejak dulu..."
Ayat Harith, tak tahulah kenapa... Begitu menusuk. Budak suruhan? Ya, memang sejak dulu dia hanyalah seorang budak suruhan. Melakukan segala yang abah suruh. Segala persediaan untuk kesenangan Harith di depan hari.
"Dia kena belajar dari bawah..." Abah senyum tipis.
"Dah lama sangat dia belajar, abah. Bagilah peluang pula..." cadang Harith biarpun cadangan itu kedengaran tak ikhlas mana.
"Ini Yep dah balik, bolehlah Han masuk ofis kerja dengan Yep. Boleh bantu Yep apa yang patut. Ya, Han?" pinta abah tiba-tiba.
Han diam. Tak memberi jawapan langsung.
"Bolehlah... Bantu Harith, ya?" sampuk mommy pula dan kali ini Han tahu, dia tak akan mampu menolak lagi. Perlahan-lahan, Han angguk.
"Han naik dulu. Penat sikit hari ni. Kau Yep, selamat kembali. Tahniah untuk segala kejayaan..." ucap Han penuh makna dan dia tahu Harith sedar akan makna ucapan yang dia berikan.
Harith tak menjawab. Sekadar menjongketkan sebelah keningnya saja.
Puas hati!
Telah dia katakan, dia tak akan pernah biarkan anak pungut itu menang dalam apa perkara sekalipun. Termasuk soal hati.
TAWA hambar Han memecah hening. Dia pandang langit yang kelam. Sunyi betul rasanya malam ni. Biasanya memang malam yang dia lalui sunyi tapi kali ini sepertinya yang paling sunyi.
Mommy dan abah sejak tadi ketawa. Ceria. Bahagia bila anak tersayang kembali ke pangkuan. Dia... Malas nak kacau daun. Biarlah mommy dan abah melepaskan rindu.
"Hei, aku tanya ni. Kau gelak dah kenapa?"
Suara Nel di hujung talian buat Han kembali pada kenyataan. Dia labuhkan duduk di atas kerusi malas yang ada di beranda biliknya.
"Kau bila nak balik?"
"Dua tiga hari lagi. Dah balik nanti aku datang jumpa kau..."
Han angguk sendiri. Terasa seperti dah bertahun tak jumpa satu-satunya kawan baik yang dia ada. Padahal baru seminggu kut. Bila dia khabarkan tentang rancangan dia untuk memberi kejutan pada Nash, Nel adalah yang paling teruja. Kerana itu, Nel sanggup menghubungi dia jauh dari Jepun sana semata-mata nak tahu berita gembira.
Tapi, berita gembira apa yang dia ada?
"Kau ni... Nak jawab ke tak? Kau jangan sampai aku terbang balik malam ni..."
"Eh, tak payahlah gila. Kau tu pergi bulan madu. Buat cara orang bulan madu. Yang sibuk dok telefon aku ni, kenapa? Long distance ni..."
"Ala... Aku balik nanti aku claim dengan kau..." Nel ketawa besar.
"Kau telefon aku ni, Edian mana?"
"Dian pergi berendam air panas..."
"Kau tak temankan ke?"
"Eh, dia pergi tempat perempuanlah. Aku tempat lelaki. Lagipun, aku baru naik ni. Kejap lagi dia masuklah bilik tu. Yang kau ni, suara macam bukan bakal pengantin aje..." Sengaja Nel menduga.
Sejak dulu, Han adalah seorang yang sukar dibaca. Rasanya, hingga hari ini pun dia masih tak reti nak tafsir riak wajah Han. Namun, suara Han kali ini benar-benar kedengaran berat menyapa telinganya.
"Kau ada sorang kawan aje Han, aku. Mungkin tempat kita berkenalan tu, adalah memori menyakitkan... Tapi pada aku situlah tempat aku kenal kehidupan..." Perlahan, Nel memujuk.
Pertemuan pertama dia dan Han bukanlah di sekolah. Tapi di balik tirai besi. Pada zaman kegelapan mereka. Tapi Han tidak sepertinya. Han menggalas beban milik orang lain.
"Aku dah cuba yang terbaik, Nel..."
"Habis tu?" Suara Nel jelas tak sabar. Dia tahu masih banyak kisah di sebalik patah bicara ringkas Han tadi.
"Dia tinggalkan aku..." Cerita Han terlalu ringkas. Tapi dia tahu Nel tak akan menyoal lagi.
"Jujurnya, Han... Aku masih banyak nak tanya. Tapi kau mesti tak nak aku tanya sekarang. Nanti aku balik, masa tu aku harap kau sedia nak cerita. Cuma sekarang, kita orang dewasa. Orang dewasa fikirannya perlu rasional. Betul tak?" pujuk Nel lembut.
"Ya, aku tahu. Terima kasih ingatkan aku..." Nel koyak senyum sinis.
Rasional? Dia sedang cuba untuk terus menjadi manusia yang rasional.
Jika tiada yang memprovokasi.
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz