ZingTruyen.Xyz

CHECKMATE

Bab 5

karyaseni2u

SEJAK tadi, Ris perhatikan gelagat Nash. Wajah itu muram. Nak kata putus cinta, kemain romantik tadi. Nak kata lelaki itu tak sayangkan kakak, dah lama sangat bercinta. Sejak di bangku sekolah. Dia tak kenal. Tak sempat. Beza umur mereka bukan sikit. Sepuluh tahun. Masa dia masuk sekolah menengah, Nash dah lama tamat sekolah. Tak sempat nak jumpa dengan kekasih hati Nash.

Percaya atau tidak, baru tadi pertama kali dia nampak batang hidung orangnya. Kacak dan segak. Andai ditanya sejak dulu, Nash memang tak nak kenalkan langsung. Sekadar dengar cerita tanpa tahu nama sekalipun.

"Kenapa tak nak kenalkan Ris dengan pakwe Kak Nash?" Itulah soalan yang dia ajukan pada Nash sewaktu membantu Nash mengemas pakaian tiga tahun dulu.

"Bukan tak nak kenalkan. Tapi, kakak risau dia jatuh cinta pada Ris pula..." jawab Nash berseloroh.

Tawa mereka bersahutan pada masa itu.

Hari ini, tak adanya lelaki itu nak suka dia. Cara lelaki itu pandang Nash pun dia dah boleh tahu betapa lelaki itu sukakan Nash. Setakat muka macam dia, siapalah yang nak? Memanglah dia dan kakak seibu sebapa, tapi dia tak secantik Nash. Beza sangat.

Perlahan-lahan, Ris menapak mendekati kakak yang ada di laman. Nampak jauh benar fikiran kakak berlari.

"Baru berpisah, dah rindu ke?" tegur Ris perlahan.

Nash panggung pandangan. Dia senyum tawar dan menggeleng. Sejak tadi, fikirannya larut mengenangkan Han. Tapi, sungguh. Dia tak mampu lagi hidup bersama Han. Keputusan itu bukan dibuat hari ini tapi sejak tiga tahun dulu. Cuma dia tak tahu cara nak meluahkan.

"Ris tak kerja ke esok? Tak tidur lagi?" Nash menyoal tanpa memberi jawapan pada usikan adiknya.

"Kerja tu kerja. Tapi, Ris teruja bila Kak Nash balik. Rasa macam tak nak tidur. Nak ajak Kak Nash sembang aje."

"Eh... Sampai macam tu sekali rindu Kak Nash, ya?" Nash ketawa kecil.

"Padahal hampir setiap minggu kakak video call..."

"Video call lain. Ini live. Siapa tak teruja?" Lengan Nash dipaut mesra. Rindu betul.

"Kalau gitu, weekend ni kita sembang. Sekarang, kita naik tidur dulu. Kak Nash pun penat ni..." Nash angkat tubuh. Menggeliat ke kiri dan ke kanan seketika sebelum masuk ke rumah meninggalkan adiknya sendiri.

Ris memandang tubuh yang dah masuk ke dalam rumah. Pelik. Kakak ada masalah ke? Kakak nampak berbeza sangat. Ada masalah gamaknya.

Nak kata masalah kerja? Tak mungkin.

Teman lelaki? Lagilah mustahil.

Dia juga bangkit. Malas nak fikir. Benar juga. Mungkin kakak kepenatan. Dia harus faham. Tapi, baru nak menapak masuk, kakinya terhenti. Tiba-tiba saja kepalanya teringat akan kejadian siang tadi.

Hai... Hari ni dia dihadapkan dengan dua orang yang emosi tak stabil.

Kakak dan lelaki gila tadi. 

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz