Bab 2
SIAPA yang mahu dia percaya dan siapa yang akan percayakan dirinya? Soalan itu sejak dulu berlegar di dalam kepala. Han tahu, dia bukan seperti manusia lain. Benar, tak semua orang punya perjalanan yang lurus. Pasti akan temui bengkang-bengkok juga sesekali tapi dia, sangat berbeza.
Setiap kepercayaan yang dia letak, terhempas dan dihempas.
Setiap kepercayaan yang dia tagih, terbiar dan dibiarkan.
Tanpa sebarang peluang.
Sama juga hari ini, dia bergegas ke sini. Bukan dekat. Agak jauh. Dari Melaka hingga ke KLIA demi rindu yang menggebu tapi sayang, dia hanya menanti bagai orang gila sedangkan yang dinanti dah lama tiba. Setelah itu, dia pula bergegas ke pusat bandar Kuala Lumpur bila buah hati pengarang jantung baru menelefon setelah hampir dua jam dia menanti.
Dia tak kesah biarpun penerbangan wanita kesayangannya itu berubah dan dia tak dimaklumkan. Dia tak peduli terpaksa menanti dan penantian itu sia-sia. Yang pasti, akhirnya dia mampu tatap wajah yang begitu lama dia rindukan. Agar terlerailah rasa yang sudah sekian lama membelit hati lelakinya.
Segala kelukaan, akan hilang sebaik saja menatap wajah itu.
Segala kepedihan akan terubat.
Segala beban yang memberat akan menjadi ringan.
Atas satu sebab. Harapan.
"Saya tak boleh lagi dengan awak, Han..."
"Ya ke?" Dia menyoal hanya sepatah. Tanpa perasaan. Bukan kata tak terkejut, tapi dia dah lama agak.
Biarpun dah jangka, kenapa bila hal ini diungkap secara nyata... Dia seperti payah nak terima? Dadanya benar-benar terasa sempit.
"Awak tak nak tahu sebabnya?" Mata wanita itu nampak terpancar keresahan tapi lelaki di depannya masih dengan riak yang sama.
Inilah yang paling dia benci pada Han. Inilah yang dia paling tak suka. Han tak pernah nak ambil tahu tentang setiap perkara. Andai dikata A, maka A ajelah pada Han. Andai hitam, hitamlah juga. Han tak pernah persoalkan segala perkara.
Han pandang wajah kekasih hati. Atau boleh jadi, bekas kekasih sekarang. Entahlah. Wanita yang berjanji untuk sentiasa ada biar apa pun terjadi dan setelah dia korbankan segalanya... Wanita yang sama cakap tak mahukan dia lagi.
Setelah dia begitu setia menanti. Usah kata nak curang, memandang perempuan lain juga tak pernah. Biarpun diejek berkali-kali oleh kawan baiknya, Nel semasa lelaki itu mendirikan rumah tangga... Dia tetap tak kesah.
Kesetiaannya pada Nash tiada siapa mampu pertikaikan. Kesetiaan itu juga yang akhirnya dipersiakan.
"Jujurnya, saya nak tanya juga pada awak, Nash. Kita bercinta bukannya sekejap. Sejak sekolah menengah. Awak setia pada saya dan saya setia pada awak. Bila awak cakap nak sambung belajar ke overseas dan lepas tu, awak sambung lagi. Belajar lagi lepas tu sebab nak cari pengalaman kerja dulu beberapa tahun dekat sana. Demi kerjaya dan masa depan awak, saya tak pernah merungut. Wanita yang saya sayang bahagia macam tu. Saya pun bahagia. Itu yang saya selalu cakap biarpun saya dah dapat rasa yang dalam masa depan awak rangka tu, boleh jadi dah tak ada lelaki bernama Hanbali."
Bibir Han koyak dengan senyum tipis yang cukup tawar malah kedinginan suara itu tak ubah seperti ais. Dia raup wajah sekali. Menelan liur tanpa henti. Setelah kehilangan, hari ini kehilangan lagi. Entah bila sesuatu itu akan menjadi miliknya yang hakiki?
"Hari ni, awak baru aje jejak kaki ke Malaysia dan ini yang awak mahukan... Tak ada apa yang nak saya kata lagi, Nash..." Dalam menahan rengkung yang mahu pecah, Han lorekkan juga senyuman.
Yang pasti, senyuman itu sudah tidak seperti sebelum ini. Padahal, senyum ini dia ukir hanya bila bersama Nash. Dia adalah lelaki yang begitu lokek dengan senyuman. Mata helangnya, tak ramai orang berani tatap. Wajahnya nampak dingin dan ya, dia memang seorang lelaki yang dingin.
Tapi, Nash yang berjaya membawa kehangatan dalam setiap senyumnya. Dia juga lelaki yang berat mulut. Tak banyak berbicara. Tapi Nash yang membuatkan lidahnya begitu ringan untuk berkata-kata.
Sayang, bila Nash juga yang bunuh semua itu.
Han angkat mata. Merenung Nash tanpa ada rasa marah sedikit pun. Wanita ini sepertinya sudah tidak mampu bersuara.
"Jangan risau, Nash. Saya percaya, awak ada sebab tersendiri..." Suara Han kala ini biarpun perlahan, tapi cukup meyakinkan.
Dia tak mahu bertanya lebih pada Nash. Dia bimbang yang jiwanya tak kuat untuk mendengar jawapan pada setiap persoalannya. Bagaimana jika penyebabnya adalah lelaki lain? Mampukah dia terima? Bertahun dia setia menanti kepulangan satu-satunya wanita yang berjaya membuat dia tunduk, ini yang dia dapat? Kesetiaannya tiada harga. Harapan yang diberi, punah sekelip mata. Setelah wanita ini berjaya dan punya segalanya.
Tapi yang penting, dia tak mahu Nash dihurung rasa bersalah setelah membuat keputusan demikian. Telah dia katakan, bahagia Nash adalah bahagianya. Jika bersamanya Nash tak bahagia, dia juga tak akan mempersoalkan keputusan itu.
"Awak masih diri awak, Han. Setiap kali saya bagi tahu, awak tak pernah tanya kenapa. Sebab tu juga saya yakin, awak bukan yang terbaik untuk saya atau boleh jadi saya bukan yang terbaik untuk awak..." balas Nash perlahan.
Han angguk berkali-kali. Ayat klise sangat yang Nash guna.
"Jangan risau, Nash. Saya faham." Han senyum biarpun bibirnya terasa keras.
"Ini..." Nash letak cincin belah rotan itu di depannya.
Han ketap bibir. Merenung cincin yang dulunya begitu berkilau dan kini, kenapa ia langsung malap? Emas jenis apa ni? Atau ini adalah emas palsu? Dia yang tertipu suatu waktu dulu dek kilauan itu lantas beranikan diri membelinya dengan harga yang begitu mahal? Harga kebahagiaan yang dia pertaruhkan dan kini, kalah sepenuhnya.
Tangan Han menggeletar demi mencapai sebentuk cincin itu. Digenggam kemas. Cincin ini dia beli dengan gaji pertamanya. Hadiah untuk wanita tersayang dan sebagai tanda yang mereka telah berjanji untuk hidup bersama.
"Kalau dah itu kata awak..." Han akur. Dia angkat wajah dan pandang wanita ini. Boleh jadi untuk kali terakhir.
"Jangan rasa bersalah, Nash. Awak kebahagiaan saya. Saya tak akan salahkan awak..." sambung Han. Ayat itu disusun tertib.
Keindahan wajah ini hampir menjadi miliknya namun apakan daya... Harapan dan kepercayaan yang dia tanam, tak menjadi. Bertunas tapi tak mampu untuk hidup subur. Salahnya kerana tak cukup menjaga. Walaupun dah disiram dan dibaja.
"Awak betul tak nak tanya sebabnya, Han?" soal Nash sekali lagi. Saat Han mahu berlalu tanpa meneguk biarpun setitis air yang terhidang di depan mata.
Walaupun dia tahu lelaki itu kepenatan.
"Awak dah buat pilihan dan biarkan saya dengan pilihan saya, Nash," balas Han lembut. Senyuman tipis dikoyak buat wanita yang satu-satunya ada dalam hatinya sejak dulu.
Yang memberi harapan dan kepercayaan padanya.
Yang sentiasa ada saat dia berperang dengan emosi.
Yang memberi kekuatan dan keyakinan untuk meneruskan kehidupan.
Tapi... Wanita yang sama juga runtuhkan segalanya. Dengan tangan sendiri.
"Boleh tak sekali awak tanya saya, kenapa? Tolonglah, Han." Nash sedikit mendesak. Ada air yang terbit daripada juring matanya. Malah, bibir merahnya juga nampak bergetar menahan tangis.
Han senyum. Berdiri tegak sambil kedua-dua belah tangan masuk ke dalam poket jean. Pelik. Kenapa Nash mahu mendesak sedangkan keputusan ini datang daripada Nash sendiri. Bukan dia.
Dia senyum tipis.
"Saya penat. Saya balik dulu. Awak hati-hati..." pesan Han lantas menoleh dan berjalan perlahan.
Baru saja kakinya memijak eskalator pertama, kepalanya tetap menoleh kerana dia tahu sebab yang Nash mahu berikan. Bezanya, matanya tak buta. Dia nampak dengan jelas biarpun tiada sebarang bicara keluar dari mulut Nash.
Biar samar, dia tahu... Sebabnya adalah abangnya sendiri. Hanya hati dia yang tidak mahu menerima kenyataan.
DAMN! Han tumbuk tembok bila puas dia mencari keretanya. Mana dia parking tadi? Dia benar-benar lupa. Tangan kanannya menggeletar menahan kesakitan bukan hanya pada buku lima tapi pada hati. Bukan kerana marahkan kereta yang tak dijumpai, tapi lebih pada menghalau bayangan dan kata-kata Nash yang berterbangan dalam mindanya.
Semak!
Wajah diraup berkali-kali dan sebaik saja dia buka mata, sebuah Honda City berhenti tepat di depannya. Pintu kereta dibuka dan wajah tadi muncul kembali. Dahi Han berkerut.
"Saya nak tanya dan nak hulurkan bantuan kalau memerlukan, tapi sayang... Ada orang pesan jangan nak bagi bantuan biarpun untuk sekecil-kecil hal. Tak nak termakan budi gamaknya..."
Ris senyum. Busybody tiba-tiba. Bukan apa, sejak tadi dia nampak lelaki ini terkial-kial, berlari hampir ke seluruh tempat letak kereta. Lupa parking dekat mana ke apa? Padahal mana ada kereta sangat dah. Ruang parking B2 ini dah lengang. Dia pun lambat keluar tadi sebab kereta susah nak hidup. Baterilah ni. Dari sehari ke sehari nak pergi tukar, tak juga pergi. Syukurlah berjaya hidup akhirnya.
Masa nak bergerak tadilah dia nampak ada seorang lelaki berlari-lari anak ke sana sini mencari kereta dan bila dia amati, memang nyata lelaki tadi. Biarpun pada mulanya nak abaikan saja, tapi kesian juga. Nampak macam tak biasa dengan mall ni.
"Kalau dah tahu, silakan pergi..." balas Han dingin.
Dia kepal penumbuk dan terus berlalu bila suara halus itu menyeru.
Hah... Ris julingkan mata ke atas. Kan dah cakap. Sejenis manusia yang tak reti terima syukur ni, susah. Orang dah bantu, tak nak cakap terima kasih pun tak apalah. Tapi, tak usahlah nak herdik.
Hei... Orang pun ada perasaan, tau! Cukuplah dua kali. Lepas ni kalau jumpa lagi kali ketiga, memang dia nak buat tak nampak ajelah.
"Kalau encik tak nak bantuan orang, dekat tiket tu ada tulis level mana awak parking. Sama ada B2 atau B1. Kalau kereta tak ada ada dekat B2, maksudnya mungkin dekat B1. Kalau dua-dua tak ada, boleh jadi dekat tingkat atas sana..." laung Ris dan suara itu bergema sedikit kuat.
Han berhenti melangkah. Dia pandang tiket di tangannya. B1? Huh... Apalah nak jadi dengan aku ni?! Dia ramas rambut yang panjang. Kakinya laju melangkah mendapatkan tubuh wanita yang berdiri di tepi kereta sendiri.
"Kau nak aku balas apa kau tolong aku sekali lagi ni?"
Ris tayang wajah tenang biarpun rasa sebal tak sudah berbisik dalam hatinya. Menyesal pula bagi tahu. Kan dah jadi drama siaran ulangan. Patut tadi dia biarkan aje.
"Tak ada apa. Okeylah. Hati-hati..." Ris masuk dalam perut kereta dan baru nak tutup pintu, tangan lelaki itu menahan.
"Aku tak biasa makan budi..."
"Eh... Eh... Dia ni. Benda ni common sangat. Tak ada kira budi atau apa. Ini bantuan biasa. Kalau bukan awak pun, saya akan bantu juga kalau orang tu nampak macam perlukan bantuan. Saya memang tak faham. Kenapa nak besarkan isu yang sebesar hama ni? Saya bantu, awak cakap terima kasih, saya cakap sama-sama lepas tu, selesai." Ris pandang tepat mata tajam itu.
Lelaki itu diam tak bersuara. Sekadar memandangnya tanpa perasaan.
"Okey... Sekarang saya dah menyesal balik dah bagi tahu awak pasal tu tadi..." Ris cuba tarik pintu tapi Han masih menahan.
"Apa lagi ni?" Tuhan... Apalah bala menimpa ni? Ris menggeleng sendiri. Nak kata lelaki ni ada niat tak baik, mustahil. Ini tempat terbuka biarpun sekarang lengang tanpa ada orang lain.
Tapi, CCTV merata-rata, hah.
"Kalau aku cakap terima kasih, cukup?" Akhirnya, Han bersuara.
"Haaa... Kan senang. Sama-sama. So, kita jangan jumpa lagi..." Kali ini, pintu kereta itu berjaya dirapatkan.
Ris terus tekan pedal minyak dan berlalu perlahan. Saat dia pandang rear-mirror, lelaki itu masih tegak berdiri di situ. Memandangnya. Manalah muncul orang gila dan kenapalah mesti dia terbabit dalam hal remeh macam ni? Nak cerita dekat orang pun malu. Bertekak pasal hal entah apa-apa.
Dia sekadar tenang memandu sehingga hampir tiba di depan pagar, kereta berhenti seketika. Memerhati sebuah kereta lain yang ada di situ. Dia nampak seorang lelaki dan seorang perempuan. Pedal minyak ditekan perlahan dan bila dia tiba tepat di belakang kereta tersebut, pedal brek pula yang dipijak. Mematikan enjin, Ris keluar daripada perut kereta bila wajah yang dia rindu, muncul di depan mata.
Tiba-tiba...
"Kak Nash?" panggilnya. Risau juga salah orang.
Wanita anggun itu menoleh. Lelaki itu juga.
Senyuman masing-masing koyak lebar.
"Ris!" Suara merdu itu menjerit keterujaan. Dia menerpa dan tubuh Ris dipeluk erat.
"Rindunya dekat Ris. Ini dari mana baru balik?" soalnya bila pelukan terlerai. Wajah comel itu dibelai mesra tanda rindu yang sangat menggebu.
"Kerja. Hari ni ada kerja luar. Ini Kak Nash baru sampai ke?" Ris nampak bagasi besar yang dia yakin milik kakaknya.
Kejutan apakah ini? Rasa nak menangis setelah bertahun-tahun Nash hidup di perantauan.
"Ya..."
"Tak cakap pun nak balik..." Bibir Ris mencebik. Persis merajuk.
"Hei, tak surpriselah kalau cakap..."
"Mama dengan ayah dah tahu ke ni?" Ris kian teruja.
"Belum..." Nash menggeleng dalam senyuman seraya mengerling pada lelaki yang masih setia di sisi.
"Errr... Ris, ini..."
Ris redupkan pandangan. Biarpun dalam cahaya neon malah yang tidak jelas mana, tapi dia tahu inilah lelaki yang selalu diceritakan.
"Ris tahu. Dia orangnya, kan?" bisik Ris.
Tawa mereka bersahut. Anggukan menjadi jawapan.
"Hei, babe. I gerak dulu. Nanti I call you. Mommy I pun dah berkali-kali call ni. Dan, seronok akhirnya dapat kenal Ris..." Matanya memandang tepat pada Ris.
Lelaki itu berlalu dan Ris juga menarik tangan kakak yang dirindui ke dalam rumah. Menjerit nama ayah dan mama. Lupa dah bagi salam bahana rasa teruja.
"Apa ni, Ris... Jerit malam-malam?" Mama muncul. Ayah menyusul di belakang. Nak terus membebel tapi suaranya tertahan.
Mata terbuntang. Terkejut melihat jasad indah di depan mata.
"Anashuha!" Mama menerpa dan memeluk erat anak itu.
Nash senyum. Terasa hidup sebaik saja kembali ke tanah air dan ke pangkuan keluarga sendiri. Namun, ada gusar yang menyelit dalam hati. Benarkah tindakannya? Meninggalkan kesetiaan Han demi bahagia sendiri?
Wanita mana yang sanggup hidup dengan lelaki seperti Han? Usah dikata sikap dinginnya, malah kisah lalunya juga tak mudah.
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz