ZingTruyen.Xyz

CHECKMATE

Bab 1

karyaseni2u

PROLOG

MATA digosok berkali-kali. Menahan rasa sebal dan marah di dalam dada yang cuba ditafsirkan oleh air jernih yang dipanggil air mata. Dia mahu tanya, kenapa? Setelah bertahun... Kenapa wanita itu mungkir janji? Dia dah bersedia dan membuktikan dia berjaya biarpun asalnya tiada apa.

Han menapak longlai menuju ke tempat letak kereta terbuka. Fikirannya menerawang. Memujuk hati demi bahagia wanita yang dia sayang sejak dulu bila sebuah kereta tiba-tiba mengundur dan melanggarnya. Tubuh yang tidak stabil itu jatuh tersembam, malah dahinya luka.

Pemandu kereta keluar dengan wajah pucat. Meminta maaf. Han senyum dan geleng kepala. Tak menyalahkan pemandu tersebut.

"Saya minta maaf, pak cik..." pinta anak gadis itu dengan wajah pucat. Riak wajahnya sudah hampir menangis.

"Tak apa. Sikit aje..." Tangan Han menekap luka di dahi. Gamaknya kerana hari yang sangat panas, pandangan dia jadi sedikit berbalam.

"Tapi, berdarah tu. Saya bawa ke hospital ya, pak cik..." Gadis itu merayu ketakutan.

Melihat pada gaya dan wajah, Han yakin gadis ini masih terlalu muda. Rasanya belum menginjak ke angka dua puluh. Tak sedar, dia senyum. Hilang rasa sebu dan sakit mendengar suara halus itu memanggilnya pak cik.

"Pak cik okey..." Sebaik saja dua patah perkataan itu terucap, Han hampir jatuh menyembah bumi jika tidak dipaut oleh tangan gadis itu.

"Pak cik jangan macam ni. Saya tak sengaja langgar pak cik. Saya hantar ke hospital dulu. Jangan tinggalkan saya dengan rasa bersalah dan rasa berhutang..." Birai mata anak gadis cantik itu mula berair.

"Hurm..." Belas timbul dalam hati Han melihat rayuan itu berkali-kali.

Kerana gadis ini tidak mahu berhutang padanya malah tidak mahu meninggalkan rasa bersalah, dia akur. Kerana dia tahu, harga untuk membayar sesebuah 'hutang' itu adalah sangat mahal. Seperti yang telah dia lalui sedekad lalu.

Saat ini, bau darah sekalipun tak mampu menelan haruman yang hadir daripada helaian rambut gadis muda ini.

"Errr... Pak cik jangan bagi kena kereta, ya. Ayah saya baru beli untuk kakak saya. Saya dah janji nak jaga. Nanti ayah saya mengamuk."

Han simpan senyum. Comel betul. Nak membantu tapi masih risau dan dia intai darah yang dikatakan itu. Ya, tempat duduk ini dah dicemari darahnya. Matanya pejam celik berkali-kali bila dia dengar gadis itu menjawab telefon.

"Ya, Ris dah gerak balik dah ni, ayah. Tapi, Ris sampai nanti ayah jangan marah. Janji..."

Senyumannya koyak kian lebar. Dalam banyak patah perkataan yang diucap, hanya satu perkataan yang melekat sebelum dia pitam seketika.

Ris!


BAB 1 

JAM pada pergelangan tangan kiri dipandang. Dah lewat. Dia patut keluar lebih awal. Bukan tak tahu, nanti beratur orang nak bayar parking. Tapi, itulah. Ralit menghadap kerja. Sedar-sedar aje orang dah nak tutup kedai. Mujur tak disuruh keluar. Tiket parking dikeluarkan sebaik saja dia berdiri di depan mesin bayar parking. Kan dah cakap, beratur panjang.

Tapi, tak apalah. Nak buat macam mana? Kena beratur juga. Cuma, kaki yang seharian menyarung kasut tumit tinggi empat inci ni, rasa nak patah dah. Dari pagi miting sana sini, jumpa klien lagi. Repot pula nak kena hantar cepat.

Beg dibimbit kemas. Not RM1 dah sedia di tangan. Patut dia pakai Touch 'n Go senang sikit terus keluar aje. Ris menapak selangkah ke depan bila giliran mula berubah. Akhirnya, bila hanya ada seorang saja lagi di depannya, telinganya dapat menangkap suara rungutan. Dahi Ris berkerut. Dia cuba intai lelaki berjasad tinggi di depannya. Kepalanya senget bila melihat berkali-kali lelaki itu mencuba tapi tak berjaya. Not itu tidak diterima.

"Errr, minta maaf, ya. Tapi, saya rasa nak kena tukar duit lagi tu..." tegur Ris sopan. Dia senyum bila lelaki berambut panjang itu menoleh dengan wajah tanpa senyuman.

Saranan Ris tak bersambut. Dia jongket kening sendiri dan tersenyum menyembunyikan rasa canggung. Bila toleh belakang, barisan manusia makin ramai dan ruang yang tak berapa lapang ini, kian sempit.

Jammed!

"Ni... Saya rasa memang kena guna duit lain tu..." bisik Ris sekali lagi. Bukan apa, dia dah dengar orang belakang merungut.

"Eh, boleh diam tak?" Suara parau itu membidas. Perlahan tapi begitu keras dan tajam. Matanya mengerling wanita pendek di belakangnya.

"Aku tengah cuba ni, tahu tak? Tak boleh sabar sikit?"

Dah sudah... Ris telan liur. Rasa tebal berlapis-lapis wajahnya bila diherdik demikian, sedangkan dia hanya menyatakan kebenaran.

Takkanlah tak pernah bayar parking? Ada masa, mesin tak nak terima duit. Biasalah tu. Tukarlah duit lain.

"Saya boleh sabar tapi kat belakang ni ramai dah tak sabar..." tegur Ris lebih tertib. Ikut hati, nak aje dia kembalikan paku buah keras. Tapi, tak ada makna semua tu. Buang karan!

Mata kuyu lelaki itu menoleh ke belakang. Melihat sekilas pada banyak pasang mata yang memandang dengan renungan tak puas hati.

Bukan masalah dia tapi mesin ni buat hal! Dah kenapa pandang aku macam aku bersalah pula?!

Dia genggam penumbuk. Rasa nak dilepaskan pada mesin di depan tapi ini besi. Buat sakit tangan aje. Kemudian dia rendahkan pandangan pada wanita yang berdiri hampir rapat di belakangnya. Serasa seperti nafas wanita itu menyentuh lengannya.

Dah rapat sangat ni kenapa pula? Huh, annoying!

Dia cuba lagi tapi masih seperti tadi. Ini kalau dia pergi tukar duit dekat 7-Eleven belakang ni, berapa jam pula nak kena beratur? Orang nak cepat ni. Dia masukkan sekali lagi tapi ya, mesin ini sengaja buat marah yang belum reda semakin mencanak.

Dia mahu hentak mesin tersebut bila suara wanita tadi melarang.

"Nah... Guna duit ni..." Ris hulurkan not RM1 pada lelaki itu.

Lama. Tidak bersambut. Sebaliknya, hanya pandangan tajam yang Ris terima.

"Ambillah. Saya bagi. Saya banyak duit seringgit ni..." Bibir Ris koyak dengan senyuman tipis. Namun sayang, lelaki itu masih tak menerima pemberiannya.

"Baca bismillah..." Saja Ris buat lawak walaupun dia tahu, boleh jadi kena maki dek lelucon tu.

"Eh, kejap..." Lelaki itu rendahkan pandangan. Lebih tajam daripada tadi.

"Kau ingat duit aku haram? Duit kau halal? Macam tu ke? Eh, ini duit aku kerja tau. Halal. Titik peluh aku!"

Dah sudah...

Sekali lagi Ris terkebil-kebil. Sampai ke halal haram pula. Tidak ke membaca bismillah tu adalah perbuatan yang baik? Yang sangat biasa dalam kehidupan seharian. Menyebut nama Tuhan dengan harapan segalanya dibantu dan dipermudahkan biarpun dalam sekecil-kecil perkara?

Dah... Dia dipersoalkan tentang halal haram pula. Padahal dia hanya nak bantu.

"Halal haram bukan hak saya nak tentukan. Tapi, yang saya tahu orang belakang dah bising. Saya sendiri nak cepat. Sebab tu saya nak bantu. Saya tak bagi free. Bagi saya RM1 yang tak boleh masuk mesin tu. Kita tukar. Awak dapat bayar cepat, dapat balik cepat, orang lain pun dapat balik cepat juga. Selesai..." balas Ris dengan suara mendatar.

Tak adillah dia aje kena. Niat baiknya disalah erti oleh lelaki asing ni. Ikut hati dia pun malas nak bantu.

"Nah..." RM1 itu terus disua tapi lelaki itu menepis kasar.

"Aku boleh tukar dekat 7E! Kau simpan ajelah duit halal kau tu!" Lelaki itu pasang langkah dan terus saja berlalu ke 7-Eleven.

Ris geleng sendiri sebaik saja kelibat lelaki itu hilang dalam 7-Eleven. Aci tak kalau nak cakap lelaki tu gila? Orang nak mudahkan kerja. Gamaknya, baru putus cinta. Dia pula salah masa dan tempat untuk membantu. Apalah nasib.

Usai membayar, dia terus menapak turun. Perlahan-lahan meniti eskalator yang dah berkurun rosak. Bilalah nak repair? Dia pun setiap kali akan lupa. Kerana itu langkahnya menjadi sangat perlahan. Bimbang kasut empat inci ini buatkan dia tersadung.

Tapi, belum pun separuh jalan... Suara parau itu menegurnya sekali lagi. Ris hentikan langkah. Menoleh. Melangut pandang pada lelaki yang dia kira, memang tinggi. Dia yang berkasut tumit tinggi ini pun hanya berada di paras bahu.

"Ya?" Keningnya terjongket tinggi. Bertanya.

"7E tak bagi aku tukar. Bagi duit seringgit kau tadi..."

Ris nak senyum tapi dia tahan. Hanya mampu tayang wajah tenang. Dia keluarkan purse dan diambil not RM1 lantas dihulur pada lelaki itu.

"Nah, tukar..."

Ris geleng. Menolak perlahan.

"Simpanlah ajelah duit awak. Saya bagi..."

"Eh, aku kata ambil..."

"Saya kata simpan. Jangan risau. Duit saya halal. Saya pun kerja. Halal. Hasil titik peluh sendiri." Ris terus menoleh dan menapak perlahan bersama lambaian tanpa memandang pada lelaki itu.

Itulah... Tadi berlagak sangat. Dia bukan tak tahu yang 7E tu memang tak suka orang tukar duit. Dia dah pernah kena. Lain kali, kalau kak long kawasan nak bantu, terima aje. Ini kawasan aku, aku tahulah selok-belok sini. Huh!

Jujurnya, dia bukan sengaja nak menyindir tapi cara lelaki itu seperti sedang menggalas segala beban dunia di bahunya padahal, ujian itu memang hadir pada setiap manusia dengan cara yang berlainan.

Jadi, usah sombong. Akui andai benar-benar perlukan bantuan. Tidak rugi. Sementelah pula dalam hal yang remeh macam ni. Alahai. Nak bagi tahu orang punca bertekak pun malulah. Dia mahu melangkah tapi langkahnya tertahan bila lelaki itu berdiri tepat di depannya. Memandang kakinya dengan senyuman sinis.

"Ambil..." arahnya keras.

"Simpan aje. Lagipun seringgit..."

"Hei... Seringgit pun duit, tahu?!" Nada lelaki itu keras.

Fuh... Ris julingkan mata ke atas.

"Okey. Saya ambil..." Dia sambut huluran lelaki itu dan mahu berlalu bila lelaki itu masih berdiri di depannya.

"Boleh saya lalu? Elok awak pergi beratur sekarang..." ujar Ris.

"Kau hutang aku sesuatu..." Lelaki yang dah mengikat kemas rambutnya itu tersenyum tajam.

"Hah? Ada lagi ke?"

"Kau hutang aku perkataan... Maaf..." Lambat-lambat lelaki itu menyebut perkataan terakhir.

Eh, kejap-kejap. Ris mula kerut kening. Tak mengerti betullah. Dahlah orang nak hulurkan bantuan, kena herdik lagi... Sekarang, nak kena minta maaf? Oh, misteri sangat ni.

"Atas sebab?" Bukan nak sarkastik tapi betul ni, Ris lupa. Dia fikir nak cepat aje tadi sambil-sambil membebel pasal eskalator yang rosak dari zaman ais pertama lagi ni.

"Minta aje maaf. Aku kira selesai segalanya. Tak kiralah yang mana..." Kenyataannya, hati seorang lelaki tak mampu nak terima sindiran keras daripada perempuan yang nampak sopan dan lembut.

"Okey..." Ris mengalah. Kaki dia memang dah tahap sakit sangat ni.

"Saya minta maaf untuk apa saja sebab yang awak rasakan saya bersalah. Selesai, kan?" Kening kiri Ris terjongket.

"Sekarang, boleh saya balik?"

Giliran Han pula jongketkan kening dan memberi laluan.

Dia koyak senyuman sinis yang cukup tajam melihat perempuan itu terkedek-kedek menuruni eskalator. Nak aje dia tengok perempuan tu jatuh tapi belum habis rasa dalam hatinya terbentuk, tangannya laju menyambar lengan perempuan itu bila akhirnya doanya seperti diperkenankan.

Perempuan itu terpelecok dalam pada menjaga langkah.

"Fuh... Nasib baik..." ucap Ris perlahan pada diri sendiri.

"Terima ka..." Dia panggung pandangan. Wajah semak itu masih di depannya.

"Sama-sama. So, kebaikan yang kau bagi dekat aku tadi, aku dah balas. Aku tak berhutang lagi dengan kau..." ujar lelaki itu sambil menarik lengan Ris sedikit kasar bagi membantu wanita itu berdiri stabil.

"Kebaikan?" Ris tak faham.

"Duit seringgit tadi..." Dia sedang diburu oleh rasa bersalah sebenarnya hanya kerana RM1.

"Saya ingat dah selesai..."

"Ya. Cuma aku nak cakap... Tak semua apa yang kau pakai tu, sesuai dengan kau dan situasi. Ada masa kau pakai kasut tinggi, kau yakin di depan jalan lurus tapi tengok, eskalator rosak."

Kening Ris yang indah terbentuk makin berkerut. Malah hampir bertaut cuba mencari jawapan.

"Kejap... Eskalator ni memang rosak sejak zaman ais lagi. Saya dah tahu..." Jawapan Ris kedengaran sangat lurus dan sinis.

Han pejam mata sesaat. Lurus betullah perempuan ni.

"Maksud tersirat aku, tak semua orang yang kau nampak perlukan pertolongan tu, memang perlukan pertolongan biarpun untuk sekecil-kecil perkara..."

"Kejap... Takkan sebab nak bayar dekat mesin autopay tadi..." bicara Ris mati.

"Lain kali kita jumpa, jangan cuba bantu aku walaupun hanya RM1..."

Gilalah. Takkan sebab dia cuba bantu, lelaki ini nak besarkan hal sampai macam ni sekali? Dia bukan buat apa-apa pun. Sebab mesin autopay tu? Sebab RM1? Menakjubkan. Ini cerita dekat orang pun, orang gelak.

"Mungkin awak ni putus cinta atau apa sajalah. Tapi tak logik langsung nak jadikan hal tu isu. Apa pun, jangan risau... Tak akan ada lain kali..." bidas Ris dan dia terus berlalu. Tak kuasa nak lama-lama di situ. Macam sengaja cari penyakit.

Betullah orang cakap, buat baik berpada-pada.

Bila dia toleh... Mata lelaki gila itu masih merenungnya. 

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz