ZingTruyen.Xyz

Angin Cinta

Bab 5

karyaseni2u

"ENCIK KK ingat saya ni apa?" Irika menggawangkan beg kertas itu ke muka KK kerana bengang dengan tindakan KK itu.

"Encik ingat saya perempuan murahan ke yang boleh cair dengan encik bila encik taburkan dengan harta dan kemewahan encik?"

KK masih diam tidak berkutik. Dia sekadar memandang gadis itu dengan matanya yang tajam.

"Ingatkan encik dah faham apa yang saya cakap hari tu. Tapi rupa-rupanya encik ni memang tak faham bahasa. Saya bukan perempuan murahan faham tak? Ambil balik harta encik ni, saya tak kebulurlah!"

Irika bersuara sedikit menjerit sambil meletakkan beg kertas itu di atas meja KK.

"Syhhh... Jangan cakap kuat sangat. Malu saya nanti." KK pantas bangun menekup mulut Irika kerana mahu mendiamkan gadis itu. KK risau suara nyaring gadis itu didengari pekerjanya namun dengan pantas Irika memijak kakinya membuatkan KK melepaskan pautannya dan mengaduh kesakitan.

"Aduh, sakitnya! Habis kasut aku!"

KK menjerit sendiri sambil menggosok kasut mahalnya yang sudah terpenyek.

"Rasakan. Saya bagi amaran lagi sekali dekat encik. Jangan sesekali cuba beli saya dengan harta encik. Saya tak berminat!"

Irika mendesah sebelum pantas membuka pintu bilik pejabat KK itu dan keluar dengan segera.

KK mengetap bibirnya kuat, menahan rasa sakit di kaki dan sakit dalam hatinya sekali.

"OH, Encik KK... Sihat ke?" Seorang wanita berusia dalam lingkungan tiga puluhan yang bekerja di Habib Jewel itu menegur

KK membuatkan dia tersedar daripada lamunan kenangan lalu. Segera KK mengangkat tangan.

Pengawal keselamatan yang memerhatinya sedari tadi dengan rasa curiga, terus termalu sendiri saat melihat KK dilayan dengan ramah oleh staf Habib Jewels itu.

KK menjeling ke arah pengawal keselamatan itu sambil buat muka berlagak. Baru kau tahu siapa aku, kan? Kau ingat aku nak rompak bank ke apa? Mesti pak guard barulah ni.

"Hai, Kak Intan! Saya okey. Macam biasalah." KK tersengih sebelum mengambil duduk di hadapan Kak Intan.

"Apa boleh saya bantu?"

Kak Intan menyoal pelanggan tetapnya itu. Siapa tidak kenal dengan KK? CEO Syarikat Kay Kay Holding, pemilik syarikat gergasi itu sudah tentu kaya-raya.

Jadi, haruslah dia memberikan layanan VVIP kepada pelanggannya itu.

"Macam ni, saya nak cincin. Cincin jenis apa pun tak apa. Yang sesuai untuk saya melamar someone."

KK menjawab dengan getaran pada suaranya yang sedang berdebar.

"Wah! Encik KK nak melamar kekasih hati ke?" Kak Intan teruja.

"Yup, saya rasa inilah masa yang paling sesuai. Saya pun dah tua, kak. Tapi belum kahwin lagi sampai sekarang. Nanti lambat-lambat kekasih saya pun disambar orang."

"Ai, Encik KK kacak macam ni, kaya pula, takkan kekasih nak lari? Rugi dia nanti..."

Kak Intan tersengih.

"Kakak ni ada-ada sajalah." KK tersengih-sengih macam kerang busuk apabila dipuji sebegitu.

"Tapi kekasih saya tu satu dalam seribu, kak. Kalau dia tinggalkan saya, saya yang rasa rugi. Sebab ramai lagi yang nak berebutkan dia tu. Hesy, tak sanggup saya."

"Wah! Kalau macam tu, memang patutlah Encik KK lamar dia cepat-cepat. So, cincin macam mana yang encik nak?"

Kak Intan bersuara lagi sambil melihat cincin-cincin di dalam cermin kaca untuk dicadangkan kepada KK.

LIMA bentuk cincin berlian bersusun cantik di hadapan mata KK saat itu telah membuatkan KK rambang mata. Dia harus memilih cincin yang paling sesuai untuk Irika.

Kakinya dihentak-hentak di atas lantai sambil memikirkan cincin yang manakah yang sesuai untuk disarungkan ke jari manis Irika nanti.

"Sorry, saya tak tahu nak pilih yang mana sebenarnya. Hmmm, kalau akak, akak nak pilih yang mana?"

KK menyoal setelah lama berfikir tanpa ada sebarang jawapan.

"Kalau saya, saya ambil semua. Cantik?" Kak Intan menyoal sambil tersengih. Bersinar matanya melihat cincin-cincin itu. Nak beli sendiri memang tak mampu.

"Takkan saya nak ambil sampai lima? Bukannya saya nak kahwin lima, kak." KK garu kepalanya yang tidak gatal. Main-main betul kakak sorang ni.

Kak Intan tersengih sambil mengangkat bahunya tanda tidak tahu.

"Okeylah. Saya try tanya orang dulu."

KK membuat keputusan sebelum menala pandangannya ke arah sekeliling kedai itu sebelum terpandang seorang wanita yang bergaya secara berlebihan di hujung sebelah sana yang sedang membelek rantai emas.

"Puan Sri, Datin?"

KK main aci panggil saja, wanita itu menoleh apabila menyedari KK sedang memanggilnya.

"Ah, Datin? Kalau Datin tak kesah, boleh tak Datin tolong pilihkan untuk saya? Saya tak pandai."

KK menyoal sambil menunjuk ke arah cincin-cincin yang terpamer di hadapannya saat itu.

Wanita yang dipanggil Datin itu segera menghampiri tempat KK dan ikut membelek cincin-cincin tersebut.

"Kalau I la kan, mesti I pilih yang ini. Nice tak?"

Wanita itu tersenyum sambil menunjuk ke arah satu cincin berlian yang agak sarat.

"Sebab tu saya tak kahwin dengan awak. Kalau saya, saya pilih yang ini."

KK menunjuk ke arah sebentuk lagi cincin yang lebih ringkas tetapi cantik. Nampak sesuai dengan jari-jemari Irika yang runcing itu.

"Dahlah suruh kita pilih, kita pula dicarutnya. Huh!" Wanita itu mendengus sebelum berlalu meninggalkan KK yang sudah membulatkan keputusannya sebaik terasa berkenan dengan cincin itu.

"Ini pilihan akak tadi." KK bersuara kepada Kak Intan saat menjauhkan cincin pilihan wanita tadi dari dirinya. KK tarik pula cincin yang lagi satu rapat kepadanya sebelum tersenyum.

"Yang ini, lebih Irika."

KK angkat dan tunjuk kepada Kak Intan sebelum dia kembali memandang cincin di dalam kotak itu dengan senyuman bahagia yang terpamer di bibirnya, membayangkan cincin indah bertatahkan sebutir berlian yang sangat cantik itu tersarung di jari manis Irika.

KK puas hati.


Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz