Bab 4
HATI KK terasa galau. Lagi nanar hatinya apabila mendapat tahu yang Zainal tadi ialah pemilik Alamar Corp yang juga pemilik Menara Alam tempat Irika bekerja itu.
Zainal Alam Bakhtiar, pesaingnya dalam bidang perniagaan ini. Patutlah lagaknya lain macam.
Baru saja KK nak tawan hati Irika dengan tayang hartanya dan kemachoannya depan Irika, sekali mamat Zainal tu potong line pula.
Hailah, KK. Dalam banyak-banyak perempuan yang kau boleh dapat dengan mudah, kenapalah dengan yang susah ni juga yang hati kau nak tertawan?
Sudahlah nak kena bersaing dengan Zainal yang gila perfect.
Mahu kalah aku sebelum bertanding. Haih! Irikaku sayang... Janganlah kau tergoda dengan Zainal tu. Please, sayang...
"Tergoda? Hmmm..." KK mengurut-urut dagunya sambil memikirkan sesuatu sebelum dia mengangkat tangan tanda mendapat idea. Butang interkom pantas ditekan.
"Sharon..." KK memanggil setiausahanya itu.
"Yes, bos?"
"I nak you lakukan sesuatu untuk I." KK tersenyum sendiri.
"Apa dia, bos?"
"Adalah. Tapi sebelum tu you panggilkan Soraya masuk bilik I kejap. Nanti I beritahu you apa yang you kena buat."
"Okey, bos!"
KK menyandar pada kerusinya sementara menunggu Soraya selaku eksekutif pemasarannya itu masuk.
Soraya, antara gadis tercantik di syarikatnya. Mungkin juga di Malaysia.
Hijabista bermata galak ini bekerja sebagai model sambilan selain bekerja di syarikat KK. Tapi walaupun sudah lama bekerja di situ, tidak pernah sekalipun KK rasa tertarik apatah lagi jatuh cinta dengan dia, tapi dengan gadis bernama Irika itu...
Baru pertama kali jumpa pun hati KK dah tertawan. Aduh!
"Bos panggil saya?" Soraya menjenguk dari luar bilik KK.
KK yang tersedar daripada lamunan, kembali membetulkan duduknya sebelum memanggil Soraya masuk.
"Yes, Soraya. Saya ada projek baik punya nak bincang dengan awak." KK senyum penuh makna.
"I nak jumpa Cik Irika."
Sharon bersuara saat dia muncul di pejabat Jaguh Kiara petang itu.
Tugas yang diberikan KK itu harus dia laksanakan walaupun tidak berkaitan dengan soal perniagaan.
Bosnya itu terlalu sibuk untuk datang sendiri dan bersemuka dengan gadis itu.
Jadi, dia selaku orang kuat bosnya haruslah menolong.
"Ya, saya." Irika mengangkat kening memandang ke arah amoi berwajah cantik di hadapannya itu.
"Oh... Cik Irika, ya?" Sharon tersenyum. Patutlah KK boleh angau sampai macam tu sekali. Baru Sharon faham sekarang.
"Bos I tugaskan I untuk bagi hadiah ni untuk Cik Irika. Harap Cik Irika sudi."
Sharon menghulurkan satu beg kertas berlambangkan Habib Jewels.
Irika menyambut beg yang dihulur Sharon dengan rasa teragak-agak. Apa benda pula ni?
"Errr, apa ni ya?" Irika segera menyoal.
"Hadiah... Daripada bos I. Dia cuma minta I bagi dekat you. Itu saja. So, I minta diri dululah, ya."
Sharon meminta diri dengan pantas. Dia risau gadis itu melenting dekat dia pula macam yang KK kena. Tugasnya di situ sudah selesai.
Sebaik membelikan hadiah itu, dia terus saja ke pejabat gadis itu seperti yang diamanahkan KK.
Irika memerhati langkah amoi itu hingga dia keluar dari pejabat Irika dan hilang dari pandangan sebelum matanya jatuh ke arah beg kertas itu semula.
Perlahan dia menyeluk isi dalam dan menarik sebuah kotak baldu yang sederhana keluar dari beg itu.
Mata Irika membuntang saat dia melihat seutas rantai tangan yang bergemerlapan bertatahkan butiran berlian halus elok terletak di dalam bekas kotak baldu itu.
Dengan pantas dia menutup kotak itu semula dan mendengus geram.
"Dia ingat aku ni boleh dibeli dengan benda ni ke? Huh! Memang nak kena betul CEO poyo tu."
Irika mengomel sendiri sebelum menyimpan kembali kotak itu ke dalam beg kertas tadi.
"MACAM mana, Sharon?"
KK pantas menyoal sebaik Sharon kembali ke pejabatnya petang itu.
Dia tidak senang duduk sedari tadi memikirkan hal itu walaupun sibuk di pejabatnya dengan pelbagai urusan.
"Okey, bos. Don't worry!" Sharon tersengih.
"Ya ke? Alhamdulillah. Dia terima ke?"
"Terima saja. Patutlah bos boleh terpikat dengan dia. Memang cantik dan baik orangnya I tengok."
"Kan, kan?" KK tersenyum bangga apabila Sharon mengakui pilihannya itu tidak salah.
"Dia ada kata apa-apa tak dekat I?"
KK masih teruja dan mahu tahu semuanya tentang hal tadi. Mudah rupa-rupanya gadis itu hendak menerima hadiahnya. Ingatkan susah sangat. Cair dengan barang kemas rupa-rupanya Irika itu.
"Tak ada, bos. Belum dia cakap apa-apa, I sudah cabut. Takut dia marah dekat I."
"Hah? Habis, dia sempat tengok tak hadiah tu depan you?"
"Tak." Sharon tersengih.
"Belum sempat dia buka, I sudah minta diri."
Sharon menyambung katanya membuatkan KK menepuk dahinya.
"Aiyooo, Sharon! Kenapa you tak tunggu dulu? Mana tahu dia nak bagi pesanan apa-apa ke, tak pun dia tak nak terima hadiah tu ke?" KK gusar dan bimbang gadis itu marahkan dia lagi.
"Alah relakslah, bos. Itu pelan I la. Kalau dia ada apa-apa nak cakap nanti, dia contactlah bos. I cepat-cepat balik supaya nak tak nak, dia kena terima juga hadiah bos tu. Unless..." Sharon terhenti bersuara saat bunyi interkom kedengaran di meja KK.
"Bos, ada perempuan nama Irika nak jumpa."
Penyambut tetamu memberikan pesanannya membuatkan KK menelan liur. Dia memandang ke arah Sharon dan Sharon juga ikut memandangnya. Habislah!
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz