ZingTruyen.Xyz

Angin Cinta

Bab 11

karyaseni2u

MATA Irika membulat saat melihat sejambak bunga di atas mejanya pagi itu. Dia memandang sekeliling namun tidak ada sesiapa yang kelihatan berdekatan tempatnya.

Kad yang terselit di celahan bunga ros itu segera Irika capai dan baca.

Roses for a rose. Kerana kau membawa seri kepada hidupku yang pudar. - KK -

Aduh! Mamat ni lagi! Tak kenal erti putus asa langsung! Irika mendengus sendiri.

"Wah, dapat bunga, nyah!"

Naim yang tiba-tiba muncul menegur Irika membuatkan Irika cepat-cepat menutup kad itu dan menyimpannya jauh dari pandangan Naim.

Irika bimbang diejek lagi apabila membaca ayat jiwang KK itu.

"Ya. Kalau kau nak, ambillah. Aku tak nak." Irika membalas datar sebelum duduk di mejanya.

"Gila kau tak nak bunga ni? Cantik kut! Siapa yang bagi ni?" Naim menyoal sambil membelek bunga itu dengan rasa teruja.

"Entahlah... Mamat mana entah."

Irika mendengus kembali.

Geram pula rasa hatinya apabila teringatkan lelaki itu.

Naim diam namun matanya dapat menangkap wajah Irika yang sudah berubah riak.

"Okey, aku macam dah boleh agak. Ini mesti kerja CEO Kay Kay Holding tu, kan?"

Irika menghela nafasnya sebelum mengangguk perlahan.

"Rimaslah aku dengan dia tu. Tak reti nak mengalah langsung.

Apa lagi aku nak kena buat baru dia berhenti, ya? Aku dah siap terus terang dah yang aku ni tak suka dia. Dia boleh main aci hantar-hantar bunga pula."

"Mak suka lelaki macam tu, nyah. Gentleman sangat."

"Ah... Kau tak payah nak suka-suka. Kau tu lelaki, sedarlah sikit.

Suka dekat perempuan aje, jangan gatal-gatal nak suka lelaki."

"Alah... Aku nak suka kau, kau tak bagi. Aku nak suka lelaki ni pun kau tak bagi. Apa lagi yang kau nak ni? Menyampah tau!" Naim mengomel sendiri.

Irika terdiam. Suka aku?

Yes! Irika tersenyum sendiri sambil memandang ke arah Naim dengan penuh makna.

"Apa?" Naim menyoal setelah rimas dipandang sebegitu.

"Tolong aku, beb? Kau kan bff aku dunia akhirat. Tolonglah kawanmu yang terdesak ini. Please!" Irika merayu dengan kedua-dua belah tangannya diangkat.

"Tolong apanya? Macam tak best saja bunyinya." Naim curiga.

"Tolong aku..." Irika tersenyum penuh makna. Naim menanti dengan debaran di dalam dada.

KK mendail nombor di telefon pejabatnya pagi itu sebelum menanti panggilannya bersambut.

Dia membetulkan duduknya di kerusi sebelum berdeham beberapa kali, cuba menenangkan hatinya yang berdebar.

"Helo, Jaguh Kiara Holding. Boleh saya bantu?"

Suara seseorang menjawab panggilan membuatkan KK sedikit terkedu. Tapi ini bukan suara dia.

"Errr, Jaguh Kiara, ya? Irika ada?"

"Siapa dekat sana?"

"Errr... Saya KK."

"Oh... Encik KK ke? Bukan nak cari Encik Johan, ya?"

Ai kenal? KK mengerut dahinya.

"Errr... Tak. Nak cakap dengan Irika."

Terdengar suara di sebelah sana ketawa kecil.

"Okey. Kejap akak pass dekat Irika, ya?"

"Eh, akak? Akak ni siapa?"

KK menyoal, ingin tahu.

"Kak Mona. Alah, yang kamu suruh bagi nota dekat Irika tu." Kak Mona bercakap dalam sisa tawanya.

"Oh... Kak Mona. Okey, kak. Terima kasih."

Diam lama. KK menanti dengan debaran yang makin kencang.

"Nak apa?" Soalan itu terus menerpa saat panggilan itu bersambung kembali.

"Errr... Dah dapat bunga?" KK menyoal dengan teragak-agak.

IRIKA mendengus geram. Tak sangka lelaki itu sudah berani menelefonnya di pejabat. Kalau Encik Johan tahu, habislah dia. Sesuka hati hendak mengganggu dia pada waktu bekerja.

"Encik buat apa kacau saya lagi ni?"

Irika menyoal dengan nada geram.

"Saya cuma nak tahu, awak dah dapat ke bunga yang saya hantar tadi?"

"Dah."

"Itu saja?"

"Yalah. Nak cakap apa lagi? Terima kasih? Saya tak rasa saya patut berterima kasih pun sebab saya tak nak pun bunga tu."

"Awak tak suka ke?"

"Tak."

"Saya rasa semua perempuan sukakan bunga. Takkan awak tak suka?"

"Saya suka bunga. Tapi bukan bunga daripada encik."

"Okey... Okey... Fine. Sorry kacau awak."

"Oh... By the way, Mister KK. Tolong jangan kacau saya di pejabat lagi boleh tak? Tak elok gunakan telefon ofis untuk kepentingan peribadi."

Irika meletakkan gagangnya sebelum sempat lelaki itu berkata apa-apa lagi. Huh! Baru puas hati aku!

"Macam mana?"

Kak Mona tiba-tiba menyoal saat dia datang ke meja Irika, sesaat kemudian.

"Macam mana apanya, kak?" Irika menyoal datar. Dahi Irika berkerut seribu, terasa serabut diganggu begitu.

"Lahhh, kan tadi Encik KK tu call kamu."

"Yalah... Memang dia call."

"Dia cakap pasal apa?"

Kak Mona kelihatan teruja. Irika mendengus sendiri.

"Tak ada apalah, kak? Tanya pasal bunga aje." Irika menjawab acuh tak acuh.

"Oh... Bunga tu dialah yang hantar, ya?"

"Ya... Rimaslah saya, kak."

"Untung kamu, Irika. Siap ada yang mengejar sampai macam tu. CEO pula tu. Kaya tak payah cakaplah. Tujuh keturunan tak habis makan tu."

"Untung apanya, kak. Saya tak sukalah." Irika mencebik.

Kak Mona tersenyum.

"Tak apa kalau kamu tak suka dia pun. Tapi at least hargailah juga usaha dia tu. Ucap terima kasih ke, jadi kawan ke, janganlah kejam sangat."

Kak Mona menepuk bahu Irika sebelum meninggalkan meja itu. Irika menggumam.

Kejam sangatkah dia? Tapi dia alergi sungguh dengan mamat hidung terletak tu. Hesy!

IRIKA keluar dari perut lif menuju ke tempat letak keretanya seperti kebiasaan saat habis waktu kerjanya. Mulut Irika melopong saat dia melihat kereta KK sudah awal-awal lagi menantinya di situ.

Takkanlah dia tak kenal kereta Ferrari kuning itu, kan? Beberapa buah belon kelihatan bergantungan di keretanya.

Irika menghampiri jejaka itu dengan derap perlahan sambil matanya memerhati sekeliling.

Dia bimbang kalau ada orang lain yang nampak. Telahan Irika tepat, memang ada mata-mata yang memerhatikan mereka sebaik orang-orang itu keluar ke tempat parkir tersebut.

Irika rasa segan, tetapi dia gagahi juga untuk mendekati KK.

"Awak nak apa lagi ni?"

Irika menyoal separa berbisik. Tak nak menjadi perhatian orang ramai.

KK tersengih sebelum menghulurkan satu kon aiskrim kepada Irika.

"Apa ni?" Irika menjeling, tidak faham motif KK.

"Aiskrim."

"Itu saya tahu, tapi kenapa bagi saya pula?"

"Saja. Hadiah. Perempuan kan suka makan aiskrim."

Irika mendengus. Entah apa-apalah dia ni, romantik tak kena tempat.

"Perempuan lain, bukan saya. Awak jangan kacau saya lagi boleh tak?"

"Ambillah, saya beli khas untuk awak ni walaupun harga dia murah saja. Dua ringgit lapan puluh sen, tapi saya ikhlas."

KK menepuk dadanya sebelum menghulurkan lagi aiskrim itu ke depan muka Irika, dengan harapan gadis itu akan mengambilnya.

Irika diam memandang aiskrim itu, mengambilnya dan membuka balutan aiskrim tersebut.

"Hah, macam itulah!"

KK tersenyum gembira.

"Saya cakap tak nak, tak naklah! Tak faham ke?"

Irika melenting sebelum menonyoh aiskrim itu ke baju KK, membuatkan sut mahal KK itu jadi comot. KK terkejut dengan apa yang terjadi.

Dia tidak mampu berkata apa-apa saat Irika berjalan pantas meninggalkannya dengan wajah masam mencuka.

"Lagi satu, saya nak encik tahu yang saya dah ada kekasih. Jadi saya harap encik hentikanlah ganggu saya."

Irika sempat bersuara dengan lantang sebelum berlalu ke keretanya tanpa berpaling ke arah KK lagi.

"Damn! Habis baju aku!"

KK yang baru tersedar cepat-cepat masuk ke dalam keretanya, mencapai tisu dan menyapu sisa aiskrim itu. Sut mahalnya habis dicemari dengan aiskrim vanila itu.

Tak berhasil juga teknik memikat perempuan yang dia baca di Internet itu kali ini. Irika ini memang bukan perempuan sembarangan.

"Dia dah ada kekasih?"

KK menyoal dirinya sendiri sambil membuka sutnya dan dilempar ke tepi. KK menghela nafasnya sendiri sebelum memecut keretanya laju. 

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz