Bab 2
RABU seterusnya. Rutin yang sama. Pukul empat petang. Di perpustakaan. Duduk di meja yang sama. Begitu juga dengan dia. Begitulah Rabu-Rabu aku yang seterusnya. Cuma kadang-kadang kedudukan kami sahaja yang berbeza.
Namun, aku masih berjaya cari tempat yang strategik untuk memandang dia. Rutin ini berterusan selama berminggu-minggu. Sehinggalah satu Rabu...
Pap!
Kepalaku yang sedang tunduk mencatat sesuatu diketuk dengan satu benda seakan-akan fail. Tidak sakit. Tapi menyebalkan. Terus aku dongakkan kepala mencari si pelaku. Aku tahu itu bukan satu kemalangan. Tetapi satu tindakan yang disengajakan.
Mataku terbuntang luas.
Eid!
Apa dia buat kat sini? Macam mana dia boleh ada kat sini?
Bola mataku yang masih terbuntang bergerak mengikut pergerakan si pelaku yang kini sudah jatuhkan duduk di depanku. Dengan selamba. Bersahaja. Sekali gus menghalang pemandanganku daripada si 'dia'.
"Kat sini rupanya kau..."
Bicara itu diluah senada.
Bibirku terkatup rapat. Liur tertelan perit. Dia tahu ke? Dia tahu ke kenapa aku selalu ke sini?
Kepala Eid menoleh ke kiri dan kanan. Meliarkan matanya ke segenap ruang perpustakaan. Bagaikan mencari sesuatu.
"Kenapa sini?" soalnya masih dengan nada yang sama.
"Hah?"
Aku pamer wajah blur.
Eid kembali menumpukan pandangan ke arahku. Membalas renungan kosongku.
"Kenapa kau selalu datang sini? Kenapa tak pergi library kita aje?"
"Nothing," jawabku senaif yang mungkin. Cuba menyembunyikan sebab sebenar.
Belum sempat Eid nak buka mulut, aku dah sambung bicara. Melontarkan soalan pada dia.
"Kau buat apa pula kat sini?"
"Cari kau," balas dia. Selamba. Jari-jemarinya mengetuk meja. Perlahan. Hujung bibirnya tersenyum nipis. Tampak sedikit nakal.
Eid gerakkan tubuh mendekat ke meja. Mendekati aku yang masih mampu beriak biasa.
"Cari sebab kenapa kau selalu tergesa-gesa nak balik lepas kelas Prof. Alagan..."
Bicaranya sengaja dileretkan dengan nada nakal. Tubuhnya dijauhkan semula. Disandar pada kerusi. Tampak santai.
"Dan sekarang bila aku dah tahu kau pergi mana, aku nak cari sebab kenapa kau selalu datang sini pula."
"Hah? Seriously? Kenapa pathetic sangat hidup kau? Suka hatilah aku nak pergi mana sekalipun," tempelakku. Sedikit hilang sabar bila mendengar bicara lelaki itu.
Eid tidak beriak. Kosong. Seakan-akan tidak terkesan dengan tempelakanku. Dia dengan selamba tarik buku nota di depanku. Matanya terarah pada catatan tulisan tanganku.
"Rajinnya. Sejak bila jadi library girl? Atau..."
Mata Eid melirik ke sekeliling sebelum dia menumpukan pandangan ke arahku.
"Ada sesuatu dekat sini yang tarik perhatian kau?" soal lelaki itu. Penuh rasa curiga.
"No!"
Laju aku menjawab.
"Aku tak jumpa apa yang special pasal library ni. Tapi aku yakin ada sesuatu yang buat kau selalu pergi sini. Ada sesuatu yang special untuk kau. Ini yang perlu aku siasat. Sebab aku tahu kau takkan bagi tahu aku."
Aku cuba kekal tenang. Tak mahu nampak gelabah. Matilah aku kalau dia tahu. Rutin bahagiaku yang aman damai selama ni akan jadi kucar-kacir. Semuanya sebab dia.
"There is nothing."
Senyuman sinis tersungging di bibir Eid. Seakan-akan tidak percaya kata-kataku.
"I know there is something," balas Eid dengan nada yang menjengkelkan aku.
"Kalau ada something pun, buat apa kau nak sibuk ambil tahu? Buat hal kau sudahlah. Tak payah nak sibuk hal orang lain."
"Eh, mana boleh. Everything pasal kau, aku kena ambil tahu."
Aku buat muka menyampah. Tolonglah! Sampai bila dia nak menyemak dalam hidup aku?
"Blah. Jangan kacau aku."
"Halau?"
"Yes!"
"Jom balik."
Eh! Kita halau dia, dia ajak kita balik pula. Apa kes?
"Kau nak balik, pergilah balik. Kenapa ajak aku pula?"
"Lyn tunggu kau kat rumah," beritahu Eid. Datar.
Tapi responsku tidak sedatar itu.
"What?!"
Aku terjerit.
"Shhh!"
Dan jeritan di luar sedarku itu telah mengundang jelingan maut pelajar-pelajar lain. Terdiam terus aku. Terdiam dan terus menunduk. Sudahlah menumpang perpustakaan orang lain, lepas tu buat bising pula. Sangatlah tak patut.
Aku kerling si dia dari celah tubuh Eid yang menghalang di depanku. Dan...
Sepasang mataku bertemu dengan mata si dia. Buat kali pertama. Detik itu, dunia bagaikan berhenti berputar. Segalanya terasa hening. Eid di depanku pun tiba-tiba lenyap. Seakan-akan hanya ada aku dan dia sahaja di perpustakaan ini. Hanya kami. Saling berbalas pandangan.
Seketika kemudian, si dia melarikan pandangan. Kembali menunduk menghadap buku rujukannya. Serentak, segala bayangan indahku hilang. Lenyap.
Oh Tuhan! Aku baru sahaja berbalas pandangan dengan dia. Ini kali yang pertama. Ada rasa suka. Ada juga rasa terkilan. Kenapa dia sedar akan kewujudanku dengan cara sebegini?
"Jomlah balik. Lyn dah tunggu."
Suara Eid membuatkan aku kembali menumpukan pandangan ke arahnya.
Oh, let me tell you something. Eid ni bukan sahaja makhluk yang paling aku benci. Tapi dia juga jiran sebelah rumah aku. Dan kembar kepada kawan baik aku. Eidlyn. Can you imagine?
Aku berkawan dengan Lyn sejak kecil. Masa tu aku tak tahu pun dia ada kembar. Aku ingat dia anak tunggal sama macam aku. Kami main sama-sama. Berlari sama-sama. Pergi tadika sama-sama. Senang cerita semua benda buat sama-sama. Papa dan mama kami pula berkawan baik. Eid tiba-tiba muncul dalam hidup aku sewaktu aku ikut Lyn balik ke kampungnya. Waktu itu aku baru tahu Lyn ada kembar, yang selama ini dijaga oleh atuk dan nenek mereka.
Sebelum tu, Lyn pernah bercerita pasal kembar dia tapi aku ingatkan dia tipu aku. Sebab aku tak pernah pun nampak kembar Lyn tu. Aku sangka Lyn sengaja mereka cerita. Rupa-rupanya, kembar Lyn tu duduk dengan atuk dan nenek mereka di kampung. Bila atuk dan nenek mereka dah tak ada, barulah Eid dibawa tinggal bersama Lyn.
Masa mula-mula aku dapat tahu yang Eid akan tinggal bersama Lyn, di sebelah rumah aku yang jaraknya beberapa langkah sahaja... Akulah manusia yang paling gembira. Siap menari-nari satu bilik. Happy sangat. Tak sabar nak jumpa my secret crush yang dah dua tahun tak jumpa. Secret crush pada waktu dan ketika itulah.
Tapi segala rasa gembira itu hilang bila Eid yang aku jumpa di kampung dulu berbeza dengan Eid yang aku jumpa di rumah Lyn. Dia seorang yang perengus. Seorang yang menjengkelkan. Seorang yang suka cari pasal. Seorang yang suka cari gaduh. Dia tak suka aku rapat dengan Lyn. Dan tika itu aku baru betul-betul kenal siapa Muhammad Eidlan.
"Bila dia balik? Kenapa tak bagi tahu aku?" soalku, tidak dapat menyembunyikan keterujaan.
Eid jongket bahu.
"Tanyalah dia. Nak surprisekan kau kut."
"Ha? Dah tu kenapa kau bagi tahu aku?"
"Sebab aku nak kau balik dengan aku."
Dahi aku berkerut. Jawapan jenis apakah itu?
Eid tiba-tiba tolong kemaskan barang-barangku. Tanpa aku suruh, okey. Buku nota aku ditutup. Alat tulisku disimpan. Aku perhati sahaja apa yang dia sedang lakukan. Bibir terketap perlahan.
Apa yang harus aku lakukan? Dia atau Lyn? Si dia yang baru aje aku nampak setelah seminggu tidak bersua atau kawan baik yang sudah hampir satu tahun tidak ketemu? Argh! Aku tak boleh buat keputusan. Antara si dia dan kawan baikku sendiri.
Tapi... Hatiku tidak sabar ingin bertemu Lyn. Ada banyak benda yang ingin aku kongsikan dengan kawan baikku itu. Banyak!
"Jom!"
Eid mengajak. Dia sudah simpan segala barang-barangku di dalam beg. Entah bila dia ambil beg sandangku, tidak pula aku perasan.
Aku ikut bangkit. Seakan-akan patuh sahaja pada Eid. Tak. Bukan patuh. Tapi aku tak mampu nak melawan bicaranya kali ini. Because of Lyn. Kembar tidak seiras lelaki itu.
Sebelum melangkah menjauh, mataku sempat titipkan kerlingan terakhir pada si dia.
Bye, awak. Saya kena balik awal hari ni, ucapku dalam hati.
"LYN!" laungku penuh keterujaan.
Langkah kaki Lyn yang baru keluar dari ruang dapur terhenti. Berdiri kaku di tengah-tengah ruang tamu. Tangan kiri pegang mangkuk yang dipenuhi salad. Tangan kanan sedang suap tomato ceri ke dalam mulut. Segalanya terhenti. Tomato ceri yang belum sempat masuk ke dalam mulut jatuh semula ke dalam mangkuk. Mata Lyn terbuntang. Mulut terlopong. Barangkali terkejut melihatku di depan pintu rumahnya.
"Kau buat apa kat sini?" soal Lyn, masih dengan riak terkejut.
Tanpa dijemput masuk, aku tanggalkan kasut dan berjalan ke dalam rumah seolah-olah itu rumahku sendiri. Langkah kaki diayun menghampiri Lyn.
"Jumpa kaulah. Kenapa tak beritahu kau dah balik?"
Mata Lyn menjeling Eid yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam rumah. Jelingan tidak puas hati.
"Kenapa abang bagi tahu Aur yang adik dah balik? Kan adik suruh rahsiakan?"
"Ada eh? Sorry abang tak ingat," jawab Eid selamba.
Lyn mendengus. Matanya kembali tertumpu ke arahku.
"Aku baru ingat nak surprisekan kau. Nak serang rumah kau malam ni. Tapi kau dah serang rumah aku dulu. Hesy, abang aku ni," gerutu gadis itu.
"Entah Eid ni... Suka-suka aje spoil surprise orang. Dah tu sibuk cari aku kat library, suruh balik. Konon kau dah tunggu."
"Library?" soal Lyn. Penuh makna tersirat.
Aku dan Lyn saling berpandangan. Seakan-akan mengerti apa yang berada dalam fikirkan Lyn, aku anggukkan kepala.
"Kau baru balik dari library?" Lyn menyoal lagi.
Dan aku mengangguk lagi.
Lyn tarik lengan aku. Ajak duduk di sofa. Mangkuk salad yang masih berada di tangan gadis itu, diletakkan di atas meja kopi.
"Salad again? Sampai bila kau nak makan salad aje ni? Tak reti nak makan nasi dah ke?" tempelakku dalam nada gurauan.
"Sampai aku dapat badan solid macam kau," balas Lyn bersahaja.
Aku tergelak. Namun tidak lama.
"Kejap!"
Tawaku terhenti. Mataku bergerak dari atas hingga ke bawah. Dari hujung kepala hingga ke hujung kaki gadis itu.
"Oh, my God! Aku baru perasan. Berapa kilo kau dah turun ni?" soalku jelas terkejut.
Lyn yang berada di depanku cukup berbeza dengan Lyn yang aku kenal bertahun-tahun lamanya. Berbeza dengan Lyn dalam memori ingatanku. Berbeza dengan Lyn aku jumpa setahun yang lalu, sewaktu aku menghantarnya ke lapangan terbang. Sebelum dia terbang ke London. Apa sudah jadi dengan Lyn, si gadis chubby yang aku kenali selama ini? Sejak bila saiz Lyn yang sentiasa bersaiz double XL bertukar kepada saiz M?
"Lah... Kau tak perasan ke tadi? Patutlah kau tak cakap apa-apa. Aku ingat aku belum cukup kurus untuk buat kau nampak perubahan kat badan aku ni."
"Tak. Sumpah aku tak perasan. Aku fokus pada muka kau aje tadi. Tak pandang pun badan kau."
"Tapi pipi aku pun dah tak setembam dulu. Takkan kau tak perasan?" soal Lyn sambil menepuk-nepuk pipinya.
"Kau tahu kan aku ni bukan jenis teliti sangat? Yang boleh tilik muka orang dalam tempoh sesaat."
Lyn tergelak.
"Well, inilah surprise aku untuk kau. Aku baru ingat nak terjah rumah kau dengan dress yang kau hadiahkan pada aku dulu."
"Dress?"
Keningku bertaut. Sesaat cuma. Sebelum mulutku membentuk huruf O.
"Oh... Dress tu. Kau masih simpan?"
"Of course. Kan aku dah cakap aku akan pastikan satu hari nanti aku muat dress tu."
"Weh... Dah lama kut aku hadiahkan dress tu. Aku pun dah lupa."
Eid tiba-tiba muncul bersama segelas jus oren. Gelas itu diletakkan di atas meja kopi. Betul-betul di depanku.
"Nah, air," katanya tanpa nada.
Aku pandang Lyn. Lyn pandang aku. Bibirku mencebik. Tiba-tiba baik hati bagi aku air, apa kes?
"Kau jumpa dia ke tadi?" Lyn menyoal, menarik perhatianku semula.
Mataku terjegil. Aku lirikkan pandangan ke arah Eid yang dengan selamba menghempas tubuh di sofa yang paling hujung, memberi isyarat pada Lyn agar tidak bertanyakan tentang hal itu.
Lyn ketap bibir. Memandangku dengan pandangan maaf.
Aku berdeham. Ditujukan kepada Eid.
"Kau buat apa kat bawah ni?" soalku. Cukup bersahaja seolah-olah ini rumah aku.
Eid menoleh ke arahku. Keningnya terjongket.
"Kau kan selalu duduk dalam bilik kau? Kenapa kau duduk bawah pula? Pergilah naik atas," kataku, menghalau.
"Eh, macam mana kau tahu aku selalu duduk dalam bilik? Kau stalk aku ke?"
"Abang pergilah naik atas. Adik nak borak dengan Aur," tutur Lyn sebelum perbalahan di antara abangnya dan aku berpanjangan. Lyn sudah cukup masak dengan hubungan aku dan Eid. Hubungan yang bagaikan anjing dan kucing. Macam Tom and Jerry.
"Borak ajelah. Abang bukannya kacau. Abang nak tengok tv," balas Eid, menumpukan pandangan pada kaca televisyen.
"Atau ada benda yang kau orang nak borak yang abang tak boleh tahu?"
Suara Eid penuh dengan nada curiga.
Aku buat muka. Menyampah. Meluat. Dari dulu sikap Eid tak pernah berubah. Suka aje menyibuk. Tak boleh biarkan aku berdua aje dengan Lyn.
"Jomlah, Lyn. Kita borak dalam bilik kau," ajakku.
"Okey, jom. Aku pergi simpan salad dalam peti ais dulu."
"Tak payah simpan. Bawa aje naik atas. Kita makan sambil borak."
Aku dengan Lyn sama-sama berdiri. Lyn capai mangkuk salad.
"Kau bawalah sekali jus oren tu," kata Lyn.
"Tak naklah aku. Entah apa mamat tu letak dalam air tu, mana aku tahu," kataku bersama sebuah jelingan tajam pada Eid.
Eid membalas jelinganku dengan senyuman senget.
Hesy, sungguh menyebalkan.
Benci.
"KAU dengan abang aku memang macam tu aje ke?" soal Lyn sewaktu kami sudah berada di dalam biliknya. Duduk di atas tilam saiz queen yang cukup empuk.
"Kau orang tak boleh nak berbaik ke?" tanya Lyn lagi.
"Hah? Kau tengah bercakap pasal siapa ni? Aku dengan Eid? Kau ingat aku boleh berbaik ke dengan lelaki macam dia tu? Hesy, kenapalah dia tak sambung belajar kat London macam kau? Sibuk aje nak belajar kat tempat yang sama dengan aku. Sama kelas pula tu," bebelku, melepaskan apa yang terpendam.
"Aku pun pelik kenapa dia tak nak study kat London macam aku. Padahal papa dengan mama dah banyak kali offer dia."
Lyn berjeda.
"Mungkin dia tak nak berjauhan dari kampung," tebak Lyn.
"Bukan ada sesiapa pun dekat kampung. Atuk dengan nenek kau dah lama meninggal," bidasku.
"Tapi kau tahu kan dia sayang sangat kat kampung tu? Even atuk dengan nenek aku dah tak ada, dia tetap balik tiap-tiap tahun."
Hmmm, ya. Mungkin. Mungkin ini sebabnya kenapa Eid tak mahu sambung belajar di luar negara macam Lyn. Rela biarkan kembarnya belajar seorang diri di negara asing.
"Okeylah. Tak payah cakap pasal abang kau lagi. So boring."
"Okey. Let's talk about your mr. library and you," kata Lyn kedengaran teruja.
Mataku mengecil.
"Kenapa excited semacam aje ni?"
"Hey, of course aku excited. Aurora yang aku kenal selama ni... Yang tak pernah jatuh suka kat mana-mana lelaki walaupun berduyun lelaki cuba mengurat... tiba-tiba satu hari beritahu aku yang dia suka seorang mamat yang dia jumpa dekat library. Now tell me. Apa nama dia? Berapa umur dia? Dah sampai mana progress kau dengan dia?"
Aku ketap bibir. Kemudian menyengih.
"There's no progress."
"Hah?"
"Tak ada apa-apa progress pun. Aku tak tahu nama dia apa. Aku tak tahu umur dia berapa. Aku tak tahu apa-apa pun pasal dia. Aku cuma tahu aku suka dia."
Mata Lyn terkebil-kebil memandangku.
"Habis tu tadi kau buat apa kat library?"
Aku tarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan. Dengan nada yang datar, aku bercerita tentang rutinku selama ini. Rutinku bersama dia.
Bercerita tentang kisah kami. Kisah aku, dia dan library. Lyn dengar dengan muka tak percaya, muka tak boleh hadam. Dia rasa aku bodoh sebab aku tak buat apa-apa selama beberapa bulan ini. Sekadar memandang, memerhati dari jauh.
Hmmm... Perlukah aku mengambil langkah yang seterusnya? Sudah bersediakah aku?
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz