Bab 13
SUDAH beberapa hari KK tidak berjumpa Irika. Hatinya meronta-ronta mahu ketemu namun dia menghalang dirinya daripada berbuat demikian. Tidak mahu Irika rasa terganggu lagi dengan kehadirannya.
Lagipun, projeknya dengan Johan kena ditunda dahulu kerana masih banyak kerjanya yang tertangguh.
Jadi dia tidak boleh menggunakan alasan itu untuk singgah ke pejabat Johan.
Nanti kalau Johan bertanya, mampus dia nak menjawabnya.
KK membelek kertas kerja di atas mejanya. Dia harus semak sebelum kertas kerja itu diluluskan. Dia mengeluh sendiri tidak lama kemudian.
Fokusnya terganggu saat pemikirannya asyik teringatkan Irika.
Entah jampi apa yang Irika pakai sampai baru tak jumpa beberapa hari, KK sudah rindu tahap nak mati.
Apa sudah jadi dengan dirinya itu?
KK menyoal dirinya sendiri namun dia tidak mampu memberikan jawapannya.
KK berjeda sendiri sebelum dia teringatkan sesuatu.
"Sharon..." KK memanggil melalui interkom.
"Yes, bos?"
"Tolong I kejap."
"Tolong apa bos?"
"Tolong contact someone for me and ask her to meet me at my regular cafe this evening."
"Siapa tu, bos?"
KK tersenyum penuh makna.
KK duduk sendirian di kafe itu sambil sesekali membelek jam tangannya. Hampir sepuluh minit dia menunggu namun bayang orang itu masih tidak kelihatan.
Tak jadi datang ke?
"Assalamualaikum, Encik KK. Sorry akak terlambat, traffic jam."
"Waalaikumussalam... Eh... Tak apa, Kak Mona. Duduklah."
KK mempersilakan saat wanita awal empat puluhan itu berdiri di hadapannya.
"Saya yang patut minta maaf sebab ajak Kak Mona jumpa. Saya tak tahu nak buat macam mana lagi. Kalau saya cakap dekat telefon rasa lama jadinya nanti. Tak elok pula saya kacau Kak Mona waktu bekerja, kan?"
KK tersengih saat menerangkan niatnya kepada Kak Mona.
"Oh... Tak apa, Encik KK. Kak Mona yang rasa terharu sangat Encik KK sudi ajak orang biasa macam Kak Mona jumpa dekat tempat eksklusif macam ni."
Kak Mona tersengih sambil memandang sekeliling kafe itu yang menarik di pandangan matanya.
"Tak ada apalah, Kak Mona. Biasa saja ni. Kak Mona nak makan apa? Oder saja okey?"
KK memanggil pelayan yang sedang berdiri di satu sudut untuk mengambil pesanan mereka.
"Okey, Sebenarnya macam ni, Kak Mona..." KK bersuara semula setelah selesai membuat pesanan. Kak Mona khusyuk mendengar tanpa berkata apa.
"Macam Kak Mona tahu, saya memang sukakan Irika. Tapi... Irika tak nak layan saya. Kak Mona mesti dah lama kerja dengan Irika dan kenal Irika, kan? Kalau boleh, saya nak Kak Mona sharelah apa saja yang Kak Mona tahu pasal Irika. Bab bayaran jangan bimbang, saya boleh bayar berapa saja yang Kak Mona nak. Janji tolong saya saja."
"Hesy! Ada pulak cakap pasal bayaran. Kak Mona tak nak pun bayaran apa-apa, asalkan kamu kena janji untuk jaga Irika baik-baik saja. Kalau pasal hal Irika, insya-Allah Kak Mona boleh tolong Encik KK."
"Ya ke, kak? Terima kasih!"
KK bernada teruja, tidak menyangka begitu mudah sekali Kak Mona bersetuju.
"Sebenarnya dah ramai yang berkenan dekat Irika tu sebelum ni, tapi semua dia tak layan. Kamu ni nasib baik akak berkenan dengan hidung terletak kamu tu, sebab tu akak berani nak tolong. Jangan kata akak tak 'payung' pula, eh?"
KK ketawa berdekah mendengarkan kata-kata Kak Mona yang lawak itu.
Kak Mona buat muka selamba saja sambil menghirup Caramel Machiattonya yang baru tiba.
"Sebelum tu saya nak tanya, akak tahu ke yang Irika tu dah ada kekasih?" tanya KK sebaik dia berhenti ketawa membuatkan mata Kak Mona membulat, terus saja dia meletakkan cawan kopinya di atas meja kembali.
"Kekasih?"
"Ya. Dia cakap dengan saya yang dia ada kekasih."
"Setahu akak, dia tak pernah ada kekasih lagi. Memanglah ramai yang kejar dia termasuk Encik Zainal, CEO Alamar Corp tu tapi tak ada siapa lagi yang berjaya dapatkan Irika tu."
Wajah KK berubah ceria.
"Betul ke ni, kak?"
"Setahu akaklah. Tapi kalau di belakang memang dia ada kekasih, itu akak tak tahu."
"Okey, kak. Terima kasih, akak minumlah dulu. Banyak benda saya nak tanya ni."
Kak Mona tergelak kecil sebelum dia menyambung menghirup kopinya.
IRIKA berjalan di dalam pusat membeli-belah bersama mamanya, Puan Zarina.
Hajat dalam hatinya hendak membeli hadiah hari lahir buat papanya yang semakin hampir.
Saat mereka tiba di hadapan kedai emas, mata Irika membuntang. Kelihatan seseorang yang dia kenali bersama seorang gadis cantik kelihatan di dalam kedai itu.
"Eh, itu bukan Zainal ke?" Soalan Puan Zarina membuatkan Irika sedar bahawa bukan dia seorang saja yang nampak kehadiran jejaka itu.
"Haah, mama. Macam dia."
Irika memandang mamanya yang masih tidak lepas memandang ke dalam kedai tersebut.
"Dia dengan siapa tu?" Soalan Puan Zarina, Irika balas dengan mengangkat bahunya. Serius dia tidak tahu siapakah gadis cantik itu.
"Jom, kita tegur dia." Puan Zarina sudah mahu melangkah namun Irika cepat-cepat menghalang.
"Eh... Tak payahlah, mama. Tak payahlah kacau dia orang."
"Alah, sekejap saja." Puan Zarina mahu melangkah kembali namun Irika masih berdegil menarik tangan mamanya, tidak mahu mamanya meneruskan niatnya itu.
"Irika..." Suara seseorang yang menerjah membuatkan Irika dan Puan Zarina sama-sama menoleh ke arah yang sama.
"Zainal..."
"You buat apa dekat sini? Eh, mama..." Zainal kelihatan terkejut saat melihat Puan Zarina juga berada di situ.
"Kami saja datang shopping. Zainal pula? Nampak busy betul."
Puan Zarina menyoal sambil menjeling ke arah gadis di tepi Zainal.
Zainal tersengih malu sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal
"Tak adalah, mama. Cari barang sikit. Errr... Kenalkan, ini Soraya..." Zainal menunjuk ke arah gadis itu. Gadis itu lekas bersalaman dengan Puan Zarina dan Irika.
"Tunang Zainal..." Gadis itu menjelaskan sebaik salamnya bersambut. Irika tergamam, Puan Zarina ikut terpempan.
"Tunang?" Puan Zarina menjeling ke arah Zainal sebelum memandang ke arah Irika, risau anaknya itu terkesan dengan berita itu.
"Haah. Lagi dua bulan kami kahwin. Jemputlah nanti, ya auntie, cik."
Soraya laju bersuara membuatkan Zainal kehilangan kata-kata.
"Oh.... okey, insya-Allah."
Puan Zarina membalas lambat-lambat.
"Okeylah, mama. Kami pergi dululah, ya?" Zainal meminta diri dengan wajah yang pucat sebelum terus menarik tangan tunangannya itu menjauhi Irika dan Puan Zarina.
"Patutlah lama senyap, dah bertunang rupa-rupanya."
Puan Zarina menjeling ke arah Zainal yang masih kelihatan walaupun sayup.
"Alah... Tak apalah, mama. Jodoh dia. Lagipun, mama kan tahu memang Ika tak pernah suka dia."
"Tapi dulu bukan main dia baik-baik dengan mama, konon nakkan Irika. Sekarang sekejap saja dah berubah."
Puan Zarina masih tidak puas hati.
"Tak apalah, mama. Bukan salah dia pun. Ika yang tak pernah layan dia dan anggap dia kawan saja. Baguslah dia dah nak kahwin dan tinggalkan perangai playboy dia yang dulu tu. Perempuan tu pun nampak baik dan cantik, mama."
"Alah, anak mama lagi cantik." Puan Zarina masih tidak puas hati.
"Mama... Sudahlah. Bukan jodoh Ikalah tu."
Puan Zarina menghela nafasnya, akur dengan kata-kata Irika itu tapi dalam hatinya ada sedikit terkilan kerana terlepas bermenantukan lelaki seperti Zainal yang cukup sempurna untuk anaknya.
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz