Bab 1
Prolog
HARI ini Kuala Lumpur sibuk sahaja seperti kebiasaannya dengan kenderaan yang tak putus-putus dan umat manusia yang tidak terbilang banyaknya.
Ya, Kuala Lumpur masih seperti biasa kecuali untuk satu perkara.
Kedai emas Habib Jewels yang berada di dalam pusat membeli-belah yang betul-betul terletak tengah bandar raya KL itu tiba-tiba sahaja terasa satu aura luar biasa.
Seorang jejaka berkaca mata hitam dan bersut gelap sedang mundar-mandir di hadapan kedai emas itu dengan perasaan yang cemas membuatkan beberapa mata memerhatikannya.
Namun, dia langsung tidak pedulikan mereka kerana ada perkara yang lebih mustahak harus dia selesaikan saat itu.
Seorang wanita lewat lima puluhan keluar dari kedai emas tersebut usai membeli gelang tangan yang baru.
Dia membelek gelangnya dengan hati yang gembira biarpun tangannya sudah berselirat gelang tangan lain. Sekali pandang memang kalah Mami Jarum.
Jejaka itu terhenti daripada melangkah dan memandang wanita terbabit.
Tindakan jejaka itu membuatkan wanita itu sedikit cemas dan terus berlalu meninggalkan kedai terbabit dengan pantas. Takut diekori jejaka yang memandangnya dengan penuh minat itu.
Pengawal keselamatan yang berjaga di hadapan kedai itu bingkas bangun apabila melihat situasi tersebut namun duduk kembali apabila jejaka itu tidak mengambil sebarang tindakan dan sekadar memerhati wanita terbabit berjalan menjauhi kedai tersebut.
KK menghela nafasnya untuk kesekian kali. Tangannya sudah terasa sejuk bagaikan berada di dalam peti ais.
Dia mengatur langkah memasuki kedai emas tersebut tanpa menghiraukan pengawal keselamatan yang sudah pandang dia semacam.
Dia angkat tangan kepada pengawal tersebut seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku namun pengawal itu memandang dia macam nak telan.
"Eleh, sombong pula pak guard ni. Dia tak kenal lagi siapa KK. Kejap lagi baru dia kenal erti penyesalan."
KK mengomel sendiri sambil menyeluk sesuatu di dalam koceknya membuatkan pengawal terbabit semakin galak memerhatinya sambil memegang senapang di tangannya dengan kejap.
Aku buat semua ni untuk Irika. Aku buat semua ni untuk Irika!
Dia mengulang kata-kata itu sambil melajukan langkahnya ke arah pekerja kedai emas yang bertugas. Kali ini apa nak jadi, jadilah! KK nekad!
IRIKA tersenyum sendiri sambil merapatkan telefon di telinganya.
Gadis cantik bertudung itu sedang membelek sehelai dress berwarna hitam putih dan sehelai selendang berwarna merah di tangannya. Hatinya tak torah sedari tadi memikirkan malam nanti.
"Ya, KK ajak aku dinner malam ni. Dia kata spesial. Aku pun tak tahu apa spesialnya." Irika menala pandangannya ke arah satu nota yang dikepil bersama dress tadi bertulis;
Sila pakai saya untuk malam ini.
Senyuman manis kembali tersimpul di bibirnya yang merah bak delima.
Yup, Irika. Gadis idaman KK, juga mungkin idaman Malaya. Tapi alhamdulillah, Irika hanya cintakan KK. Yup! Hanya KK.
Kerana itu juga buatkan KK nekad hari ini demi cinta Irika. Ingat senangkah dia hendak menawan hati Irika yang keras macam batu itu? Susah tahu tak?! Susah!
Bab 1
PAGI itu sibuk seperti biasa bagi seorang KK. Tak ada istilah berehat bagi seorang workaholic sepertinya kerana baginya setiap masa yang berjalan adalah duit.
Kalau bukan kerana usahanya bekerja, dia tidak akan bisa berada di tempatnya sekarang. Seorang usahawan berjaya yang disegani ramai pihak.
Tak ramai usahawan yang bermula dari bawah sepertinya hingga dia berjaya sekarang.
Selalunya mereka itu memang lahir-lahir saja sudah berada di atas dulang emas, tetapi tidak KK.
Sedari kecil memang impiannya mahu menjadi seorang jutawan walaupun dia hanya lahir dari keluarga sederhana.
Kerana itu KK berusaha untuk meletakkan dirinya sama taraf dengan usahawan berjaya yang lain bersama-sama memecah keringat dan berusaha habis-habisan demi sebuah impian.
Alhamdulillah kini KK berjaya tanpa perlu join MLM. Ops!
Bagi KK, tidak ada satu pun kekurangan dalam kehidupannya sekarang.
Semua dia ada, wang, harta, kebahagiaan dan cinta. Eh, cinta?
Mungkin cinta daripada keluarga dan kawan-kawan KK sudah punya apatah lagi apabila dia bergelar orang ada-ada, ramai saja yang rela menghulurkan sebuah cinta tanpa dipaksa.
Tapi cinta yang ikhlas daripada seorang wanita? Itu KK masih belum jumpa. Entah di mana dia nak cari, dia sendiri tidak pasti. Haih!
"ADUH!" KK mengaduh kesakitan saat kepalanya terhantuk pada pintu kaca di hadapannya itu.
Itulah, menerawang tak ingat dunia sampaikan pintu yang tertutup rapat pun dia main serbu saja.
Ada tawa yang kedengaran dari belakang KK membuatkan jejaka itu pantas berpaling.
Beberapa orang wanita sedang berada di belakangnya.
Pasti mereka nampak kejadian tadi hingga tawa mereka pecah begitu.
Masing-masing cuba mengawal tawa dengan menutup mulut.
"Kejap ya, encik. Saya bukakan pintu." Seorang gadis mampir ke depan dan menalakan kad kerjanya ke arah alat scan sebelum dia menolak daun pintu dan mempersilakan KK masuk.
"Silakan, encik." Gadis itu tersenyum. Masya-Allah KK terkesima. Entah kenapa dia terasa jantungnya bagai berhenti berdetak.
Senyuman gadis itu terasa manis sekali di matanya. KK bagai dipukau.
"Te... Terima kasih..."
Tergagap KK bersuara sebelum dia menerobos masuk ke dalam pejabat itu kerana mahu bertemu dengan Johan, pemilik syarikat tersebut merangkap sahabat baiknya yang banyak memberi nasihat dan dorongan kepadanya selama ini.
"KAU ni dah kenapa? Terjenguk-jenguk dekat luar tu?"
Johan menyoal saat melihat mata KK masih mengintai ke luar. KK tersengih sebelum mengambil duduk di hadapan Johan.
"Tak ada, aku tengok keadaan pejabat kau ni. Selama kita berkawan, ni pertama kali aku datang sini, kan? Itu yang excited sikit."
KK memberi alasan padahal matanya mencari kelibat gadis tadi.
"Yalah, aku ajak datang sini nak bincang projek kita, kau asyik busy saja."
"Sorrylah, kau pun tahu banyak benda aku kena handle dekat syarikat tu. Akulah CEO, aku jugalah kuli. Tapi kalau aku tahu cantiknya ofis kau ni, dah lama aku datang."
KK tersenyum penuh makna membuatkan kening Johan terangkat tidak mengerti.
"Maksud kau?"
"Eh... Tak ada apalah, Johan."
KK segera mengalihkan perhatian Johan, risau dia terlepas cakap perkara yang tidak sepatutnya. Datang pejabat orang bukannya nak bincang projek, tapi duk usyar awek.
Malu KK kalau Johan tahu.
KK the Great ni takkan senang-senang tunjuk kelemahan diri dialah, apatah lagi kalau berkaitan dengan perempuan. Bab tu KK tak pernah kalah lagi okey.
KK keluar dari bilik Johan ditemani sahabatnya itu sambil mata KK masih memerhati sekeliling mencari meja kerja gadis tadi.
Mata KK tiba-tiba tertancap ke arah satu meja di hujung sana yang diduduki gadis itu. Hatinya tiba-tiba rasa berbunga riang.
Pantas saja dia mendekati satu meja yang paling hampir dengannya.
"Kak..." panggilnya kepada seorang wanita yang kelihatan lebih berusia daripada dia.
"Ya..." Kak Mona menjawab saat matanya memandang KK. KK tersengih sebelum bersuara.
"Saya nak mintak kertas dengan pen boleh?"
Kak Mona terpinga-pinga sebelum dia mencapai sticky note berwarna kuning dan pennya sebelum dihulur kepada KK.
KK mencapai pen dan kertas itu sebelum mencatit sesuatu dan menghulurkan kembali kedua-duanya kepada Kak Mona.
"Errr... Akak nanti tolong pas dekat perempuan hujung tu, ya. Terima kasih!"
KK menunjuk ke arah gadis yang menangkap pandangan matanya tadi.
"Oh, Irika ke? Okey, nanti akak bagi."
Irika? Cantiknya nama dia. Secantik orangnya!
"Terima kasih ya, kak."
KK tersengih sendiri sambil matanya mengerling ke arah gadis bernama Irika itu semula sebelum dia berlalu mengikut Johan yang sudah laju melangkah.
"IRIKA, mamat dari Kay Kay Holding tadi ada tinggalkan nota dekat kau."
Kak Mona menghulur sekeping nota berwarna kuning yang dilipat dua.
Dia membuka nota tersebut dengan hati yang tertanya-tanya.
Apa pula urusan lelaki tadi sampaikan bernota segala dengannya?
Mata Irika membulat saat melihat hanya nombor yang tertera di atas kertas nota tersebut bersama dua perkataan, KK. Cepat-cepat dia merenyukkan kertas tersebut sebelum dibuang ke dalam tong sampah.
"Nota apa tu, Irika?"
Kak Mona masih belum berganjak dari meja Irika. Irika tersenyum sebelum menggeleng.
"Tak ada apa kak. Tak penting pun."
"Dia nak mengurat kamu ya, Irika?" Kak Mona tersengih-sengih membuatkan mata Irika membuntang memandang Kak Mona.
"Isy... Mana ada, kak!"
Laju saja Irika menafikan walaupun sudah jelas mamat tadi nak bagi nombor telefonnya kepada Irika.
Cis! Tak malu betul! Ingat aku ni wanita murahan? Huh! Irika mendengus sendiri.
"Eh, okey apa mamat tadi. Smart saja gaya dia, hidung terletak lagi." Kak Mona ketawa kecil.
"Eh... Tak naklah saya, kak."
Irika cepat-cepat menolak. Bukan prinsip dia untuk menerima cinta dengan mudahnya. Irika takkan senang-senang melayan lelaki tanpa sebab.
"Akak tengok tadi dia asyik pandang kamu saja, Irika. Apa yang kamu dah jampi dekat dia eh? Tapi akak tak salahkan dia. Memang ramai berkenan dekat kamu, cuma kamu saja yang asyik menolak. Lelaki jenis mana entah yang kamu nak. Jangan memilih sangat, Irika. Yang ini pun akak tengok elok saja orangnya. Macam ada gaya korporat."
"Gaya korporat? Macam Bangla adalah saya tengok.Tak hinginlah saya, Kak Mona oi!"
Lancar saja mulut Irika bersuara tanpa sedar ada mata yang memerhatikannya saat itu.
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz