Bab 12
HARI ini Puan Sri Aisyah tidak sabar menanti kedatangan Alisa Zahira dan beberapa orang pekerja dekorasi Impiana untuk menghias ruang tamu rumahnya itu. Awal-awal lagi dia memesan kepada Kak Timah supaya menyiapkan menu tengah hari untuk dijamu kepada mereka yang datang. Puan Sri Aisyah mula berjalan mundar-mandir menanti kedatangan mereka. Jauh di sudut hati, bukan dia terlalu teruja untuk melihat dekorasi itu tetapi dia lebih memikirkan Alisa Zahira. Entah kenapa gadis itu terlalu istimewa kepadanya. Dia tidak sabar hendak berbual dengan gadis itu supaya dapat mengenali dengan lebih rapat. Dia teringin sangat nak bermenantukan gadis sebaik Alisa Zahira. Lama dia menanti, akhirnya sepasukan pekerja Impiana tiba di pekarangan Villa Teratai. Mereka datang dengan menaiki van putih yang tertera logo syarikat sendiri. Lima minit kemudian, lori yang membawa perabot juga telah sampai. Puan Sri Aisyah tersenyum puas melihat kedatangan mereka.Dia tercari-cari kelibat gadis itu namun hampa. Mungkin belum sampai lagi kut? Puan Sri Aisyah cuba menyedapkan hatinya. Tiba-tiba dia disapa oleh seorang gadis berkulit cerah dan berbadan sedikit gempal itu."Assalamualaikum, Puan Sri," sapa Umairah lalu bersalaman dengan Puan Sri Aisyah. "Waalaikumussalam, ini siapa, ya? Mana Cik Alisa?" soal Puan Sri Aisyah sambil matanya masih melilau mencari pemilik wajah itu. Umairah tersenyum."Oh, saya Umairah. Cik Alisa ke Vietnam dengan bos kami. Ada urusan dengan pihak di sana. Jadi saya terpaksalah ganti dia untuk menghias ruang tamu Puan Sri..." jawab Umairah. Dia sendiri sudah biasa dengan situasi kerja sebegini. Jika dia tiada sebarang janji temu dengan klien, dia perlu menggantikan mereka yang ada urusan atau jatuh sakit. Mereka tidak mahu terima sebarang aduan daripada pelanggan. Bagi syarikatnya, kualiti kerja dan kepuasan pelanggan harus diutamakan. "Oh, macam tu..." Hambar nada Puan Sri Aisyah. Dia kecewa dengan maklumat yang disampaikan oleh gadis itu. Tapi sekejap! Dia pergi dengan bos lelaki? Mereka ada apa-apa ke? Ini tak boleh jadi ni! Rosak rancangan aku nanti. Hatinya membebel. Risau!"Umairah, maaf saya tanya, Cik Alisa tu dah ada orang punya ke?" tanya Puan Sri Aisyah tiba-tiba. Umairah yang sedikit pelik dengan pertanyaan itu mula mengerutkan dahi. Pelik dengan soalan Puan Sri Aisyah. Kenapa tiba-tiba sahaja dia nak tahu peribadi teman sepejabatnya itu? Hatinya tertanya-tanya. Mungkin Puan Sri nak jadikan Alisa itu menantunya kut? Bertuahnya kau, Alisa! fikirnya lagi."Oh, sebenarnya Cik Alisa tu memang dah berpunya..." Tanpa sempat Umairah menghabiskan kata-katanya, Puan Sri Aisyah terus meneka."Siapa? Bos syarikat awak?" tebak Puan Sri Aisyah. Umairah terkejut dengan tekaan itu. Dia tergelak kecil. "Bukanlah, Puan Sri. Lagipun Encik Hakimi tu dah berkahwin. Cik Alisa tu sebenarnya dah bertunang. Orang tu satu daerah dengan dia juga." "Oh, dah bertunang. Dia tak cakap pula yang dia dah bertunang." Puan Sri Aisyah benar-benar kecewa. Nampaknya impian dia untuk bermenantukan gadis itu hancur berkecai. Hatinya benar-benar kecewa. Umairah mula perasan reaksi wajah kecewa wanita itu. Mungkin Puan Sri Aisyah memang nak bermenantukan Si Alisa. Kalau tak fikir aku ni dah bertunang, dah lama aku tawarkan diri jadi menantu Puan Sri Aisyah. Hehe... Gediklah pula!"Kenapa Puan Sri tanya?" Puan Sri Aisyah hanya menggeleng."Nothing... Okeylah, awak boleh teruskan kerja-kerja awak tu. Saya nak ke atas sekejap." Puan Sri Aisyah cuba menyembunyikan hal sebenar. Baginya orang lain tidak perlu tahu niatnya yang sebenar. Umairah yang melihat wanita itu berlalu terus menjongket kedua-dua bahunya. Pelik sungguh klien yang dia jumpa hari ini. Lain orang, lain ragam!Di dalam bilik, Puan Sri Aisyah mula tidak senang duduk. Dia cuba memikirkan sesuatu. Hatinya benar-benar dipagut rasa kecewa mengenai maklumat yang baru didengarinya itu. Nampak gayanya dia tidak boleh berputus asa. Dia perlu memikirkan jalan untuk memastikan gadis itu menjadi menantunya juga suatu hari nanti! Tapi dia benar-benar buntu memandangkan gadis itu dah bertunang.Lama dia termenung, akhirnya dia telah mendapat jalan untuk misinya itu. Segera dia mencapai telefon dan membuat panggilan. Setelah lama bercakap dengan seseorang, dia terus mematikan panggilan yang dibuatnya itu. Suka atau tidak, dia terpaksa menggunakan taktik kotor untuk rancangannya itu. Dia terpaksa bertindak sedemikian untuk mencapai misinya. Baginya ungkapan matlamat menghalalkan cara masih relevan untuk dirinya. Harap kali ini rancangannya menjadi! Dia akan pastikan. Tekad!Ho Chi Minh, Vietnam...ALISA Zahira dan bosnya Encik Hakimi telah selamat tiba di Lapangan Terbang Tan Son Nhat, bandar raya Ho Chi Minh. Alisa Zahira berasa teruja apabila menjejakkan kaki ke bandar terbesar Vietnam iaitu Ho Chi Minh. Di balai ketibaan, sudah terlihat kelibat nama Impiana Corporation di papan nama yang dipegang oleh wakil Hotel Liberty di sana. Mereka disediakan van persendirian yang boleh membawa mereka melawat sekitar bandar raya Ho Chi Minh. Setibanya di Hotel Liberty, mereka disambut mesra oleh kakitangan hotel di situ. Selepas berehat dan menikmati santapan ringan yang disediakan oleh pihak hotel, Alisa dan Hakimi bergegas keluar kerana tidak mahu melengahkan waktu sepanjang berada di bandar ini. "So, kita boleh jalan-jalan dulu memandangkan perjumpaan dengan Mister Andrew akan diadakan di Hotel Liberty esok," ujar Hakimi sambil memandang Alisa. Alisa Zahira mengangguk faham. Dia tidak sabar hendak melawat bandar raya Ho Chi Minh. Lokasi pertama mereka hanya di sekitar pusat bandar Ho Chi Minh iaitu Pasar Ben Thanh. Perjalanan ke pusat bandar dari hotel itu memakan masa lebih kurang sepuluh minit berjalan kaki. Di situ pelbagai barangan tempatan boleh didapati seperti kraftangan, baju, kain, buah-buahan, kopi dan pelbagai lagi. Alisa Zahira mula menjengah di kedai-kedai. Dia mula rambang mata kerana melihat banyak kain yang dijual dengan harga cukup berpatutan terutama kain kapas. Selain itu mereka turut singgah di kedai aksesori perak. Mata Hakimi terpaku melihat perhiasan atau cenderahati kapal-kapal kayu di salah sebuah kedai di situ yang dijual dengan harga murah."Encik Hakimi tengok apa?" tegur Alisa sambil memandang ke arah bosnya itu. Hakimi menunjukkan kapal-kapal kayu yang sangat cantik di hadapannya itu. Alisa yang melihat ke arah itu juga terpegun. Dia mula berkira-kira untuk membeli kapal hiasan itu sebagai hadiah kepada tunangnya."Awak tak nak beli ke? Saya ingat nak beli kapal itu sebagai oleh-oleh untuk isteri saya." Hakimi mula memilih barangan hiasan itu. Alisa tersenyum melihat gerak-geri bosnya. Dia juga mula memilih barangan hiasan itu. Setelah masing-masing membuat bayaran, mereka terus berlalu dari kedai itu. Akhirnya setelah penat berjalan, perut mereka mula terasa lapar. Alisa Zahira dan Hakimi mula menaiki van untuk ke restoran halal yang diperkenalkan oleh pemandu van itu. Terujanya bukan kepalang apabila mereka melihat banyak restoran halal di Dong Du Street. Mereka akhirnya memilih untuk bersantap masakan ala nyonya di restoran D'Nyonya. Menariknya, restoran ini diusahakan oleh orang Malaysia. Sambil menikmati menu hari itu, Hakimi yang sudah kali kedua mengunjungi negara itu mula bercerita tentang sejarah Ho Chi Minh. Alisa Zahira tekun mendengar cerita yang disampaikan itu sambil menjamu selera. Sememangnya Ho Chi Minh juga dikenali sebagai Saigon oleh masyarakat setempat. Ho Chi Minh juga pusat kewangan, perniagaan, kebudayaan dan pelancongan di Vietnam. Apabila Perancis mula menjajah Vietnam pada abad ke-19, mereka telah menjadikan Saigon sebagai bandar koloni yang baru sehinggalah Perang Vietnam tercetus.Seterusnya nama Saigon ditukar kepada Ho Chi Minh City setelah pihak komunis mengambil alih pentadbiran Vietnam pada tahun 1975. Jadi tidak hairanlah banyak bangunan di situ berunsurkan seni reka Perancis terutama gereja Notre Dame Cathedral dan Pusat Pejabat Pos Saigon. Setelah selesai menjamu selera, kedua-dua mereka mula berjalan melihat lukisan-lukisan yang dijual di sepanjang jalan Dong Du Street."Alisa, saya dengar awak dah bertunang? Betul ke?" soal Hakimi tiba-tiba sambil memandang sekilas ke arah pekerjanya itu. Memang diakuinya gadis itu sangat cantik dan lemah lembut. Tidak hairanlah jika sudah berpunya. Kalau tidak memikirkan dia sudah beristeri, sudah lama dia mengambil peluang untuk mendekati gadis itu. Alisa yang mendengar pertanyaan itu hanya tersenyum."Ya, Encik Hakimi. Insya-Allah kalau tiada apa-apa, majlisnya mungkin hujung bulan depan," jawab Alisa masih mengayunkan langkahnya bersebelahan dengan bosnya itu. Hakimi mengangguk faham."Jadi sekarang awak ni dah mula menghitung harilah, ya? Tahniah," ucap Hakimi sambil tersenyum."Terima kasih. Nanti Encik Hakimi jemputlah datang ke majlis saya. Saya dah letakkan kad jemputan di atas meja encik sebelum bertolak ke sini," pelawa Alisa sambil memandang ke arah bosnya."Oh, saya tak perasan pula pasal kad undangan tu. Insya-Allah kalau tiada apa-apa, saya akan buat rombongan dengan semua pekerja syarikat kita ke Terengganu nanti. Nasib baik majlis awak jatuh pada hari minggu," ujar Hakimi sambil tersenyum. Alisa yang terkejut dengan kata-kata bosnya itu tergelak kecil. Rombongan? Pandai pula bosnya melawak."Eh, encik ni... Saya tak paksalah. Tak payahlah sampai nak buat rombongan. Malu saya. Apa pula orang akan cakap nanti." Hakimi tersenyum."Alah, tak apalah... Lagipun saya akan sponsor semuanya nanti. Yalah, saya pun nak bagi reward untuk semua pekerja saya di syarikat tu. So, dah kebetulan ada majlis kahwin awak, jadi tak salah kalau kami semua pergi ke Terengganu nanti. Boleh juga melawat tempat-tempat menarik di sana. Sekarang ni kan negeri awak jadi tumpuan sebagai salah satu tempat pelancongan di Malaysia. Selaras Visit Terengganu itulah," jelas Hakimi lagi sambil ketawa perlahan. Alisa tersenyum dan mengangguk faham. Bertuah sungguh dirinya dan pekerja-pekerja di syarikat itu dapat bos macam Hakimi. Sangat menjaga kebajikan dan kepentingan para pekerjanya."Jadi Alisa, kalau awak dah kahwin nanti, awak masih akan terus bekerja dengan saya ke?" Hakimi tiba-tiba bertanyakan soalan seperti itu. Sayang kalau pekerja yang sangat dedikasi seperti Alisa Zahira itu mengambil keputusan untuk berhenti semata-mata sudah berkahwin. Namun begitu, tiada sebab untuk dia menghalang jika itu keputusan Alisa Zahira. Alisa Zahira sedikit tersentak dengan soalan yang diajukan oleh bosnya itu. Dia tidak pernah terfikir untuk melepaskan jawatannya. Lagipun dia amat menyukai pekerjaannya itu. Tiada alasan untuk dia berhenti kerja hanya kerana telah berkahwin. Dia percaya Asyraf Kamil akan menyokong segala keputusannya."Kenapa Encik Hakimi tiba-tiba bertanyakan soalan tu?" Tanpa menjawab soalan yang diajukan tadi, gilirannya pula mengajukan soalan lain. Langkah Alisa terhenti diikuti Hakimi. Hakimi tersenyum segaris melihat gadis di hadapannya itu mula mengerutkan dahi."Awak nanti akan jadi isteri orang. Apapun keputusan yang awak buat nanti akan melibatkan suami awak. Sudah tentu awak sebagai isteri kena patuh dengan suami awak. Kalau ikutkan saya, kalau boleh saya tak mahu awak berhenti. Tapi itulah, saya tak boleh halang dengan keputusan awak buat nanti." Hakimi tersenyum dan kembali melangkah menuju salah sebuah kedai yang berhampiran dengan mereka. Alisa yang tercegat berdiri di situ masih memikirkan akan kebenaran setiap kata-kata bosnya. Dia mula melangkah masuk apabila dipanggil oleh bosnya yang sudah berada di dalam kedai aksesori itu.Keesokan harinya, setelah selesai meeting dengan Mister Andrew yang merupakan wakil syarikat Fabric Stailo dari negara itu, Alisa dan Hakimi mengambil keputusan untuk melawati Delta Mekong iaitu wilayah Tien Giang, jelapang padi terbesar di Vietnam. Alisa dan Hakimi tersenyum puas apabila syarikat Fabric Stailo itu bersetuju untuk menjadi salah seorang pelabur dalam syarikat Impiana Corporation. Hari ini mereka akan meluangkan masa untuk melawat Delta Mekong sebelum berangkat pulang esok hari. Perjalanan yang memakan masa lebih dua jam amat berbaloi dengan keindahan pemandangan di situ. Setibanya di jeti, mereka perlu menaiki bot untuk ke My Tho. Alisa Zahira berasa sangat teruja menaiki bot. Dia teringat semasa dia menuntut di Australia dulu. Dia, Linda dan kawan mereka yang lain menaiki bot menyusuri Sungai Yarra. Sangat cantik pemandangan ketika itu. Semua momen itu sememangnya tidak akan dilupakannya."Awak pernah naik bot tak sebelum ini?" tanya Hakimi tiba-tiba. "Pernahlah. Saya ini orang kampung. Selalu aje kalau kat kampung tu saya ikut bapa saudara menaiki bot pergi pulau. Tapi rumah bapa saudara saya tu di daerah Besut manakala rumah saya di Dungun, Terengganu. Semasa belajar kat Australia dulu, saya selalu aje menaiki bot menyusuri Sungai Yarra dengan kawan-kawan yang lain." Hakimi tersenyum lalu mengangguk."Oh, Sungai Yarra. Dulu saya juga pernah ke sana. Honeymoon with my wife. Cantik sangat apabila melihat pemandangan waktu malam." Hakimi mula bercerita. Alisa terpegun dengan kata-kata Hakimi. Dia teringat tunangnya yang mengajaknya berbulan madu di Australia. Memang berbeza kalau sudah berkahwin! Dia tersenyum sendirian. Lama di dalam bot, mereka sempat berhenti seketika di pinggir jalan untuk melihat keindahan Pagoda Vinh Trang. Setibanya di My Tho dari Ben Tre, mereka terus menaiki sampan menyusuri Sungai Tien untuk bersiar-siar melihat keindahan Delta Mekong. Setelah penat berjalan, keesokan harinya mereka mengambil penerbangan untuk pulang ke Malaysia. Alisa menghela nafas lega dan puas dengan pengalaman sepanjang di Ho Chi Minh.
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz