ZingTruyen.Xyz

RAID ARJUNA

Bab 2

karyaseni2u

MV AGUSTA itu meluncur laju di atas jalan raya. Raid tidak tahu ke mana arah tujunya. Yang terlintas dalam fikiran, dia perlu membawa dirinya sejauh mungkin. Kalau boleh biar sampai hilang jejaknya.

Tapi tiba-tiba sahaja Raid diburu debaran kencang. Rasa tidak sedap hati. Dari cermin sisi, Raid menyedari ada sebuah kereta sedang mengekori rapat. Curiga dengan kemunculan kereta jenis Honda Civic itu, Raid memulas lagi tali minyak, melajukan R4. Ternyata kereta itu turut melaju. Tidak salah lagi dugaannya.

"Celaka! Macam mana mereka tahu?! Mustahil secepat ini papa hantar orang kejar aku?!"

Raid terus menyumpah dalam hati. Enggan menoleh lagi ke belakang. Hatta meter motornya pun tidak dipandang lagi. Adrenalinanya memuncak bersama rasa cemas dan sakit hati.

Ketika mahu melencong masuk ke Jalan Ledang, Raid menyedari ada sebuah MPV datang dari arah belakang dan langsung menghimpitnya ke bahu jalan. Raid meningkatkan pecutan lalu menyalip MPV tersebut. Sempat dia tersenyum mengejek seraya menoleh ke arah MPV itu.

Tiba-tiba Raid mendengar bunyi hon berpanjangan dan brek berdesit. Kering darahnya apabila mendapati ada sebuah kereta lain di hadapannya.

Terlambat untuk Raid mengelak lalu motornya bertembung dengan kereta tersebut. Raid dan motornya melambung, seiring dengan kereta itu berputar-putar tidak tentu arah.

Pasrah, Raid melepaskan pegangan agar motor yang berat itu tidak menghempap tubuhnya. Dia tergolek-golek beberapa meter sebelum tertiarap di atas jalan dengan tuksedo pengantinnya koyak rabak. Nafas Raid terngap-ngap akibat dadanya yang terbentur kuat ke permukaan jalan.

Dummm!!! Satu lagi dentuman kuat berkumandang di udara.

Raid menoleh dan melihat kereta tadi menghentam tebing bukit sebelum terbalik. Satu susuk tubuh lelaki terlempar keluar dari cermin depan dan terdampar atas jalan, tidak jauh dari kereta yang terbalik itu. Raid memandang dengan rasa sakit menguasai sekujur tubuhnya.

Melihat lelaki itu bergerak-gerak, Raid berusaha bangun. Terhuyung-hayang membawa tubuh. Hasrat mahu membantu, mengasak dirinya. Tidak peduli pada kesakitan, Raid memaksa dirinya berjalan dan menghampiri lelaki itu.

Dia mendengar dengan jelas suara erangan. Susah payah, Raid membalikkan tubuh lelaki itu.

Syukur! Dia masih hidup! teriak Raid dalam hati apabila melihat bola mata lelaki itu berputar memandangnya. Darah berlumuran pada mukanya. Lelaki itu masih muda. Mungkin berusia sekitar awal 20-an.

Terketar-ketar tangan lelaki itu memaut lengan Raid.

"Makkk... Aaa... yah saya... To... To... longg sela... matkan... Mereka!" Pandangannya terhala ke arah kereta.

"Iii... Iya... Tunggu sini..." Raid mengangguk-angguk.

Kemudian Raid menerpa ke arah kereta. Bau petrol yang meleleh dari tangki minyak, menguar ke udara. Terdengar suara merintih kesakitan. Raid meniarap untuk melihat keadaan dalam kereta.

Pemandunya diam tidak bergerak tapi penumpang wanita di jok belakang terkapai-kapai tangannya.

"Tttooo... longgg..." rayunya bersama mata sayu dibasahi air mata berjurai-jurai.

Raid bangkit memandang pintu kereta yang kemek. Mustahil boleh dibuka begitu sahaja. Tanpa berfikir panjang, Raid menendang cermin tingkap yang sedia retak. Berderai kacanya dan tidak tangguh lagi, Raid kembali meniarap. Tangan dihulur.

"Mak cik... Mak cik boleh bergerak tak? Kalau boleh, cepat keluar, saya... Tarik mak cik."

Tidak menyahut, wanita itu terus mengesot perlahan. Tapi saat terpandangkan lelaki di jok pemandu, gerakannya terhenti.

"Sssuami mak cik... Tolong selamatkan dia dulu, nak!"

"Errr... Ya... Ya... Ba... Baiklah!" Raid beralih ke pintu bahagian pemandu. Sekuat tenaga dia cuba menarik pintu. Tidak peduli tangannya berdarah terkena serpihan kaca.

Raid terlupa pada kesakitan sendiri bilamana semangatnya mahu menyelamatkan mereka begitu memuncak, juga didorong oleh rasa bersalah yang bukan sedikit. Dia yang menyebabkan kemalangan ini berlaku.

Krakkk! Pintu akhirnya berjaya dibuka. Berbinar mata Raid lalu dia kembali menunduk, mahu mengeluarkan lelaki itu. Tapi tiba-tiba dia terasa rambutnya dicekak kuat dari belakang. Sakitnya memaksa Raid bangun tanpa dapat menoleh untuk melihat gerangan penyerang.

"Raid Arjuna." Suara itu menyapa serentak dengan tubuh Raid diterbalikkan. Seorang lelaki berdiri sambil berpeluk tubuh dengan wajah diselaputi riak kebencian.

Ketika itu Raid melihat kereta Honda Civic dan MPV tadi melintang di tengah jalan.

"Siapa kau? Apa hal kau buat aku macam ni?" Raid menanya hairan sambil meronta mahu melepaskan diri dari pegangan dua lelaki bertubuh sasa di kiri kanannya. Tidak menyangka mereka bukan orang-orang papa!

Lelaki itu tersenyum sinis. "Boleh kau tanya aku apa hal? Kurang ajar punya budak! Kau dah malukan keluarga aku! Jatuhkan maruah adik aku, kau boleh tanya apa hal? Kau memang nak matilah!"

"Adik kau?" Raid mengerut dahi. Sudahlah sedang sakit, diajak pula bermain teka-teki.

"Bangsat! Aku Sheikh Fairel! Kau sepatutnya menikah dengan adik aku hari ni! Tapi kau lari macam pengecut!"

Raid tersentak. Segera teringatkan Faiznur. "Oh, jadi kau kejar aku sebab nak heret aku balik dan paksa aku teruskan pernikahan dengan adik kau?"

"Kau memang bijak! Memang itu yang aku nak buat!"

Tawa Fairel yang kedengaran bagai orang menang pertaruhan itu, Raid sambut dengan cebikan sinis.

"Kau fikir aku bagai jawi ditarik keluan?"

Tawa Fairel langsung padam lalu menatap Raid. Rahangnya diketap keras saat bertembung dengan sorot tajam mata Raid yang menyiratkan tantangan.

"Kau budak makan pisang, jangan mencari pasal dengan aku!" bentak Fairel sambil menyentak rambut Raid ke belakang.

Biarpun sakit, Raid tetap memaksa bibirnya tersenyum jemawa. ", dah tahu aku cuma budak makan pisang, kenapa kau tetap nak paksa aku kahwin dengan adik kau? Dah ditebuk tupai ke dia sampai terdesak sangat nak kahwin dengan aku?"

"Mulut kau memang macam celaka!" Fairel mengayun penumbuk ke muka Raid. Tidak cukup dengan itu, dia menonjok perut Raid bertubi-tubi. Setelah puas, baru Fairel menapak ke belakang, menyaksikan Raid terbongkok memuntahkan darah.

Tubuh Raid terhuyung sebelum amberuk bersama suara teredam. Fairel masih tidak berpuas hati. Sekarang dia sudah tidak ingin membawa Raid pulang. Dengan kekuatan tangannya, dia membalikkan tubuh Raid supaya menghadapnya.

"Kau dah malukan keluarga aku, tapi langsung tak rasa bersalah, kan?"

"Yang patut dipersalahkan bukan aku tapi adik kau! Kalau dia menolak dari awal, perkara ni tak akan terjadi!"

Panas hati melihat Raid masih tegar melawan dalam kesakitan, Fairel menghenyak perut Raid sekuat tenaga. Raid tidak sempat meneriakkan kesakitan bila Fairel terus memukulnya.

"Kau kata bukan salah kau ya?" Fairel terangguk-angguk dengan muka jengkel lalu bertinggung menatap Raid yang meringkuk dengan mulut penuh darah.

Sambil menyenggengkan kepala, Fairel mencekak rambut Raid. "Baik! Hari ni aku akan buat kau rasa bersalah seumur hidup!"

Fairel berdiri semula dan mengeluarkan sebatang rokok. Dinyalakannya sebelum menyedut dalam-dalam sehingga baranya memerah. Asap dihembus perlahan dengan mata mengerling Raid penuh makna.

Ketika melihat pandangan Fairel teralih ke arah kereta yang terbalik itu, barulah ketakutan datang menerpa Raid.

"Aaa... Apa kau nak buat?!" tanya Raid terbata-bata.

Sengihan sinis Fairel makin melebar. "Kau rasa?"

"Ja... Jangan!" Raid menggawangkan tangan. Cuba bangun, tapi kaki Fairel pantas memijak tangannya.

Raid mengerang. Dalam masa yang sama, Fairel menjentik puntung rokok. Jatuh tepat ke dalam genangan minyak. Sekelip mata, bara rokok mencetuskan api marak, menjalar laju mengikut aliran minyak lalu menyambar badan kereta.

"Tiii... dakkk!!!" raung Raid. Buntang matanya melihat pasangan suami isteri itu menggelepar saat api memamah tubuh mereka. Hidup-hidup mereka dimakan api!

"Lepaskan aku!!!" Sia-sia jeritan Raid bilamana dia terus dikeroyok tanpa ampun oleh orang-orang suruhan Fairel. Anehnya, tidak ada seorang manusia pun lewat di jalan itu.

Api kian marak membaham kereta diikuti letupan merentungkan. Raid ditinggalkan separuh nyawa. Dalam keadaan lenyai, Raid hanya mampu memandang sayu.

Kereta Honda itu mula bergerak pergi. Tapi, melihat arah tuju kereta tersebut, mata Raid membelalak. Raid berteriak tapi gaungnya sekadar terdengar di celah rengkung. Apa dayanya menghalang apabila kereta itu melanggar pemuda yang tergeletak atas jalan.

Pemuda tersebut kelihatan menggeletik beberapa saat sebelum diam tidak bergerak lagi.

Putus asa, Raid hanya mampu mengalirkan air mata sambil merintih.

"Noah... Mana... Kau? Kena... pa... Kau... Tak datang... Tolong..."

DARI jauh Noah dapat melihat sebuah kereta rentung dengan api masih marak. Tidak jauh dari situ, kelihatan MV Agusta milik Raid terperosok di celah penghadang jalan. Dua tubuh manusia yang bergelimpangan atas jalan, membuat dada Noah berdebar.

"Kita dah terlambat!" seru Noah kepada Black yang memandu Toyota Vellfire.

Sebaik sahaja Black memberhentikan Toyota Vellfire, Noah terlebih dahulu meloncat turun. Meluru ke arah Raid yang terdampar di atas jalan. Ngilu rasa perutnya melihat sekujur tubuh Raid berlumuran darah.

"Raid..." Noah memanggil.

Raid tidak bergerak namun bola matanya berputar memandang Noah. Air matanya bercampur darah.

"Nooo... ahhh... Aku min... tak maaa... aff... Sssalah aku!" Terketar-ketar suara Raid, disela-sela erangan kesakitan.

Sejenak, Noah bertekur tanpa kata. Tidak tergamak meluahkan kekesalan hatinya. Memang salah kau, budak degil! Sekarang tengok apa dah jadi?!

"Kau jangan banyak cakap! Aku akan bawa kau ke hospital."

"Diii... Dia?" Susah payah telunjuk Raid terhala pada lelaki yang diam tidak bergerak di hujung sana.

Noah menoleh dan mendapati Black sedang memeriksa lelaki itu.

"Hidup lagi!" teriak Black.

"Se... Selamat... kan dia! Aku mohon..." rayu Raid dengan pandangan semakin berkunang-kunang.

"Angkut!" Noah mengarahkan Black.

Raid sudah tidak sedarkan diri ketika tubuhnya diangkat masuk ke dalam Toyota Vellfire.

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz