Bab 12
PERSIDANGAN santai membincangkan penggabungan mega antara pengarah-pengarah syarikat itu, sudah usai. Ketika kebanyakan mereka yang hadir memilih untuk menikmati jamuan ringan, malah ada yang keluar merokok di balkoni, Raid terus duduk diam di atas sofa. Sibuk meneliti gepuk dokumen di tangannya. Begitu fokus mengimbas maklumat penting berkaitan cadangan penggabungan bernilai berbilion ringgit antara lima syarikat itu.
Dari muka pintu dewan, Faiznur terpaku mengamati Raid. Sekian lama dia memendam hajat mahu bersua muka kembali dengan Raid. Ternyata Raid Arjuna sekarang jauh berbeza dengan Raid Arjuna yang pernah nyaris dinikahkan dengannya dulu.
Fizikal Raid sudah berubah menjadi lebih kekar, tegap dan tampak gagah. Selama bertahun-tahun, secara diam-diam, Faiznur hanya mengikuti perkembangan dan mendengar gosip dunia korporat tentang Raid.
Raid Arjuna, si penjarah korporat yang genius tapi tidak gemar bergaul dengan golongan elit. Malah dia sangat menjaga diri daripada menjadi sorotan media.
Namun jika menyangkut hal business, Raid dikatakan sangat licik menghulur kerjasama dan punya pelan tindakan tidak terjangka. Tidak seperti taikun-taikun lain yang suka mempergunakan media massa, Raid pula tidak gemar mengumumkan niatnya ketika mengincar perusahaan yang menjadi sasaran dan itu membuatkan pesaingnya tidak senang duduk. Apatah lagi Raid mengamalkan gerak kerja lebih cepat daripada para pesaingnya.
Menurut orang-orang yang pernah bekerja dengan Raid, buku pedomannya mudah namun efektif: membina kepemilikan saham secara kecil-kecilan tapi signifikan, kemudian mendapatkan sokongan pemegang saham yang berpengaruh, mengacau-bilaukan pendirian ahli lembaga pengarah dengan berkempen tanpa henti demi perubahan yang menurut Raid akan memberi manfaat terbaik kepada para pemegang saham, termasuk diri sendiri dan akhirnya menggulingkan ketua eksekutif!
Paling menjadi kritikan banyak pihak, sikap Raid yang hanya mahu berurus niaga menggunakan dinar emas! Oleh itu tiada siapa tahu nilai sebenar kekayaan yang dimiliki oleh Raid.
"Hmmm, nampaknya memang betullah cakap-cakap orang tentang Raid. Dia dah jauh berubah. Bijak seperti Tuan Gilbert tapi lebih kejam!" gumam Faiznur seraya melangkah menghampiri Raid, langsung tidak mengendahkan beberapa orang lelaki yang tertoleh-toleh kagum ke arahnya.
Berdiri di hadapan Raid yang tenggelam dalam bacaan, Faiznur merasakan jantungnya berdenyut, tidak mengikut irama. Dia merasa akan menanggung malu besar kalau Raid sudah tidak mengenalinya.
"Raid Arjuna?" Ragu-ragu Faiznur menyapa.
Saat Raid mengangkat wajah, Faiznur terpegun. Sepasang mata tajam Raid menikam jantung hatinya. Wajah keanakan zaman remaja Raid turut berubah menjadi lebih dewasa dengan air muka penuh wibawa. Bahawa peralihan banyak tahun telah memberikan kematangan kepada seorang Raid Arjuna.
Oh, dia sangat tampan. Semakin tampan! Hati Faiznur goyah tiba-tiba.
"Ya?" sahut Raid dengan wajah tidak beriak.
"Awak tak kenal saya?" tanya Faiznur, spontan melabuhkan punggung di sebelah Raid.
Kembali membaca dokumen, Raid menjawab santai, "aku tak pernah lupa muka kau, Sheikha Faiznur binti Sheikh Edruce!"
Teruja mendengar pengakuan Raid, tanpa sedar Faiznur mengisar duduk makin rapat.
Raid mengerling sekilas dari ekor mata sebelum menggumam, "tapi bukan bererti aku selalu teringatkan kau!" Tanpa rasa bersalah, Raid mengambil berkas dokumen dari atas meja kopi, lalu diletakkan di sisinya, menjadi penghadang antara dia Faiznur.
Bera muka Faiznur melihat tindakan Raid. Rasa malu sendiri kerana menyangka Raid masih terkenangkan dirinya. Namun ditelannya rasa malu demi mengambil peluang mengenali Raid Arjuna yang baru.
"Awak sihat?" tanya Faiznur, sebagai langkah awal mengajak Raid berbual.
"Kau nampak aku sakit ke?" ketus jawapan Raid.
Faiznur mendesit. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dihembus perlahan. Sabar, Faiznur!
"Terakhir kita jumpa, waktu awak di hospital. Lepas tu saya dengar macam-macam tragedi menimpa keluarga awak. Tapi saya tak berpeluang jumpa awak sebab awak terus hilang macam tu aje. Waktu tu saya sangkakan awak pun jadi macam bonda, hilang tanpa jejak. Mujurlah awak masih hidup."
Raid menatap tajam, tampak benar-benar tidak suka bila Faiznur mengumbar kisah lama.
"Diam tak diam 15 tahun dah berlalu. Tentu dah banyak perkara yang awak lalui dan lakukan selama..."
Belum sempat Faiznur meneruskan kata-katanya, Raid segera memangkas, "ya, banyak hal dah berlaku tapi tak ada keperluan untuk aku ceritakan semuanya pada kau. Kau bukan sesiapa dalam hidup aku!"
Faiznur terkedu. Tajamnya cara Raid bercakap membuat Faiznur rasa tidak keruan. "Raid, awak masih marahkan saya ke soal jodoh yang arwah orang tua kita cuba aturkan dulu?"
Merasa jenuh dan makin terganggu, Raid meletakkan dokumen yang dibacanya ke atas meja. Diputar kepalanya memandang Faiznur dengan tatapan membakar, bersedia meluapkan kemarahan. Tapi segera dia menghela keluhan panjang, apabila akal waras memberi peringatan bahawa dia hanya akan nampak bodoh kalau sewenangnya memuntahkan kemarahan kepada Faiznur.
Raid mendesis perlahan. "Yang aku marah dan benci adalah abang kau!"
"Kalau awak marahkan abang saya, tapi kenapa awak layan saya macam tak ada hati aje?"
Raid mendengus sinis. "Kau pun tahu dari dulu lagi aku tak pernah ada hati pada kau. Itu fakta!"
Walaupun tersentap mendengar pengakuan Raid, Faiznur tetap cuba mengentalkan hati.
"Tapi dah 15 tahun kita terpisah. Dah lama saya tunggu peluang untuk jumpa awak semula. Saya punyalah teruja bila dapat tahu awak akan sertai mesyuarat di sini. Saya teringin nak tahu macam mana awak boleh berjaya dalam business. Padahal arwah papa dan bonda awak diisytiharkan muflis lepas mereka tak ada, habis harta keluarga awak disita. Sampai tak ada sesen pun diwariskan kepada awak. Saya cuba cari maklumat tentang awak di Internet, tapi sia-sia. Malah, bila saya cuba bongkar semula berita-berita lama tentang keluarga awak, pun semua sejarah dah tak ada. Susahnya nak dapat..."
"Sheikha Faiznur!" seru Raid setengah marah. Matanya ikut menajam. Faiznur telah merosakkan anginnya dengan mengungkit kisah lalu yang dia buang jauh-jauh walau tidak sepenuhnya melupakan.
"Bila kita dah berjumpa semula ni, tak perlulah kau ungkit kisah lama, apalagi cuba korek informasi tentang aku." Raid bingkas bangun. Sudah tidak berminat berlama-lama di ruang itu apalagi duduk bersama Faiznur.
"Maaf. Tapi saya kagum mendengar perkembangan awak dari mulut pengusaha-pengusaha lain. Ramai kata awak licik dan jahat bila merampas syarikat lain dengan cara licik. Tapi daripada beberapa maklumat terpinggir yang saya dapat, awak ada rekod mengubah syarikat yang tak kompeten menjadi bernilai tinggi dan lepas awak lantik pengarah baru, awak keluar macam tu aje. Saya melihat itu sebagai kelihaian berbusiness, dorongan luar biasa dan keuletan awak sebagai usahawan. Sebab tu saya cadangkan nama awak dalam senarai penggabungan ni."
Senyum sinis tersungging di sudut bibir Raid. "Sejak dulu kau suka cakap banyak seolah-olah kau pandai menilai dalam segala hal, kan? Dengan hanya mendengar cakap-cakap orang, kau rasa kau dah cukup kenal aku? Meloyakan!"
Wajah Faiznur memerah kerana Raid berhasil menyinggung perasaannya. Dia langsung terdiam.
"Raid Arjuna!"
Panggilan itu mengalih perhatian Raid lalu dia menoleh. Seorang lelaki merapati dengan senyum terpasang di bibir, secangkir kopi di tangan. Raid kenal lelaki itu. Syed Badrul, anak menteri kabinet yang juga merupakan salah seorang daripada ahli lembaga pengarah Mentari City Berhad.
"Takkan dah nak balik? Aku rasa kau belum minum dan makan." Syed Badrul berlagak ramah dengan menghulurkan cangkir kopi kepada Raid.
"Tak apa. Aku datang ke sini bukan untuk makan atau minum," jawab Raid tanpa mengendahkan pemberian itu.
Faiznur terdiam melihat sikap dingin Raid. Satu lagi kejadian depan mata yang mengeyakan gosip bahawa Raid Arjuna tidak pernah menyentuh sebarang makanan atau minuman di mana-mana mesyuarat mahupun perjumpaan.
"Pelik! Sekurang-kurangnya minum atau jamah sikit, demi menghormati penganjur majlis. Masakan awak ada fikiran kolot, yang awak akan mati diracun?" sampuk Faiznur tidak dapat menahan mulutnya.
Raid sekadar mengerling bersama senyum misterius. Tanpa ada keinginan untuk menjawab soalan tidak profesional Faiznur, Raid terus menatap Syed Badrul.
Jujurnya, Syed Badrul memang merasa kehormatannya agak tercalar. Namun bibirnya tetap dipaksa agar terus tersenyum. Setelah menyerahkan cangkir kopi kepada Faiznur, Syed Badrul mendepani Raid, sedikit menghalang laluannya.
"Jadi, macam mana dengan cadangan penggabungan ni?"
"Aku menolaknya."
Jawapan yang cukup tenang tapi tegas daripada mulut Raid itu agak menyentakkan Syed Badrul.
"Tapi kenapa? Kepakaran dan sumber sedia ada dari syarikat-syarikat yang bakal digabungkan akan membentuk syarikat hartanah dan perladangan gergasi. Entiti baru tu nanti akan dapat akses mudah untuk masuk pasaran antarabangsa dan ada kapasiti menang rundingan projek besar yang nilainya bukan lagi juta-juta tapi berbilion USD!" Syed Badrul cuba membuka mata Raid akan keuntungan berlipat ganda yang bakal mereka perolehi kelak.
"Ya, betul tapi aku juga nampak ada tangan ghaib dari pihak kerajaan dalam usaha ni. Sepatutnya kerajaan tak perlu masuk campur dalam penggabungan syarikat swasta sebab ia akan menjejaskan kepercayaan dan memecah belahkan para pelabur asing."
Syed Badrul tersentap lagi. Tentu Raid mengaitkan statusnya sebagai anak menteri.
"Encik Raid, jangan jadi tak beradab dan kasar. Orang tua aku tak ada kena-mengena dalam urusan ini!" ujar Syed Badrul dalam nada jelas tersinggung.
"Tujuan penggabungan ni sebab nak kurangkan persaingan dan menjimatkan kos!"
"Aku terbau monopolistik." Raid tersenyum dengan wajah datar, membuat ekspresinya semakin sukar ditebak. Dengan suara tanpa emosi, dia berkata lagi, "kalau tak ada persaingan, produktiviti syarikat akan jadi lembab, ekonomi statik dan itu tak sihat untuk pasaran dalam negara. Justeru, persaingan dalam perniagaan bukanlah satu ancaman besar bagi aku."
Suasana hati Syed Badrul langsung menjadi buruk. Namun dia berusaha memaniskan wajah dan pura-pura bersikap bersahabat dengan Raid.
Dalam sela tawanya yang dibuat-buat, Syed Badrul berkata, "kau seorang yang cerdas."
Kemudian, Syed Badrul menatap Raid. "Tapi aku difahamkan kau seorang yang tak suka keramaian. Jadi aku rasa suasana di sini mungkin dah buat fikiran kau celaru. Ayuh, kita ke pejabat aku. Boleh kita berbincang tanpa gangguan." Tanpa basa-basi, dia meraih bahu Raid.
Merasakan ada sedikit desakan dalam pautan itu, naluri Raid mula membisikkan amaran. Namun akal memintanya bersabar. Dia juga boleh berpura-pura jadi lelaki penurut. Sempat juga dia menangkap lirikan mata Syed Badrul yang memberi isyarat agar Faiznur tidak mengikuti mereka. Dalam diam juga, Raid membuat gerakan rahsia melalui jemarinya kepada pengawal peribadinya, Isfan yang berdiri menunggu di sudut. Meminta lelaki itu terus beredar dan menunggunya dalam kereta.
Setelah menaiki lif kaca, Syed Badrul membawa Raid masuk ke sebuah bilik. Memang benar ia adalah pejabat namun batin Raid langsung merasakan aura negatif saat melihat suasananya. Syed Badrul mempersilakannya duduk di atas sofa mewah depan sebuah meja kaca. Sementara Syed Badrul terus berjalan ke arah bar mini. Dia kembali mendekati Raid bersama sebotol sampanyi dan dua gelas kecil berisi ketulan ais.
Tanpa bertanya, Syed Badrul menuangkan cairan coklat jernih itu ke dalam salah satu gelas sebelum menyodorkannya ke depan Raid. Namun Raid hanya menatap kosong tanpa minat.
"Eh, segelas tak akan buat kau mabuk, kan?" Syed Badrul kemudiannya tertawa mengejek.
Raid sekadar mempamerkan senyum datar.
Sakit hati menghadapi gaya bisu Raid, Syed Badrul menyebak jasnya. Secara tidak langsung, mata Raid terpandangkan sepucuk pistol jenis Beretta yang diselitkan pada bahagian pinggang Syed Badrul. Segera Raid sedar lelaki itu sengaja mahu menayang sekaligus mengancamnya secara halus.
Melihat Raid terus diam, Syed Badrul yakin dia telah berjaya menakut-nakutkan lelaki itu. Lantas, dia mengangkat gelas, tersenyum sinis kepada Raid sebelum meneguk sampanyinya. Selamba, seolah-olah cairan itu cuma air kosong.
"Aku harap kau menimbang peluang penggabungan ni. Entiti baru hasil penggabungan nanti akan jadi kuasa utama sektor perladangan dan hartanah. Bayangkan, entiti perladangan yang bakal digabungkan akan mempunyai potensi hasil sebanyak RM26 bilion setahun. Nilai pembangunan kasar hartanah pula dijangka berjumlah RM122 bilion!"
Tidak mengendahkan pancingan itu, Raid sebaliknya bertanya, "tapi kenapa cuma aku yang dipanggil bermesyuarat di sini?" Sengaja Raid tekankan perkataan bermesyuarat seiring senyum sinis di bibirnya.
"Sebab kau dikira sebagai usahawan paling junior. Tapi syarikat kau punya asas kukuh dalam bentuk portfolio bersepadu dan pelbagai selain ada banyak aset bernilai tinggi. Semua maklumat asas ni menunjukkan syarikat kau akan dapat mengharungi cabaran penggabungan ni dengan lebih baik."
"Hmmm..." Raid mengusap dagu, mencerun mata kononnya sedang berfikir berat. "Kalau begitu, biarlah yang para senior bergabung dulu. Bila terbukti tak ada GLC terlibat, barulah abang senior boleh datang buat tawaran kepada junior macam aku." Nadanya sangat sarkastik dan mata Raid berkilat jengkel.
Sesungguhnya Syed Badrul merasa terpukul. Ternyata Raid seorang lelaki berhati baja. Dimomokkan dengan keuntungan berbilion pun, pendiriannya tetap tidak lumer!
"Kenapa kau macam takut sangat dengan GLC? Negara kita ada Akta Suruhanjaya Persaingan, jadi kerajaan akan sentiasa memainkan peranan dengan menyediakan persekitaran ekonomi yang menggalakkan persaingan sihat sekaligus membangunkan ekonomi dan bukannya menggalakkan amalan monopoli."
"Itu cuma teori atas kertas. Tapi daripada hasil penelitian aku dan pengalaman, penggabungan ni bakal menjelaskan lagi amalan monopoli dan lambat-laun akan dijangkiti dengan campur tangan politik yang berleluasa. Akhirnya, syarikat-syarikat di bawah gabungan ini akan dilupuskan, dinyah senarai dan boomm!" Raid memetik jari sebelum meneruskan bicaranya.
"Entiti baru itu pula disenaraikan di papan utama bursa saham sebagai syarikat senaraian terbesar Malaysia. Pada akhirnya, ia hanya akan menguntungkan para kroni di bawah naungan GLC. Dan akibat tiada persaingan, percambahan ekonomi terbantut... Natijahnya? Negara bakal kerugian lebih 200 bilion ringgit dalam tempoh lima tahun."
Beberapa detik, Syed Badrul kelihatan tergamam tapi dia cepat-cepat mengaburinya dengan tawa kekaguman palsu.
"Fuh! Aku tak sangka kau sangat patriotik orangnya. Adakah sebab orang tua kau pernah jadi pengusaha korup, maka kau cuba membasuh dosa mereka dengan berlagak patriotik? Sedarlah, walaupun massa hari ni tak tahu-menahu kisah Gilbert Group, tapi dalam sejarah keusahawanan, orang tua kau adalah antara orang-orang terkaya Malaysia yang berhutang kekayaan mereka dengan kerajaan!" Tiba-tiba sahaja Syed Badrul mengubah hala bicara, menggunakan kisah lama keluarga Raid sebagai senjata.
Raid menggeram dalam hati. Sampai sekarang dia menanggung penghinaan itu. Kemarahan dan dendamlah yang mendorong dia menjadi dirinya hari ini. Kata gurunya, untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya, dia harus selalu mengasah semua deria, pendengaran, bau, sentuhan serta rasa dan mengadaptasinya ke dalam urusan perniagaan.
Sekarang benak Raid melabel Syed Badrul sebagai ahli perniagaan samseng yang kebanyakan masa gemar berfoya-foya melobi para usahawan lain di kelab-kelab mewah. Sudah tentu ditemani perempuan pengiring sehingga ke bilik hotel! Dia hanyalah anak menteri yang malas bekerja keras tapi mahu cepat mengaut kekayaan dengan mempergunakan orang lain.
"Kau kena ingat, bapak kau cuma ekspatriat, kahwin dengan mak kau sebab nakkan kerakyatan. Mak kau tu nama aje ada darah kerabat, tapi bodoh. Sanggup kahwin dengan orang British sampai lupa keturunan bapak kau tu dulu pernah jadi penjajah Malaya. Bila jadi kaya-raya, bapak terus lupa diri dan tamak. Padahal, kalau bukan kerana kebijaksanaan pemerintah yang ciptakan peluang perniagaan, kau ingat bapak kau tu dulu boleh jadi kaya-raya?!" cemuh Syed Badrul, makin tersandar senang menayangkan pistolnya.
Darah Raid semakin panas bergelora mendengar orang tuanya dihina. Ikutkan hati yang sedang marah, dia mahu menonjok mulut Syed Badrul dengan kakinya. Raid mengetap gigi membiarkan Syed Badrul riang seketika kerana membudakkannya.
"Aku cuma suarakan pendapat aku tapi kau bercakap soal kuasa politik pula. Hanya kerana kau anak menteri dan bawa sepucuk pistol yang belum tentu berlesen tu, tak bermakna kau boleh memaksa aku ikut cakap kau. Aku tak nampak ruang untuk kita bekerjasama." Setelah berkata demikian, Raid bangun.
Tapi tegak sahaja tubuhnya, Syed Badrul turut bingkas, menodongkan pistol ke arah Raid.
"Berlesen atau tak, tapi peluru pistol ni boleh tembus tempurung kepala kau!" kata Syed Badrul penuh amaran. "Kalau rasa tak nak bekerjasama, kenapa kau datang sini, ha bodoh?!"
Sebab aku nak cari jawapan, sahut Raid dalam hati.
Masih mengekalkan riak tenang tapi kini lebih waspada, Raid berkata, "aku sentiasa mencari sekutu yang layak dan terhormat, kerana aku tahu untuk terus bertahan dalam dunia korporat yang dikuasai para kleptokrat, harus selalu ada kerja berpasukan. Tapi jelas di sini, kita tak berkongsi nilai dan falsafah perniagaan yang sama, Encik Syed Badrul."
"Kau fikir kau siapa? Orang tak bertamadun dan kurang ajar berdarah penjajah macam kau ni, tak patut cakap soal layak dan hormat!" bentak Syed Badrul. Ternyata dia pula yang tidak dapat membendung kemarahan dek sikap berani candang Raid.
"Syed Badrul!"
Jeritan Faiznur itu bagaimanapun tidak berjaya mengalihkan perhatian mereka. Syed Badrul masih angkuh dengan pistolnya. Sementara Raid diam-diam mengepal buku lima di sisi paha.
"Perlu ke buat macam ni?" tanya Faiznur setelah berdiri di sisi Syed Badrul. Dengan gerakan lemah lembut, dia cuba menjatuhkan tangan lelaki itu. Awalnya, Syed Badrul berkeras tapi pujukan Faiznur melalui mata, membuat dia merengus geram.
"Terima kasih..." Raid berkata setelah Syed Badrul menyelitkan semula pistol di pinggang, "kerana kau dan isteri sudi jemput aku ke sini." Raid mengerling, mencari reaksi Faiznur. Air muka wanita itu semerta berubah.
Faiznur tertunduk melarikan pandangan. Rupa-rupanya Raid tahu yang dia adalah isteri Syed Badrul!
Raid berlalu pergi, meninggalkan Syed Badrul dan Faiznur yang masih menatapnya.
"Kata siapa dia tu senang diajak bekerjasama, hah?" cetus Syed Badrul setelah kelibat Raid hilang di balik pintu. Dia menghenyak duduk lalu menuang sampanyi dan menenggaknya sampai tandas.
"Kata kau, bekas tunang dia? Kan?" sembur Syed Badrul seraya menghentak gelas ke atas meja.
"Aku cuma bagi cadangan sebab nak tolong kau. Syarikat dia sedang maju..." Faiznur tergugup.
"Huh, nak tolong aku atau kau nak ambil kesempatan jumpa dia balik?" bentak Syed Badrul.
Faiznur terpempan mendengar tuduhan suami.
"Rindu? Sebab sekian lama terpisah? Kau jangan ingat aku tak tahu kisah lama kau dengan dia! Lain kali jangan guna business sebagai alasan nak jumpa dia! Ingat sikit, kau tu isteri aku, menantu menteri. Jangan nak menggatal tak tentu hala!" Syed Badrul menggeram.
Kemudian Syed Badrul bangun meninggalkan Faiznur yang terhenyak duduk. Bukan peringatan suami yang menggundahkan jiwanya. Tapi...
Rupa-rupanya Raid tahu aku dah kahwin. Bermakna, diam-diam dia ambil tahu pasal aku! Oh!
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz