Bab 5
LELAKI bertubuh bongkok persis Quasimodo yang digambarkan di dalam novel The Hunchback of Notre Dame karya Victor Hugo itu memandang wajah tuan barunya dengan penuh minat. Namun, dia hanya berani melontar pandangan sebegitu dari jauh sahaja. Ketika berdepan, dia lebih suka menundukkan wajahnya, berpura-pura tidak berminat hendak memandang lama-lama wajah tuannya itu.
Dia sedar siapalah dirinya. Dia hanyalah seorang lelaki yang bukan sahaja cacat, tetapi berwajah hodoh dan menakutkan. Seluruh mukanya diserang sejenis penyakit kulit yang tidak dikenal pasti. Mukanya persis kulit katak puru yang ditumbuhi benjolan-benjolan yang menjelikkan. Setelah cukup matang, benjolan-benjolan ini akan mengembang dan meletup sehingga mengalirkan sejenis cecair seolah-olah nanah yang berbau hamis.
Mungkin disebabkan malu dengan kecacatannya itulah, maka dia telah dibuang oleh orang tuanya sebaik dilahirkan. Orang yang menjumpainya pula telah membesarkannya dengan kejam. Dia tidak pernah mendapat kasih sayang. Yang diterimanya hanyalah cercaan dan penderaan. Dia juga tidak begitu pandai menulis dan membaca kerana tidak pernah bersekolah.
Oleh sebab tidak tahan didera dan dihina, dia nekad mencuri duit penjaganya lalu lari dari rumah. Ketika usianya baru menginjak 15 tahun dan kala teman-teman sebayanya sedang menikmati alam persekolahan, dia telah belajar hidup merempat di jalanan. Dia adalah seorang gelandangan.
Demi sesuap nasi, dia sanggup melakukan pelbagai kerja. Kadang-kadang dia mengambil upah mencuci pinggan mangkuk di gerai, mencuci kereta, mengangkat barang-barang dan sebagainya. Malah, dia juga pernah mencuri dan meragut semata-mata untuk meneruskan kelangsungan hidupnya. Halal atau haram tidak pernah terpacul dalam kamus hidupnya. Yang penting, setiap hari dia dapat makan.
Suatu hari, muncul seorang penyelamat berupa seorang perempuan dalam hidupnya. Perempuan itu memperkenalkan dirinya sebagai Puan Chempaka. Puan Chempaka telah menawarkan tempat tinggal dan juga pekerjaan kepadanya.
Sejak itu, dia tidak perlu hidup merempat lagi. Dia yang telah banyak termakan budi dengan Puan Chempaka merelakan dirinya menjadi orang suruhan perempuan itu. Kini, setelah Puan Chempaka mati, dia bertuankan anak angkat perempuan itu pula.
Kalau dulu, dia setia kepada Puan Chempaka kini kesetiaannya tumpah kepada 'tuan' barunya pula.
Dia mendongak, memandang langit. Cuaca baik. Angin petang berpuput lembut. Awan-gemawan membentuk gumpalan halus di dada langit dan bergerak laju mengikut arah angin bertiup. Ketika dia menjatuhkan pandangannya semula, dia lihat tuan barunya sedang memandang ke arahnya.
Dia mengatur langkah menghampiri tuannya itu.
"Apa yang kau pandang tu, bongkok?"
Walaupun namanya bukan 'bongkok' tetapi dia tidak marah dipanggil begitu kerana dia sememangnya bongkok.
Dia senyum menyeringai. Memaparkan sederet giginya yang putih dan terbentuk cantik. Mungkin sederet gigi yang cantik itu sajalah yang boleh dibanggakan pada seraut wajahnya yang hodoh itu.
"Ah, tak ada apa-apalah, cik. Aku cuma tengok awan yang bergerak-gerak kat atas langit tu." Dia terdiam seketika.
"Agaknya Puan Chempaka kita pun dah berada kat atas langit tu kan, cik?"
Perempuan yang dipanggilnya cik itu hanya tersenyum nipis. Dia tidak berminat hendak berbual tentang Puan Chempaka yang sudah mati itu mahupun awan yang yang ditiup angin di atas langit sana.
"Bongkok, esok aku akan tinggalkan tempat ni. Tapi aku pergi tak lama. Sepeninggalan aku nanti, kau jagalah rumah dan tempat ni baik-baik, ya? Kau jangan malas tau, bongkok. Waktu aku balik semula nanti, aku nak tengok tempat ni cantik macam sekarang. Kau faham tak?"
Wajah si bongkok sedikit sayu mendengar kata-kata tuan barunya itu.
"Cik pergi janganlah lama-lama, ya? Aku tak sanggup tinggal seorang diri kat sini."
Perempuan di depannya ketawa.
"Kan aku dah cakap tadi, aku pergi tak lama. Setelah selesai tugas aku nanti, aku baliklah semula ke sini. Dahlah! Kau janganlah risau. Aku yakin kau takkan bosan tinggal kat sini walaupun aku tak ada. Yang penting, kau sibukkan diri kau tu. Faham?" Perempuan itu seolah-olah hendak memberikan keyakinan kepada si bongkok.
Si bongkok mengangguk laju.
"Baiklah, cik. Aku faham," jawabnya.
"Bagus!" Perempuan itu bangkit lalu mengayun langkah meninggalkan si bongkok yang terkebil-kebil memandangnya berlalu.
Si bongkok menunggu sehingga kelibat tuan barunya hilang ditelan rumah agam itu sebelum mengayun langkahnya mengikut haluan yang sama.
DIA menanggalkan pakaiannya satu per satu lalu berdiri tegak di depan cermin. Dia merenung tubuhnya yang elok terbentuk itu dengan penuh kekaguman. Suatu ketika dulu, tubuh itulah yang paling dibencinya.
Dia dijadikan bahan gelak ketawa oleh orang-orang di sekelilingnya hanya kerana memiliki tubuh yang gemuk, dipenuhi lapisan lemak yang berbonggol-bonggol. Walaupun dia telah cuba berdiet namun usahanya tetap menemui kegagalan.
Tetapi kini, 10 tahun kemudian... Dia boleh tersenyum bangga kerana memiliki tubuh secantik itu.
Krekkk...
Bunyi seolah-olah daun pintu sedang ditolak orang itu membuatkan dia terkejut. Segera dicapainya tuala biru yang tersangkut pada rel untuk menutup bahagian depan badannya yang terdedah. Dia kemudiannya menoleh ke arah pintu bilik yang memang sengaja dibiarkan terbuka sedikit.
Dia tidak nampak kelibat sesiapapun di luar sana. Argh, apa yang nak ditakutkan? Rumah agam itu hanya dihuni oleh dua orang manusia saja iaitu dia dan si bongkok.
Dia tidak perlu takut pada si bongkok. Mungkin lelaki cacat itu kini sedang sibuk di dapur untuk menyiapkan hidangan makan malam mereka.
Dia merapikan ikatan tuala di badannya. Kemudian, menghadap cermin semula, menatap sekujur wajah dan tubuhnya yang cantik tanpa sedikitpun rasa bosan. Seolah-olah itu adalah miliknya yang hakiki. Dia terlupa bahawa setiap inci kulit yang melekap pada badannya, serta setiap organ yang berdegup dan setiap helai bulu yang tumbuh pada tubuhnya itu bukanlah miliknya yang hakiki sebaliknya hanyalah pinjaman semata-mata. Ya, dia terlupa itu!
Sementara itu, matanya terus menatap cermin. Satu per satu wajah mereka yang pernah menyakiti hatinya tiba-tiba muncul di dada cermin itu. Mereka seolah-olah tersenyum mengejek ke arahnya. Walaupun telah bertahun-tahun tidak bertemu dengan mereka tapi masakan mungkin dia melupakan setiap wajah itu. Walau seribu tahun sekalipun wajah kamu... Kamu dan kamu, tak akanku lupa. Hatinya membisikkan dendam yang maha hebat.
Dia melekapkan tangan kanannya ke dada.
Dup dap! Dup dap! Dup dap!
Jantungnya berdegup kencang. Pelbagai rasa seolah-olah sedang bergolak dalam dadanya ketika itu. Ia seperti sebuah gunung berapi yang menunggu masa sahaja untuk memuntahkan laharnya. Rasa marah, dendam, sedih, pilu... Terhina! Dan antaranya terselit juga secebis rasa rindu.
Ya, kesemua rasa itu sedang bergelut hebat di dalam dirinya!
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz