ZingTruyen.Xyz

PSIKO

Bab 2

karyaseni2u

ROMBONGAN itu sampai di Hutan Lipur Gasing lebih kurang pukul 11.00 pagi. Hutan yang tadinya sunyi tiba-tiba meriah dengan kunjungan mereka. Sekumpulan monyet yang tadinya berkeliaran di tapak perkhemahan itu bertempiaran lari masuk ke dalam hutan kerana takutkan kehadiran manusia.

Riak ceria terpapar pada wajah masing-masing sewaktu mereka menuruni tangga bas.

"Puas tidur, Ati?" perli Razman.

Gadis itu tidak mengendahkannya. Dia melangkah pantas mengekori Maizatul Akma.

"Hei, Ati! Rayyan kirim salam!" jerit Razman sebelum tergelak besar.

Suaranya yang kuat itu menarik perhatian ahli-ahli rombongan yang lainnya. Ada yang tersengih-sengih memandang Suriati. Ada yang hanya menggeleng simpati kerana kasihan melihat Suriati yang sering dijadikan mangsa ejekan akibat susuk tubuhnya yang tembam itu.

Maizatul Akma menarik Suriati ke sisinya.

"Sabarlah, Ati. Kau janganlah ambil hati sangat dengan mereka tu. Lagipun kita dah habis sekolah. Lepas ni kita akan ikut haluan masing-masing. Kau mungkin tak akan jumpa budak-budak tu lagi," pujuk Maizatul Akma.

"Kau ni, Maiza. Asyik risaukan aku aje. Aku okey. Telinga aku ni dah lali dengan ejekan macam tu!" Itulah reaksi Suriati.

Maizatul Akma terdiam. Namun, hatinya tertanya-tanya apakah memang betul Suriati langsung tidak terkesan dengan ejekan-ejekan tersebut?

TAPAK perkhemahan yang tersedia di Hutan Lipur Gasing itu amat sesuai untuk mereka yang cintakan keindahan alam. Dikelilingi alam semula jadi, suasana sekitarnya redup dan sejuk. Bunyi gemeresik angin yang meniup daun-daun pula saling bertingkah dengan deruan air sungai. Irama alam semula jadi yang mendamaikan setiap yang mendengarnya.

Setelah meletakkan barang-barang yang dibawa di pangkal sebatang pokok, Maizatul Akma menghampar tikar. Dia dan Suriati membuka bekalan masing-masing. Maizatul Akma membawa nasi himpit dan serondeng. Sementara itu, Suriati pula membawa bihun goreng. Mereka mengambil keputusan untuk mengisi perut terlebih dahulu sebelum turun ke sungai untuk mandi-manda.

"Ehem!"

Suriati dan Maizatul Akma terpaksa mendongakkan kepala untuk memandang. Di hadapan mereka, Razman, Baizura dan Hanna Hanani berdiri tegak sambil tersengih-sengih.

"Laju aje makan, tu, Ati. Langsung tak pelawa kita orang." Baizura bersuara.

"Eh, kau belum makan lagi ke? Kalau nak join kami, marilah." Suriati menjawab.

Baizura menoleh ke arah Hanna Hanani di sisinya. Mereka melambakkan ketawa masing-masing.

"Eh, tak payahlah. Aku gurau-gurau aje. Nanti tak cukup pula bihun goreng tu. Kau kan kuat makan!" getus Baizura diikuti ketawa Hanna Hanani.

Suriati menundukkan wajahnya. Mungkin dia terasa hati dengan sindiran Baizura itu.

"Kenapa kau orang ni asyik nak membuli Ati aje, hah?" sergah Maizatul Akma.

"Eleh, takkan cakap macam itu pun dah nak ambil hati. Memang pun Si Ati ni kuat makan!" Hanna Hanani pula menyampuk.

"Dahlah, Bai. Jom kita mandi sungai!" Hanna Hanani menarik tangan teman di sisi tetapi segera ditepis Baizura.

"Eh, Hanna! Kau dah lupa ke?"

Hanna Hanani memandang wajah Baizura dengan agak lama sebelum melambakkan tawanya.

"Oh ya, aku dah lupalah! Ati, Rayyan kirim salam pada kau. Selain salam, dia turut kirim surat pada kau. Ni hah, suratnya," kata Hanna Hanani sambil menghulur sampul surat rona biru ke arah Suriati.

Suriati dan Maizatul Akma saling berpandangan. Suriati kelihatan teragak-agak hendak mengambil surat yang dihulurkan Hanna Hanani.

"Cepatlah ambil surat tu!" Razman mendesak.

Akhirnya, surat itu berpindah tangan.

"Ati, Rayyan pesan supaya kau jangan bagi orang lain baca surat tu." Hanna Hanani mengingatkan sebelum melangkah meninggalkan Suriati dan Maizatul Akma.

"Apa agaknya yang Rayyan tulis dalam surat tu?" soal Maizatul Akma setelah Razman, Hanna Hanani dan Baizura menjauh.

"Entahlah!"

"Cepatlah buka," desak Maizatul Akma.

"Eh, kau nak ke mana tu, Ati?" soalnya setelah melihat Suriati bangkit meninggalkan tempat itu.

"Nak baca surat inilah," jawab Suriati sambil ketawa kecil.

WAKTU terus merangkak. Jarum jam yang tersangkut di lengan kiri Maizatul Akma sudah menuding ke angka 12.30 tengah hari. Matahari sudah pastinya bersinar cerah. Tetapi suasana di tapak perkhemahan itu redup sahaja akibat dipayungi pokok-pokok yang menjulang tinggi persis kanopi alam semula jadi. Namun begitu, cebis-cebis cahaya matahari masih berdegil dengan mencuri-curi melepasi dedaunan untuk mencumbui lantai bumi seumpama seorang romeo yang sanggup meredah pelbagai halangan demi cintanya terhadap juliet.

"Terima kasih, Hafiz," ucap Maizatul Akma ke arah seorang remaja lelaki yang sudi membantu dia dan Suriati mendirikan khemah sementara.

"Sama-sama. Awak tak nak mandi sungai ke?" soal Hafiz.

"Air sungai tu sejuk, sedap kalau dapat mandi waktu-waktu begini."

"Ati, kau nak mandi sungai ke?" Maizatul Akma berpaling ke arah Suriati.

"Eh, kan Hafiz ajak kau mandi sungai tu! Apa pasal pula kau tanya aku?" Suriati membalas.

"Isy, engkau ni, Ati! Tanya pun tak boleh?" getus Maizatul Akma sambil melirik malu ke arah jejaka di hadapannya.

"Saya ni tak berapa minat mandi sungai. Saya suka tengok keindahan alam semula jadi aje," kata Maizatul Akma kemudiannya.

Hafiz ketawa kecil.

"Oh, ya ke? Rugilah kalau macam tu. Best tau berendam dalam sungai. Kalau awak bernasib baik, akan ada ikan-ikan kecil yang datang gigit-gigit kaki awak. Kalau awak berkudis atau berdaki, ikan-ikan tu akan bersihkan semuanya."

"Eee... Biar betul! Geli saya dengar," getus Maizatul Akma. Suriati yang menelinga, ketawa kecil mendengarnya.

Hafiz juga turut ketawa.

"Betul. Apa yang saya dapat kalau menipu? Eh, okeylah, saya nak ke sungai ni. Jumpa lagi." Hafiz kemudiannya berlalu meninggalkan Maizatul Akma dan Suriati.

Suasana di tapak perkhemahan itu sudah mula sunyi kerana kebanyakan rakan-rakan mereka sedang mandi-manda di Sungai Gasing. Maizatul Akma menoleh ke arah Suriati.

"Kau nak mandi sungai ke, Ati?" soalnya.

"Aku ikut kau aje. Kalau kau mandi, aku mandilah. Kalau kau tak nak mandi, aku pun tak nak."

"Kau pun tahu kan yang aku tak minat mandi sungai," tingkah Maizatul Akma. Dia memang tidak gemar mandi sungai ataupun laut.

"Hmmm... Kalau macam tu kita main rendam-rendam kaki ajelah," cadang Suriati.

Maizatul Akma mengangguk. Cadangan Suriati itu menarik hatinya. Terasa rugi pula kalau sudah sampai sejauh itu tetapi tidak dapat menikmati kedinginan air Sungai Gasing. Kedua-dua orang sahabat karib itu berjalan lenggang kangkung menuju ke tepi sungai.

Suasana di sungai itu meriah sungguh. Kawan-kawan mereka kelihatan riang bermandi-manda serta bergurau senda di dalam air sungai yang jernih. Mereka menikmati zaman remaja yang penuh keriangan. Selepas peperiksaan SPM diumumkan nanti, mereka akan berpisah membawa haluan masing-masing. Ada yang akan melanjutkan pengajian ke tingkatan enam atau memohon memasuki mana-mana kolej. Ada juga yang akan terus bekerja. Terpulanglah kepada pilihan masing-masing.

Maizatul Akma dan Suriati sudah merancang untuk melanjutkan pengajian ke tingkatan enam di sekolah yang sama.

Mereka menempatkan diri di atas batu di tepian sungai. Sementara itu, kaki dicelup-celupkan ke dalam air sungai yang dingin. Nyaman sekali.

Suriati melemparkan pandangan ke arah Rayyan Firdaus yang sedang mandi-manda bersama kawan-kawan karibnya. Rayyan Firdaus, Razman, Hanna Hanani dan Baizura memang sentiasa bersama, tidak boleh berenggang. Seperti juga dia dengan Maizatul Akma.

Terlarik senyuman di bibir Suriati apabila terkenangkan isi surat yang dikirimkan Rayyan Firdaus kepadanya tadi.

"Apa yang Rayyan tulis dalam surat tadi tu, Ati?" Maizatul Akma bertanya.

"Ah, tak ada apa-apalah."

"Mustahil. Takkan dia bagi surat kosong? Janganlah lokek. Ceritalah dengan aku, Ati," pujuk Maizatul Akma yang ingin tahu tentang kandungan surat tersebut.

"Tak ada apa-apa yang menarik pun dalam surat tu." Suriati masih lagi berahsia.

"Ati! Hoi, Ati!"

Tiba-tiba Suriati terdengar namanya dipanggil. Dia nampak Rayyan Firdaus melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Dadanya diamuk debaran.

"Isy, apa yang Rayyan nak tu, Ati?" soal Maizatul Akma.

Suriati hanya mendiamkan dirinya.

"Ati, marilah join kita orang. Takkan nak duduk tepi sungai tu aje. Ati, marilah!" laung Rayyan Firdaus lagi.

Maizatul Akma menoleh ke arah Suriati. Dia lihat gadis itu resah gelisah.

"Maiza, aku rasa macam nak mandi sungailah."

"Kau nak join budak-budak tu ke, Ati? Kalau budak-budak tu ejek-ejek kau nanti, macam mana? Nanti kau juga yang stres." Maizatul Akma kurang senang mendengar keputusan Suriati hendak turun mandi di dalam sungai.

"Ala, aku mandi kejap aje." Tanpa menghiraukan Maizatul Akma, Suriati terus mengharung air lalu menuju ke tempat Rayyan Firdaus dan teman-temannya berada.

Terkebil-kebil Maizatul Akma memandangnya.

"Hai, sampai hati kau tinggalkan aku sorang-sorang kat sini. Ati... Ati!" keluh Maizatul Akma.

"COMEL kan Ati tu?" kata Rayyan Firdaus. Matanya dipakukan ke arah Suriati yang sedang mengharung air menuju ke arahnya.

"Bulat macam belon tu kau kata comel, Rayyan?" Menghambur ketawa dari mulut Razman. Hanna Hanani dan Baizura turut ketawa mengekek.

"Kalau dia himpit, mahu penyek badan kau, Rayyan," sambung Razman.

"Kurang ajar kau, Man!" getus Rayyan Firdaus sebelum ikut ketawa.

"Dah macam badak air aje aku tengok Si Ati tu!" Lancang mulut Baizura mengutuk Suriati.

"Shhh... Tutup mulut kau orang semua. Nanti Ati dengar." Rayyan Firdaus mengingatkan kawan-kawannya.

"Alah, biarlah dia dengar. Dia tu dah memang gemuk!" Melengking suara Hanna Hanani. Walaupun dia tahu Suriati bukanlah saingannya tetapi dia tetap cemburukan gadis gemuk itu setelah mengetahui bahawa Suriati telah lama meminati Rayyan Firdaus.

Suriati yang semakin mendekat dengan mereka ditakdirkan terdengar kata-kata Hanna Hanani itu. Langkahnya terhenti. Menyesal rasanya kerana tega meninggalkan Maizatul Akma seorang-seorang di tebing sungai untuk menyertai budak-budak yang kuat menyakatnya itu.

"Hei, Ati! Kau nak ke mana tu? Marilah mandi dengan kita orang. Best tau mandi air sungai ni." Rayyan Firdaus memujuk setelah melihat Suriati seperti hendak meninggalkan mereka.

Segarit senyuman terlukis di bibir Suriati.

"Hei, kau orang, aku ada soalanlah." Tiba-tiba Razman bersuara.

"Apa soalannya?" Baizura bertanya.

"Siapa pernah makan kuih badak berendam?"

"Masa bulan puasa mak aku selalu beli badak berendam kat bazar Ramadan. Sedap kuih tu." Baizura segera menjawab.

"Aku ada satu soalan." Hanna Hanani pula bersuara.

"Soalan aku ialah, apa beza antara Suriati dengan badak berendam?"

"Apa punya soalan daaa!!!" Razman terpekik.

Serentak itu, terburailah gelak ketawa mereka berempat. Wajah Suriati berubah, merah padam. Dia berasa terhina dan menyesal kerana tidak mendengar nasihat Maizatul Akma seketika tadi. Akibatnya dia hanya dijadikan bahan ejekan mereka. Dia memusingkan badannya hendak berlalu meninggalkan kumpulan itu.

"Hei, Ati! Sorry... Ati. Janganlah marah ya." Rayyan Firdaus bersuara.

Suriati tidak mengendahkannya. Dia terus melangkah.

"Hei, baik kau orang minta maaf dengan Ati! Cepat!!!" Terdengar Rayyan Firdaus memberikan arahan kepada kawan-kawannya.

"Maaf, Ati." Razman bersuara.

"Maafkan kita orang, Ati!" Suara Baizura pula kedengaran.

Suriati tidak menjawab. Dia terus melangkah. Tiba-tiba lengan kanannya dicapai Rayyan Firdaus membuatkan langkahnya terhenti. Dia berpaling. Pandangannya dengan Rayyan Firdaus berlaga.

"Ati, maafkanlah kita orang. Kami gurau-gurau aje," ujar Rayyan Firdaus. Suriati diam, tidak bereaksi.

"Jangan lupa petang ni tau. Kau dengan aku aje," getusnya sambil melepaskan cengkamannya di lengan Suriati.

Suriati meneruskan langkahnya menuju ke tebing.

Sementara itu, Rayyan Firdaus menuju ke arah rakan-rakannya semula. Mereka berempat terus mandi-manda seolah-olah tiada apa yang berlaku.

"HEI, seronok mandi sungai?" soal Maizatul Akma sebaik sahaja Suriati menjengahkan kepalanya di khemah mereka.

Suriati tidak menjawab.

Maizatul Akma seolah-olah dapat meneka apa yang terjadi setelah melihat wajah temannya yang masam mencuka itu. Itulah... Kau tak nak dengar nasihat aku, bisik hatinya penuh kekesalan.

"Kenapa monyok aje ni?" soal Maizatul Akma. Masih ingin bertanya.

"Kau pun tahu apa yang terjadi, kan? Kenapa kau sibuk-sibuk tanya?" sergah Suriati membuatkan Maizatul Akma terkejut mendengarnya.

"Errr... Maaflah. Kau nak tukar baju, ya? Aku keluar dulu." Dia malas hendak memanjangkan cerita walaupun dia terasa hati ditengking oleh Suriati. Dia mencapai sebuah novel tebal lalu melangkah keluar dari perut khemah.

Lebih kurang 15 minit kemudian, Suriati datang mendapatkannya. Dia melabuhkan punggungnya di sisi Maizatul Akma.

"Maaflah, Maiza. Aku bukannya sengaja nak tengking kau."

"Ala, tak apa," getus Maizatul Akma.

"Best ke novel yang kau baca tu?" soal Suriati sambil mengintai novel yang sedang dibaca sahabatnya.

"Menarik juga jalan ceritanya."

"Mesti happy ending, kan?"

Maizatul Akma mengangguk.

"Memang itulah yang kebanyakan pembaca mahukan. Penamat cerita yang menggembirakan."

"Hidup kita inipun macam cerita yang dikarang di dalam sebuah novel juga kan, Maiza? Tapi kita tak tahu endingnya nanti macam mana. Kau rasa, pengakhiran cerita hidup aku macam mana? Sedih ke? Gembira?" Suriati memandang wajah Maizatul Akma.

"Isy, manalah aku tahu. Hanya Tuhan yang mengetahui segalanya," sahut Maizatul Akma.

Suriati menghempas keluh.

"Kenapa kau asyik mengeluh aje ni? Sabarlah!"

"Hidup aku ni tak pernah happy. Aku tak cantik. Gemuk. Disebabkan badan aku yang gemuk ni, aku jadi mangsa ejekan budak-budak lain." Suriati meluahkan rasa hatinya.

"Dahlah tu. Jangan ambil hati sangat dengan budak-budak yang suka mengejek kau tu. Kau hanya perlu jauhkan diri dari mereka." Maizatul Akma menepuk-nepuk bahu Suriati. Cuba menenangkannya.

"Aku tengok kau suka baca novel. Kau tak nak jadi novelis ke, Maiza? Kalau kau jadi novelis, kau karanglah cerita tentang seorang budak gemuk. Budak gemuk tu, akulah. Budak tu ada banyak masalah. Dia ada masalah keluarga. Lepas tu, dia menjadi mangsa buli akibat tubuhnya yang gemuk itu. Pandai-pandailah kau reka macam mana. Yang penting, pengakhirannya... Aku nak happy ending tau." Beria-ia Suriati merancang.

"Amboi! Aku ni minat baca novel aje. Bab karang-mengarang ni, aku tak minat. Kau suruhlah orang lain karang cerita kau tu!" tukas Maizatul Akma membuatkan Suriati ketawa kecil. 

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz