ZingTruyen.Xyz

OBJECTION

Bab 8

karyaseni2u

MATA Airin berlaga dengan mata Maria. Mamanya memberi isyarat. Kemudian, Airin pula menghantar isyarat. Hingga Azman perasan perbuatan dua beranak itu. Dia pandang anak dan isterinya.

"Apa yang tak kena? Cuba cakap?"

"Errr... Tentang Aira, ayah..."

"Hah, dia ada call ke?" Azman teruja. Yalah. Nak buat repot, bersungguh anak dan isteri dia larang.

Airin angguk.

"Errr... Dia ke rumah kawan dia..."

"Kawan?" Azman simpan syak. Dia tenung Airin lama. Airin dah biasa sangat berbohong pada dia. Lebih-lebih lagi pasal Aira.

"Kamu jangan nak tipu ayah, Airin. Aira tu mana ada kawan..." Dalam diam, Azman memberi amaran. Kalau dia tahu Airin menipu, dia tak akan lepaskan Airin kali ini.

"Betul, ayah. Si Zariq itulah. Zariq dah balik dari Itali. Tiba-tiba aje dia jumpa Zariq. Jadi, Zariq ajak dia pergi kampung dia. Aira kata dia minta maaf sebab tak sempat call kita. Ini pun dia minta Airin yang bagi tahu ayah. Dia takut ayah marah dia kalau dia telefon ayah..." Airin bersungguh-sungguh meyakinkan ayahnya.

Hentam ajelah. Daripada ayah dok cakap tentang Aira memanjang. Lagipun, betul gamaknya. Aira pernah cakap yang mungkin Zariq ke Itali tanpa pengetahuan dia. Dah bertahun. Boleh jadi dah sampai masa Zariq kembali mencari kawan baiknya, Si Aira tu. Sesekali bila matanya berlaga pandang dengan Maria, ibu jari wanita itu tegak. Dua beranak itu menyimpan senyum.

"Mana nombor dia? Bagi ayah." Katalah apa saja, Azman memang susah nak percaya.

"Eh, dia call rumah, abang. Nak kesan macam mana. Itu pun kejap aje. Dia kata jangan risau. Dia tahu jaga diri. Nanti dia balik..."

"Eh, awak pun tahu Aira cakap apa?" tempelak Azman pada isterinya.

"Errr..." Wajah Maria terkulat-kulat.

"Airin yang cakap dekat mama..." sampuk Airin menyelamatkan mamanya.

Fuh... Dua beranak itu hela nafas lega bila Azman mula nampak percaya. Lelaki itu menggeleng kesal. Kalau betullah Aira pergi rumah kawan lelaki, dia memang agak kecewa dengan anak itu.

"Kalau dia telefon lepas ni, suruh dia telefon ayah. Kalau sungguhlah Aira tu ikut lelaki, tahulah ayah kerjakan dia." Azman langsung bangkit dan memanjat tangga ke atas. Baik dia tidur. Semak betul kepala dia.

Sebaik saja ayah hilang, Airin dekati mamanya. Gelak mengekek mendengar bebelan ayah tadi.

"Agak-agak ayah syak tak?"

"Nak syak apa. Ayah percaya dah tu yang anak kesayangan dia lari ikut lelaki. Padan muka. Sakit betul hati mama kalau ingat dekat ayah dengan Aira ni..." Bibir Maria terjuih-juih sendiri.

Dia, tak akan lupa peristiwa bersejarah dalam hidupnya itu. Azman langsung tak endahkan kata-katanya.

"Tapi kan, ma... Aira tak ada ni... Susah juga. Rin tak ada orang nak suruh gosok baju, buat jus pagi-pagi, kemas bilik..."

"Eh, Kak Su kan ada..."

"Kena ajarlah, ma. Bosan!" Airin buat muka jelak.

"Nanti dia balik, tahulah mama ajar dia!" Marah Maria pada Aira makin menebal. Sekalipun, dia tak pernah kasihkan anak itu.

SEPANJANG malam, hanya kata-kata lelaki itu yang menemani tidurnya. Hingga ke pagi, Aira tak mampu lelapkan mata biarpun seketika. Kelambu tak dipasang. Malah, api pelita yang padam juga dibiarkan tak menyala. Dia bergelap. Dia dah tak kesah akan binatang buas yang mungkin datang membaham dia. Tiada lagi ketakutan yang dapat mencabarnya.

Jika di sini tertulis ajalnya, dia reda.

Tapi, terlalu banyak persoalan yang makin terbit dalam kepala. Siapa lelaki itu dengan Zariq? Kenapa lelaki itu boleh tahu tentang potret dia yang dilukis oleh Zariq dulu? Dan, mana Zariq?

Argh... Kepala dia sakit. Gigitan nyamuk dibiarkan saja. Hingga fajar menyingsing, Aira keluar daripada situ. Duduk di atas anak tangga yang diperbuat daripada batang kayu. Dia menanti kehadiran lelaki itu buat pertama kalinya. Dia mahu tahu semuanya. Andai benar dia yang salah, dia akan terima hukuman dengan hati terbuka. Tapi, jika sebaliknya... Lelaki itu akan kesali tindakan sendiri suatu hari nanti.

Entah berapa lama Aira menanti, dia terlena di situ. Bersandar kepala. Dibiarkan kulit menjadi hidangan nyamuk hutan. Bila dia buka mata, Nazri ada di depannya. Wajah itu risau.

Aira berdiri.

"Mana dia?" Dia panjangkan leher.

Bila Nazri geleng, Aira hampa. Tangan Nazri jelas menunjukkan yang lelaki itu tiada di pulau ini pun. Boleh jadi pergi ke tanah besar semalam juga. Meninggalkan dia dan Nazri di sini. Plastik yang Nazri hulurkan, dia biarkan sepi. Aira melangkah dan duduk di atas bangku tempat dia dan Nazri selalu nikmati makanan.

"Dia balik ke tanah besar?"

Nazri angguk.

"Semalam?"

Nazri angguk lagi.

Apalah kerja lelaki ini sampaikan boleh miliki sebuah pulau di negara orang? Harapnya bukan kerja haram! Argh... Apa aku fikir ni?! Aira ketuk kepala sendiri. Sedar sikit. Kau tu tahanan dekat sini. Jangan nak risaukan orang. Risaukan diri sendiri sudah!

"Bila dia akan balik sini?"

Nazri angkat bahu tanda tak pasti.

Aira gamit Nazri mendekati. Lelaki itu ditenung lama.

"Kau kenal Zariq?"

Bila Nazri diam, Aira terima jawapan itu sebagai ya.

"Mana dia? Kakak perlu jumpa dia. Dia akan tolong kakak. Dia tahu, kakak tak pernah buat apa-apa yang salah dekat dia. Kami sayang satu sama lain atas dasar kawan. Tak lebih daripada tu. Tapi, kenapa bos kau tuduh kakak dengan Zariq..." Aira terdiam. Jijik sungguh nak teruskan ayat yang keluar daripada mulut lelaki itu sebelum ni.

Entah-entah...

"Jangan cakap bos kau tu, abang Zariq?" Kerutan muka terukir pada wajah Aira. Pelbagai andaian yang bermain dalam kepala.

Nazri ketap bibir.

Aira melopong. Jadi, betullah. Lelaki itu ada kaitan dengan Zariq. Tuhan... Apa dah kau buat ni, Zariq? Sampaikan abang kau seksa aku macam ni sekali. Lepas kau pergi macam tu aje dan tiba-tiba kenapa nama kau muncul daripada mulut lelaki lain?

Air mata Aira jatuh berlinangan. Dia pandang Nazri yang sedang menunjuk pada lengannya. Aira turut memandang kesan gigitan nyamuk. Rasanya, seluruh tubuh dia ada kesan merah. Dia senyum pada Nazri.

"Sikit aje. Kakak okey..." Kali ini titisan air mata itu sedikit laju. Entah kenapa. Setiap kali dia mengaku dia baik-baik aje, hatinya berasa cukup hiba.

Seperti menipu diri sendiri. Sedangkan dia rasa terseksa.

Tuhan... Beri dia petunjuk!

Plastik ubat yang lelaki itu bawa padanya malam itu, ada di tangan Nazri. Aira sambut huluran itu. Dia pandang lama. Teringat bila lelaki itu memasang kelambu untuknya. Malah, ada tinggalkan ubat. Pagi itu juga, bila dia sedar daripada lena, ada kain lembap yang melilit leher bagi meredakan panas.

Dia tahu itu pasti kerja lelaki itu. Dia mahu ucapkan terima kasih setelah itu tapi layakkah lelaki yang begitu kejam menerima ucapan terima kasih atas akibat yang dilakukan sendiri? Kerana itu lidah dia memberat. Dia adalah mangsa!

Melihatkan kerisauan Nazri, Aira sapu ubat itu pada setiap kesan gigitan nyamuk.

"Kenapa kau risau sangat, Yie? Kalau jadi apa-apa dekat kakak, kau takut bos kau mengamuk?"

Laju Nazri angguk.

"Kenapa? Sebab dia tak nak kakak mati dengan mudah? Dia mesti nak terus seksa kakak, kan?"

Nazri ketap bibir. Seperti biasa, Aira hanya terima laku itu sebagai ya bila Nazri beriak demikian.

"Jangan risau, Yie. Kakak jenis yang tak mudah menyerah. Tambah pula kakak nak tahu apa yang Zariq dah buat sampai abang dia begitu marahkan kakak. Kalaulah kau boleh bawa kakak jumpa Zariq sekali, Yie... Sebelum semua ni jadi lebih teruk."

Aira renung mata Nazri.

"Paling penting. Kakak tak nak bos kau menyesal di kemudian hari. Masa tu, kakak takut kakak tak dapat nak maafkan dia..."

Kerana dia tahu, jauh di sudut hati lelaki itu masih tersimpan rasa belas pada dia. Dia yakin, malam itu adalah waktu di mana lelaki itu menunjukkan dirinya yang sebenar. Yang sekarang, adalah topeng yang sengaja dipakai. Apa yang jadi setakat ini, dah buktikan semuanya. 

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz