Bab 13
APA lagi yang perlu dia katakan? Pertuduhan telah dibaca. Dia, yang dikatakan pesalah tak mahu menerimanya. Tak akan mengaku salah sampai bila-bila. Tapi, pendakwa raya-juri-hakim adalah orang yang sama. Tetap memaksa dia terima bulat-bulat semua tuduhan dan menjalani hukuman. Nak bela diri sendiri juga, dia tak layak. Mahkamah Zafiq, adalah mahkamah gila. Dakwaan Zafiq adalah dakwaan tak berasas dan penilaian Zafiq sebagai juri adalah penilaian berat sebelah.
Aira memeluk lutut di tepi katil. Melentokkan kepalanya ke atas lulut, memejamkan mata. Dia cuba tenangkan dirinya. Berlagu perlahan. Bagai mendodoikan diri sendiri. Dia mahu kembali lena. Moga nanti bila dia jaga, ini semua mimpi. Akan ada ayah yang tersenyum padanya, juga Kak Su yang suka melayan celoteh dia. Sesekali terdengar jeritan Airin memanggil dia atau boleh jadi juga arahan keras mama yang mengarah itu, ini.
Semuanya bersatu menjadi satu lagu yang indah. Tapi, kenapa yang dirasakan indah ini tetap membuatkan dia nak meraung? Aira buka mata. Air mata dia jatuh setitis. Tak. Ini bukan mimpi. Ini kenyataan yang perlu dia terima setelah sebulan berlalu. Aira senyum. Disapu pipi dan mendongak bila pintu bilik dibuka.
Wajah Nazri muncul. Berkerut sana sini.
"Kakak okey..." Serentak itu, air mata dia jatuh lagi. Berkali-kali pun dia katakan dia baik-baik saja, berkali-kali itu jugalah dia menipu diri sendiri.
Hati dia begitu terluka dengan Zariq malah lebih lagi terluka dengan Zafiq. Bila dia fikirkan layanan Zafiq pada dia malam tadi, dia rasa nak berterima kasih. Tapi tadi... Aira pejam mata. Hampir saja diri dia ditakluki oleh Zafiq. Tapi, mujurlah akhirnya Zafiq sendiri berhenti. Menjauh daripada dia. Seperti begitu jijik sedangkan bahu inilah yang Zafiq usap malam tadi.
"Zafiq pergi mana, Yie?"
Tiada reaksi, Nazri hanya tunjuk isyarat untuk Aira makan. Dengan semangat yang begitu lemah, Aira angkat tubuh. Pakaian Zafiq masih membalut tubuhnya malah jaket juga masih tersarung kemas. Sesekali, sempat dia menoleh ke jendela.
"Kakak rasa nak berjalan kat tepi laut lepas ni. Boleh tak?" Dia pandang Nazri dan anak muda itu angguk dalam senyuman.
Sekali lagi Nazri tunjuk isyarat makan.
Aira ketawa kecil dan angguk.
"Yalah. Jom, makan..." Dia kalah dengan kepolosan Nazri.
Sebaik saja tiba di meja makan, semuanya dah terhidang biarpun masih lauk yang sama. Nasi, sardin dan telur dadar serta hirisan timun. Semua ni dah cukup membuka selera dia. Aira duduk. Memandang Nazri yang berdiri.
"Kenapa Yie tak duduk?"
Nazri geleng. Zafiq hanya berpesan untuk pastikan Aira makan dan lepas itu, hantar semula Aira ke pondok yang dah siap dibaiki. Sepagian dia berada di pondok dan masakan ini... Bukan dia yang sediakan.
"Kau yang masak?" Nampak sedap.
Nazri geleng.
"Zafiq?"
Nazri diam dan itu tandanya telahan dia betul.
Aira tolak pinggan nasi. Bukanlah dia syak Zafiq akan racun dia tapi entahlah. Selera dia hilang tiba-tiba. Dia tak nak berhutang apa-apa dengan Zafiq. Dia nekad, dia akan usahakan segalanya sendiri.
Biar satu hari nanti, Zafiq yang tunduk demi rasa bersalah pada dia! Itu tekad Aira.
Dia terus bangkit. Berlalu ke pintu yang terbuka lebar. Sempat dia campak jaket milik Zafiq ke kerusi. Baju milik lelaki itu juga dah kering.
Nazri menahan langkahnya. Memaksa Aira makan.
"Kakak nak balik pondok, Yie. Kau tahu, kan. Sini bukan tempat kakak. Kakak dah biasa duduk dekat pondok tu. Lagipun, ada beras semalam. Kakak masak sendiri. Tapi, kalau betul kau nak tolong kakak, ada satu benda yang kau boleh tolong..." Aira senyum pada Nazri yang berkerut kening.
Rasa hati nak berjalan di tepi pantai di mana airnya begitu jernih, terbantut. Dia berjalan terus ke pondok yang seperti dilanggar geroda. Kuat sungguh angin malam tadi hingga segalanya punah-ranah. Dia tunduk mengutip besen dan gelas. Kemudian mengintai ke dalam tempayan yang seingatnya, baru berisi separuh petang semalam.
Fuh! Syukurlah. Zafiq tak buat gila. Baru nak cedok air itu untuk diminum, mata Aira tertancap pada beberapa botol air mineral yang masih baru. Dia tegakkan badan. Mencapai botol tersebut dan memandang sekeliling.
Gamaknya, Nazri yang letak. Dia senyum. Yang tak sempurna itu, lebih sempurna sikapnya berbanding yang begitu sempurna seperti Zafiq. Aira duduk. Air itu diteguk perlahan. Hingga separuh botol. Dia kemudiannya masuk ke bilik. Di atas katil ada baju dan seluar. Masih elok lipatannya dan ada juga tanda harga.
Dia capai baju tersebut dan diletak ke tubuh. Buat pertama kali, hati dia rasa gembira. Tak ubah seperti kanak-kanak kecil mendapat pakaian baru daripada ibu ayah. Sehingga membuatkan dia menari sendiri. Kemudian, tertawa dan mencium baju itu lama. Biarpun pada akhirnya, ada juga air mata yang mengalir.
DARIPADA jendela yang ternganga itu, mata kuyunya dapat melihat tindak-tanduk Aira. Tak ubah seperti kera dapat bunga. Tapi, dia sendiri tak sedar ada bunga tawa yang bertunas pada hujung bibirnya. Kejap lagi, dia perlu ke resort. Ada urusan di pejabat. Malah, ada pelancong dari Malaysia yang akan datang menginap di resortnya. Untuk menemu ramah tentang rahsia kejayaan dia. Temu ramah yang pernah terkandas bertahun dulu.
Kata Rahim, bukan orang yang sama. Argh... Malas nak fikir. Sama atau tidak, jawapannya tiada beza. Dia hanya mahu berikan yang terbaik buat tetamunya. Tambah pula yang datang daripada tanah air sendiri.
Entah nak cakap dekat Aira atau tidak. Dia akan bawa Nazri bersama. Seperti kali lepas, Aira akan bersendiri. Lepas apa yang jadi malam tadi, dia bimbang kejadian sama berulang. Tapi dia juga yakin, semangat Aira tak mudah lentur. Kerana itu, marahnya kerap membara bila memandang wajah jelita itu. Susah betul nak buat Aira tersungkur! Semangat Aira setiap kali pun, bagai diseru-seru.
Malah rambut Aira... Argh... Zafiq pejam matanya rapat. Cuba dihalau bayangan Aira. Pagi tadi, dia hanya nak ajak Aira makan. Tapi, lidah Aira begitu tajam. Amarahnya mencanak. Hingga dia hampir hilang kawalan. Lelaki mana mampu bertahan melihat perempuan yang sebegitu indah di depan mata? Nak-nak lelaki normal macam dia. Dalam suasana yang begitu mendorong ke arah itu pula tu.
Leher putih Aira, rambut hitam pekatnya, bibir yang nampak sedikit pecah merekah. Ada masanya, tengah bibir itu nampak berdarah. Satu yang dia perasan. Telapak tangan Aira tak selembut yang disangka. Rasanya, sama kesat dengan telapak tangannya. Takkanlah baru sebulan dia suruh buat kerja berat, kulit Aira berubah?
Nasiblah tadi, kebencian pada Aira menahan segala perbuatan gilanya. Jika tidak, dia tak akan maafkan diri sendiri. Zafiq kembali memandang Aira yang masih merenung baju itu. Tak lama, nampak Aira nak buka baju... Pantas Zafiq menoleh. Tak sanggup nak pandang dan dia terus berlalu tanpa menoleh lagi.
Kau kena baik-baik aje, Aira. Apa pun jadi, kau kena baik-baik aje...
Sampai di jeti, Nazri dah sedia menanti. Dia turun ke bot. Duduk di sebelah Nazri yang akan memacu bot laju ini ke destinasi.
"Kenapa, Yie?" tanya Zafiq bila Nazri sejak tadi pandang dia. Bukan nak gerak pun. Dah lewat ni.
"Kenapa tak gerak lagi?"
Nazri memberi isyarat yang Aira tak sentuh langsung makanan yang disediakan. Dahi Zafiq terus berkerut. Rasa nak aje dia panjat semula jeti dan mencari Aira. Nak dicekik perempuan tak sedar diri tu. Dia sediakan semua tu sebab dia masih manusia yang ada hati dan belas kasihan. Nak-nak dengan keadaan Aira semalam. Tapi, memang dia tak patut buat baik.
Tak guna betul!
"Ikut dialah, Yie. Kalau dia tak nak makan, biar dia kebulur. Kita jangan balik seminggu. Biar dia sekor-sekor. Tengok apa jadi!" marah Zafiq sendiri.
Dia arahkan Nazri bangun. Tempat pemandu bot bertukar tubuh. Setelah itu, bot terus bergerak laju membelah lautan yang membiru.
Hatinya sakit!
Zariq telah pertaruhkan cinta pada orang yang sia-sia.
SALAM berjabat. Dah hampir dua minggu tak tengok muka pekerja sendiri. Rahimlah yang paling kesian. Uruskan segalanya bagi pihak dia. Di sini, ada pekerja tempatan dan ada juga yang dia bawa daripada Malaysia. Membuka peluang pekerjaan.
Daun pintu ditolak. Zafiq terus ke meja. Rahim dan Nazri mengikut dan duduk di depannya. Beberapa buah fail terus dicapai. Dibuka. Dibaca. Ditandatangani. Satu demi satu fail, hingga siap semuanya. Zafiq tolak fail itu pada Rahim.
"Ada apa yang perlu aku tahu, Im?"
"Semuanya dalam kawalan, bos. Tapi, ribut semalam ada rosakkan taman kesayangan bos tu."
Dahi Zafiq terentang kerutan.
"Taman batu karang?" Kalau kesayangan, itulah tempat paling dia suka.
Rahim angguk perlahan.
"Banyak?" Wajah Zafiq sedikit resah. Dia sayangkan keaslian hidupan laut itu.
"Banyak juga, bos. Saya dah minta orang tutup untuk hari ni. Mungkin seminggu juga tu baru sempat kita baik pulih..."
Fuh... Zafiq picit kepala. Bertambah lagi kerja dia. Ingatkan dalam seminggu ni, nak balik ke Malaysia, ziarah mak long dengan pak long. Dah tentu-tentu orang tua itu rindukan dia.
"Ladang tiram?"
"Tak kena, bos..."
Zafiq angguk. Syukurlah.
"Taman batu karang tu, tak boleh repair cepat sikit?" Itu antara tarikan di sini. Tumbuhan laut semula jadi. Mereka hanya jaga dan rawatnya saja. Biasanya, pelancong paling ramai tertumpu di situ. Lebih-lebih lagi pada yang tak berani ke laut dalam.
"Bos kena tengok sendiri. Daripada apa saya nampak, memang akan ambil masa tu. Bos nak tinggal sini ke? Berapa hari? Kalau nak, saya bawa bos tengok petang ni."
"Hurm, bolehlah petang ni." Zafiq menggendang meja sambil mengusap jambang dan misainya yang belum sempat dirapikan.
"Yang orang majalah mana dari Malaysia tu, bila sampai?"
"Dalam perjalanan bos. Trafik sesak sikit daripada airport..."
Zafiq hanya mengangguk. Dia kerling Nazri yang nampak resah sejak tadi. Dia tahu, Nazri risaukan Aira ditinggalkan sendirian. Malah, sepanjang perjalanan dalam bot tadi, Nazri memang tak sudah menoleh ke belakang. Macamlah Aira tu boleh terbang ikut mereka.
Dia pula, hanya bimbang ribut melanda lagi mendengarkan ramalan kaji cuaca untuk hari ini. Huh. Tak sedar, Zafiq mengeluh. Patut dia suruh Aira duduk dalam rumah dia. Pondok yang hidup segan, mati tak mahu itu, tak mungkin dapat bertahan untuk kali kedua jika badai melanda lagi malam nanti.
"Bos?" panggil Rahim.
"Ya, Im? Kau cakap apa?" Dia terlalu sibuk memikirkan Aira. Tak dengar pula suara Rahim menyoal.
Mulut Rahim pecah dengan sengih.
"Saya tak tanya apa-apa pun. Tapi, bos mengeluh tadi, kenapa? Ada masalah?"
"Errr... Tak ada. Kau siapkan bilik Nazri. Aku guna bilik aku aje. Petang nanti jangan lupa bawa aku tengok taman yang rosak tu..." Zafiq terus bangkit. Menarik jaket yang malam tadinya membalut tubuh Aira.
Belum sempat dia sarung ke tubuh, dia pandang jaket itu lama. Tak sedar, tangannya membawanya dekat ke hidung. Dihidu baunya. Mulanya bimbang berbau busuk tapi tak. Ini bau dia. Bau seorang wanita bernama Aira. Cukup kuat menusuk dalam rongga tubuhnya. Tak sedar, dia senyum tipis. Wangi...
Melihatkan sikap Zafiq, Rahim kerutkan kening pada Nazri. Tak faham dia. Dia memang syak sesuatu. Bos sedang simpan perempuan dekat pulau tu. Kerana itu Zafiq minta dia bawakan pakaian perempuan sebulan lepas dan dia hanya boleh sampai ke jeti. Tapi, siapa? Bos mana rapat dengan mana-mana perempuan. Tambah pula lepas kes Zariq, bos langsung tak pernah senyum. Banyak bersendiri kalau bukan sebab kerja. Ini tiba-tiba boleh senyum. Ajaib ni. Bertahun dah bibir itu dilanda musim dingin. Cukup kaku. Sekarang, nampaknya musim sedang berubah.
"Jaket tu berbau ke, bos? Saya hantar dry cleaning kejap. Nak?" pelawa Rahim mematikan renungan Zafiq. Sarkastik.
"Eh, elok aje. Aku baru pakai semalam ni..." Zafiq menggeleng tak puas hati pada Rahim. Adalah tu nak buat spekulasi apa-apa.
"Lagi satu, Im. Untuk interviu ni, aku ada syarat..."
Wajah Rahim berkerut. Syarat pula? Hari tu tak cakap apa-apa pun. Tapi, dia hanya mampu angguk. Biasanya, syarat Zafiq tak keterlaluan. Cuma pelik!
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz