ZingTruyen.Xyz

Jangan Hilangkan Dia

SELEPAS urusan bagasi, imigresen dan pemeriksaan keselamatan, dia terus melangkah menuju ke Gate C4 bagi penerbangannya ke Paris. Dalam langkah, bibirnya terus mengukir senyum teruja dan bahagia.

Tak sabar nak sampai Paris. Dua belas jam lebih di atas awan, entah apa rasanya. Tak apalah, demi mengejar cita-cita, aku gagahkan juga.

Senyum terus terukir di bibirnya. Tak sabar rasanya mahu menjejakkan kaki di Kota Paris yang terkenal dengan gelaran kota cinta dan kota fesyen dunia! Dia ke sana bukan suka-suka, tapi atas urusan yang berkaitan dengan kerjaya dan cita-citanya. Dia berharap ini adalah langkah pertamanya untuk dia meraih impiannya.

Belum pun lama dia duduk di ruang menunggu, Gate C4 sudah mula dibuka. Penerbangannya dijadualkan berlepas pada pukul 11.00 malam nanti. Dia berharap penerbangannya nanti akan berjalan lancar. Walaupun ini bukan kali pertama dia menaiki kapal terbang, tetapi setiap kali berada di atas awan, dia tetap kebimbangan.

Baginya, saat diri di dalam pesawat yang masih berada di atas awan, nyawanya bagai di hujung tanduk; 50-50. Bila-bila masa sahaja ajal boleh datang menjemput. Sebab itu selagi pesawat yang dia naiki tidak mendarat dengan selamat, selagi itu dia tidak tenang jiwa. Hanya doa yang menjadi peneman diri.

Mula kedengaran pemanggilan penumpang bagi penerbangan KL0810 pada alat pembesar suara yang ada berhampiran dengan Gate C4 itu. Panggilan diulang semula dalam bahasa Inggeris.

Mujur penerbangan KL0810 tidak mengalami kelewatan malam ini. Jika tidak, pasti lewat juga dia dan penumpang lain sampai ke Kota Paris. Sudahlah pesawat ini transit di Amsterdam dahulu sebelum dia meneruskan perjalanan ke Paris. Sudah ternampak-nampak Menara Effel teguh berdiri di hadapan matanya ketika ini. Sampaikan dia terlupa segala-galanya!

Gate C4 mula dibuka laluanya untuk penumpang penerbangan KL0810 menuju ke pintu masuk pesawat Boeing 777-300ER milik syarikat penerbangan KLM Royal Dutch Airlines.

Selepas menyerahkan boarding pass berserta pasport kepada petugas KLM Royal Ductch Airlines yang bertugas di Gate C4, dia terus melangkah penuh bergaya menuju ke dalam perut pesawat. Terasa berat hatinya mahu meninggalkan Malaysia. Walhal bukan lama pun dia di sana. Seminggu sahaja. Itu pun atas urusan rasmi. Jika tidak, jangan harap dia dapat ke Kota Paris dalam masa terdekat ini.

Tak sabarnya nak sampai Paris. Tas tangan di bahu dibetulkan. Selendang yang membaluti kepala dikemaskan sambil langkah terus diatur memasuki perut pesawat.

Sampai sahaja, dia terus mencari tempat duduknya. Agak bising keadaan di dalam pesawat Boeing 777-300ER ketika ini dek suara penumpang lain yang sudah selesa duduk di tempat duduk masing-masing. Mungkin mereka juga teruja sepertinya. Apa yang pasti saat dia terpandang pasangan kekasih atau mungkin pasangan suami isteri yang ada, terus hatinya disapa rasa cemburu dan iri.

Alangkah indahnya kalau dia juga ada di sisi aku sekarang ni. Hanya keluhan halus yang mampu dia helakan sambil menyelesakan duduk. Dia bertuah kerana dapat tempat duduk yang betul-betul di tepi tingkap. Tidaklah dia kebosanan duduk sendirian tanpa insan yang dicintai di sisi sepanjang penerbangan nanti. Mujur ada sang awan di luar bisa menemaninya.

Telefon pintar di dalam tas tangannya bergetar. Menandakan ada mesej baru diterima melalui aplikasi WhatsApp. Bibirnya mengukir senyum bahagia saat membaca mesej baru yang diterima. Senyuman itu semakin meleret. Hujung ibu jarinya pula pantas menaip balasan mesej dari insan yang dicintainya itu.

Lima belas minit kemudian, para penumpang dikehendaki memakai tali pinggang keselamatan dan mematikan semua alat peranti elektronik kerana pesawat bakal berlepas sebentar lagi. Demi keselamatan penumpang yang ada, dia akur dengan arahan yang diberikan. Sempat dia menaip sesuatu untuk si pencintanya sebelum dia mematikan gadget canggih itu.

Dalam kerinduan, hatinya terus teruja mahu melihat Menara Effel tersergam indah di hadapan mata. Dia memandang keluar jendela. Tiada apa yang dia dapat lihat selain gelap malam dan lampu-lampu neon kuning yang ada di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sepuluh minit kemudian, Boeing 777-300ER mula bergerak dan dalam masa yang sama pramugari dan pramugara yang bertugas mula membuat penerangan dan demo prosedur keselamatan pada para penumpang. Selesai sahaja, pramugari dan pramugara tersebut mula mengambil tempat duduk masing-masing.

Pesawat Boeing 777-300ER akan berlepas dalam berberapa saat sahaja lagi. Penumpang diminta untuk duduk di tempat masing-masing, memakai tali pinggang keselamatan dan tidak dibenarkan ke tandas selagi lampu amaran melepaskan tali pinggang keselamatan tidak menyala.

Saat pesawat hendak berlepaslah buat dia cemas dan bimbang. Dalam hatinya, dia terus berdoa agar penerbangan KL0810 ini selamat berlepas dan selamat mendarat seperti yang dijadualkan.

Mata dipejam dan hati terus berdoa saat pesawat mula berlepas. Terasa diri mula di awang-awangan. Pendengaran mula bergema dan berdegung sekali-sekala kerana pesawat masih belum berada pada ketinggian yang sepatutnya.

Hampir seminit, barulah pesawat berada dalam keadaan stabil. Namun masih belum berada pada ketinggian yang sepatutnya. Lampu amaran melepaskan tali pinggang keselamatan juga masih berwarna merah.

Keluhan halus dia helakan. Lega bila pesawat mula stabil dan tenang di udara. Tetapi rasa lega itu tidak berpanjangan bila dengan tiba-tiba pesawat Boeing 777-300ER itu terasa bergegar kuat seperti melanggar sesuatu yang keras bertimpa-timpa. Tubuhnya mula mengeletar bila melihat keadaan di dalam pesawat itu mula huru-hara dan penumpang lain mula cemas.

Ya Allah, selamatkan aku dan penumpang yang lain, doanya dalam hati.

MENGGELENG Harith melihat kawan baiknya itu yang sedang menghirup minumannya. Biasanya orang yang baru lepas kahwin ni, pukul 10.00 malam dah padam lampu bilik. Tapi kawan baiknya itu, kala jam hampir pukul 12.00 malam, masih duduk melepak di kafe ini bersamanya. Inai di jari hantu, manis dan kelengkeng tangan kiri kawan baiknya itu pun masih merah menyala!

"Kau apa hal pandang aku macam tak puas hati ni?" tanya Dhafir. Minumannya dihirup lagi.

Dia dan Harith sudah lama berkawan. Sejak mereka di tingkatan empat lagi. Walaupun selepas tamat tingkatan lima mereka membawa hala hidup masing-masing, namun mereka tetap masih berhubung. Dan alhamdulillah, hubungan mereka tetap baik sehingga sekarang walaupun masing-masing sudah ada kerjaya sendiri. Apa yang pasti kerjaya mereka berbeza. Harith lebih ke arah bidang grafik manakala Dhafir ke arah bidang perniagaan tekstil.

Harith tidak terus menjawab pertanyaan Dhafir itu. Minumannya dihirup sedikit.

"Aku pelik dengan kau."

"Apa yang peliknya?" Laju sahaja Dhafir menyoal balik.

"Yalah, kau baru menikah tak sampai seminggu, tapi kau dah tinggal-tinggalkan isteri kau kat rumah tu. Tak kesian pada dia ke biarkan dia tidur seorang diri?"

Dhafir tergelak. Punyalah banyak perkara, hal itu juga yang dirisaukan Harith?

"Isteri aku outstation."

"Outstation?" Harith terkejut. Baru kahwin dah kena tinggal? Kesian sungguh nasib kawannya itu.

"Haah." Minuman dihirup lagi.

"Dia tak ambil cuti panjang ke? Kau sedar tak, kau dengan dia baru bernikah? Majlis sanding pun tak buat lagi tau? Kau orang memang suka konsep buat apa yang wajib aje ke?" Harith meluahkan kemusykilan.

Sampai sekarang dia masih hairan kenapa Dhafir tidak membuat majlis persandingan seperti orang lain. Majlis nikah mereka pun dibuat secara ringkas dan tertutup Ahad lalu.

Dhafir tidak terus menjawab, buat seketika fokusnya tertumpu pada skrin telefon pintar di tangan.

"Bukan aku tak nak buat majlis persandingan, Rith. Semuanya sebab isteri aku. Sebelum menikah hari tu, tiba-tiba dia dapat offer. Nasib baik kita orang belum cetak kad jemputan kahwin lagi. Lepas urusan dia settle, kita orang akan tetap buat majlis persandingan. Janganlah risau." Pertanyaan Harith baru dijawab.

"Aku tak risau, cuma musykil aje. Susah juga dapat isteri berkerjaya ni, ya? Suami kena tinggal-tinggalkan."

"Tak susah pun, bro. Yang penting masing-masing boleh bertolak ansur." Minumannya diteguk lagi.

Harith angguk akur.

"Dalam apa jua hubungan, tolak ansur, kejujuran dan kesetiaan tu penting. Kalau hal kecil tu pun tak dapat nak settlekan, susahlah kalau dah hidup sebumbung," tambah Dhafir.

"Amboi, kau cakap dah macam pakar rumah tangga."

Buat seketika mereka tergelak bersama. Perbualan mereka tergendala. Dhafir fokus pada telefon pintar di tangan. Manakala Harith pula fokus pada berita berbahasa Inggeris di kaca televisyen yang ada di kafe itu.

"Eh, ada kapal terbang terhempaslah, kat mana tu?" tanya Harith, terus fokus pada skrin televisyen yang agak menjauh dari meja mereka.

"Mana?"

Harith juih bibir ke arah televisyen LED berhampiran dengan kaunter pembayaran.

Berkerut dahi Dhafir membaca perkataan yang ada di bahagian bawah skrin televisyen tersebut. Disebabkan meja mereka agak menjauh, mereka tidak dapat melihat perkataan yang ada dengan jelas. Suara televisyen pun tidak dapat didengar. Apa yang pasti hatinya mula disapa rasa aneh selepas melihat berita itu.

"Eh, kat Malaysialah. Taman Desa Indah dekat dengan Sepang tu, kan? Flight apa yang terhempas tu?" luah dan tanya Harith, terkejut selepas membaca lokasi kejadian yang tertera pada skirn televisyen.

Mendengarkan kata-kata Harith itu, hati Dhafir semakin rasa tidak selesa. Beberapa saat kemudian, telefon pintarnya berdering. Tanpa menunggu lama dia menjawab panggilan itu.

"Assalamualaikum, mama. Kenapa call Fir ni?" jawab Dhafir, cemas.

Harith menoleh memandang Dhafir. Riak wajah Dhafir yang tiba-tiba berubah tegang membuatkan dia mula menebak sesuatu.

"Apa?" Dhafir terkejut.

"Kenapa, Fir?"

Terkebil-kebil Dhafir melihat Harith di hadapannya. Apa yang barusan mama mentuanya maklumkan di hujung talian telah merentap jiwa dan raganya.

Buat seketika Dhafir terkaku memandang Harith di hadapannya yang masih terpinga-pinga cuba menebak apa sebenarnya telah berlaku. Dia mula merasakan dunianya ketika ini bagai terhenti dari berputar.

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz