ZingTruyen.Xyz

JANGAN HILANGKAN DIA

Bab 5

karyaseni2u

"AKU ingatkan kau datang studio aku ni sebab nak buat video tutorial tudung kau," ujar Elly lalu meletak semula kamera jenis DSLR miliknya dia atas meja kerja. Kemudian, dia melangkah menuju ke ruang santai yang ada di pejabatnya itu. Punggung dilabuh di atas sofa yang berhadapan dengan Qaireena yang nampak gelisah.

Qaireena tidak terus menjawab. Dia bertandang ke pejabat kawan baiknya ini kerana mahu meluahkan rasa kecewanya atas apa yang berlaku semalam. Kegagalan dia memohon pinjaman dari sebuah bank tempatan membuatkan dia kebingungan.

Semalaman dia memikirkan cara untuk mendapatkan modal bagi memulakan perniagaan butiknya di negara ini, namun tidak ditemui solusinya. Rasa menyesalnya masih menebal atas apa yang telah dia abaikan sebelum ini.

"Eh, kau ni okey ke tak? Aku tengok kau gelisah semacam ni kenapa?"

"Loan aku tak lepas." Terus sahaja Qaireena ke topik utama. Malas dia mahu berbasa-basi.

"Apa?! Loan kau tak lepas? Sebab?" Elly terkejut.

"Report CCRIS aku tak cantik. Sebelum ni aku ada culas dan lambat bayar loan PTPTN aku. So, record CCRIS aku tak cantik. Pihak bank tak percaya aku akan bayar balik loan aku mengikut jadual dan jumlah yang mereka akan tetapkan kalau permohonan aku diluluskan." Qaireena memilih untuk berterus terang.

"Dah dekat tujuh tahun kau habis belajar, kau masih tak habis bayar hutang PTPTN kau? Kau biar betul?" Elly terkejut untuk kali kedua.

"Aku bukan tak bayarlah. Cuma aku kadang-kadang bayar lambat dan terlupa nak bayar."

"Terlupa?" Elly terkejut lagi untuk kali yang ketiga. Terbuntang matanya memandang Qaireena yang sudah tersengih kerang di hadapannya.

"Inilah manusia, masa nak buat pinjaman semua tak lupa. Masa nak bayar, boleh buat-buat hilang ingatan."

"Aku tak perasanlah, Elly. Seingat aku, aku bayar ikut jadual. Tapi bila aku tengok balik record CCRIS aku, ada setahun tu aku tak bayar langsung. Terkejut aku."

Wajah marah Elly pudar perlahan-lahan. Tiba-tiba dia mula ditampar rasa serba salah. Dia tahu punca Qaireena tidak membayar pinjaman pelajarannya selama setahun itu.

"So, macam mana kau nak settlekan masalah kau tu? Kau try bayar habis loan PTPTN kau tu, lepas tu minta pihak PTPTN clearkan nama kau, tak boleh ke?" cadang Elly seraya melencongkan sedikit topik perbualan. Bimbang ada yang terbongkar.

"Aku ada tanya pegawai bank tu. Dia kata hal tu tak menjamin loan aku akan diluluskan. Ibarat nama aku dah kotor. So, mana-mana bank pun susah nak percayakan aku. Perlu ke aku pinjam pada along?"

"Hei, kau jangan nak jadi gila. Kau tak sayang nyawa kau? Lintah darat ni, faedah bayaran balik dia tinggi tau? Kau jangan nak cari fasal." Pantas Elly menolak cadangan gila kawan baiknya itu.

"Dah tu, cara apa yang aku ada?" keluh Qaireena, kebuntuan idea.

"Kau dah bagi tahu parents kau?"

"Belum dan aku tak akan bagi tahu dia orang. Aku tak nak susahkan dia orang. Loan yang aku nak buat tu bukan setakat ratusan ribu. Lebih sejuta."

Elly garu kepala yang tidak gatal. Dia sedia maklum tentang rancangan Qaireena yang mahukan lot kedai eksklusif untuk butiknya. Sebab itu jumlah pinjamannya agak tinggi.

"Apa kata kau buka butik kecil dulu. Dah balik modal nanti, perlahan-lahanlah kau besarkan butik kau." Elly sekadar mencadang. Hanya itu idea yang terlintas dalam fikirannya dan bisa diterima akal.

Qaireena diam sejenak sambil melentokkan kepala pada penyandar sofa. Mendongak dia melihat siling pejabat Elly itu. Dia berharap akan muncul idea yang tidak disangka-sangka ketika ini. Malangnya, harapan hanya tinggal harapan sahaja.

"Aku dah fikirkan cara yang kau fikir tu, Elly. Masalahnya, aku dah pelan semuanya dengan begitu cantik sekali. Tapi aku tak sangka pula loan aku tak lepas."

Keluhan demi keluhan Qaireena helakan. Dia sudah tidak kesah selendang jenis kain satin di kepalanya renyuk atau berkedut. Kepala kembali ditegakan. Masalah yang sedang melanda hidupnya ketika ini melebihi dari segala-galanya.

"Aku pun tak tahu nak tolong kau macam mana, Reen. Sepuluh ribu pun aku tak ada dalam simpanan." Elly turut simpati dengan nasib yang sedang melanda hidup Qaireena.

"Elly..." Muncul majikan merangkap kawan baik Elly di muka pintu.

Serentak Elly dan Qaireena memandang ke arah pintu pejabat itu.

"Kenapa, Hakem?"

"Kau ada customer ke? Sorry ganggu."

"Eh, taklah. Ni kawan aku. Ada apa?"

"Aku ada job kat Serdang, tapi aku tak dapat nak datang. Boleh tak kau gantikan tempat aku petang ni?"

"Serdang?" Elly mengingat semula jika dia ada janji temu petang ini.

"Bolehlah. Nanti kau send alamat tempat tu kat WhatsApp aku, ya?"

"Okey. Sorry susahkan kau."

"Tak apa."

Lelaki itu meminta diri. Sempat dia berbalas senyum dengan Qaireena.

"Bos merangkap kawan aku masa kat kolej dulu. Hakem nama dia. Adik Hairy Saffarin." Elly memperkenalkan majikannya pada Qaireena walaupun tidak ditanya.

"Hairy Saffarin fashion designer tu? Pemilik Hairy Saffarin Couture?" Qaireena ingin memastikan. Agak teruja dia ketika ini. Siapa tidak kenal Hairy Saffarin? Pereka fesyen terkenal Malaysia. Nama itu sudah menjadi sebutan peminat fesyen di Paris sejak beberapa tahun ke belakangan ini.

Elly angguk biasa.

"Tak sangka adik-beradik berjaya. Abang fashion designer berjaya, adiknya pula photographer berjaya. Hairy Saffarin tu dah kahwin kan tahun lepas? Cantik bini dia. Aku ada tengok gambar kahwin dia kat majalah."

"Eh, tak payah nak sibuk sangat hal bos aku dengan abang dialah. Ni masalah kau ni apa cerita? Takkan kau nak punahkan pelan dan rancangan kau kut? Lepas ni kau nak buat apa? Kembali ke Paris? Teruskan business butik kecil kau kat sana?" Elly kembali ke topik asal bila Qaireena mula alpa dengan obsesinya.

Terus Qaireena kembali bermuram durja. Baru sahaja dia mahu melupakan seketika masalahnya, Elly kembali mengingatkan. Apa yang pasti, dia tidak tahu hendak berbuat apa ketika ini. Dia masih menimbang perlukah dia meminjam wang dari lintah darat?

PINTU pejabatnya kedengaran diketuk dari luar lalu dia melaung perkataan 'masuk'. Seketika kemudian, pintu pejabatnya dibuka dari luar. Muncul pembantunya di muka pintu.

"Kenapa, Erin?" tanya Dhafir, menoleh ke arah pintu pejabatnya, sekilas.

Erin melangkah masuk ke dalam pejabat majikannya itu. Kelihatan majikannya sedang menaip sesuatu pada papan kekunci komputer ribanya.

"Maaf Encik Dhafir, sebab mengganggu. Cuma nak ingatkan fasal appointment Encik Dhafir petang nanti."

Dhafir mengabaikan komputer ribanya. Dia memusing tubuh menghadap Erin.

"Appointment?" Dhafir memang tidak ingat apa-apa tentang janji temunya petang nanti dek terlalu sibuk dengan kerja sejak beberapa hari ini. Banyak kain yang ditempahnya mula sampai di perlabuhan.

"Ya, Encik Dhafir. Appointment dengan pihak Qaleesta Boutique. Katanya ada hal penting nak dibincang fasal kolaboratif kita dengan butik mereka."

"Bukan ke baru beberapa hari lepas wakil mereka datang berbincang dengan kita? Kalau tak silap saya, Encik Aryan datang hari tu, kan?" soal Dhafir sekadar ingin memastikan.

"Betul, Encik Dhafir. Beberapa hari lepas wakil mereka ada datang. Tapi untuk perjumpaan kali ni saya tak pasti untuk bincangkan fasal hal apa. Katanya hal penting fasal kolaboratif kita."

Dhafir diam sejenak sambil cuba merungkai kemusykilan dalam hatinya.

"Takkan dia orang nak cancelkan kolaboratif tu, kut? Tinggi sangat ke percent untung yang saya minta tu?" Tertanya Dhafir sendirian.

Erin hanya diam tidak berani menjawab.

"Dia orang buat appointment pukul berapa?"

Erin melihat buku kecil di tangannya.

"Saya dah setkan waktu mereka pukul 2.00 petang. Lepas waktu lunch."

"Oh, okey. Saya ada appointment lain lagi sepanjang hari ni?"

Sekali lagi Erin menyemak buku kecil di tangannya.

"Tak ada, Encik Dhafir."

"Oh, okey. Thanks, Erin."

"Welcome," balas Erin lalu dia meminta diri.

Dhafir terus termenung seketika sambil otaknya ligat memikirkan apa yang bakal dibincangkan oleh pihak Qaleesta Boutique petang nanti.

"Takkan dia nak cancel kolaboratif tu kut? Tapi sebab apa?" katanya sendirian. Seketika kemudian, dia mengusir segala tanggapan negatif yang mula bermain di dalam kepalanya dan kembali fokus pada kerjanya yang tergendala tadi.

Belum ada tiga minit dia menaip balasan e-mel daripada pihak pembekal kain, sekali lagi pintu pejabatnya diketuk. Perkataan 'masuk' dilaung lagi.

"Ya, Erin... Ada apa lagi?"

"Errr..."

Jelas sekali wajah Erin agak kurang senang. Melihatkan riak itu, tahulah yang dia ada tetamu yang tidak diundang ketika ini.

"Dia datang?"

Dengan rasa serba salah, Erin mengangguk.

"Suruh dia masuk."

Erin akur lalu kembali melangkah keluar dari pejabat itu.

Hilang terus mood Dhafir hendak membalas e-mel daripada pembekal kainnya. Hendak atau tidak dia perlu menghadap juga insan yang bakal muncul di pejabatnya itu sebentar lagi.

"Hai you..." Muncul tetamu yang tidak diundangnya di muka pintu.

Hanya senyuman plastik lagi kaku yang mampu Dhafir ukir di sebalik bibir tipisnya untuk wanita itu.

"You busy ke?" tanya Azra pura-pura tidak tahu lalu melangkah masuk ke dalam pejabat itu. Apa dia kesah? Yang penting dia bisa bertemu dengan lelaki yang dia rindui itu. Tanpa dijemput dia melabuhkan punggung di atas salah satu kerusi yang ada di hadapan meja kerja Dhafir.

Kalau aku kata aku sibuk pun, bukan kau ambil kesah pun. Dhafir terus memaniskan roman wajahnya.

"Sibuklah juga. Banyak e-mel supplier I nak kena reply. Ada apa you datang pejabat I ni? Kita ada... Janji temu ke hari ni?" jawab dan tanya Dhafir, sedikit teragak-agak. Bimbang dia terlupa yang dia ada berjanji dengan Azra, si model terkenal dan popular itu hari ini.

"Eh, tak adalah. I saja datang jumpa you sebab... Nak ajak you lunch sama-sama hari ni. Lama kita tak lunch sama-sama, kan? You tu sentiasa sibuk. Kalau I tak call, jangan harap you nak call I. Kalau I tak datang sini, jangan harap you nak jumpa I, kan?"

Ada rajuk di sebalik kata-kata Azra.

Dhafir buat-buat tertawa kecil.

"I busy, Az. Banyak kerja nak kena settlekan."

"Tapi takkan sampai tak ada masa untuk I? I ni hari-hari rindukan you tau? You tak sedar ke selama ni yang I sukakan you?"

Azra tak kesah jika dikata perigi cari timba atau hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong sekali pun. Yang penting, dia mahu lelaki di hadapannya itu tahu yang dia sukakan lelaki itu. Dua tahun dia bersabar dengan lelaki itu. Tidak akan sesekali dia berputus asa.

"You, kan kita dah bincang hal ni banyak kali, kan? I... Anggap you kawan aje. Lagipun hari ni I ada lunch appointment dengan supplier. I tak dapat nak lunch dengan you." Dhafir terpaksa menipu.

"Alaaa..." Azra tarik muncung sepanjang yang boleh.

"You ni saja aje kan nak mengelak dari I? I baru sampai dari Sabah pagi tadi tau, terus datang sini nak jumpa you. Ini yang I dapat? Ke... You saja kata ada lunch appointment hakikatnya you nak mengelak dari I?"

Nampaknya penipuan Dhafir bisa dihidu Azra.

Dhafir cuba menyembunyikan gelabahnya dari dihidu Azra. Ini bukan pertama kali dia cuba mengelak dari Azra. Sudah banyak kali!

"Serius, I tak tipu you. I ada lunch appointment dengan supplier I sekejap nanti."

Azra merengus bengang. Punyalah dia gigih bertandang ke pejabat ini dalam keadaan sedikit tergesa-gesa, tapi ajakannya ditolak mentah-mentah.

"Dah tu, memang I tak dapat nak lunch dengan you hari ni la, ya?"

"Sorry Azra, memang tak dapat."

Azra mengeluh hampa dan kecewa. Buat seketika dia terdiam sejenak.

"Kalau I nak tanya you sesuatu pada you boleh?" tanya Azra, serius sekali.

Dhafir nampak tenang. Dia sudah dapat menebak soalan apa yang bakal Azra tanyakan. Dan dia sudah siap sedia dengan jawapan yang selayaknya. Dia tidak mahu ada yang menderita pada kemudian hari. Dan dia tidak mahu menanam harapan pada sesiapa. Kesannya akan berbalik pada dia kelak.

"Kenapa you susah sangat nak beri peluang pada I untuk I takluk hati you, ya?"

Seperti yang sudah diduga, Azra menanyakan soalan itu entah untuk keberapa kali sejak setahun yang lalu.

Dhafir menyandarkan tubuhnya pada kerusi. Lama dia memandang Azra yang kelihatan serius menanti jawapannya. Perlukah dia mengulang jawapan yang sama atau memberi jawapan yang lebih lurus tanpa berbunga-bunga?

SEJAK dari rumah tadi bibirnya tidak henti-henti berdecit memarahi Aryan. Tidak tentu fasal, dia yang perlu bertandang ke Wisma Dhafir Trading untuk bertemu dengan pemilik syarikat tersebut bagi membincangkan tentang pembatalan usaha sama mereka. Aryan tidak dapat menemaninya kerana ada hal penting yang tidak dapat dielakkan.

"Aryan ni saja aje nak suruh aku hadap tauke kain tu. Dahlah aku tak pernah jumpa dia. Kalau aku salah orang macam mana?" bebel Qaireena selepas mengunci pintu kereta.

Tersergam indah Wisma Dhafir Tarding di hadapannya ketika ini yang berdekatan dengan Jalan Masjid India. Tidak jauh dari wisma itu, kelihatan Dhafir Mall yang baru dibuka akhir tahun lalu. Buat seketika dia berasa bangga dengan pemilik Dhafir Trading yang telah berjaya dalam perniagaannya.

Langkah mula diatur menuju ke bangunan Wisma Dhafir Trading. Entah mengapa, setiap kali dia membaca perkataan Dhafir, seolah-olah dia pernah mendengar nama itu. Tapi dia tidak pasti di mana.

Sampai di dalam pejabat Wisma Dhafir Trading, Qaireena terus melangkah menuju ke kaunter pertanyaan. Selepas memperkenalkan diri dan memaklumkan tujuan dia bertandang ke wisama itu kepada staf yang ada di kaunter pertanyaan, dia telah dibawa ke lif yang berdekatan. Dia perlu ke pejabat urusan yang berada di aras tiga.

"Cik terus ke aras tiga. Pejabat bos kami ada di aras tiga," ujar sataf yang bertugas di kaunter pertanyaan tadi sambil menekankan butang lif untuk ke aras atas.

"Terima kasih," ucap Qaireena sesopannya.

Belum ada lima saat, pintu lif terbuka. Tiada sesiapa di dalam lif ketika ini. Dia melangkah masuk lalu butang nombor tiga ditekan. Pintu lif kembali tertutup kemudian mula bergerak ke atas.

Ting!

Pintu lif terbuka selepas sepuluh saat kemudian. Qaireena terus melangkah menuju ke meja staf yang paling hadapan.

"Assalamualaikum, maaf mengganggu," sapa Qaireena terlebih dahulu.

"Walaikumussalam. Ya, cik? Boleh saya bantu?" tanya pekerja wanita itu.

"Saya Qaireena, dari Qaleesta Boutique. Saya ada buat appointment dengan pemilik Dhafir Trading semalam."

"Oh, wakil Qaleesta Boutique. Cik boleh ikut saya," balas pekerja wanita itu sopan sekali lalu membawa Qaireena ke pejabat majikannya.

"Encik Dhafir tengah solat di bilik belakang. Tapi dia ada pesan pada saya, kalau Cik Qaireena dah sampai, dia minta Cik Qaireena tunggu dia sebentar di pejabatnya. Jemputlah duduk dulu, Cik Qaireena," ujar dan pelawa Erin pada tetamu majikannya itu.

Qaireena angguk akur lalu melabuhkan punggungnya di atas salah satu sofa yang ada di ruang santai pejabat itu.

"Cik nak minum apa-apa?"

"Eh tak apa, saya baru lepas lunch tadi." Qaireena menolak dengan baik.

"Betul?"

"Betul."

"Kalau begitu, saya minta diri dulu, ya?"

Qaireena hanya mengangguk. Keadaan pejabat itu terus sepi selepas Erin hilang di sebalik pintu. Buat seketika Qaireena melihat seluruh sudut pejabat serba ringkas itu. Aneh, tiada sekeping gambar pun di dinding mahupun di atas meja yang ada. Teringin juga dia mahu melihat rupa pemilik Dhafir Trading ini.

Selepas hampir seminit menunggu, pintu pejabat itu tiba-tiba dibuka dari luar. Pantas Qaireena bangkit berdiri tanda hormat. Namun saat dia memandang lelaki yang berada di pintu pejabat itu, dia terkaku untuk beberapa saat sebelum berpaling ke arah lain.

Itu bukan lelaki yang aku langgar kat airport hari tu ke? Dan dia juga yang langgar aku sehari kemudian kat Pavilion. Apa dia buat kat sini? Takkan dia pemilik Dhafir Trading ni?

Qaireena tersentak kecil. Sekarang baru dia ingat. Patutlah dia seperti pernah dengar nama Dhafir sebelum ini. Lelaki itu rupa-rupanya... Pemilik Dhafir Trading! Habis kau Reen, menebal muka kau sekejap lagi. Lelaki yang kau marah-marah sebelum ni rupanya orang yang nak sponsor koleksi kau!

"Maaf cik sebab kerana menunggu. Saya solat tadi. Cik ni..." Dhafir hairan bila wanita bertudung di hadapannya itu terus menyembunyikan wajahnya.

"Cik... Cik tak apa-apa, ke?" tanya Dhafir lagi, hairan.

Apa aku nak buat ni? Perlu ke aku larikan diri secara tiba-tiba? Apa kata dia nanti? Qaireena mula gelisah dalam keresahan.

"Cik?"

Aku tak ada pilihan lain. Nak tak nak, aku kena berhadapan dengan dia. Sampai bila aku nak melarikan diri? Malaysia ni bukannya besar mana pun. Dengan sengih janggal dan kulit muka yang terasa menebal persis kulit buaya, Qaireena menoleh.

"Saya Qaireena, boleh panggil Cik Reen aje. Pemilik Qaleesta Boutique di Paris. Butik kat Malaysia, insya-Allah akan dibuka tak lama lagi." Qaireena memperkenalkan dirinya. Rasa malunya hanya Tuhan yang tahu ketika ini. Insiden pergaduhan kecilnya antara dia dan lelaki di hadapannya itu terus tertayang semula di hadapan matanya.

Berkerut dahi Dhafir selepas melihat wajah wanita di hadapannya itu.

"Eh, macam kenal. Awak ni yang langgar saya kat airport, kan? Kemudian, saya pula terlanggar awak kat Pavilion sehari kemudian. Tak sangka kita berjumpa lagi hari ni."

Semakin perit Qaireena hendak mengukir senyum di bibirnya. Boleh tak aku hantuk kepala dia ni supaya ingatan dia pada insiden tu hilang macam tu aje? Sudahnya, Qaireena tidak mengangguk dan tidak geleng. Maknanya, dia tidak mengeyakan atau menidakkan kata-kata lelaki di hadapannya itu.

"Saya Dhafir, Dhafir Akmal. Pemilik Dhafir Trading." Dhafir memperkenalkan diri sambil menghulur tangan untuk bersalaman.

Qaireena sekadar meletak tangan kanannya di bahu kiri lalu dia menunduk sekali tanda hormat dan menolak cara baik salaman itu. Bukan mahram! Tak boleh bersentuhan! Haram!

"Oh, sorry." Dhafir menarik semula tangannya. Dia tahu, wanita di hadapannya itu sedang menahan kerising setelah apa yang berlaku pada mereka sebelum ini.

"Duduklah, Cik Reen."

Qaireena mengukir senyum janggal lalu melabuhkan punggungnya semula.

"Cik Reen ada nak minum apa-apa? Kalau nak minum apa-apa, boleh saya suruh pembantu saya bancuhkan atau belikan kalau minuman yang Cik Reen nak minum tu tak ada di pantri kami," tanya Dhafir seraya mengubah suasana perbualan yang agak canggung sebentar tadi.

"Eh, tak apa. Saya dah lunch sebelum ke sini tadi," pantas Qaireena menolak. Dia perli aku ke apa? Huh!

"Oh, okey. Tak sangka kan, kita boleh jumpa lagi? Memang ada jo..."

"Encik Dhafir, kan?" pintas Qaireena sebelum sempat lelaki di hadapannya itu menghabiskan kata-katanya.

Dhafir tersentak kecil bila kata-katanya dipintas. Kemudian, teragak-agak dia mengangguk.

"Okey, kita terus ke tujuan utama saya datang ke sinilah, ya? Fasal hal yang tak melibatkan kerja tu, tak perlulah ingat. Lagipun saya tahu, ahli korporat berjaya macam Encik Dhafir ni pasti banyak kerja nak kena buat dari nak fikir hal-hal remeh yang tak penting langsung tu, betul tak?" Laju Qaireena menuturkan kata-katanya itu. Seperti bercakap dalam satu nafas.

Dhafir menyandarkan tubuhnya pada sofa sambil mengukir senyum melihat gelagat egois wanita di hadapannya itu.

"Okey, kita terus ke topik utama," akur Dhafir. Layankan ajelah.

"Tujuan saya datang ni sebab nak batalkan usaha sama saya dengan Encik Dhafir yang telah wakil saya bincangkan dengan Encik Dhafir sebelum ni."

"Batalkan? Tapi kenapa?" Kali ini Dhafir pula mencelah. Terkejut dia dengan hal itu. Hal yang paling dia khuatirkan sebentar tadi benar-benar terjadi!

"Sebenarnya..."

"Awak dapat sponsor yang lebih baik ke? Atau... Percent keuntungan yang saya nak tu terlalu tinggi?" tebak Dhafir tidak sabar menyabar. Apa pun terjadi, dia mahu usaha sama ini menjadi!

"Tak. Agakan Encik Dhafir tu tak mengena. Disebabkan masalah taknikal yang tak dapat dielakkan, saya terpaksa batalkan persetujuan yang telah kita buat sebelum ni. Dan saya berhak untuk merahsiakan sebabnya kerana..."

"Sekejap, saya dapat call," pintas Dhafir lalu dia mengeluarkan telefon pintarnya.

"Ada orang call. Awak tunggu sekejap, ya? Jangan nak ke mana-mana tau?" pesan Dhafir lalu melangkah keluar dari pejabat itu.

Terkebil-kebil Qaireena untuk seketika bila dia ditinggalkan begitu sahaja.

"Tak dengar bunyi phone pun, tetiba ada orang call dia?" Tertanya Qaireena sendirian.

Hampir dua minit menanti, barulah Dhafir kembali semula ke pejabat itu. Punggung dilabuh di atas sofa yang didudukinya tadi.

"Kat mana kita tadi?"

"Kat mana kita tadi apanya, Encik Dhafir? Saya dari tadi kat sini aje, tak ke mana-mana pun. Ofis Encik Dhafir ni boleh berpindah-randah dengan sendirinya ke?"

Dhafir tergelak kecil. Dah pandai bergurau dia ni.

"Maksud saya, dah sampai mana perbincangan kita tadi."

"Ooo... Cakaplah fasal perbincangan kita. Perbincangan kita tadi sampai tahap saya terpaksa batalkan usaha sama kita."

"Tapi kenapa?"

"Disebabkan masalah yang tak dapat dielakkan."

"Ya, apa masalahnya?'

"Perlu ke Encik Dhafir nak tahu?"

"Perlu sebab wakil dari butik awak sebelum ni dah bersetuju fasal usaha sama tu tau?"

"Setuju dari mulut aje, kan? Belum sign agreement lagi."

"Tapi saya ada record perbualan persetujuan tu. Dan rakaman tu boleh dijadikan perjanjian sudah termetri." Dhafir terpaksa menipu.

"Eh, boleh pula macam tu? Apa masalah Encik Dhafir ni? Usaha sama ni tak dimulakan lagi, kan? Kenapa Encik Dhafir susah sangat nak batalkan?"

"Sebab saya dah order kain yang bakal Cik Reen gunakan bagi koleksi Cik Reen tu nanti. Saya dah dah bayar pun. Tunggu dia orang hantar aje."

Sekali lagi Dhafir terpaksa menipu. Serba salah pula dia kerana terpaksa menggunakan kaedah penipuan untuk membuat wanita di hadapannya itu kembali bersetuju akan rancangan mereka sebelum ini.

"Apa kaitan dengan saya pula? Saya tak bagi tahu lagi material apa yang saya perlukan. Kenapa Encik Dhafir gigih order?" Qaireena tidak boleh terima apabila dia dipersalahkan atas kesilapan yang bukan dia lakukan.

"Ah, saya tak kira. Kalau awak nak batalkan usaha sama ni, boleh. Tapi saya nak Cik Reen bayar balik ganti rugi atas pesanan saya tu." Dhafir terpaksa mengugut.

"Apa hal pula saya yang nak kena ganti rugi? Bukan saya yang order kain-kain tu."

"Okey, kalau awak tak nak ganti rugi kain-kain tu tak apa, sila bagi tahu saya kenapa awak nak batalkan usaha sama ni? Saya dah rancang macam-macam tau, untuk usaha sama kita termasuk tempahan papan iklan depan Tol Sungai Besi tu dan iklan komersial TV dan radio. Semua tu guna duit tau?"

Kecil kelopak mata Qaireena merenung sinis lelaki di hadapannya itu. Kalaulah aku ada kuasa halilintar, dah lama aku tiup lelaki depan aku ke Pakistan. Tak faham bahasa!

"Okey, saya bagi tahu. Permohonan loan saya gagal. So, bila saya tak dapat buat loan, bermakna saya tak ada duit. Bila saya tak ada duit, bermakna saya tak boleh buka butik saya sendiri kat sini dan tak mampu nak upah pekerja. Sebab tu saya batalkan rancangan usaha sama kita. Faham? Sekian terima kasih," jawab Qaireena lalu dia bangkit berdiri dan mula melangkah meninggalkan pejabat itu. Sakit hatinya bila bercakap dengan orang tak faham bahasa.

"Kalau itu masalah Cik Reen, saya boleh tolong Cik Reen."

Mendadak langkah Qaireena terhenti. Tapi dia tidak menoleh ke belakang. Tanpa sedar hatinya mula tersuntik rasa gembira.

"Saya boleh bantu Cik Reen buka butik sendiri dan upah pekerja." Tenang sekali Dhafir menuturkan kata-kata tawarannya itu.

Qaireena terus membatu dan mendengar kata-kata Dhafir yang seterusnya.

"Tapi adalah syaratnya."

"Syarat?" tanya Qaireena lalu menoleh memandang Dhafir yang masih duduk di ruang santai itu. Tiba-tiba hatinya tertarik dengan tawaran lelaki itu walaupun lelaki itu cukup menjengkalkan.

Dhafir angguk.

"Apa syaratnya?"

Dhafir tersengih penuh makna sambil memandang Qaireena. Dia berharap syarat yang dia berikan boleh diterima oleh wanita cantik bertudung itu.

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz