ZingTruyen.Xyz

#HURT

Bab 12

karyaseni2u

APABILA talian bersambung, suara abah menyapa lembut. Dia tenang mendengar luahan abah yang merinduinya. Tapi dia tak berdaya nak menatap mata abah lama-lama. Rasa nak meraung. Kerana itu, dia lebih rela memencilkan diri.

"Abah nak abang cari pembantu rumah baru?"

Sebenarnya, tujuan dia telefon abah ni nak tanya pendapat tentang cef baru untuk restoran abah. Dia perlukan persetujuan abah kerana pemiliknya ialah abah. Dia cuma menjalankan amanah. Tapi, tak sempat bercerita... abah dah meluahkan perasaan sunyi.

"Eh, tak payahlah," tolak Haji Razali.

"Setakat nak makan tu, abah boleh pergi kedai. Baju, abah hantar dobi. Rumah besar ni, biarlah macam ni. Abah tak kesah. Lagipun, tak kotor mana. Mana yang larat, abah sapu sikit-sikit. Tak larat, abah biarkan aje."

"Ni abah dah makan belum?" Rasa bersalah pula dah. Ini dah beberapa hari tak balik rumah.

Hal makan minum abahlah yang paling merisaukan setelah Mak Yam berhenti. Apalah hebat sangat kerja anak Mak Yam ni sampaikan suruh mak berhenti kerja? Mak Yam bukan buat kerja penat pun. Setakat abah seorang. Dia balik jarang-jarang aje.

Lagipun, Mak Yam jaga abah dengan baik. Makan pakai abah, tak terabai. Masakan pun sedap. Sesekali, lepas juga rindu pada masakan arwah mama. Itu yang buatkan dia juga berat hati terima berita apabila Mak Yam dah berhenti kerja.

"Abah baru lepas makan. Ini abah telefon nak tanya. Abang dah cari tukang masak baru?"

Bila ditanya tentang ini, barulah dia kembali teringat akan tujuan asal dia menghubungi abah. Bukanlah tidak risaukan abah tapi hal restoran ini juga perlu dirisaukan.

"Erm... Ini yang abang telefon abah ni. Nak cakap pasal cef baru. Shella ada bagi tiga orang calon. Semuanya berkebolehan. Tapi, seorang ni..." Dia pegang borang permohonan Aatiq. Ditatap lama gambar pasport itu. Kemudian, dia kepit telefon di bahu dan dicabut rakus gambar itu.

"Yang seorang ni, memang yang paling layak, bah. Aci tak kalau abang tak buat interviu? Kita ambil terus yang ni."

Dah kenapa pula budak Raqib ni? Biasanya Raqib sangat cerewet untuk pilih tukang masak. Mesti kena dengan selera dia dan kebanyakan tukang masak memang sukar nak tepati cita rasa Raqib.

"Tadi abang cakap ada berapa calon dah?" soal Haji Razali.

"Tiga."

"Yang lagi dua? Tak nak ambil?"

"Buat masa sekarang, kita nak pakai sorang aje, bah."

Dahi Haji Razali berkerut.

"Bukan hari tu kata nak pakai dua ke tiga? Nanti nak kalau yang sorang tu tak sihat ke, cuti ke... Macam mana?"

Dia ketawa kecil mendengarkan kerisauan abah.

"Jangan risau, bah. Abang percaya yang sorang ni... Boleh bekerja dua puluh empat jam; tujuh hari."

"Eh... Manusia tu, abang. Bukan robot," tegur Haji Razali. Raqib ni makin pelik.

"Ala, bah. Spesies macam dia ni sama aje dengan robot. Jenis tak ada hati perut." Gambar Aatiq digenggam kuat. Hingga berkerunyuk.

"Macam inilah. Ambil ketiga-tiga. Hantar dekat dua cawangan lagi. Mana tahu, ada increament income nanti. Yang lain, abah percaya dekat abang untuk buat keputusan. Lagipun, abah dah lama serahkan semua tu kepada abang. Kalau bukan abang, abah dah tak ada anak lain lagi. Abang ajelah sorang yang abah ada. Tapi, ingat apa yang abah pesan. Abang jaga hubungan abang dengan yang di atas sana, Dia akan jaga abang," putus Haji Razali.

Rasanya seperti umpan yang dilempar sudah dimakan oleh Raqib. Tak tahulah dia yang di sebelah sana itu dikira umpan atau tidak. Tapi, niat dia murni. Dia hanya mahukan yang terbaik untuk kedua-duanya. Apa yang dah berlaku hari tu dia tak rancang pun. Tiba-tiba dia ternampak. Dia masih dapat mengecam. Tuhan dah buka jalan untuk dia.

Harapnya, Raqib tak lepaskan apa yang dah ada di depan mata. Cumanya, bila Tuhan berkata bukan rezeki, yang di dalam mulut pun boleh terluah keluar.

"Ya, bah. Abang ingat tu..."

Setelah salam bersahut, talian dimatikan. Raqib menyandar tubuh pada belakang kerusi. Dipusing kerusi itu sekali. Eh... Dah kenapa aku renyukkan gambar dia pula? Hesy... Dibuka genggaman. Ibu jarinya terus mengusap gambar itu berkali-kali. Tapi sayang, kesan renyuk itu tak mahu hilang.

Senyum sengetnya terukir. Seperti juga hati dia. Luka. Dan, jika luka itu diubati, mampukah parutnya hilang?

Dia yakin, Aatiq pasti buka langkah seribu apabila tahu siapa dia di tempat Aatiq memohon kerja tapi pilihan apa yang Aatiq ada kerana dia yakin, tanggapan masyarakat kepada bekas pelatih Sekolah Henry Gurney, biarpun bukan lagi berlabel banduan - tetap serong. Jika tidak, pasti Aatiq dah mendapat kerja di bawah mana-mana bumbung.

"Kau kena hargai peluang ni, Aatiq. Kau wajib hargai!" Bibirnya bergerak perlahan bersama mata yang mula terpejam.

Dia keletihan.

Kesakitan.

Kerinduan.

Kepada siapa mahu dia hamparkan rindu ini sekarang? Sedangkan orang-orang yang dia sayang sudah lama tiada. Raqib kembali tenggelam dalam kenangan lalu. Kenangan yang membawa ingatan yang meresahkan.

Pilu!

BIARPUN terkejut, dia kenal benar pelukan manja itu. Raqib meleraikan pelukan Raisya. Dia berpaling dan memegang bahu adik tersayang.

"Kenapa baru balik?" soal Raisya dengan wajah mencuka.

Hai... Dia baru saja balik dari kerja luar hampir dua minggu. Bilik pun tak sempat jejak lagi, Raisya dah tanya soalan itu.

"Kut ya pun, tanyalah abang sihat ke tidak? Ini tanya, kenapa baru balik?" Dia mencebik lebar. Tapi, senyuman tak lepas dari bibir.

"Jawapan abang senang aje. Sebab sekarang baru kerja selesai."

Dengan Raisya, dia dah biasa manjakan adik dia yang seorang ni memandangkan umur mereka agak berjarak. Dia dan Raisya beza sedekad. Malah, Raisya adik yang baik. Yang tak pernah risaukan hati orang tua mereka dan hati dia sendiri. Belajar juga pandai. Usah dikira rupa, Raisya memang cantik. Dia pun boleh tahan walaupun wajah mereka memang tak macam adik-beradik pun. Itu yang sesekali apabila ada perempuan menggedik kepada dia, Raisyalah yang dia heret berlakon jadi awek untuk elak semua tu.

"Raisya okey ke abang tak ada ni?" Jaket dibuka dan diletak di atas katil. Dia singsing lengan kemeja hingga ke siku dan bercekak pinggang. Memandang tepat pada Raisya yang tersengih comel. Ini mesti ada apa-apalah ni.

"Abang..." Raisya labuhkan duduk di birai katil milik Raqib. Melangut pandang - menyoroti mata kuyu abangnya.

"Raisya nak ajak abang teman Raisya pergi kem, boleh?"

"Hah? Kem?" Terentang jelas kerutan pada dahi Raqib. Dah agak dah. Senyum-senyum gini, memang betullah sangkaannya.

"Kem untuk SPM ke?"

Apabila kepala Raisya mengangguk, Raqib mengeluh berat. Dilabuhkan juga duduk di sisi Raisya. Selalu sangat Raisya ajak dia temankan ke kem-kem motivasi tapi dia aje tak sempat malah kali ini nampak mata itu jelas berharap.

"Bila?" Dah tak berdaya nak menolak.

Raisya dah cukup kecewa dengan dia. Walaupun, dia bukan ibu dan abah kepada Raisya tapi rasanya tak salah jika dia ambil alih tanggungjawab ini sesekali.

"Minggu depan."

Raqib angguk. Harap masa tu jadual tak ketat mana. Kerja sendiri macam dia, biasalah. Ke hulur ke hilir untuk hadiri pembentangan. Terbang ke sana sini untuk menyemak kontrak dan barang-barang yang dipesan sebelum menandatangani apa saja perjanjian.

"Mama dengan abah dah tahu belum ni?"

"Dah... Raisya awal-awal dah cakap dekat mama dan abah nak abang temankan."

"Tapi..." Suara Raqib separuh risau. Dia kerling adik tercinta.

"Kalau kata hari kejadian tu abang kena kerja dekat luar... Abah dengan mama ajelah temankan Raisya, ya?"

Terus muncung Raisya keluar sedepa.

"Abang tu, memang..." Tubuh diangkat tapi tak sempat berlalu, wajah mama muncul di muka pintu.

"Abang baru balik dah kacau abang?" Teguran mama disambut dengan wajah sedih. Perlahan dia menapak keluar.

"Tak apalah, ma. Dah lama dia ajak abang teman dia. Nanti abang temankan dia." Raqib memandang mama. Tersenyum lelah.

"Dia tu sebenarnya nak tunjuk dekat abang budak yang selalu buli dia..."

"Hah? Buli?" Wajah penat Raqib berubah keruh. Raisya kena buli tapi dia tak pernah tahu?

"Siapa yang buli?" Ada lagi rupa-rupanya kerja membuli zaman sekarang biarpun undang-undang sekolah dah ketat bukan main. Tak macam zaman dia dulu. Kena rotan dek cikgu, nak balik mengadu pun kecut. Nanti, mama dan abah tambah lagi hukuman.

Bahu mama terjongket.

"Dia cuma cakap dia kena buli tapi bila mama tanya siapa dan orang tu buat apa, dia diam dan terus masuk bilik. Ini yang mama risau. Mama risau dia yang membuli. Bukan dibuli." Hati seorang ibu, rasa asing juga.

Jika ya dibuli, mesti Raisya bagi tahu siapa. Tapi, balik rumah bahagia aje muka. Ataupun sekadar bertekak dengan rakan sekelas tapi nak disedapkan cerita dikata dia dibuli. Bukan boleh kira budak-budak sekarang ni. Lelaki atau perempuan sama aje apabila bergaduh.

"Kalau betul dia kena buli, ma..."

"Abang tak payah fikir sangat." Laju mama memotong.

"Percayalah cakap mama, Raisya tak mudah dibuli. Mama rasa dia salah faham aje tu dengan kawan-kawan sekolah dia. Terasa hati ke apa. Sebab itulah kut dia balik cakap dia kena buli. Selama ni, mana pernah ada dia balik cakap pun."

Kepala Raqib jatuh beberapa kali. Ada logiknya kata-kata mama. Tapi, ada juga benar kata-kata Raisya sebab Raisya tu lembut orangnya. Mana pernah meninggi suara walaupun seoktaf apabila di rumah. Marah macam mana pun, Raisya sekadar berair mata seperti tak terluah sesalnya. Mana boleh Raisya membuli melainkan betul-betul dibuli.

Kepala dia tetap memikirkan yang bukan-bukan. Jika benar kata mama yang Raisya dibuli, dia tak boleh nak lihat segaris luka pun pada Raisya. Selama dia hidup, tak mungkin dia izinkan sesiapa berani menyakiti adiknya. Fizikal dan mental.

"Abang pergi nanti kem motivasi dia minggu depan tu," putus dia sudahnya.

Tidak dapat berkata apa, mama hanya angguk. Sayang sungguh Raqib dekat Raisya dan jika terjadi apa-apa kepada dia dan suaminya, dia yakin - Raisya akan selamat bersama Raqib.

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz