ZingTruyen.Xyz

Eksperimen Cinta

Bab 2

karyaseni2u

"Remember, Damia. Jangan cari pasal dengan Triumph Air. Kita betul-betul bergantung pada kompeni tu. Kalau Tan Sri tarik balik sponsor tiga ratus juta ringgit tu, boleh jatuh muflis kita. Ingat tu." Damia masih sempat mengingat nasihat daripada Cik Lucy, merangkap bosnya.

Pertama kali datang ke syarikat gah penerbangan domestik dan antarabangsa milik Triumph Air, memang dia rasa kagum. Cantik. Mewah tahap tak ingat. Ternganga juga mulutnya apabila menjejakkan kaki ke lantai berkilat Triumph Air. Rasa macam bukan duduk di Malaysia aje. Ofis tempat dia kerja pun, tak adalah segempak macam ini.

Perabot mewah diatur cantik. Bilik pejabat pekerja yang selesa. Pendek kata, semua barang di dalam syarikat ini barang mewah. Sampaikan nak lalu pun rasa segan. Semuanya menggambarkan betapa syarikat Triumph Air memang bukan calang-calang syarikat. Sudah pasti pemilik syarikat itu disegani ramai. Kalau dah jalankan perniagaan antarabangsa, semestinya kaya. Bertuahnya Raffi Holdings kerana syarikat gah ini sudi bekerjasama dengan mereka.

Lamunan Damia terganggu apabila suara lunak gadis berskirt hitam merangkap setiausaha Tan Sri Tengku Ahmad Shah, menyapanya.

"Maaf, lama menunggu. Cik Damia boleh masuk sekarang." Setiausaha Tan Sri Tengku Ahmad Shah tersenyum manis.

"Thanks," ucap Damia. Senyuman diberi. Berada di tempat orang kena selalu maniskan muka. Itu pesan uminya.

"Mari saya tunjukkan jalannya," pelawa gadis itu lagi. Damia angguk. Berbudi bahasa sungguh setiausaha Tan Sri ni. Mesti Tan Sri pun baik orangnya. Damia cuba membayangkan Tan Sri yang bakal bertemunya sebentar lagi.

"Terima kasih sekali lagi."

Damia mengatur langkah ke bilik pemilik syarikat itu. Memang kedatangannya hari itu adalah sebagai wakil Raffi Holdings untuk mengucapkan terima kasih kepada Triumph Air. Dia yang menawarkan diri untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak Triumph Air. Dia patut berasa beruntung sebab Encik Raffi dan Cik Lucy percaya terhadap dirinya. Kalau bukan sebab mereka, memang kempunanlah dia untuk jejakkan kaki ke syarikat gah ini. Kerana Triumph Air la mereka dapat meneruskan projek besar di Dubai.

"Assalamualaikum," ucap Damia. Pintu kayu itu ditolak perlahan.

"Shut up!" Damia terkedu mendengar suara keras itu. Hai... Orang bagi salam tapi dia shut upkan aku? Damia angkat kepala.

"You tak faham bahasa Melayu ke? I cakap, kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Faham tak?"

Fuhhh... Nasib baik dia tengah call orang. Aku ingat dia marah aku. Damia mengurut dada. Lega...

Damia hanya melihat lelaki yang sedang membelakanginya sambil bercakap di telefon bimbit. Dia ni sedar ke tak yang aku masuk ke bilik dia? Nak keluar atau tegak kat sini? Damia serba salah namun Damia tetap juga tegak di situ.

"Jangan ganggu I lagi!" marah lelaki itu sebelum mematikan talian. Telefon bimbit canggihnya itu dibaling ke atas meja. Nasib baik tak berkecai. Kemudian dia berpaling menghadap Damia. Buat seketika mata mereka bertentang sebelum Damia melarikan pandangan matanya. Senyuman manis dihulurkan.

"Sorry, lama tunggu..." ucap lelaki itu. Senyuman versi pencair hati diberikan kepada Damia.

"Tak... tak apa." Damia menjawab.

Kemudian mereka terdiam seketika. Kemudian Damia menilik lelaki yang berada di depannya. Wah, rambut macam kari tumpah sekilo. Kat telinga ada subang. Kat leher ada rantai perak. Erk, dahlah bersubang! Pakai subang macam lembu Tok Wan aje aku tengok. Tak senonoh betul! Muda dan... handsome. Handsome tak handsome, memang aku blacklist la jadi laki aku. Eh, kejap! Ni Tan Sri ke? Mudanya... Biar betul?

"Tan Sri?" Damia minta kepastian.

"Am I looked too old sampai you nampak I macam daddy I?" soal Tengku Aaron sambil senyuman tersungging di bibirnya.

"Anyway... I'm Aaron. Tengku Aaron Shah." Tengku Aaron menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Damia hanya mengangguk. Dia tidak menyambut huluran salam itu.

Terangkat kedua-dua belah kening Tengku Aaron melihatnya. Menarik! Perkara yang tak pernah berlaku sepanjang aku berkenalan dengan orang. Wujud lagi rupa-rupanya perempuan yang tak bersalaman dengan lelaki bukan mahram.

"I'm really sorry sebab tak cakap awal-awal yang I dah dua bulan ganti tempat daddy. Daddy I sekarang di SHAH Group," kata Tengku Aaron sekadar menutup malu.

"It's okay..." jawab Damia.

Kalau tadi Damia sakan menilik Tengku Aaron, sekarang giliran Tengku Aaron pula mengusyar anak dara orang di depan matanya. Damia memakai baju kurung dan bertudung kelabu. Boleh tahan cantiknya. Berwajah putih kemerah-merahan. Neutral tanpa mekap. Dagu dan bibir terbelahnya mesti memikat ramai lelaki. Tapi, nampak kolot aje perempuan ini. Bertudung? Hmmm... Memang gadis bertudung tak pernah tersenarai dalam kriteria perempuan idamannya. Baginya tudung itu merupakan satu sekatan kepadanya untuk mengambil kesempatan ke atas perempuan. Susah nak pegang tangan, susah nak peluk dan susah nak cium. Sebab itu perempuan yang didampingi dan mendampinginya tidak bertudung.

"Saya Damia... Damia Farisha. Civil engineer of Raffi Holdings."

Dan bermulalah sesi perkenalan mereka...

Damia mengangkat muka. Dan ketika itulah Tengku Aaron sedang asyik merenungnya. Asal angkat muka, pasti bertentang mata dengan lelaki itu. Asal angkat muka, lelaki kacak itu juga yang dia nampak. Masuk kali ini, dah tiga kali. Naik segan dibuatnya. Tapi rasa rimas pun ada. Macam ada sesuatu yang tak kena dengannya pada pandangan mata lelaki itu.

"Kenapa Tengku tengok saya macam tu?" Damia ingin tau. Kot-kot la dia cantik sangat ke hari ni? Haaa... Kan dah perasan tu.

Tengku Aaron hanya tersenyum manis.

"Kenapa? Nak tengok orang cantik pun tak boleh ke?"

Cis, ayat! Confirm anak buah Don Juan ni. Damia hanya buat tak tahu. Umpama tidak terkesan langsung dengan ayat lelaki itu.

"Hmmm... You dah ada boy-friend?"

Eh? Soalan jenis apa ni? Perlu ke tanya soalan macam tu? Lainlah kalau dengan soalan tu, pihak Triumph Air nak tambah jumlah sponsor. Boleh juga aku jawab dengan senang hati.

Teman lelaki? Huh... Mestilah dia tak ada! Damia ingin mengangguk, tapi entah kenapa kepalanya terlebih jujur pula menggeleng.

Lebar sengihan Tengku Aaron apabila melihat Damia menggeleng kepala.

"Wah, I ada can nampaknya." Tengku Aaron kenyitkan matanya.

Eee... Gatal betul mamat ni! Breakfast apalah dia pagi tadi sampai miang macam ni? Tertelan pinggan nasi agaknya! Damia cuba bersabar. Datang ke tempat orang memang kena jadi macam heroin Malaya gitu. Sabar aje kerjanya! Tapi... kalau nak ikutkan hati yang memang dah nak muntah hijau pucuk pisang ni, mahu saja dilayangkan fail di tangan. Biar penyek rambut cacak dia tu!

"Saya rasa discussion kita sampai sini untuk hari ni." Fail di tangan ditutup.

Tengku Aaron memandang jam di pergelangan tangan kirinya.

"Cepat sangat masa berlalu. I tak puas lagilah nak tatap wajah cantik you. Tak sangka pula Raffi Holdings punya staf cantik macam you. Kalau I tahu, dah lama I approvekan sponsor tu. Bolehlah I habiskan masa dengan you."

Damia tahan tekak yang tiba-tiba rasa geli. Makin dibiarkan, makin melampau mamat ni. Hesy! Tak tahan aku! Dia ingat aku ni macam makwe dia yang bercakap di dalam telefon tadi ke?

Jika dilihat daripada gaya Tengku Aaron bercakap, satu perkara yang Damia pasti, Tengku Aaron ini kaki perempuan kelas satu. Ayat bunga kembang semangkuk dia tu memang dah macam jadi dialog rasmi apabila berjumpa dengan mana-mana perempuan.

"Maaf, Tengku. Tapi saya ada hal lain nak dibuat," Damia bangun. Tawar hati nak layan anak raja gatal di depan matanya itu. Langsung tak selesa. Sebelum dia hilang sabar, baik dia angkat kaki cepat-cepat. Tak pasal-pasal ada pula yang hilang mata hari ini.

"Wait, honey... I tak habis bincang lagi." Damia yang ingin berlalu terus terhenti apabila tangannya dipegang oleh Tengku Aaron. Rasa macam terkena renjatan elektrik apabila kulit yang selama ini tak pernah disentuh oleh lelaki, telah disentuh oleh lelaki itu.

Hesy... Ini dah dikira sebagai mencabul! Dia ingat aku ni apa? Dia ingat tengah pegang batang penyapu ke? Salah parking la bro. Aku memang pantang kalau bab pegang-pegang ni! Kurang ajar! Jaga kau! Kali ini Damia betul-betul hilang sabar. Tangannya cuba ditarik kasar.

"Apa ni, Tengku?! Main pegang tangan orang pula. Ingat saya ni nenek Tengku ke?" marah Damia. Hatinya betul-betul menggelegak.

"Aaron!!!"

Baru saja Damia ingin mengamuk, pintu pejabat Tengku Aaron terbuka. Seorang wanita Cina menyerbu masuk dengan muka bengis. Diikuti setiausaha Tengku Aaron. Damia tarik nafas, cuba tenangkan dirinya.

"Sorry, Tengku. Saya dah halang tapi..."

"It's okay, Mellisa. Awak boleh keluar." Mellisa akur.

"Aaron, you..."

"Shut up, Salmy Yang!" tengking Tengku Aaron lantang. Terus senyap perempuan itu. Bilik besar itu pun turut sepi. Hanya bunyi pendingin hawa yang kedengaran.

Muka Tengku Aaron betul-betul serius. Takut Damia memandangnya. Dah hilang ayat-ayatnya yang manis sebentar tadi. Gerun... Terus dia lupa tangannya yang masih dalam genggaman lelaki itu.

"You nak apa lagi ni? Kan I dah cakap yang there is nothing more between us. It's over. O-V-E-R!" kata Tengku Aaron. Suaranya rendah sikit daripada tadi.

"I sayang you, Aaron. I still love you. Faham tak? L-O-V-E," balas Salmy sedikit merengek.

"I dah lupakan you, Salmy. I nak berubah. I will begin a new life. Lagipun... I akan kahwin tak lama lagi... I want to be the new Tengku Aaron Shah..."

Damia cuma menjadi pendengar. Ooo... Dah nak kahwin rupa-rupanya. Tapi masih nak menggatal dengan perempuan lain. Kesian sungguh bakal isteri Tengku Aaron ni. Malang sungguh! Aku doa semoga dia tabahlah nak jalani hidup dengan suami tak berapa normal macam ni.

"Meet my future wife, Damia Farisha." Damia bagaikan tersedar daripada lamunannya apabila mendengar namanya bagaikan disebut.

"What?!" Suara Damia dan Salmy sama-sama naik. Sama-sama terkejut. Tengku Aaron dipandang geram.

"Cik..."

Belum pun sempat Damia habis terkejut, terasa pinggangnya ditarik rapat ke dada Tengku Aaron. Bengang Damia. Ingat dia tengah peluk bantal busuk dia ke? Melampau kuasa dua ni! Bila masa pula dia setuju nak kahwin ni? Baru sahaja Damia ingin mengamuk...

"Try to loose yourself or you will lose this project?" kata Tengku Aaron rapat ke telinga Damia. Terus mati ayat Damia yang ingin menjelaskan perkara sebenar. Tangannya yang ingin menolak dada Tengu Aaron juga turut terhenti. Ugutankah ini?

Damia bertentang mata dengan Tengku Aaron. Aura amaran dari mata kelabu itu membuatkan Damia berasa lemah.

"No... It couldn't be!" Salmy menggeleng kepala tanda tak percaya.

"Up to you. Tapi tu la yang akan berlaku," tegas Tengku Aaron sambil tersenyum sinis.

"You tipu, Aaron. She's not your taste. Taste you tak buruk macam ni." Salmy tersenyum sinis apabila memandang perempuan yang sedang dipeluk oleh Tengku Aaron itu.

Berdesing telinga Damia mendengarnya. Amboi! Manis mulut berbicara, bahasa seindah pujangga nampak? Aku yang begini cun dibilangnya buruk? Mentang-mentanglah aku pakai tudung, baju cukup kain. Dia tu yang sebenarnya tersesat dalam zon masa. Pakai pakaian macam zaman paleolitik! Setahu aku, zaman itu aje yang pakai baju dedah atas, dedah bawah ni. Sekarang dah zaman milenium la!

Damia dah tak peduli dengan tangan Tengku Aaron yang selamba mendarat di pinggangnya. Apa yang penting, penghinaan Salmy mesti dibalas! Tak boleh dimaafkan!

"Tapi... Aaron takkan pilih orang yang lebih buruk daripada I," selamba Damia menjawab. Puas hatinya!

Berubah riak wajah Salmy. Tengku Aaron pula tersenyum mendengarnya.

"You akan menyesal, Aaron!" marah Salmy sebelum keluar. Tak cukup dengan itu, dihempasnya pintu bilik. Nasib baik tak tercabut! Marah benar nampaknya.

Damia yang melihat, hanya menahan gelak dalam hati. Memang kenalah nama Salmy dengan perangai dia yang sebenar. Salmiang...

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz