ZingTruyen.Xyz

Di Atas Sayap-Sayap Malaikat

Bab 13

karyaseni2u

PERLAHAN-LAHAN Miriam menapak memasuki pekarangan Darul Uloom. Dia mahu menemui lelaki Asia itu. Ada pelbagai perkara yang menghantui mindanya dan dia merasakan lelaki Asia itu dapat meleraikan sedikit kemusykilannya. Sementara itu, beberapa orang hufaz memerhatikan kedatangan Miriam itu dengan penuh tanda tanya.

"Tentu dia nak jumpa Ustaz Naim. Bukankah dia yang lekatkan gambar Ustaz Naim pada tembok?" Salman berbisik kepada Farooq sebaik sahaja ternampakkan kedatangan Miriam.

"Pergi panggil Ustaz Naim cepat!" perintah Farooq.

Tanpa bertangguh, seorang pelajar berlari mendapatkan Ustaz Naim. Beberapa orang hufaz yang lain berbisik-bisik. Mereka sebenarnya tertanya-tanya apa yang dimahukan oleh perempuan itu. Dulu dia lukis gambar ustaz, sekarang berani pula datang mencari.

"Dia jatuh cinta dengan Ustaz Naim, kut!" Abu Hasif berbisik kepada Sameer yang tua setahun daripadanya.

"Kau ni memandai sajalah, Abu Hasif." Sameer marahkan temannya yang agak kecoh itu.

"Cantik gambar Ustaz Naim yang kau lukis tu, tapi sayang ustaz kami dah buang." Yusouf Herbert memberitahu. Salman lekas-lekas cuit tangan Yusouf. Pada pandangannya tak perlulah diberitahu kepada perempuan itu mengenai lukisannya yang telah dibuang Ustaz Naim. Salman bimbang nanti perempuan itu berkecil hati.

"Gambar?" Miriam berkerut dahi. Namun baru saja dia mahu bersuara, Salman sudah mencelah.

"Apa kata cik masuk ke dalam dan temui Ustaz Naim di pejabat." Kali ini Salman tak mahu membiarkan Yusouf merosakkan suasana. Nampaknya pelajar baru itu suka cakap lepas tanpa memikirkan buruk baik daripada tindakannya itu. Miriam kemudiannya menuruti Salman ke pejabat Darul Uloom untuk menemui lelaki Asia yang dicarinya. Beberapa orang pelajar turut mengekori dari belakang.

"NAMA saya Miriam. Saya ke mari untuk bertanyakan tentang maksud lukisan yang diletakkan ke dalam kelongsong lukisan saya." Miriam menyatakan tujuan kedatangannya sebaik sahaja Ustaz Naim muncul di pintu pejabat.

"Lukisan?" Ustaz Naim berkerut dahi.

"Ya, agak menarik lukisan itu. Pada mulanya, saya sangkakan ia sebuah permainan maze. Kemudian saya sedar ia sebenarnya sebuah perkataan atau mungkin juga satu baris ayat," beritahu Miriam. Pantas Ustaz Naim menoleh ke arah Abu Hasif. Dia pasti mesti kerja anak muridnya itu.

"Errr... Ustaz punya khat kufi. Saya yang letakkan." Abu Hasif tersengih-sengih. Ustaz Naim menggeleng kepala. Tepat jangkaannya.

"Khat kufi? Jadi ia bukan kaligrafi?" soal Miriam.

"Sebenarnya khat atau kaligrafi, sama saja. Khat itu dari perkataan arab dan mempunyai pelbagai jenis, termasuklah khat kufi yang kamu katakan seperti maze itu." Ustaz Naim menjelaskan.

"Ustaz kami memang pandai lukis khat. Macam-macam jenis khat ustaz boleh lukis. Tapi ustaz paling terror buat khat kufi. Kakak nak tempah?" Dengan bangga Abu Hasif mencanang bakat ustaznya.

"Biasa-biasa saja. Taklah hebat mana." Ustaz Naim merendah diri. Lagipun yang hebat dan layak dipuji hanya Allah SWT.

"Apa benar seni khat merupakan sebuah tulisan yang mengandungi perkataan atau ayat?" Miriam ajukan pertanyaan lagi.

"Benar," Ustaz Naim jawab sepatah seraya menganggukkan kepala.

"Kalau begitu apa maksud khat kufi yang anak murid ustaz letakkan dalam kelongsong lukisan saya itu?"

"Bismillahirrahmanirrahim. Maksudnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani." Abu Hasif pantas mendahului ustaznya. Hanya dia yang tahu lukisan khat yang mana satu yang telah diletakkannya dulu.

"Orang Kristian juga mengatakan Jesus itu kasih. Apakah ini bermakna orang Islam juga menyembah Jesus?" Persoalan diaju kepada Abu Hasif pula. Pengetahuannya tentang Kristian tidaklah mendalam tetapi bapanya ada bercerita tentang Jesus ketika dia kecil dahulu. Malah semasa kecilnya dia turut ke gereja tapi tidaklah kerap. Bila ada upacara perkahwinan atau sambutan Krismas saja dia pergi. Ini kerana bapanya sendiri bukan penganut agama Kristian yang taat.

"Errr... Yang itu biar ustaz kami yang jelaskan." Abu Hasif tersengih-sengih seraya memandang ke arah Ustaz Naim. Sekali lagi Ustaz Naim menggeleng melihatkan telatah muridnya yang terlajak ramah itu.

"Tidak... Kami tidak menyembah Jesus kerana Jesus itu bukan Tuhan. Jesus juga manusia biasa macam saya, mereka dan kamu." Ustaz Naim membetulkan salah tanggap Miriam terhadap akidah orang Islam.

"Tapi orang-orang Islam menerima Jesus, bukan?" Miriam masih ingat lagi ajaran para paderi semasa dia kecil-kecil ketika dia ke gereja. Kata para paderi, Jesus itu Tuhan. Dan Tuhan itu kasih. Kalau Allah, iaitu Tuhan orang orang Islam itu Maha Mengasihani tentulah Allah itu Jesus. Ini bermakna orang Islam dan orang Kristian menyembah Tuhan yang sama.

"Dalam Islam, kami memanggilnya Isa Alaihissalam. Baginda merupakan salah seorang daripada dua puluh lima orang Rasul yang wajib kami imani." Ustaz Naim berkata.

"Dan Islam turut percaya bahawa Jesus akan kembali sepertimana kepercayaan orang-orang Kristian?"

"Benar. Kami beriman dengan kedatangan semula Nabi Isa Alaihissalam namun kedatangan baginda bukanlah membawa syariat baru, sebaliknya baginda akan meneruskan syariat Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam." Ustaz Naim menjelaskan.

"Jesus akan datang sebagai manusia atau Tuhan?" Miriam melanjutkan pertanyaan lagi.

"Kau dah merepek ni! Islam tidak percaya kepada konsep triniti," marah Yusouf yang turut mendengar perbincangan di antara Ustaz Naim dan Miriam.

"Bukankah ustaz kamu juga yang mengatakan Islam beriman dengan Jesus?" Miriam mempertahankan pandangannya.

"Memanglah! Kami terima Jesus sebagai Rasul Allah, bukan macam kaum Yahudi yang berani menuduh baginda penipu!" Yusouf Herbert yang terkenal dengan sifat panas barannya melepaskan kemarahan. Suasana yang tadinya tenang tiba-tiba menjadi tegang.

"Fasobrun jamil! Bukankah bersabar itu lebih elok?" Ustaz Naim meninggikan sedikit suaranya agar para pelajarnya bertenang. Kemudian dia menoleh kepada Miriam yang kelihatan panik. Ustaz Naim menggaris senyuman nipis. Dia sudah nampak di mana kekeliruan Miriam itu.

"Sebenarnya Cik Miriam, kisah penyaliban Jesus ada tercatat di dalam al-Quran dan juga Injil. Bezanya Injil mengatakan Jesus disalib oleh orang-orang Yahudi dan Rom tapi Quran mengatakan Nabi Isa diangkat ke langit oleh Allah Subhanahuwataala. Individu yang disalib sebenarnya orang lain yang ditukarkan wajahnya menyerupai Isa Alaihissalam."

Ustaz Naim kemudiannya membacakan petikan ayat 157 hingga 158 dari surah An-Nisa. Kemerduan suara Ustaz Naim membuatkan Miriam terpegun sejenak. Usai membaca ayat-ayat tersebut, Ustaz Naim menterjemahkannya pula ke dalam bahasa yang difahami oleh Miriam.

"Dan kerana ucapan mereka: Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih, Isa putera Maryam, Rasul Allah, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keraguan tentang orang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikut sangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa. Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepada-Nya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

"Bagi menolak konsep triniti pula, Quran mengatakan..." Surah al-Ikhlas dibacakan sehingga tamat. Surah al-Ikhlas yang dibacakan itu menjadi bukti bahawa Islam menolak triniti. Islam memperakui keesaan Tuhan. Allah itu tidak boleh dua, tiga atau berapa saja. Allah itu cuma satu. Jadi tidak akan wujud Tuhan Bapa mahu pun Tuhan Anak.

"Cik Miriam, Islam juga menolak konsep menanggung dosa orang lain. Isa Alaihissalam tak perlu dikorban untuk membebaskan semua manusia daripada dosa warisan yang ditinggalkan oleh Nabi Adam Alaihissalam." Ustaz Naim meneruskan. Sesudah itu ayat ke-164 dari surah al-An'am pula dibaca.

"Katakanlah: Apakah aku akan mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia adalah Tuhan bagi segala sesuatu. Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan."

Miriam memberikan sepenuh tumpuan terhadap apa yang disampaikan. Para hufaz juga turut memberikan tumpuan. Abu Hasif pula leka merenung Miriam. Kagum rasa hatinya melihat kesungguhan Miriam hendak mengetahui tentang Islam. Tak sia-sia dia meletakkan kaligrafi tempoh hari. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani seorang perempuan Yahudi sudah dicuit hidayah. Mudah-mudahan.

"Nabi kami iaitu Muhammad Sallallahualaihiwasallam mengatakan tiada bayi yang dilahirkan melainkan dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci dan bersih dari dosa." Ustaz Naim menjelaskan tentang konsep menanggung dosa orang lain dari sudut Islam.

"Berdasarkan ayat-ayat Quran yang saya bacakan tadi, jelas bahawa akidah kami jauh berbeza dengan akidah umat Kristian." Ustaz Naim membuat kesimpulan bagi menafikan sangkaan Miriam bahawa Islam mempunyai akidah yang sama seperti agama Kristian disebabkan Islam menerima Jesus sebagai Nabi.

MELALUI lensa teropong, kelihatan Miriam berjalan keluar dari pekarangan Darul Uloom. Di sebelahnya pula seorang kanak-kanak lelaki yang tampak masih lagi muda. Wajah Miriam begitu ceria seraya bercerita dengan kanak-kanak itu. Kelihatan juga beberapa orang pelajar yang lain mengekori beberapa tapak dari belakang. Beberapa orang lagi sekadar memerhatikan Miriam beredar. Kesemua mereka berpakaian seragam serba putih.

"Kamu memang degil, Miriam. Degil macam Hermann juga!" Teropong diturunkan.

Debbie merungut-rungut sendirian. Seraya itu bibirnya diketap kejap. Dadanya pula kelihatan berombak. Kemudian teropong dihalakan lagi ke bangunan dua tingkat milik orang Islam itu. Merata kawasan Darul Uloom menjadi intipan mata lensa teropongnya.

"Mana lelaki itu?" Debbie sedikit kecewa kerana kelibat lelaki dari Asia yang menjadi tenaga pengajar di situ langsung tak kelihatan.

"Tak mungkin dia sudah jatuh hati dengan lelaki itu." Renik-renik air kecil mula membasahi dahi.

"Miriam... Sejak berpindah ke Swiss, kamu ni semakin berubah." Sebuah keluhan dilepaskan kemudian.

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz