ZingTruyen.Xyz

Backup Cinta

Bab 9

karyaseni2u

MENCERLUNG garang wajah Rusman menikam wajah Shahrul. Sebahagian hatinya diamuk rasa marah namun sebahagian lagi dia seakan-akan tak percaya. Sepantas ini dia terperangkap sedangkan bertahun-tahun dia merancang dan menanti dengan sabar. Lagi tak percaya apabila melihat Shahrul yang difikirkan bodoh dulu kini berubah begitu drastik sekali. Wajah Shahrul menunjukkan kepuasan dapat memerangkap dirinya. Sedikit ketakutan pun tak terlihat dari wajah Shahrul.

"Kau akan menyesal!" ucap Rusman penuh amarah.

Dia silap! Patutnya tujuh tahun dulu dia bunuh saja budak bodoh itu. Dia ingat apabila Shahrul melarikan diri dulu, budak bodoh tu takkan kembali. Dia silap pertimbangan!

"Menyesal? Aku tak pernah menyesal."

"Kau tak ada bukti nak tuduh aku! Bila aku keluar, aku akan pastikan kau melutut depan aku!"

Shahrul buat-buat ketawa namun ketawanya sumbang. Terus dagu Rusman dicengkam erat. Ditekan kuat hingga Rusman menyeringai sakit.

"Kalau aku tak ada bukti, aku takkan kembali. Kau takkan keluar dari penjara sebab aku akan pastikan kau ke tali gantung. Kau ingat orang kau yang nama Adnan? Kau rasa sekarang ni dia terperuk dekat mana? Dalam penjara!"

Rusman terkejut. Patut la dia tak dapat menghubungi Adnan. Sejak bila Adnan masuk penjara?

"Lagi satu, kau ingat pemandu lori yang kau upah untuk langgar kedua orang tua aku? Dia pun dah aku sumbat ke dalam penjara! Aku dah kumpul semua bukti dan kau cuma tunggu hari pengadilannya, pembunuh!" Shahrul bersuara keras seraya melepaskan cengkamannya.

Lima tahun dulu dia digelar pembunuh tapi sekarang dia mampu menunjukkan perkataan itu kepada orang lain. Orang yang bertanggungjawab atas kematian orang tuanya.

"Kau mesti teringin tengok bukti apa yang aku ada, kan? Aku ada saksi, Rusman!"

Mata Shahrul terarah kepada Rahman sekali gus memberi isyarat. Rahman bergegas ke luar dan kemudian kembali dengan seseorang.

"Itu saksi aku!"

Isha telan air liur apabila tubuhnya terasa ditolak betul-betul di depan Rusman. Shahrul ni selamba badak aje tolak dia. Terkejut tahu! Isha memandang mata tajam Rusman namun di sebalik itu dia nampak kebingungan di dalam mata itu.

"Lain kali Rusman, kalau nak berbincang dengan anjing-anjing kau, pastikan pintu tertutup rapat. Jadi tak ada la yang akan mencuri dengar." Shahrul berdiri di sebelah Isha dengan kening sebelah terangkat. Riak wajahnya sedang mengatakan betapa bodohnya Rusman.

Mata Rusman mengecil dan saat itu dia teringat sesuatu.

"Jadi masa pintu terbuka tu, kau ada dekat situ? Kau yang mengintai aku hari tu?!"

Dada Rusman naik turun. Dia ingat hari itu. Pintu tiba-tiba terbuka. Fikirnya angkara angin.

Dengar suara garang itu, Isha berlari terus menyorok di belakang Shahrul. Dia yakin kalau Rusman tak digari, memang percuma la dagingnya dilapah oleh lelaki itu.

Shahrul mendengus apabila kotnya terasa ditarik. Dengan jelingan membunuh, kotnya direntap!

"Bukan dia saja, aku ada lagi seorang. Seseorang yang nak sangat jumpa kau."

"Rahman!" Nama Rahman diseru.

Seperti tadi Rahman keluar dan kembali dengan seseorang di sisi.

"Bos?!!!" Isha terjerit.

Nampak saja muka jahat Rusman, Shahril meluru terus. Satu tumbukan dilepaskan. Tak cukup dengan itu, dia menerkam tubuh Rusman yang terdorong ke belakang. Dua tumbukan disasarkan ke arah Rusman.

"Pembunuh! Tak cukup dengan mak bapak aku, aku pun kau nak bunuh!" Tumbukan padu dilepaskan.

Melihat Shahril mengamuk, pihak polis terpaksa memegang Shahril.

"Sabar encik, sabar..."

Shahril menarik tangannya ganas. Menarik nafas ganas.

"Sudah la tu. Tak payah nak tunjuk hero dekat sini!"

Shahrul yang sedari tadi melihat, bersuara seolah-olah jengkel dengan sikap Shahril. Tanpa kata dia menghampiri Rusman yang nampak separa lembik.

"Rancangan kau hampir sempurna Rusman tapi kau bodoh. Kau fikir kau pintar sangat. Lain kali sebelum buat apa-apa, fikir dulu. Lain kali guna sini!" ujar Shahrul sambil menujah kepala Rusman.

"Bukan otak lutut!" sambungnya kemudian.

Shahrul tersenyum kemenangan apabila Rusman yang tak berdaya hanya memandang dirinya.

"Bawa dia!" ujar Shahrul kepada anggota polis. Muak dia tengok muka Rusman lama-lama. Darahnya mengelegak seolah-olah tak sabar ingin melihat Rusman melingkup di dalam penjara.

Sepemergian Rusman, Shahrul berkalih kepada Shahril.

"Kau..."

"Bos! Bos masih hidup?!"

Belum sempat Shahrul bersuara, Isha menyampuk. Pantas Isha menghala kakinya ke arah Shahril dengan muka tak percaya.

"Saya ingat bos dah mati. Tuan Rusman jahat tu kata dia dah bunuh bos. Saya sampai tak lena fikirkan bos tau!"

Shahril tersenyum dengan gelagat Isha yang menyebik. Macam nak menangis pun ada.

"Sayang juga awak kepada bos awak ni, kan?"

Elok aje Isha tayang muka sebik, tiba-tiba dia tarik muka.

"Bukan sayang la, bos. Saya ni takut. Dah la saya terdengar Rusman tu bunuh bos. Cuba bayangkan kalau dia dapat tahu saya tahu rancangan jahat dia tu, tak ke dipenggalnya kepala saya ni? Seram!"

"Lagi pun, Tuan Rusman tu ada hati nak rampas tempat bos. Kalau dia jadi bos besar, mahu semua staf gantung diri." Mulut kecil itu masih mengomel.

Shahril ketawa kecil. Hilang terus rasa amarahnya apabila staf dia yang seorang ni buka mulut. Ada aje yang nak diceritakan.

Ya la, dulu kalau Isha lambat ke ofis, mahu diceritanya daripada A hingga Z kenapa dia lambat. Kekadang dia pula takut nak dengar alasan Isha. Takut telinganya sakit!

"Saya tak percaya betul Rusman buat semua ni. Gelapkan duit syarikat. Orang macam tu memang tak patut ada dalam kompeni ni. Bagus tindakan kamu. Saya sokong kamu."

Tiba-tiba saja Datuk Faisal berdiri di sebelah Shahrul hingga memancing Isha dan Shahril untuk melihatnya. Enak aje dia menepuk bahu Shahrul. Dia tak nampak agaknya muka beruang ganas tu dah berubah.

Shahrul benci apabila orang menyentuhnya. Sepantas kilat tangan Datuk Faisal ditepis membuatkan wajah orang tua itu berubah seratus peratus.

"Memang orang macam tu tak patut ada dalam syarikat ni tapi..." Shahrul diam sebentar. Matanya yang sinis, dilekatkan pada wajah Datuk Faisal.

"Saya ada siasat tentang projek dekat Damansara. Saya rasa macam ada yang tak kena. Saya rasa mungkin ada lagi pengkhianat macam Rusman di dalam syarikat ni. Betul tak, Datuk?"

Terdiam terus Datuk Faisal. Projek di Damansara? Itukan projek di bawahnya.

Shahrul beriak sinis. Datuk Faisal pandai mengata orang tapi dia sendiri dua kali lima. Lepas ni dia akan buang satu per satu pengkhianat di dalam syarikat ini! Dia menghampiri Datuk Faisal dan menepuk tiga kali bahu orang tua itu. Tepukan yang memberi makna, berhati-hati dengan dia lain kali! Tanpa kata dia berlalu dari bilik itu. Semuanya sudah selesai!

"Bos, siapa dia tu?" soal Isha sambil bebola matanya menghantar kepergian Shahrul.

"Kenapa nak tahu?"

"Mestilah nak tahu. Bos tahu tak dia suruh orang culik saya. Saya rasa saya dah hampir mati kena bunuh tapi nasib bukan. Lagipun saya pelik, kenapa dia tolong bos tangkap Rusman tu? Mestilah saya tertanya-tanya siapa dia." Berjela-jela penerangan Isha.

"Dia..." Shahril memandang jejak Shahrul yang semakin hilang.

"Abang saya," jawabnya. Saat ini dia rasa bersalah. Bersalah yang membuatkan dia tak layak pun untuk menyebut Shahrul itu ialah abangnya.

"Abang bos?!!!"

"Ya? Kenapa?"

"Serius abang bos? Muka tak sama pun. Bos ni kacak tapi..."

Shahril tersenyum lebar. Suka dipuji.

"Abang bos lagi kacak satu kali ganda daripada bos." Isha melengkapkan kata-katanya.

Hai, kalau dah suka mestilah itu yang paling kacak dalam hati. Shahrul kan lelaki pertama buat Isha terpukau.

Mati terus senyuman Shahril dibuatnya. Tersentap sekejap!

"Bos, sekejap tau," ucap Isha tiba-tiba.

Belum sempat Shahril nak tanya kenapa, Isha dah berdesup berlalu. Menghilang di sebalik pintu. Pergi mana la staf dia seorang ni.

Shahril mengeluh dan saat itu dia melihat semua yang tercengang melihatnya. Dia lupa ada ramai lagi di dalam bilik ini. Dia mengeluh kembali.

"Abang bos... Abang bos tunggu sekejap!" laung Isha terkedek-kedek lari.

Lariannya semakin laju mengejar tubuh yang masih melangkah. Laungannya yang kuat bertaraf King Kong hilang anak pun, Shahrul tak dengarkah?

"Abang bos!!!"

Langkah Shahrul termati. Dia berkalih dan saat itu matanya membulat memandang gadis yang memecut ke arahnya. Ingat ni acara balapan ke?!

Apabila hampir dengan Shahrul, Isha cuba membrek kakinya tapi malang! Brek tak kena masa, kakinya tersadung. Tubuhnya terasa melayang namun ada tangan yang menghentikan tubuhnya daripada melayang jatuh. Isha terpaku.

Dua mata saling bertentangan. Saat itu Isha terasa jarum jam seolah-olah berhenti dan apa yang ada hanya debaran yang menyesakkan dada. Terasa di sekelilingnya ditumbuhi bunga-bunga pelbagai warna. Indahnya saat ini. Haruman bunga-bunga di sekeliling membuatkan dia hilang pedoman.

Sepasang mata bening itu nampak indah apabila menikam anak matanya. Bebola matanya merakam raut itu. Mata, bibir, hidung, kening yang hampir sempurna. Tanpa sedar bibir Isha melebar.

"Isy!!!"

Dalam rasa indah itu, tiba-tiba tubuhnya terasa ditolak kuat. Layu terus semua bunga khayalannya. Isha tersentak.

"Tak boleh ke kalau jalan dan bukannya berlari?! Menyusahkan betul!"

Tajam mata Shahrul dengan tangan galak merapikan pakaiannya.

"Maaf, abang bos." Isha tersengih.

"Apa kau panggil aku?!"

"Abang bos," ulang Isha sambil memandang Shahrul dengan muka tak bersalah. Sempat juga Isha melihat isyarat Rahman yang menyuruhnya menutup mulut.

"Siapa suruh kau panggil aku macam tu hah?!" Shahrul menyinga.

"Tadi saya tanya bos, dia kata awak ni abang dia sebab tu saya panggil awak abang bos."

Di belakang Shahrul, Rahman masih tak berhenti suruh Isha zip mulutnya. Susah kalau mamat beruang ni naik angin.

Shahrul bengang. Dia benci dengan panggilan itu. Sangat-sangat benci!

"Jangan panggil aku macam tu!"

Isha terdiam. Mamat ni dari tadi menengking aje dia tahu. Rasanya aku tak tinggi suara pun, tapi dia terover jerit-jerit. Sakit juga hati Isha. Tapi kenapa muka dia ketat sedangkan aku panggil dia abang bos aje pun?

Habis aku nak panggil apa dekat dia ni? Hati Isha tertanya-tanya.

"Kau datang dekat aku ni, kau nak apa?"

Isha tersenyum. Baru dia teringat mengapa dia mengejar Shahrul. Tanpa kata, tangan terus dihulur dengan senyuman yang masih tak mati di bibirnya.

"Apa?" Dahi Shahrul berkerut.

"Saya nak tuntut hutang!"

"Hutang???"

Isha mengangguk walaupun dia tahu yang Shahrul memang tak mengerti erti huluran tangannya.

"Hutang ucapan terima kasih daripada awak. Saya kan dah banyak bantu awak. Sekarang saya nak tuntut hutang tu!"

Shahrul yang mula faham hanya beriak selamba. Dalam diam dia hampir tertawa dengan muka selamba minah itu meminta hutang yang entah apa-apa. Cukup selamba menanti ucapan terima kasih daripadanya. Tak tahu ke Isha, ucapan terima kasih dah lama mati dari bibirnya?

"Perlu ke?"

"Perlu la. Disebabkan awak, saya terpaksa relakan diri saya jadi saksi. Itu belum lagi masuk bab mulut saya berbuih sebab terpaksa cerita dari mula sampai akhir kepada polis yang banyak tanya tu. Lepas ni saya kena masuk mahkamah pula. Jadi mestilah kena berterima kasih."

Sekali dapat cakap, macam bertih jagung keluar dari mulutnya. Isha masih menghulurkan tangannya tapi Shahrul hanya menggeleng.

"Disebabkan kau banyak membantu, aku akan beri kau kenaikan gaji satu kali ganda. Deal?"

Isha ternganga sekejap. Naik gaji dan bukannya terima kasih? Tapi kalau gaji dia naik, banyak benda dia boleh shopping. Tak payah nak jimat-jimat nak beli itu ini. Terbayang di dalam kepalanya stok-stok novel yang boleh diborongnya. Bestnya!

Baru saja dia ingin membuka mulut, Shahrul tersenyum sinis dan kemudiannya berlalu. Isha terpanar. Macam tu aje dia boleh pergi? Tak tanya pun aku setuju ke tak nak naik gaji. Tapi kalau aku tak setuju naik gaji tu maknanya aku dah gila.

"Tunggu!"

Isha menjerit lantas mengejar kembali langkah Shahrul. Kali ni dia dengan jayanya membrek kakinya dengan sempurna. Jadi tak payah la Shahrul jadi tukang sambut lagi. Tapi kalau jadi tukang sambut sekali lagi pun, seronok juga.

"Apa lagi?! Aku dah cakap kan yang aku akan naikkan gaji kau!" Shahrul menyembunyikan marahnya di sebalik suaranya yang sengaja ditekan-tekan.

Kenapa la ada minah gila macam ni di atas muka bumi ni?

"Awak ada satu hutang lagi dengan saya," tutur Isha.

Shahrul berdecit malas. Hutang lagi? Berapa banyak hutang yang aku ada dengan perempuan ni?!

"Jawapan. Awak hutang saya satu jawapan. Awak dah ada girlfriend?" Soalan yang tak terjawab dulu, Isha soalkan kembali.

Luas biji mata Shahrul dengan bibir diketap kuat. Isha pula hanya mampu tersengih.

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz