ZingTruyen.Xyz

Backup Cinta

Bab 7

karyaseni2u

MATANYA masih terpejam namun garis-garis kedutan jelas di dahi Isha. Kepalanya terasa bagaikan dicucuk-cucuk tapi dia cuba juga membuka mata. Dia perlu tahu apa yang terjadi sebenarnya.

"Bos, dia dah bangun."

Mata Isha terbuka. Saat itu dia melihat seorang lelaki yang berdiri membelakanginya dengan isyarat tangan yang Isha sendiri tak tahu apa. Dalam kesakitan kepala itu, dia masih gagah berusaha melihat lelaki yang berada tidak jauh darinya. Terbuka terus matanya.

Itu lelaki bajingan yang menculiknya. Hilang terus rasa sakit diganti dengan rasa nak sepak aje dua orang malaun itu. Suka hati aje culik dia! Muka dia ada gaya sesuai jadi tebusan ke?

"Siapa kau orang semua ni ha?! Lepaskan aku la, gila!"

Dua orang lelaki tadi sekadar mencebik. Dengan tangan Isha yang terikat, mereka memang pasti gila, yang Isha takkan serang mereka. Selamat mereka. Kesakitan kena cakar tadi masih pedih!

"Weh, aku tanya ni jawab la! Siapa kau orang ni hah?!"

"Pekak agaknya. Dasar penculik pekak!"

Dalam ketakutan, Isha masih sempat lagi mencabar. Dia tak nampak ke dia seorang aje perempuan dekat situ? Kalau lelaki-lelaki tu naik angin dengar perkataan pekak tu, mahu lembik Isha dikerjakan.

"Aku tanya siapa..."

Belum sempat dia nak ulang ayat yang terulang-ulang dari bibirnya, satu meja beroda meluncur laju betul-betul di depannya.

"Sakit la!" marahnya geram. Aduh! Sakit gila meja tu berlaga dengan lutut.

Dalam rasa sakit tu, dia menghala pandangannya ke arah komputer riba yang berada di depannya dan saat itu juga matanya terbutang.

"Itu... Itu..."

Bergetar terus bibirnya. Benda yang dia takut dah datang. Macam nak terkeluar biji mata saat melihat rakaman di komputer riba tu. Itukan dia yang tengah menghendap bilik Tuan Rusman semalam?

Takkan la mereka ni orang Tuan Rusman? Kalau betul maknanya dia bukan diculik untuk penjualan organ atau untuk jadi tebusan, tapi dia diculik sebab dia tahu kerja jahat Rusman tu. Lepas ni apa? Nak bunuh dia?

"Jadi kau orang semua ni orang Tuan Rusman?" Tersekat-sekat suara Isha. Macam nak menangis ada juga.

Dua orang lelaki yang menculiknya tadi sekadar tersenyum jahat. Mengambil kesempatan saat melihat muka Isha pucat tak berdarah. Pasti senyuman mereka akan menambahkan lagi rasa ketakutan gadis itu. Itu la tadi tak tahu takut! Selamba aje serang mereka sampai bergaris-garis muka Arman.

"Sa... Saya tak tahu apa-apa. Betul!"

Tanpa disuruh laju aje Isha menerangkan. Dia tak tahu ke perbuatan dia tu akan menimbulkan syak? Minah ni nak menipu pun tak reti.

"Saya tak dengar apa-apa, serius saya cakap!"

Isha terangguk-angguk untuk membuatkan mereka di situ percaya tapi senyuman sinis pula yang dilihat terus rasa gentar menyelubungi diri. Saat itu matanya terhala juga kepada lelaki yang membelakanginya.

Tuan Rusmankah? Tapi dari belakang macam bukan Rusman. Rusman tu gempal, pendek, tapi lelaki yang sedang membelakanginya pula tegap, kurus dan yang paling penting potongan badan lelaki itu amat sempurna. Jauh berbeza gila dengan Rusman tu.

"Kau rasa aku orang Rusman? Kau pasti?"

Isha terkaku. Lelaki yang tak memperlihatkan wajahnya tiba-tiba bersuara.

"Kenapa kau takut? Kenapa suara kau bergetar kalau betul kau tak tahu apa-apa?" Lelaki itu bersuara lagi seolah-olah mengejek.

"Kau ingat dengan apa yang kau cakap, aku akan percaya? Aku pasti kau tahu sesuatu!"

Saat itu lelaki itu berpusing dan saat itu juga Isha ternganga melihat lelaki di depannya. Lelaki yang dicarinya muncul di depannya. Rasa macam mimpi aje. Nak dia cubit pipi tapi tangan terikat menghalang.

"Mereka bukan orang Rusman, tapi orang aku!"

Isha terkaku. Tak sedikit pun bergerak. Leka memerhati lelaki yang mula menghampirinya. Saat ini segala ketakutannya bagai hilang dibawa angin. Kalau apa yang terjadi sekarang bukan mimpi, berkali-kali dia sanggup diculik oleh lelaki itu.

"Aku bukan orang Rusman dan aku pun percaya yang kau tak kenal aku, kan?"

Kembang-kempis hidung Isha dibuatnya. Bukan disebabkan suara sinis lelaki itu tapi disebabkan wajah lelaki itu. Lelaki yang pernah ditemuinya dulu. Lelaki yang dah lama dia doakan supaya mereka bertemu. Adakah ini harinya mereka bersua?

Dia? Dia di depan aku? Kalau aku bermimpi jangan la aku dikejutkan daripada lena, bisik hatinya.

"Sebenarnya kau tak perlu tahu pun siapa aku tapi aku nak tahu siapa kau. Apa yang kau buat depan bilik Rusman hari tu?"

Isha tetap diam. Saya kenal awak! Awak lelaki yang selamatkan saya dulu! Lelaki di majlis perkahwinan kakak sepupu saya. Awak tak kenal saya? Saya perempuan bisu yang awak selamatkan daripada dilanggar, bisik hati Isha lagi.

Shahrul Haikal bengang apabila soalannya tak terjawab. Dibongkok terus tubuhnya dan matanya dibawa menikam biji mata gadis itu. Lirik mata gadis itu seperti pernah dilihat sebelum ini.

"Kau kata orang aku pekak sebab tak jawab soalan kau tadi. Habis sekarang kau pekak pula tak nak jawab soalan aku?!" jerkah Shahrul berang.

"Aku tanya lagi sekali, siapa kau?! Apa yang kau buat depan bilik orang tua tu?!"

Hanya seinci saja memisahkan wajah mereka. Isha tadi terkaku terus terkejung. Seluruh tubuhnya terasa kebas. Lelaki itu betul-betul di depan wajahnya malah wajah mereka hampir saja menyentuhi antara satu sama lain.

"Huh!"

Shahrul mengeluh. Dia ni memang tak faham soalan aku agaknya. Aku ni dah la benci orang lembab! Lagi-lagi orang lembab menjawab soalanya. Tanpa kata, meja beroda itu ditendangnya membuatkan Isha yang galak merenung tersedar.

Mata, hidung, bibir lelaki itu masih tak berubah. Setiap lekuk wajahnya tak pernah berubah cuma satu saja berubah. Riak dan aura pada lelaki itu. Dia tak seperti lelaki yang Isha jumpa lima tahun lalu!

Lelaki lima tahun dulu punya riak yang sangat menenteramkan orang lain tapi riak lelaki itu sekarang nampak kosong! Dan cermin mata yang tersangkut di matanya membuatkan semua mata yang memandang pasti fokus kepada mata tajam di sebalik bingkai cermin mata itu.

"Saya tak tahu." Isha menggeleng dalam renungan Shahrul.

"Tipu!"

"Aku tahu kau tipu aku! Kalau kau tak tahu kenapa kau lari dengan muka pucat?! Lebih baik kau berterus terang atau aku akan...

"Saya tak tahu! Saya cuma lalu dekat situ. Saya tak dengar apa-apa pun! Betul!"

Shahrul ketawa. Dasar gadis bodoh!

"Lalu dekat situ? Kalau kau lalu aje, kenapa dalam CCTV tu kau terbongkok di depan bilik dia? Kalau sekadar lalu, kau takkan sua telinga kau dekat pintu!"

Isha telan air liur. Dia terperangkap!

"Lagi satu, aku tak cakap pun kau terdengar sesuatu? Kenapa kau cakap kau tak dengar apa-apa? Kalau kau nafi macam tu, maknanya memang kau terdengar sesuatu! Kau fikir aku ni bodoh nak terima aje penipuan kau?"

"Tapi saya memang tak tahu apa-apa. Macam mana saya nak cakap lagi? Saya tak tahu!" nafi Isha lagi.

Shahrul ketap bibirnya geram. Dia benci penipu dan dia sedar gadis yang sedang memandang kosong kepadanya ialah penipu! Lantas tubuh itu dihampiri dan saat itu juga kasar tangannya mencengkam bahu itu!

"Baik kau cakap cepat! Jangan nak selindung. Kau nak aku bunuh kau?!" Shahrul hilang sabar.

Bunuh? Mata Isha terbeliak.

"Sa.. Saya..." Dengar aje perkataan bunuh, dia terketar-ketar. Lelaki yang selamatkannya dulu kini nak membunuhnya? Sia-sia dia kenangkan lelaki itu selama ni.

Tubuh Isha dilepaskan dengan nafas panjang. Melihat gadis itu berkerut, dia sedar yang dia dah menyakiti tubuh itu.

"Okay, let say. Kau cuma beritahu apa yang kau dengar dan kemudian aku akan lepaskan kau," tutur Shahrul berdiplomasi.

Dengarkan itu, Isha lega sedikit. Dia memang yakin lelaki itu tak akan membunuhnya. Lelaki itu kan baik. Pujaan hatinya dulu. Senyuman lelaki itu yang membuatkan dia lebih tabah.

"Kenapa saya perlu beritahu awak?"

Shahrul yang baru ingin berpaling ke arah Rahman, pantas kembali memandang Isha. Matanya mencerlung garang. Arman dan Salleh tercengang. Perempuan itu nak naikkan angin bos ke apa?

"Baik, saya akan bagi tahu awak semuanya."

Persetujuan Isha buat mata garang Shahrul kembali kuyu. Tersenyum Shahrul mendengar persetujuan itu.

"Bagi tahu aku sekarang!"

Isha menggeleng.

"Saya bagi tahu tapi dengan satu syarat."

Mati terus senyuman Shahrul dibuatnya. Rahman di belakang terpanar. Gila! Kalau perempuan tu 3tahu Shahrul tu versi beruang ganas berdarahkan naga kelaparan, mesti gadis itu tak berani letakkan syarat. Ni mesti bos mengamuk sekejap lagi!

"Siapa kau nak letakkan syarat kepada aku?!"

"Saya siapa? Saya manusia," jawab Isha. Sengaja nak mengusik.

Tak sedarkah dia saat ni dah tak boleh bergerak kerana diikat. Berani pula gadis ni. Sekejap berani, lepas tu takut kemudian berani balik. Ini macam pun ada ke?

Rahang Shahrul bergerak pantas. Amarahnya membuak-buak bagaikan ingin menyembur muka selamba Isha.

"Tak adil kalau awak tanya saya dan saya jawap. Apa kata kita buat macam ni. Awak tanya satu soalan dan kemudian awak kena jawab pula soalan saya. Macam mana?"

Arman, Rahman, Salleh terkedu semuanya. Nak tempah maut ke perempuan ni? Mereka pun tak berani cakap macam tu di depan beruang ganas ni.

"Shut up!!!"

Bulat mata Shahrul. Jari telunjuknya mara betul-betul depan batang hidung Isha. Nak aje dia tujah hidung tak berapa mancung gadis itu. Gadis itu fikir mereka sedang bermain soal menyoal ke?

Isha melarikan wajahnya. Kalau tak lari, free aje kena tujah dengan jari cantik tu.

"Aku tak ada masa nak jawab pertanyaan bodoh kau! Cakap aje apa yang kau buat di depan bilik tu!

Isha tersetap. Soalan bodoh dia kata? Aku tanya pun belum dah bajet tahu yang soalan aku tu bodoh.

"Tak nak! Kalau awak tak setuju, saya zip mulut saya! Biar awak tak tahu apa yang saya dengar!" Usai berkata, cepat-cepat Isha kemam bibir. Shahrul yang melihat panas hati!

"Baik, kalau kau tak nak bagi tahu. Kau fikir aku akan merayu kepada kau? Setuju dengan syarat bodoh kau tu? Kirim salam!"

Bukan main lagi berbara hati Shahrul. Agaknya perasaan dia sekarang ni lebih hebat daripada larva gunung berapi.

"Kau tak nak cakap, kan? Okey! Biar aku tinggalkan kau dekat sini dan kau boleh mereput mati dekat sini!" ugut Shahrul.

Ugutan itu rasanya datang dari hati nekad Shahrul. Tidak! Lelaki itu mana boleh biar dia mereput di dalam rumah cantik ni. Dia dah la belum berjaya kumpul duit banyak-banyak malah belum berkahwin lagi. Tidak!

Tapi kalau difikirkan balik, rumah ni memang cantik. Bertuah kalau mati di dalam rumah mewah ini?

"Kalau macam tu awak takkan tahu apa-apa sampai saya matilah?" lawan Isha.

Kemarahan Shahrul mendidih melebihi takat didih. Egonya terasa dicabar.

"Kalau macam tu keputusan kau, aku akan tunaikan hasrat kau. Kau nak mati mereput sangat, kan?" bibir Shahrul terjongket naik.

"Kau orang semua ikut aku! Tinggalkan dia dekat sini!" arah Shahrul kepada orang-orang suruhannya tiba-tiba.

"Tapi tuan..." Rahman terdiam.

Bos ni nak jadi pembunuh pulakah?

"Arghhh!!!" Berdentum bunyi pintu ditumbuk Shahrul. Isha sampai kaki terangkat naik. Arman, Rahman dan Salleh terundur ke belakang setapak. Beruang naik angin dah!

"Fine! Aku ikut apa yang kau nak asalkan kau cakap apa yang aku nak tahu."

Tersenyum terus Isha. Dia menang!

"Apa kau buat dekat bilik Rusman?" soal Shahrul.

Berbahang mata tengok senyuman gadis itu. Kenapa dia bodoh mengalah?

"Sebenarnya semalam saya balik dari lunch dan saya ternampak lelaki pelik. Saya ingat dia staf tapi apabila difikirkan balik, saya tak pernah nampak dia. Jadi, saya ikut dia dan saya nampak dia masuk ke bilik Tuan Rusman. Sebab tu dalam video tu saya tercongok di depan bilik Tuan Rusman. Saya cuma nak tahu siapa dia."

"Habis tu, apa kau nampak? Apa kau dengar?"

Isha menggeleng.

"Giliran awak jawab soalan saya."

Shahrul ternganga tak percaya. Hilang terus rasa nak tahu dan yang paling penting, egonya macam direndah-rendahkan. Dah la di depan orang suruhannya pula.

"Apa kau nak tahu?!" Keras suara Shahrul tapi dia terpaksa akur. Dia juga yang bersetuju tadi.

"Nama awak?" soal Isha bersahaja.

Rahman dan yang lain di belakang tahan ketawa. Pertama kali tengok Shahrul kena main dan tercuit apabila muka Shahrul macam tertelan sirih.

"Nama aku Shahrul! Puas?!" Gigi diketap geram.

"Apa yang kau nampak sebenarnya?" soal Shahrul kemudian.

"Saya nampak Tuan Rusman bergelak ketawa. Lepas tu dia bagi sesuatu kepada lelaki tu. Rasanya duit."

"Lepas tu?"

"Lepas tu? Lepas tu awak kena jawab soalan saya dulu sebab saya dah bagi tahu apa yang saya nampak," ujar Isha kemudian.

"Apa?!"

"Awak dah ada girlfriend?"

Ketawa kecil Rahman dengan soalan itu. Beruang ganas, mana ada pasangan. Kalau ada, sah-sah kena ngap free dengan beruang tu.

Shahrul hangat hati. Dijeling Rahman dengan jelingan membunuh. Terdiam tak berkutik terus Rahman dibuatnya.

"Hei! Kau jangan nak main-main dengan aku! Shut up!" jerkah Shahrul kuat sambil menendang sofa di sisinya.

"Sekali lagi aku tanya kau, apa yang kau dengar? Apa yang kau tahu pasal Rusman?!" Shahrul menjerit bagaikan beruang kelaparan.

Terpejam terus mata Isha sesaat. Apabila dia buka mata, benda yang dia nampak adalah api kemarahan yang sedang marak di wajah Shahrul. Dari situ dia belajar sesuatu. Don't play with me!

"Shahril tu bodoh! Dia ingat dia lawan aku? Ugut aku letak jawatan sebab gelapkan duit syarikat. Sebelum dia pecat aku, dia dulu aku hantar ke neraka!"

Terus terkeluar skrip itu dari mulut Isha. Skrip yang dituturkan oleh Rusman hari itu. Shahrul ni memang menakutkan betul la! Luruh semua organ aku! omel Isha dalam hati.

"Itu aje yang kau dengar? Jadi, maksudnya dia memang merancang bunuh Shahril?" Shahrul ketawa sinis dan berbicara kepada dirinya sendiri.

Isha hanya mengangguk mengeyakan.

"Ha! Ada lagi satu!" jerit Isha tiba-tiba sehingga memaksa mata helang itu hinggap pada wajahnya.

"Saya dengar Tuan Rusman arahkan lelaki tu bunuh seseorang lagi. Tak silap saya..." Isha berjeda. Cuba mengingati sebaris nama yang disebut Rusman hari itu.

"Fina... Nama perempuan tu, Fina!"

Shahrul tersentak. Amarahnya menjulang naik tiba-tiba. Seluruh anggota badannya menggeletar hebat. Tak guna punya bajingan!

"Kau perlu lakukan sesuatu untuk aku!" ucap Shahrul tiba-tiba.

Anak mata Shahrul dan anak mata Isha bersabung. Dia yakin perempuan itu masih berguna.

Isha hanya mampu diam dengan perasaan pelik. Dia nak suruh aku buat apa lagi? Terjun longkang? Kalau terjun longkang cinta dengan dia aku sanggup! Tiba-tiba terasa pipinya panas. Lantas dikalihkan sedikit wajahnya dan saat itu matanya dan mata Shahrul saling bertamu. Isha dengan lagak terkejutnya dan Shahrul dengan pandangan penuh maknanya. Mereka berdua tenggelam dalam renungan masing-masing.

Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz