Bab 9
Aku keluar dewan bersama senyuman lega. Yes! Mid term test dah habis. Lepas ni, tak ada lagi muka aku dekat library tiap-tiap hari. Tak ada lagi sesi nak kena hafal teori, hafal formula. Tak ada lagi nak berjaga malam untuk ulang kaji. Tak ada. Kena tunggu musim final exam pula. Iaitu tiga bulan lagi.
"Aur!"
Langkahku terhenti. Aku berpaling ke belakang. Memandang Phia yang sedang menghampiriku.
"Kau nak terus balik rumah ke?"
Aku mengangguk.
"Budak-budak kelas kita ajak main bowling. Kau tak nak join ke?"
Kepalaku terus menggeleng.
"Aku nak balik tidur. Dah beberapa hari aku tidur tak betul."
"Alah, kita main bowling dululah. Malam nanti kau tidurlah puas-puas. Esok bukan ada kelas pun."
Tika itu, mataku tidak semena-mena bertemu pandang dengan Eid. Kami saling berpandangan. Tapi hanya buat beberapa saat. Lima saat mungkin. Eid yang melarikan pandangannya ke arah lain. Bukan aku. Aku masih memandang ke arahnya. Memandang dia yang sedang berbual dengan kawan-kawannya.
Entah kenapa aku rasa macam Eid sedang jauhkan diri dari aku. Tapi aku tak tahu kenapa. Aku tak tahu apa sebabnya. Kalau nak tahu, aku dah lama tak jumpa Eid melainkan waktu kami dalam dewan peperiksaan. Aku rasa semuanya bermula sejak Eid blah macam tu aje masa kita orang study group kat library. Tapi di manakah silapnya?
Mula-mula aku tak kesah sangat kalau Eid tak nak bertegur sapa dengan aku ke, nak jauhkan diri dari aku ke... Sumpah, aku tak kesah. Sebab kita orang tak pernah rapat. Aku kenal dia sebagai abang Lyn. Dan juga sebagai rakan sekelas aku kat universiti. Itu sahaja. Jadi, bila aku dah lama tak jumpa Eid, aku rasa ia sesuatu yang normal.
Tapi bila ada satu hari tu aku terserempak dengan Eid masa nak pergi dewan dan Eid pura-pura tak nampak aku, aku mula ambil kesah. Macam... apa salah aku? Kenapa dia blah macam tu aje? Kenapa dia tak tegur aku? Aku ada buat salah ke? Aku jadi tertanya-tanya. Dan sehingga hari ini aku masih tertanya-tanya. Sudahlah sebelum tu Eid layan aku baik giler. Ajak makanlah, ajak pergi kelas sama-samalah, bagi aku sandwichlah...
Pelik, kan?
"Aur, Aur," panggil Phia sambil mengawang-awangkan tangannya depan muka aku.
Aku tersentak. Tersedar ke dunia nyata.
"Kau dengar tak apa yang aku cakap?" soal Phia.
"Errr... apa kau cakap tadi? Sorry, aku tak berapa nak fokus."
Phia menghembus nafasnya sedikit kuat. Geram dengan akulah tu.
"Kau fikir apa sampai tak dengar apa yang aku cakap?"
Aku tarik sengih.
"Tak ada apa-apalah. Aku tengah fikir bantal peluk kat rumah aku," selorohku.
Phia sengetkan mulut.
"So, kau memang tak nak join kita oranglah ni? Gaya macam tak sabar aje nak terkam katil."
Aku menganggukkan kepala.
"Yes!"
Aku ukirkan senyum.
"Aku mengantuk sangat ni, Phia. Aku tak sabar nak balik rumah, nak tidur. Kau orang pergilah have fun."
"Hmmm, yalah... tapi semua orang pergi tau. Kau sure tak nak ikut?"
Aku menyeringai bersama anggukkan di kepala.
"AURORA... Aurora..."
Aku dengar suara mama memanggilku. Dan tak lama kemudian aku terdengar pintu bilik dibuka.
"Ya Allah! Tidur rupanya budak bertuah ni. Patutlah mama panggil tak menyahut. Bangunlah, Aur. Tak elok tidur petang-petang macam ni."
Aku terpisat-pisat buka mata bila bebelan mama menyapa telinga. Dalam keadaan yang masih mamai, aku pandang mama yang ketika itu sudah pun duduk di birai katil.
"Aur mengantuklah, ma."
"Dah, bangun. Pergi basuh muka."
Aku geleng. Tak mahu. Masih baring atas katil.
"Bangun. Ada orang nak jumpa Aur kat bawah."
Dahiku berkerut.
"Huh? Siapa?"
"Eid."
Mataku terus terbuka luas. Eid? Biar betul? Apa mimpi dia?
"Dia nak apa?"
"Manalah mama tahu. Aur pergilah tanya dia."
Dalam keadaan separuh rela dan separuh terpaksa, aku bangun dari perbaringan.
"Yalah, yalah... Kejap lagi Aur turun. Mama turunlah dulu."
"Jangan lambat," pesan mama sebelum dia melangkah keluar dari bilikku.
Aku hela nafas. Rambutku yang kusut aku sisir dengan jari. Lambat-lambat aku turun katil dan berjalan ke tandas. Aku masih mengantuk sebenarnya. Masih nak tidur. Tapi mama kata Eid nak jumpa aku.
Hmmm, sebenarnya aku boleh aje suruh mama cakap kat Eid aku tengah tidur dan sila jumpa aku lain kali. Tapi sebab hatiku digaru rasa ingin tahu tujuan dia nak jumpa aku, maka aku gigihkan diri bangun.
Lebih kurang sepuluh minit kemudian, aku turun bawah dan cari Eid di luar rumah. Eid ketika itu sedang duduk di gazebo. Main telefon. Kaki terus diayun mendekati Eid. Aku berdeham sebelum melabuhkan duduk di sebelah Eid.
Eid angkat kepala, memandangku. Telefon pintarnya disimpan.
"Ada apa kau nak jumpa aku?" soalku dengan nada yang biasa.
"Saja," jawab Eid. Mudah. Ada senyuman yang tersungging di hujung bibirnya.
Aku kerling Eid bersama kening yang terjongket.
"Kenapa kau tak join main bowling?"
"Saja," balasku. Memulangkan paku buah keras.
"Kau? Tak pergi ke?" tanyaku.
"Pergi. Tapi aku balik awal. Aku tengok kau tak ada."
"Kau cari aku?"
Eid mengangguk.
Aku bertambah pelik.
"Kenapa cari aku?"
"Saja."
"Eh, kau ni boleh stop dengan 'saja' kau tu tak? Saja nak jumpa aku, saja cari aku... mana ada benda saja-saja dalam dunia ni," leterku.
Eid tergelak.
Eh, eh mamat ni... hati aku tengah panas ni. Dia boleh pula gelak.
"Tak adalah... aku nak ajak kau keluar."
"Keluar ke mana?"
"Entah. Mana-mana aje. Minum kopi ke, makan aiskrim ke, makan kek ke... kau nak mana satu?"
"Coffee. I need coffee right now. Aku nak Starbucks. Kau belanja, okey?"
"Okay, no problem."
JAVA CHIP FRAPPUCINO yang Eid belikan untuk aku, aku sedut dengan penuh nikmat. Mata memerhati Eid. Tingkah lakunya bersahaja. Dia buat macam tak ada apa-apa yang berlaku. Macam dia tak jauhkan diri dari aku pun selama ni. Adakah itu hanya mainan perasaan aku sahaja?
"Asal kau pandang aku macam tu? Tak sedap ke air tu?"
Aku menggeleng. Perlahan.
"Kau oder air apa?"
"Asian Dolce Latte. Kau nak rasa?" soal Eid sambil hulur air dia.
"Tak apa. Aku dah pernah minum," tolakku.
Sepi. Tiada bicara. Aku melilaukan pandangan ke sekeliling.
"Kau ada benda nak cakap dengan aku ke?"
Aku melontarkan soalan bila Eid masih lagi membisu.
"Tak ada."
"Habis tu, kenapa kau ajak aku keluar?"
"Saja nak keluar dengan kau."
Aku tajamkan pandangan mataku pada Eid. Geram betul aku dengan 'saja' dia.
"Tak boleh ke aku nak keluar dengan kau?"
Eid menyoal.
"Bukan tak boleh. Tapi macam pelik aje."
"Esok kau free tak?"
Eid buka topik baru.
"Kenapa?"
"Esok aku ada lawan basketball. Kau nak datang tengok?"
Mataku terbuntang.
"Kau ajak aku?"
Eid angguk.
Wow! Macam tak percaya aje Eid ajak aku tengok dia lawan basketball. Ini kalau Lyn tahu, mahu dia bahan abang dia. Tapi tak naklah bagi tahu Lyn. Sebab bukan Eid seorang aje yang kena bahan nanti. Dengan aku-aku sekali jadi mangsa bahan dia. Tak pasal-pasal aje. Lebih baik aku tak cakap.
"Hmmm... Tengoklah macam mana. Kalau aku tak ada plan apa-apa esok, aku pergilah. Pukul berapa?"
"Pukul tiga petang. Ajaklah Phia kalau kau segan datang seorang."
Eh, tak ada maknanya aku nak segan. Macamlah aku tak pernah pergi seorang. Eh, pernah ke? Oh, yalah... Selama ni aku selalu pergi dengan Lyn. Entah bila masa pula aku pergi seorang. Perasan betullah aku ni.
"Kau memang suka main basketball ke?" soalku sekadar ingin tahu.
Eid mengangguk.
"Kenapa basketball? Kenapa bukan bola sepak? Setahu aku dulu masa kau kat kampung, kau selalu main bola sepak, kan?"
Eid menganggukkan kepala sambil melemparkan senyum nakal di bibir.
"Whoa! Kau tahu... Tak sangkanya."
Aku jeling Eid. Dan dia senyum lagi.
"Memang dulu aku suka main bola sepak. Tapi lepas pindah sini, aku mula suka main basketball. Kau dengan Lyn pun lagi suka tengok orang main basketball daripada bola sepak, kan?"
Aku menyeringai. Ya, memang betul. Aku tak pernah tengok orang main bola sepak. Tapi kalau bola keranjang, dah selalu sangat. Lagi-lagi zaman sekolah dulu. Boleh kata, aku dengan Lyn tak pernah miss tengok team sekolah kita orang lawan basketball. Sebabnya Si Lyn nak tengok crush dia. Crush sampah dia tu. Yang dah hancur lumatkan hati Lyn. Yang bergaduh dengan Eid beberapa bulan yang lalu.
Bạn đang đọc truyện trên: ZingTruyen.Xyz